Saturday, 6 February 2010

Perkara baik... buat cepat, jangan tangguh-tangguh.

Kadangakala kita teragak-agak untuk berbuat sesuatu perkara yang baik. Tidak kira perkara baik itu kecil atau besar, itu terpulang pada diri kita untuk melakukannya. Baik perkara kebaikan yang besar dan wajib bagi seorang Islam untuk melaksanakannya, dan mungkin perkara kebaikan yang kecil seperti hanya menyelamatkan seekor anak kucing yang hampir lemas di dalam longkang.

Sebagai seorang anak yang wajib menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa, sebagai seorang pelajar yang perlu menyiapkan kerja atau tugasan yang diberi oleh guru atau pensyarah. Selagi perkara itu tidak mendatangkan mudarat kepada diri khususnya dan menuruti semua hukum agama, maka perlulah kita bersegera untuk melaksanakannya. Ingat! Jangan menzalimi kepada diri sendiri untuk berbuat perkara-perkara kebaikan yang mendatangkan manfaat dan pahala.

Kesan apabila tidak bertangguh melakukan tugasan dan perkara kebaikan, pasti ganjaran pahala akan diberikan dan hubungan sesama insan akan sentiasa terpelihara.

Ayuh laksanakan!

Artikel dibawah yang boleh dijadikan sebagai motivasi yang boleh melapangkan minda dan meringankan badan untuk tidak bertangguh untuk melaksanakan perkara kebaikan.

Saranan bersegera laksana kebaikan, amalan ujian keimanan

SESUNGGUHNYA keimanan murni akan melahirkan amalan atau perbuatan terpuji, selari syariat Islam yang suci. Orang yang berpegang teguh pada dahan akidah yang kukuh, sentiasa berusaha untuk memperbanyak amal demi meraih keredaan Allah.

Tidak dinafikan lagi hal ini sudah menjadi tabiat semula jadi setiap individu mukmin sejati dan menjadi salah satu tanda orang beriman seperti mana wasiat Rasulullah SAW kepada Saidina Ali yang bermaksud :
“Wahai Ali, orang mukmin itu ada tiga tandanya: bercepat-cepat taat kepada Allah, menjauhi segala yang haram dan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya.”

Bagi orang beriman, setiap ruang, kesempatan atau peluang di sepanjang perjalanan hidupnya tetap diisi dengan amal ibadah (sama ada kecil ataupun besar), maka dilakukannya secara bersegera, berlumba-lumba, tanpa berlengah.

Sikap yang suci elok itu sebenarnya sejajar suruhan Allah yang bermaksud :
“Maka berlumbalah (dalam membuat) kebaikan di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Apabila ditinjau dengan hati penuh insaf, ternyata ada segelintir masyarakat gemar memilih sikap berlengah atau berkata ‘nanti dulu’, ‘sekejap lagi’ atau ‘biarlah dulu, nanti esok’, menunda waktu dalam menyempurnakan sesuatu kerja baik sama ada bersangkutan peribadi, masyarakat mahupun tanggungjawab terhadap majikan.

Sikap suka bertangguh ini mengakibatkan kesan buruk. Kerja ditangguhkan itu lama-kelamaan akan jadi bertimbun-timbun, untuk menyelesaikannya tentu saja tidak cukup masa dan tenaga, tergopoh-gapah melakukannya dan hasilnya sudah pasti tidak sempurna atau kesudahannya akan terbengkalai.

Masa sangat berharga kerana sedetik berlalu tidak akan berulang kembali dan tidak boleh dibeli dengan segunung intan. Manusia yang mensia-siakan waktu adalah manusia yang mendapat kerugian di dunia serta akhirat. Firman Allah yang bermaksud :
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan orang yang beriman dan beramal soleh dan orang yang menyeru kepada kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-‘Asr, ayat 1-3)

Nyatalah manusia yang rugi itu ialah manusia yang lalai daripada tanggungjawabnya terhadap diri, Allah, masyarakat sekelilingnya, suka melakukan perkara tidak mendatangkan faedah.

Oleh kerana berlengah itu dapat mengundang kerugian dan bahaya, maka tidak hairanlah jika Nabi Muhammad SAW menyeru umatnya tidak `membuang masa’ melakukan kebaikan atau bersegera melaksanakan kebaikan selagi ada kesempatan. Hadis diriwayatkan Baihaqi yang bermaksud :
“Pergunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan iaitu: pergunakan kesempatan sihatmu sebelum datang sakitmu; pergunakan kesempatan lapangmu sebelum datang kesempitan; pergunakan hari mudamu sebelum datang hari tuamu; pergunakan kesempatan waktu engkau kaya sebelum datang kemiskinan; pergunakan kesempatan masa hidupmu sebelum datang saat kematian.”

Apabila suka bertangguh, tentunya peluang atau kesempatan yang ada itu akan berlalu begitu saja. Kita ketinggalan dan akan mendapat kerugian besar yang tidak boleh ditebus dengan apa juga.

Oleh itu, bersegeralah membuat kebaikan kerana apa yang datang tidak dapat di duga.

Di samping itu, orang suka menunda waktu membayangkan manusia pemalas, tidak bertanggungjawab, tidak ada wawasan untuk hidup lebih maju dan suka berfoya-foya dipengaruhi bisikan syaitan yang memang suka menghancurkan kehidupan manusia.

Jika dikaji dan teliti, memang ada beberapa rahsia mengapa Islam mengajar manusia supaya bersegera melakukan kebaikan antara lainnya ialah mendapat kedudukan pahala yang tinggi di sisi Allah.

Contohnya dalam hal solat, Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
“Awal waktu solat itu menyebabkan reda Allah, sedang akhir waktu sebagai ampunan daripada Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Saranan bersegera melakukan pekerjaan atau amal ibadat ialah untuk menguji keimanan dan ketaatan seseorang terhadap Allah. Apabila orang itu benar-benar beriman, dia akan berlumba mempersembahkan pengabdiannya kepada Allah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Keimanan tipis, maka suruhan Allah ditunda tanpa sekelumit pun berasa takut kepada ancaman dan azab Allah.

Oleh itu, sebelum terlambat dan penyesalan menjadi sia-sia, maka seharusnya kita bersegera atau cepat bertindak melakukan kebaikan. Kita pasti diredai dan disayangi Allah seperti firman-Nya bermaksud :
“Dan orang yang paling cepat pada kebaikan, mereka itu yang didekatkan pada Allah, berada dalam syurga kenikmatan.” (Surah al-Waqiah, ayat 10-12)

Sumber : Bharian Online, 31 March 2009 (4 Rabiulakhir 1430)

No comments:

Post a Comment