Tuesday, 23 March 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 3 sambungan

Musim, Cuaca, Keadaan dan Aktiviti

Musim Luruh (‘Autumn or Falls’)

Musim luruh bermula pada bulan September dan berakhir dalam bulan November. Petandanya ialah apabila persekitaran sudah mula terasa sejuk dan daun – daun berwarna kekuningan, kering keperangan dan kemudian mula berguguran.

Perhatikan gambar – gambar di bawah serta masanya. Gambar yang diambil pada awal bulan akhir bulan Oktober dan bulan November.






Keadaan langit yang kurang ‘bertenaga’ bermula. Matahari sering malu ‘menyorok’ di belakang awan. Kitaran hari berulang, matahari mula terbenam lebih cepat menyebabkan keadaan siang menjadi semakin pendek. Keadaan yang agak basah (kelembapan udara meningkat dan kadang kala hujan) juga bermula. Suhu mula menunjukkan penurunan, antara 5 hingga 20 darjah celsius.

Matahari sudah mula terbenam walaupun waktu baru menunjukkan jam 1340 atau 1.40 tengahari.


Keadaan tingkap rumah penulis yang berais akibat proses kondensasi.




Disebabkan oleh cuaca yang sudah mulai sejuk dan suhu sudah mula menurun, orang – orang di sini akan mula mengenakan pakaian agak berlapis. Mereka sudah mula berjaket dan ada juga yang sudah mengenakan sarung tangan, penutup kepala berstokin dan berkasut.

Gaya menyeluk poket untuk mengelak tangan menjadi sejuk jika tidak memakai sarung tangan. Gaya ini boleh dilihat pada awal musim panas, sepanjang musim luruh dan ada juga semasa musim sejuk.

Pada musim luruh ini pula, orang ramai mula mencari alat pemanas (‘heater’) lebih, walaupun setiap rumah memang mempunyai alat pemanas, untuk memastikan rumah mereka ‘panas’ ketika musim luruh dan seterusnya tidak berasa kesejukan ketika musim sejuk. Kebanyakan rumah di sini agak kecil dan sempit, mempunyai dua lapis cermin tingkap (‘double glazing’), dua lapisan dinding dan ada kalanya ada tempat api (‘fire place’). Selain itu orang ramai akan mula membeli ‘duvet’ (ala – ala selimut tebal atau tilam toto di Malaysia) digunakan pada waktu malam ketika tidur, berfungi sebagai selimut.

Alat pemanas boleh alih.

Cuaca dan iklim ketika musim luruh, mendung, hujan dan berangin. Perkataan seperti ‘chilly, shower rain, raining, windy, cloudy, mild wind, strong wind, gales’ (sejuk, hujan yang mencurah - curah, hujan, berangin, berawan, angin lembut, angin kuat, angin ribut) akan kedengaran ketika mendengar laporan ramalan cuaca di televisyen.

Dalam musim ini, Matahari akan dilihat terbit lebih lambat iaitu antara pukul 7.30 pagi hingga 8.15 pagi dan Matahari terbenam antara pukul 4.45 petang hingga 5.15 petang.

Rajah di bawah menunjukkan keadaan gelap sudah mula awal berlaku dan Matahari muncul agak lewat pada waktu pagi.






Musim panas akan berlarutan selama lebih kurang tiga bulan sehingga akhir November.


Musim Sejuk (‘Winter’)

Musim sejuk di sini bermula dalam akhir bulan November dan berakhir dalam bulan Mac tahun berikutnya.

Wah, teruja!. Musim sejuk, tidak dialami oleh Malaysia. Sangat teruja kerana musim ini salji akan turun dari langit. Pertama kali iaitu pada tahun 2008, penulis amat teruja dengan kehadiran salji sebab pertama kali ‘bertemu’ dengan salji. Pengalaman hidup yang tidak dapat dilupakan.

Salji yang putih dan halus – salji hampir sama seperti ABC yang kita minum di Malaysia cuma ia sangat halus dan lembut.



Di sini, musim sejuk dan salji berkait rapat dengan Hari Krismas yang disambut pada 25 Dis tiap – tiap tahun. Di sini penulis berpeluang untuk membuat orang salji yang selama ini penulis hanya berpeluang melihat orang salji di dalam televisyen sahaja. Selain daripada kita membuat orang salji kita juga boleh bermain bola salji (‘snow ball’) atau membina iglu (‘igloo’).

Orang salji (‘snowman’)

Beberapa keping gambar permandangan persekitaran yang ditutupi oleh salji yang dirakam oleh penulis.



Gambar atas sekali : Ketebalan salji di luar tingkap rumah penulis setebal 5.5 cm.
Gambar seterusnya : Keadaan tingkap rumah penulis. Kewujudan ais pada tingkap.

Permandangan salji putih menyelaputi persekitaran.

Namun musim sejuk juga adalah musim yang mana penulis tidak berapa suka. Pertama, tidak tahan dengan suhu yang sangat sejuk sehinggakan dalam rumah juga boleh rasa kesejukan (walaupun alat pemanas berfungsi dengan baik). Walaupun berada di dalam rumah, baju sejuk dan sarung kaki perlu sentiasa dipakai untuk mengelak kesejukan. Kedua, kulit akan menjadi gatal kering dan gatal – gatal. Keadaan ini boleh diatasi dengan minum banyak air. Ketiga, setiap kali keluar rumah perlu mengenakan berlapis – lapis pakaian kerana suhu yang terlalu sejuk.

Selain itu, keadaan kesihatan yang kurang baik sering berlaku. Demam dan selesema memang menjadi perkara biasa di sini. Sehinggakan klinik dan hospital di sini tidak merawat pesakit yang mempunyai demam dan selesema, dinasihatkan agar tidak ke tempat – tempat awam dan diminta untuk berehat di rumah sahaja untuk mengelakkan ia daripada berjangkit. Ini semua berjangkit berpunca daripada virus apa yang orang di sini gelar sebagai ‘Cold bugs’. Orang di sini menyebut ‘Catch a Cold’.

Kurangnya pancaran cahaya Matahari. Suhu menurun sehingga boleh mencecah 5 darjah Celsius di bawah paras beku. Kalau nak rasa sejuknya, boleh diletakkan tangan di dalam bahagian sejukbeku peti ais. Keadaan siang yang lebih pendek, jika ketika waktu puncak musim sejuk, tempoh masa siang hanya 6 jam dan tempoh masa malam ialah 18 jam.






Gambar atas sekali : Suhu -1.0 darjah Celsius pada jam 1654 (yang mana keadaan sudah malam)
Gambar seterusnya : Suhu 0.6 darjah Cesius (hampir ke takat beku) ketika salji turun.
Gambar bawah sekali : Suhu -2.2 darjah Celsius pada pagi hari musim sejuk.

Tahun pertama penulis berada di Dundee ini, salji lebat turun dua kali iaitu pada bulan akhir bulan November dan pada pertengahan bulan Februari 2009. Pada tahun kedua pula salji lebat turun hanya pada bulan akhir bulan Disember 2009. Di sini penulis hendak maklumkan bahawa waktu salji turun adalah seperti hujan, tidak turun sepanjang tiga bulan musim sejuk cuma turun beberapa kali sahaja.

Cara pemakaian yang lebih tebal dan banyak. Berbeza dengan musim panas yang mana hanya sedikit kain di badan, musim sejuk lebih banyak kain di badan. Orang di sini akan memakai pakaian yang agak ketat dan kemudian dilapisi dengan beberapa helai baju dan akhir sekali baju sejuk atau jaket sejuk. Mula memakai sarung tangan, skaf, penutup kepala dan juga ‘Long John’ (baju ketat kain kapas, dipakai sebelum mengenakan pakaian utama).

Pakaian lengkap musim sejuk. Jaket, penutup kepala, skaf, sarung tangan, ‘Long John’, stokin, kasut.

Semua ini hanya bertujuan untuk mengelakkan haba badan daripada terbebas ke persekitaran. Menggunakan kaedah semula jadi, haba badan sendiri untuk memanaskan badan. Kalau tidak, badan akan terketar – ketar menahan kesejukan sekitar. Jika kita gagal untuk memakai pakaian yang sesuai, jari jemari tangan dan kaki terutamanya akan mengalami satu keadaan dipanggil ‘frost bite’. Dan ia memang menyakitkan.

Ya, musim sejuk ini kedai – kedai yang menawarkan produk – produk alat pemanas amat kerap dikunjungi oleh orang ramai untuk mendapatkan alat pemanas tambahan bagi membekalkan haba secukupnya di dalam rumah mereka. Selain itu, pakaian sejuk seperti sarung tangan, penutup kepala, jaket dan baju sejuk, stokin tebal dan kasut tebal, juga laris dibeli oleh orang ramai.

Keadaan malam yang panjang menyebabkan anak – anak penulis senang untuk tidur. Ada kalanya mereka ajak tidur pada waktu yang awal daripada waktu yang sepatutnya. Namun keadaan sejuk kadangkala anak – anak penulis terjaga pada waktu tengah malam. Keperluan selimut tebal, ‘duvet’ (ala – ala tilam toto di Malaysia) amat memberi keselesaan kepada penulis sekeluarga.

Duvet yang memberi keselesaan ketika tidur ketika sejuk terutama pada musim luruh dan musim sejuk.

Pelbagai aktiviti luaran mula dilakukan pada musim sejuk ini, orang ramai cuba untuk mengelakkan berada di luar bangunan. Ramai yang terperap di dalam rumah atau berada di dalam bangunan kerana di dalam bangunan keadaan agak selesa dengan alat pemanas yang membekalkan haba. Keluar cuma atas sebab – sebab tertentu seperti ke tempat kerja, sekolah dan keluar untuk membeli barang – barang keperluan.

Pada musim sejuk ini, aktiviti pelancongan amat menggalakkan di kawasan tanah tinggi. Ini disebabkan para pelancong ingin merasai aktiviti – aktiviti yang melibatkan salji seperti bermain ski, ‘sledging’ dan meluncur dengan papan salji. Jika di Scotland ini, antara tempat yang paling popular ialah di Cairngorm. Tahun 2009, penulis sekeluarga berpeluang untuk ke Tanah Tinggi setelah tahun lepas 2008 tidak berkesempatan untuk ke sana. Alatan bermain ski dan sebagainya boleh disewa. Contohnya menyewa alat ‘sledge’ ialah 9 pound selama setengah hari atau jika ingin beli alat tersebut dikenakan harga 12 hingga 15 pound.

Kawasan tanah tinggi, Cairngorm

Aktiviti bermain salji

Cuaca dan iklim ketika musim sejuk di sini, basah, berawan, berangin dan kerap hujan. Perkataan seperti ‘snow, fog, frost, icy patches, sleet, windy, chilly’ (salji, kabus, tompokan ais, hujan ais, berangin dan sejuk), ‘horrible weather’ (hari yang teruk), dan sebagainya yang menggambarkan keadaan yang kurang baik menjadi sebutan ketika laporan ramalan cuaca di televisyen. Orang di sini akan banyak merungut tentang keadaan cuaca.

Hujan ais (‘Sleet’)

Tompok – tompok salji (‘Icy patches’)

Keadaan berkabus (‘Fog’)

Dalam musim ini juga, Matahari akan dilihat terbit lebih lambat iaitu antara pukul 8.15 pagi hingga 9.00 pagi dan Matahari terbenam agak cepat iaitu antara pukul 4.00 hingga pukul 3.30 petang.

Perhatikan gambar di bawah.




Musim sejuk akan berlarutan selama lebih kurang tiga bulan sehingga akhir bulan Februari.

Sajak ‘Guru O guru’

USMAN AWANG, 1979

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Video ini cuma pautan semata – mata untuk tujuan audio sahaja.

Monday, 22 March 2010

Ilham Pujangga

Artist: Ismail Haron

Lagu ini menaikkan semangat patriotisme kepada negara.... MALAYSIA TANAH AIRKU.

Ilham dari pujangga
Berdiam diri bukan ertinya kau kalah
Biar cercaan sekali datang menimpa
Sudahlah memang adat di dunia
Bersuaralah kamu pada perkara berguna
Itulah sifat orang bijaksana

DW : iya anak muda itu tiada mati kerana tergelincir kakinya
DW : tetapi matinya anak muda itu kerana tergelincir lidahnya
DW : berdiam dirilah kamu kepada perkara yang bukan-bukan
DW : bersuaralah kamu kepada perkara yang memberi kebaikan

Berikanlah tenaga
Untuk nusa dan negara
Ini zaman kemajuan
Jangan kita ketinggalan

Kasih sesama manusia
Apa di atas sayangkan diri anda
Pandang yang satu kepada yang ramai, sayang
Pandang yang ramai kepada yang satu

DW : Usahlah ditanya apakah bakti negara untuk kamu
DW : tetapi tanyalah apakah bakti kamu untuk negara
DW : berjasalah kamu untuk keharmonian negara

DL : Kau katakan pada aku sekarang jua
DL : apakah pendapat kau atas kewajiban muda-mudi...

DW : Pembela, harapan dan tiang negara, bangsa dan negara...

DL : Bagaimanakah cara yang patut aku tunjukkan kewajiban ini...
DW : Kau mempunyai akal bukan, tepuklah dada tanya selera.

Sungguhkanlah hati mu
Pertahankan ibu pertiwi
Jauhkanlah diri mu
Dari perkara yang merugi

Maaf mudi dan muda
Ku susun jari sepuluh
Aku bukanlah seorang pujangga
Hanya seorang penyanyi biasa

Saturday, 20 March 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 3

Musim, Cuaca, Keadaan dan Aktiviti

Kalau mengikut aturannya, musim di negara empat musim seperti UK ini, kalau bermula daripada awal tahun, musimnya ialah musim bunga (‘spring’), musim panas (‘summer’), musim luruh (‘autumn or falls’) dan musim sejuk (‘winter’). Segala aktiviti dan cara pemakaian orang di sini memang dipengaruhi oleh perubahan musim. Musim menentukan cara hidup, aktiviti, gaya, fesyen, pemakaian dan men’disiplin’kan mereka. Cara pemakaian, perubahan musim yang menentukannya.

Musim Bunga (‘Spring’).

Musim bunga bermula bermaksud musim sejuk telah berakhir. Di sini, mulanya musim bunga adalah pada akhir Februari atau awal Mac. Tanda – tanda bermulanya musim bunga di UK, atau lebih khususnya di Dundee ini ialah, tumbuhnya sejenis bunga liar yang berwarna ungu atau kuning dikenali sebagai bunga Crocus. (‘Crocus spp’). Bunga ini adalah bunga yang penulis sendiri lihat dengan mata kepala penulis sendiri dan ia memang tumbuh meliar berdekatan dengan rumah penulis.

Tapi ada pernah penulis bertanya kepada salah seorang kenalan Mat Salleh di sini, dia memberitahu bahawa salah satu tanda musim bunga bermula ialah apabila Matahari telah keluar. Penulis agak terkejut dengan jawapan itu, sedang Matahari memang sentiasa ada. Tapi lama kelamaan penulis faham apa yang dimaksudnya. Perubahan musim tiba – tiba berlaku. Di mana keadaan Matahari yang memancar lebih terik dan bahangnya lebih dirasai berbanding semasa musim sejuk.





Crocus spp

Pada permulaan musim bunga, suhu sekitar akan mula meningkat. Ada dalam sekitar 5 hingga 20 darjah celcius. Dan seterusnya suhu boleh mencecah sehingga 25 darjah celsius.

Tumbuh – tumbuhan mula mengeluarkan daun dan berputik. Selama lebih kurang tiga bulan tidak aktif. Keadaan persekitaran mula kelihatan segar dan cantik berbanding keadaan musim sejuk yang agak suram.

Pelbagai bunga dengan pelbagai warna kelihatan.

Daffodils (Narcissus spp) atau dipanggil sebagai ‘spring-flowering’ kerana ia tumbuh ketika musim bunga sahaja.

Tempoh masa siang juga semakin lama dengan Matahari terbenam semakin lambat dan Matahari terbit semakin cepat.

Perhatikan gambar – gambar di bawah serta masanya.

Gambar diambil pada akhir bulan March 2009 dan akhir bulan April 2009.




Gambar diambil pada awal bulan Mei 2009 – Matahari sudah malu untuk terbenam.




Orang ramai sudah mula tidak memakai sarung tangan, skaf, baju atau jaket sejuk dan juga penutup kelapa. Namun bagi penulis, sarung tangan dan penutup kepala masih perlu walaupun musim bunga sudah bermula, kesejukan masih terasa, angin sejuk masih bertiup.

Namun lama – kelamaan apabila masa siang tempoh masanya semakin lama, suhu sekitar lebih meningkat, peralihan musim daripada musim bunga masuk ke musim panas, orang di sini akan mula berpakaian ala – ala seperti Malaysia.

Cuaca dan iklim ketika musim bunga di sini, cerah tetapi berangin, berawan dan kadangkalanya hujan. Perkataan seperti ‘gales’ (angin ribut bertiup kencang), ‘mild wind’ (angin yang bertiup lembut) akan kedengaran ketika mendengar ramalan cuaca di televisyen. Cuaca akan menjadi lebih baik dengan pancaran cahaya Matahari yang orang di sini gambarkan sebagai ‘a very nice, bright and sunny day’ (hari yang baik, terang dan ada pancaran cahaya Matahari).

Dalam musim ini juga, Matahari akan dilihat terbit lebih cepat antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi dan Matahari terbenam antara pukul 7.30 petang hingga 8.30 malam.

Dalam musim bunga ini juga, waktu akan dianjakan cepat satu jam berbanding waktu UTC (‘Coordinated Universal Time’). Waktu berubah pada hari Ahad terakhir bulan March. Ini dikenali sebagai Waktu Musim Panas Britain (‘British Summer Time’). Kalau dibandingkan dengan Malaysia, perbezaannya tempoh masa menjadi 7 jam dan bukan 8 jam bagi waktu yang bukan waktu musim panas Britain. Untuk lebih lanjut, sila rujuk artikel Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 2 sebelum ini.

Perhatikan jadual solat Bulan Mac 2010 – musim bunga di bawah yang dikeluarkan oleh Masjid Utama di Dundee. Lihat pada perubahan waktu solat terutama waktu masuk solat Subuh, Matahari terbit menunjukkan siang yang semakin cepat. Lihat juga pada waktu masuk solat Maghrib yang menunjukan Matahari lambat terbenam yang menunjukkan malam semakin pendek.

Lihat juga pada tarikh 27 Mac dan 28 Mac (hari Ahad terakhir bulan Mac) yang mana berlaku perubahan waktu. Anjakan waktu ke hadapan sebanyak 1 jam menandakan bermulanya Waktu Musim Panas Britain (‘British Summer Time’).

Jadual solat bulan Mac, hanya ditunjuk 15 hari terakhir – bulan Mac 2010 yang dikeluarkan oleh Masjid Utama di Dundee.

Musim bunga adalah musim di mana aktiviti berkebun bermula. Kebanyakan orang putih di sini memang minat untuk berkebun. Orang ramai akan mula menyedia dan membeli peralatan dan bahan – bahan untuk berkebun. Bagi mereka aktiviti ini perlu dilakukan kerana tidak akan ada masa lain untuk melihat bunga – bunga berkembang dengan cantik dan indah, hanya pada masa musim ini sahaja.

Musim bunga akan berlarutan selama lebih kurang tiga bulan sehingga akhir Mei.

Musim Panas (‘Summer’).

Musim ini bermula apabila memasuki bulan Jun sehingga bulan Ogos. Matahari akan memancar dengan lebih terik. Suhu meningkat mendadak sehingga mencapai 35 darjah celcius. Kalau nak dikatakan, ada ala – ala cuaca di Malaysia cuma bezanya ialah keadaan siang yang lebih panjang iaitu selama 17 jam. Matahari terbenam semakin lambat dan Matahari terbit semakin cepat. Adakalanya boleh nampak dua keadaan langit dalam satu masa, keadaan malam siang sekaligus. Kalau ditoleh pada ufuk Timur, kelihatan hari mula cerah dan ditoleh ke ufuk Barat, hari masih agak gelap. Cuaca akan menjadi lebih panas dan kurang hujan.

Disebabkan oleh cuaca yang lebih bahang dan panas, cara pemakaian mereka juga turut berubah. Orang – orang di sini akan mula memakai pakaian yang lebih nipis, ringkas dan lebih santai. Kalau nak kata, lebih sedikit kain di badan adalah lebih selesa!.

Perhatikan gambar – gambar di bawah serta masanya.
Gambar yang diambil pada awal bulan Jun, akhir bulan Jun dan Julai.





Suatu keadaan yang mana tidak berlaku di Malaysia, keadaan malam seperti senja.

Ya, musim panas ini kedai – kedai yang menawarkan produk seperti kipas dan penghawa dingin akan dikunjungi oleh pembeli. Orang di sini perlukan semua ini memandangkan pada waktu malam juga terasa bahang Mentari pada siang hari yang ketidakhabisan.

Tambahan dengan tempoh malam adalah amat pendek. Tingkap – tingkap di rumah akan sentiasa dibuka mengharapkan angin bertiup masuk ke dalam rumah untuk memberi keselesaan. Kalau hendak berpeluh musim panas ini adalah masa sesuai untuk berpeluh kerana kita masih berpeluh walaupun tidak berbuat aktiviti fizikal dan kadang kala berpeluh walaupun berada di dalam rumah.

Selain itu, di rumah, penulis perlu mengantung tirai gelap pada tingkap untuk menghalang cahaya Matahari memasuki rumah. Memandangkan keadaan yang kurang gelap sukar bagi keluarga penulis terutama anak – anak untuk melelapkan mata dan menyebabkan cepat bangun pada waktu pagi kerana keadaan telah terang seawal pukul 4.00 pagi.

Kedai – kedai makan akan meletakkan kerusi dan meja mereka di luar kedai. Sama seperti kedai mamak – mamak di Malaysia meletakkan meja kerusi mereka di atas jalan raya, cuma di sini lebih terkawal.

Pelbagai aktiviti luaran mula dilakukan pada musim panas ini, seperti berbasikal, bermain di taman permainan, bersiar – siar dan segala aktiviti yang sewaktu dengannya.

Pada musim panas ini, kebanyakan orang di sini memilih untuk menghabiskan masa dengan pergi bercuti, tambahan dengan mulanya cuti persekolahan pada awal bulan Julai. Antara aktiviti yang dilakukan ialah melancong, yang mana lebih melibatkan pelancongan dan beraktiviti melibatkan air, lepak atau ‘sunbathing’ di tepi pantai, berkhemah di dalam ‘caravan’ (kontena yang ditarik oleh kereta).

Bagi pelajar – pelajar di sini, masa terluang cuti sekolah banyak dihabiskan dengan menyertai perkhemahan musim panas (‘summer camp’). Selain itu mereka dibawa melawat tempat – tempat menarik seperti taman - taman tema, hidupan liar dan sebagainya.

Ketika musim panas ini juga antara aktiviti riadah popular ialah ‘Farm Picking’ (Memetik buah di ladang buah). Aktiviti ini melibatkan aktiviti rekreasi memetik buah Beri seperti strawberi, rasberi, blueberi, dan lain – lain jenis beri lagi. Seronok dilakukan kerana kita boleh memetik buah beri tersebut daripada pokoknya yang sememangnya enak dimakan sejurus selepas dipetik.



Buah strawberi yang berjaya dipetik penulis.

Kemudian, aktiviti ‘Barbeque’ juga amat popular. Tidak kira di mana diadakan, ini adalah masa yang tidak boleh dilepaskan untuk meluangkan masa dengan keluarga atau kawan – kawan. Belakang rumah juga menjadi pilihan, ‘barbeque’ set wajib dimiliki dan makanan yang enak pasti menjadi santapan.

Untuk makluman pembaca, kebanyakan tempat – tempat pelancongan menarik akan dibuka dengan tawaran pakej – pakej menarik yang pasti mengujakan. Semua hotel – hotel akan penuh ditempah oleh pelancong – pelancong.

Nanti kalau ada masa penulis ingin berkongsi dengan pembaca mengenai beberapa tempat yang penulis pernah pergi sepanjang penulis berada di luar negara ini.

Cuaca dan iklim ketika musim panas di sini, cerah dan terik tetapi berangin. Di sini, tidak kira musim, angin tetap bertiup memandang lokasi Dundee yang berdekatan dengan muara sungai iaitu Sungai Tay. Dan jarang sekali hujan. Perkataan seperti ‘sunny and bright day’ (hari yang baik, terang dan ada pancaran cahaya Matahari), ‘perfect day’ (hari yang bagus), dan sebagainya yang menggambarkan baik menjadi sebutan ketika laporan ramalan cuaca di televisyen. Orang di sini sangat suka cuaca yang cerah, terang dan panas.

Penulis juga suka musim panas ini. Satu kerana tidak perlu mengena pakaian yang tebal – tebal untuk keluar rumah. Berbanding musim sejuk terutamanya, untuk mengenakan ‘pakaian lengkap’ untuk keluar perlu mengambil masa sehingga 15 minit. Musim panas boleh mengenakan pakaian santai ala Malaysia. Namun musim panas, agak sukar untuk melelapkan mata pada malam hari kerana siang cepat dan lama serta panas cuaca sekitarannya.

Dalam musim ini juga, Matahari akan dilihat terbit lebih cepat berbanding musim bunga iaitu antara pukul 3.45 pagi hingga 4.45 pagi dan Matahari terbenam, tidak terbenam sepenuhnya antara pukul 10.00 malam hingga 10.30 malam.

Musim panas akan berlarutan selama lebih kurang tiga bulan sehingga akhir Ogos.

Bersambung .... musim luruh dan musim sejuk.

Wednesday, 10 March 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 2

Musim dan Masa

Di sini, musim mempengaruhi masa di sini. UK mengalami 4 musim. Perbezaan masa antara Malaysia dan UK ialah 8 jam dan ada ketikanya 7 jam. UK terletak di Latitud 0°. Ini bermaksud UK menjadi titik tengah penentuan masa di bumi ini. Negara yang berada mengarah ke kanan UK, perlu melakukan penambahan masa dan negara yang berada mengarah ke kiri perlu melakukan penolakan masa dalam menentukan waktu.

Titik tengah ini dikenali sebagai ‘Coordinated Universal Time’ singkatannya UTC, yang dulu dikenali ‘Greenwich Mean Time’ (GMT).

Sedikit informasi tentang UTC. Waktu UTC adalah zon masa rujukan (‘standard time zone’) sedunia. Sila klik pautan untuk maklumat lanjut.
pautan 1 – menunjukkan kedudukan UTC dan Zon Waktu Dunia

pautan 2 – menunjukkan kedudukan Greenwich, tarikh dan waktu semasa beberapa tempat seluruh dunia.

UTC terletak di Greenwich, England, atau lebih mudah ianya di London. Jikalau kita pergi ke London dan menaiki kapal peranginan atau ‘cruise’ di Sungai Thames, ambil tiket daripada perhentian di Eye of London ke perhentian Greenwich. Pelayaran mengambil masa lebih kurang 1 jam.

Lihat rajah peta di bawah.

Kedudukan London, England dalam United Kingdom.

Kedudukan Bandar London (A) – Greenwich (B) dalam peta Google Map.

Keadaan perbezaan 8 jam dengan Malaysia berlaku pada musim luruh dan musim sejuk. Keadaan perbezaan 7 jam dengan Malaysia berlaku pada musim bunga dan musim panas.
Disebabkan oleh Bumi berputar dari sebelah barat ke sebelah timur, maka kalau dilihat pada glob Bumi, Malaysia akan mendahului waktu berbanding UK.

Kita ambil satu tarikh. Katakan Malaysia pukul 10.00 pagi atau jam 1000, 1 Mac 2010, di UK baru pukul 2.00 pagi atau jam 0200, tarikh dan hari yang sama.


Ini dipengaruhi oleh tempoh masa penerimaan cahaya matahari oleh UK. Keadaan perbezaan 7 jam antara Malaysia dan UK ini dikenali sebagai Waktu Musim Panas Britain (‘British Summer Time’).


Waktu Musim Panas Britain bermula pada pagi hari (jam diperbetulkan pada tengah malam) Ahad terakhir bulan March, apabila UTC menunjukkan pukul satu pagi dan tamat pada pagi hari Ahad bulan Oktober, apabila UTC menunjukkan pukul satu pagi.

Waktu Bukan Musim Panas Britain (perbezaan tempoh masa dengan Malaysia ialah 8 jam) adalah selama 5 bulan bermula November hingga Mac, manakala Waktu Musim Panas Britain (perbezaan tempoh masa dengan Malaysia ialah 7 jam) mengambil masa 7 bulan bermula bulan April hingga Oktober.

Untuk maklumat lanjut sila klik di sini.

Ramai orang tahu, bahawa United Kingdom mengalami 4 musim iaitu musim luruh, musim sejuk, musim bunga dan musim panas. United Kingdom terletak di hemisfera utara bumi. Musim luruh berlaku pada bulan September, Oktober dan November. Musim sejuk pada bulan Disember, Januari dan Februari. Diikuti musim bunga pada bulan Mac, April dan Mei. Akhir sekali musim panas pada bulan Jun, Julai dan Ogos.

Apabila menuju musim sejuk, waktu malam akan menjadi lebih cepat dan tempoh masa malam menjadi semakin lama, manakala tempoh masa siang menjadi semakin singkat. Waktu matahari terbenam pada ketika puncak musim sejuk ini adalah lebih kurang pada jam 1530 dan waktu matahari terbit adalah lebih kurang pada jam 0845. Keadaan siang hanya 7 jam dan keadaan malam 17 jam.

Musim sejuk – malam menjadi semakin cepat. Sila lihat tarikh dan masa yang tercatat.

Apabila menuju musim panas, waktu malam akan menjadi lebih lambat dan tempoh masa malam menjadi semakin singkat, manakala tempoh masa siang menjadi semakin lama. Waktu matahari terbenam pada ketika puncak musim panas ini adalah lebih kurang pada jam 2210 dan waktu matahari terbit adalah lebih kurang pada jam 0330. Keadaan siang menjadi 18 jam dan keadaan malam hanya 6 jam.

Gambar 1

Gambar 2

Musim panas – malam menjadi semakin lambat (gambar 1).
Keadaan di mana malam masih kelihatan seperti waktu senja (gambar 2).
Sila lihat tarikh dan masa yang tercatat.

Sila rujuk pautan pautan untuk keterangan lanjut bagaimana kejadian 4 musim berlaku. Klik di sini.

coretan : naimoiman