Sunday, 18 December 2022

PASUKAN BOLA BALING/SABER HANDBALL TEAM 2022 P11 – K21

Kejohanan Bola Baling Terbuka Kulai kali ke 7.... banyak pengalaman yang dikutip di sini.

Aktiviti : 
Kejohanan Bola Baling Terbuka Kulai kali ke 7 - P16 dan P11
Kategori : Perempuan bawah 16 tahun dan 11 tahun
Tarikh : 12-13 Disember 2022 (Isnin - Selasa)
Tempat : Arena Sukan Kulai (Kulai Sport Arena)
Anjuran : Persatuan Bola Baling Kulai

Kejohanan yang banyak kenangan dan pengalaman yang mengajar pasukan untuk menjadi lebih matang.

Bertolak ke Kulai dari sekolah rendah dengan menaiki bas JHT (lawa bas nyer) pada jam 1.00 tgh. Dipandu oleh Encik Hairul secara berhati – hati agar tiba ke destinasi dengan selamat. Tiba di Kulai dalam jam 7.00 mlm dan terus melihat gelanggang di Arena Sukan Kulai. Setelah itu terus makan malam di Sutera Tomyam berdekatan Homestay di Bandar Putra, Kulai. 10 minit perjalanan dari Homestay ke Arena Sukan Kulai.

Kejohanan terbuka berlangsung sebelumnya selama 2 hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Itu untuk kategori terbuka lelaki dan perempuan. 12 Disember 2022 merupakan kejohanan untuk kategori 16 tahun ke bawah. Tiba masa untuk SABER HT P16 beraksi.



Pemain dalam Pasukan Bola Baling SABER HT :
P16
Cikgu Azmi, Najwa, Syazana, Dini, Farisha, Hawa, Aien, Batrisyia, Elly, Cikgu Aisyah
Jannah, Damia, Qistina, Isma, Alya, Farhana, Cikgu Adda

Saber HT P16 diundi dalam kumpulan W bersama dengan Kerabat HC (Melaka), SMS Tuanku Aishah Rohani (Seremban) dan Wildcats HC (Ampang). Meletakkan sasaran untuk menang 2 perlawanan bagi melayakkan diri ke peringkat kalah mati.

Perlawanan sulung menzahirkan gementar, memberi tentangan yang sengit dan akhirnya akur dengan kekalahan 2-6 kepada SMS Tuanku Aishah Rohani. Memperbaiki persembahan dan menyusun atur semula posisi pemain, corak permainan yang menarik dipertontonkan apabila melawan pasukan Kerabat HC dari Melaka, akhirnya tewas 8-11. Terus menunjukkan peningkatan dalam perlawanan ketiga namun akur dengan Wildcats HC 1-4. Tahniah kepada pasukan P16, anda telah menunjukkan satu kesungguhan dan usaha yang sangat membanggakan. Kita akan datang dengan lebih kuat pada masa akan datang. Terus kekal dengan SABER HT dan siapa yang menguatkan SABER HT, adalah pemain – pemain yang menganggotaikan pasukan itu sendiri.

13 Disember 2022, kini giliran SABER HT JR untuk menunjukkan bakat dan cara permainan bola baling yang sebenar.


Pemain dalam Pasukan Bola Baling SABER HT JR :
P11
Cikgu Aisyah, Amira, Lailatul, Farisya, Lidiya, Adelia, Syasya, Cikgu Azmi
Cikgu Adda, Alya, Arissa, Filzah, Rusydah, Rayyanah, Aulia

Tahniah. Menjadi Johan kumpulan apabila menang dalam 3 perlawanan peringkat kumpulan. Diundi dalam kumpulan G. Menang ke atas Mutiara HC (Johor) dengan jaringan 4-1. Mengatasi Semechu (Johor) 4-3 dan menang ke atas Bera HC (Pahang) dengan jaringan 5-2. Alhamdulillah. Para pemain telah berjaya menterjemah apa yang mereka pelajari dan berlatih dalam latihan selama 3 bulan sebelum ini. Dari segi ketenangan, perkara asas baling dan tangkap, mengubah permainan, bijak dan cepat membuat keputusan, hubungan ‘chemistry’ antara pemain, nak dikatakan hampir sempurna.

Tahniah, terus mara ke peringkat suku akhir, menantikan pemenang pasukan di peringkat 16, antara PBBD Kulai Young Angelz dan Kreep Warriors. Akhir PBBD Kulai Young Angelz menjadi pemenang yang ditentukan menerusi penentuan balingan penalti. 

Hanya berstatus pasukan sekolah dan para pemain datang daripada sekolah yang sama, memberi saingan sehinggakan separuh masa pertama berjaya mendahului 3-0. Mungkin gerun dan risau apabila ketinggalan 0-3, pihak lawan terus ‘mengganggu’ emosi pengadil dan juga pemain. Akhirnya waktu penuh berkesudahan 3-3, pemenang ditentukan dengan penentuan balingan penalti. Akur dengan kekalahan 0-1.
  
Berlatih dan terus berlatih. Kita pasti akan juara suatu hari nanti.

Pihak pengurusan pasukan amat – amat berterima kasih dengan ibu bapa / penjaga para pemain SABER yang sentiasa memberikan kerjasama dan komitmen tinggi untuk membenarkan anak – anak mereka bermain. Hanya tuhan yang membalas kebaikan tuan dan puan. Teruskanlah menyokong pasukan ini sehingga terus mencapai kecemerlangan.

Semangat mara untuk juara...

**Pengalaman yang sangat berguna diperoleh pemain di Kejohanan Bola Baling Terbuka Kulai kali ke-7 ini. Ini kejohanan mereka dan kita perlu menjaringkan sebanyak mana jaringan yang boleh. Agar kemenangan mutlak boleh dicapai. Tiada sesiapa yang boleh persoal sama ada penganjur ataupun pengadil perlawanan. Kurangkan kesilapan mudah dan kecil.

Saturday, 17 December 2022

PASUKAN BOLA BALING SK TAMAN 2022 L11 – K20

Inilah perlawanan persahabatan pertama dan kejohanan pertama Pasukan Bola Baling Lelaki Bawah 11 tahun SK Taman Kosas. 

Aktiviti : 
NATIONAL SPORTS DEVELOPMENT CARNIVAL (SPODEC)’ 2022 - Pertandingan Bola Baling L11
Kategori : Lelaki bawah 11 tahun
Tarikh : 06-07 Disember 2022 (Selasa-Rabu)
Tempat : Arena Sukan, UNITEN, Bangi
Anjuran : Unit Kokurikulum SK Putrajaya Presint 9 (2)

Harinya sudah tiba. Kali ini, malah pertama kali, setelah dibentuk bermula pada bulan Oktober 2022, giliran pasukan lelaki Bawah 11 yang membawa nama SK Taman Kosas (SEKOSAS) yang akan berentap dalam kejohanan pertama mereka yang dikenali sebagai ‘NATIONAL SPORTS DEVELOPMENT CARNIVAL (SPODEC)’ 2022 - Pertandingan Bola Baling L11.

SPODEC ini menfokuskan kepada pembangunan sukan bawah umur 10 dan 11 tahun. 3 jenis sukan yang terlibat iaitu sukan Bola Jaring, Bola Tampar dan Bola Baling. Tarikh kejohanan yang sepatutnya bermula pada 5 Disember 2022, ditangguhkan kepada 6 Disember 2022 kerna murid sekolah agama tahun 5 menduduki kertas ujian peperiksaan UPKK pada 5 Disember 2022. Penangguhan berpunca daripada cuti umum kemenangan pilihanraya ke 15 pada 28 November 2022 – tarikh sepatutnya UPKK bermula, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke sepuluh.



Pemain dalam Pasukan Bola Baling Sekosas L11 :
Cikgu Aisyah, Harraz, Zharif, Cikgu Azmi, Atiff, Rifqi, Rayyan, Cikgu Adda
Asyraf, Aizzat, Nafis, Albi, Abu, Alif, Affan

Diundi dalam kumpulan C yang terdiri daripada Sekosas, Cempaka International School, SK Seksyen 7 dan SK Desa Pinggiran Putra.

Keputusan perlawanan adalah tidak mengecewakan. Tewas 1-7 kepada pasukan Cempaka International School (pemain – pemain bersaiz besar dan gemuruh tidak boleh dihindar). Tewas 6-10 dengan SK Seksyen 7 (para pemain mula mendapat rentak), dan akhirnya berjaya meraih kemenangan 5 – 3 dengan SK Desa Pinggiran Putra (pasukan berjaya mendapat corak dan rentak permainan yang sesuai). Secara keseluruhan, 1 menang 2 tewas, berjaya menghasilkan 12 biji gol dan 20 bolos, dengan defisit gol -8, tahniah!!!. Selepas ini perlu jaring banyak gol dan kurangkan bolos. 3 buah pasukan iaitu Sekosas, SK Seksyen 7 dan SK Desa Pinggiran Putra meraih mata yang sama iaitu 2 mata, namun SK Desa Pinggiran Putra mara ke pusingan kalah mati kerna mereka mendapat defisit gol yang paling sedikit iaitu -3, Sekosas tempat ketiga dengan defisit gol -8 dan SK Seksyen 7 keempat dengan defisit gol -10.

Pertandingan Bola Baling L11 SPODEC ini telah dijuarai oleh Cempaka International School, Naib Johan adalah SK Desa Baiduri, tempat ketiga ialah SK Taman Dato Harun dan keempat adalah SK Tasik Puteri 2. Tahniah.
 
Berlatih dan terus berlatih. Kita pasti akan juara suatu hari nanti.

Pihak pengurusan pasukan amat – amat berterima kasih dengan ibu bapa / penjaga para pemain Sekosas yang sentiasa memberikan kerjasama dan komitmen tinggi untuk membenarkan anak – anak mereka bermain. Hanya tuhan yang membalas kebaikan tuan dan puan. Teruskanlah menyokong pasukan ini sehingga terus mencapai kecemerlangan.

Semangat mara untuk juara... Minat dan sayang akan sukan bola baling.

Friday, 16 December 2022

PASUKAN BOLA BALING/SABER HANDBALL TEAM 2022 U12 – K19

Akhirnya...

Aktiviti : Pertandingan Bola Baling 5 Sebelah, Karnival Sukan Taman Dagang Jaya
Kategori : Perempuan bawah 12 tahun/Lelaki bawah 12 tahun
Tarikh : 24 Oktober 2022 (Isnin)
Tempat : Gelanggang Futsal, Taman Dagang Jaya
Anjuran : Persatuan Penduduk, Taman Dagang Jaya





Pemain dalam Pasukan Bola Baling SABER HT :
L12
Faris, Dziyad, Acap, Khalif, Irfan
Yusrizal, Rayyan, Irfan

P12 
Adelia, Farisya, Farisha, Laila
Lidiya, Rayyanah (Kecik), Arissa
Madina (tiada dalam gambar)
Norazmi bin Mohamed (Jurulatih)

Pertandingan ini dijadikan sebagai medium untuk ‘menambah pengalaman’ da mematangkan permainan. Dengan hampir sepenuhnya dibarisi oleh para pemain P11, SABER HT Jr (P12) mampu menjadikan pasukan ini sebagai pasukan yang digeruni. Hanya melibatkan 4 pasukan dan bermain secara liga, SABER HT Jr P12 berjaya meraih 2 kemenangan dan 1 kekalahan. Tewas 11 – 12 kepada Wildcats HC (SBU), menang 12-3 ke atas Wildcats Jr HC (SBU) dan menang 15-5 ke atas Hawkeye (SK Lembah Keramat). Alhamdulillah berjaya menjadi johan dalam pertandingan ini.

Bagi SABER HT Jr (L12) pula, pasukan ini berjaya menjadi naib johan. Meraih 2 kemenangan dan tewas 1 kali. Menang 14-11 ke atas TDJ dan 17-5 ke atas Wildcats Jr HC (SBU). Tewas kepada musuh tradisi iaitu Wildcats HC (SBU) dengan jaringan 11 gol berbalas 15 gol.

Tahniah... tahniah... tahniah.
  
Berlatih dan terus berlatih. Kita pasti akan juara suatu hari nanti. Demi minat dan sayang akan sukan bola baling ini.

Pihak pengurusan pasukan amat – amat berterima kasih dengan ibu bapa / penjaga para pemain SABER yang sentiasa memberikan kerjasama dan komitmen tinggi untuk membenarkan anak – anak mereka bermain. Hanya tuhan yang membalas kebaikan tuan dan puan. Teruskanlah menyokong pasukan ini sehingga terus mencapai kecemerlangan.

Semangat Mara untuk Juara...

Wednesday, 13 April 2022

AKU SEORANG PENGACARA

Membaca tajuk entri kali ini, macam gah sahaja. Namun setakat ini hanya mengacara majlis – majlis kecil di peringkat sekolah. Pandang lebih jauh untuk keluar dari zon selesa, mencabar diri untuk mengacara majlis – majlis luar.



Sudah terlibat dengan bidang pengacaraan bermula daripada peringkat universiti sehinggalah sekarang. Apabila memasuki alam pendidikan, menawarkan diri untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman sebagai pengacara dalam majlis – majlis anjuran sekolah.

Alhamdulillah, setakat ini telah mengacara beberapa majlis perkahwinan atas jemputan rakan – rakan dalam bidang yang sama iaitu pendidikan.

Diri ini tidaklah sehebat mana, cuba ingin mencari pengalaman baru dan menguji diri mengendalikan majlis yang lebih besar dan mencabar.

Jika ada yang berminat untuk mendapat khidmat saya, boleh hubungi saya di talian 013-2795903. Cikgu Azmi.

Tuesday, 1 March 2022

PASUKAN BOLA BALING/SABER HANDBALL TEAM 2022 – K18

Yang penting lawan dulu...

Aktiviti : Kejohanan Bola Baling Selangor
Kategori : Perempuan bawah 17 tahun
Tarikh : 28 Feb 2022 – 01 Mac 2022 (Isnin-Selasa)
Tempat : Sport Planet, Ampang

Anjuran : BBA Handball Club, Persatuan Bola Baling Selangor


Pemain dalam Pasukan Bola Baling SABER U17, dari depan :
Qistina, Azeeqa, Aien, Farhanah
Batrisyia, Hawa, Najwa, Wardinah,
Zeti, Rasyina, Dini, Elli, Aina, dan Dania (Penjaga Gol, tiada dalam gambar)
Norazmi bin Mohamed (Jurulatih) dan Puan Putri (Pengurus pasukan)

Ini kejohanan pertama kita di bawah nama PASUKAN BOLA BALING SABER. Dan ini merupakan kejohanan pertama sebagai jurulatih pasukan berstatus bukan pasukan sekolah, setelah hampir 2 tahun tidak melatih mana – mana pasukan akibat daripada pandemik Covid-19 tahun 2020 dan 2021. 

Hanya berkumpul dan berlatih selama 3 hari, kekangan masa dan terikat ketat dengan SOP yang ada. Dengan sedikit ilmu dan pengalaman, penyertaan kali ini dengan tidak meletakkan sebarang sasaran. Lebih kepada menimba pengalaman untuk mencari ‘chemistry’ antara pemain – pemain. Dengan gabungan beberapa pemain dari 4 buah sekolah, pasukan yang dibentuk sedikit berjaya mengembalikan kemahiran individu yang pastinya sudaj berkarat terpendam selama 2 tahun.

Diundi dalam kumpulan ‘penuh cabaran’, bersama – sama dengan pasukan Lake Garden (Taman Tasik), Golden Eagle (Lembah Keramat-Cikgu Nawawi) dan BBA Wildcats (Cikgu Hafiz). Pasukan – pasukan ini adalah pasukan yang dikategorikan sebagai pasukan kawan – kawan.

Keputusan perlawanan adalah tidak mengecewakan. Tewas 3-6 pasukan Lake Garden (faktor utama adalah gemuruh dan kurang stamina), menang 9 – 3 dengan Golden Eagle (para pemain beraya mempraktikkan taktikal yang diterapkan), dan tewas 1 – 4 dengan BBA Wildcats atas faktor kurangnya latihan, stamina dan pengalaman. Secara keseluruhan, 1 menang 2 tewas, berjaya menghasilkan 13 biji gol dan 13 bolos, tahniah!!!. Selepas ini perlu jaring banyak gol dan kurangkan bolos.
  
Berlatih dan terus berlatih. Kita pasti akan juara suatu hari nanti.

Pihak pengurusan pasukan amat – amat berterima kasih dengan ibu bapa / penjaga para pemain SABER yang sentiasa memberikan kerjasama dan komitmen tinggi untuk membenarkan anak – anak mereka bermain. Hanya tuhan yang membalas kebaikan tuan dan puan. Teruskanlah menyokong pasukan ini sehingga terus mencapai kecemerlangan.

Semangat membara, usaha, juara...

**Bersedia untuk kejohanan yang seterusnya... berlatih dan terus berlatih. Bukan apa, ini semua atas dasar minat yang mendalam kepada sukan bola baling.

Wednesday, 19 January 2022

TERRARIUM HIASAN : HOBI YANG MENYERONOKKAN

Bermula dari kelas terus tertawan dengan terarium hiasan ini. Rasa seronok dan menggembirakan apabila menghasilkan terarium ini. Dari peringkat mencari, membeli bahan – bahan yang diperlukan sehingga siap terarium ini, semua langkah – langkah sangat – sangat menyeronokkan.

Bahan  dan peralatan yang diperlukan untuk menghasilkan terarium hiasan ini ialah bekas lutsinar, batu kelikir, pasir, tanah (‘potting soil’), batu hiasan dan tumbuhan yang sesuai atau tumbuhan pilihan.

Awalnya, bersihkan dahulu bekas lutsinar. Dasar bekas, kemudiannya dimasukkan batu kelikir. Batu kelikir ini bertindak sebagai tempat penyimpanan air bagi tumbuhan. Lapisan kedua ialah pasir dan seterusnya ialah tanah lapisan yang ketiga. Lapisan tanah lapisan yang paling banyak berbanding lapisan batu kelikir dan lapisan pasir.

Tanam tumbuhan yang dipilih pada bahagian tengah tanah. Bagi kali ini, kita gunakan tumbuhan yang dikenali sebagai Epipremnum/Sirih Gading/‘Devil’s Ivy’/Pokok Duit - duit yang membiak melalui batangnya.  Selepas itu, tambah sedikit tanah untuk menutup lubang menanam tumbuhan tadi. Sebagai hiasan, di atas tanah boleh disusun lapisan batu hiasan berwarna putih.






Terarium ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai cenderahati/'door gift' bagi majlis - majlis keraian, keramaian seperti majlis perkahwinan, cenderahati VIP, cenderahati pemceramah, hadiah iringan, majlis - majlis graduasi, hadiah murid, hadiah hari guru, hadiah untuk orang tersayang, hantaran dan sebagainya. Jika ada yang nak tempah boleh hubungi saya Encik Azmi di talian 0132795903.

Jom... jom beli

Terarium Hiasan NKW...

Stok bersedia untuk dijual



Saiz Bekas Kaca
Besar : Tinggi 10 cm
Kecil Tinggi 5 cm

A. Terarium Paku Pakis dan Lumut
Kecil : RM13
Besar : RM17

B. Terarium Sukulen (Pelbagai jenis)
Kecil : RM15
Besar : RM20

C. Terarium Epipremnum/Pokok Sirih Gading (1 jenis tumbuhan setakat ini)
Kecil : RM9
Besar : RM13




Saiz Bekas dan C. Terarium Epipremnum/Pokok Sirih Gading



A. Terarium Paku Pakis dan Lumut





B. Terarium Sukulen (Pelbagai jenis)

Saturday, 15 January 2022

TEMPAT MAKANAN UNIK (SARAPAN) : RESTORAN THE JAMBATAN, KG. PANDAN

Pagi – pagi pergi cari sarapan. Ajak satu keluarga keluar ‘memburu’ tempat makan. Terus pergi menuju ke Restoran Sri Suasana di Sri Ampang Hilir. Kenapa nak ke sana? Sebab tertonton video 5 tempat menarik sarapan di Ampang, mencadangkan restoran ini. Katanya ada roti canai yang sedap dan garing di sini. Namun tak sempat sampai ke restoran, kami tiba di sini, Restoran The Jambatan, Kg. Pandan.


Apa yang uniknya :
Tu, cuba tengok tu. Restoran yang betul – betul terletak di bawah jambatan Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2-Middle Ring Road 2), Kg Pandan. Siapa nak rasa suasana dan pengalaman yang berbeza makan di bawah jambatan, ini tempat yang unik yang boleh kita lawati. Selain itu, restoran ini juga buka sehingga jam 12.00 tgh malam kerna di sekelilingnya terdapat kiosk – kiosk makanan (yang diperbuat daripada kontena) yang menawarkan makanan tom yam, makanan indonesia dan dim sum. Dari segi kebersihan, memang tip top.





Ulasan makanan (‘Food Review’) :
Banyak makanan dalam menunya. Sempat mencuba roti bakar telur goyang + kacang panggang (rotinya besar) yang dihidang bersama kaya dan mentega, nasi lemak dan nasi goreng. Air pula sempat mencuba nescafe tarik, teh O, teh O ais dan milo. Di sini juga ada disediakan makanan ubi rebus.

Daripada markah 10, saya bagi 8/10 untuk Restoran The Jambatan ini.

Menu dan harga (ditawarkan di blog ini) :
Berpatutan. Tadi jumlah yang perlu dibayar ialah RM44.00. Menunya yang dimakan, roti bakar telur goyang + kacang panggang, roti bakat telur goyang, nasi goreng, nasi lemak 2, nescafe tarik, teh O, teh O ais, milo ais dan air kosong 3. Di pintu gerbang untuk masuk ke restoran ini, terdapat banting yang memaparkan menu makanannya.




Lokasi/Masa operasi/Cara menghubungi :
The Jambatan, Lot 108, Kampung Pandan, 55100 Kuala Lumpur
(Bawah Jambatan MRR2 di Kg. Pandan)
7.00 pg – 12.00 tengah mlm
012-697 8988

Informasi tambahan :
Lokasi di Kg. Pandan ini memang terdapat tempat – tempat makanan yang menarik. Kalau ada masa, boleh cuba singgah, dan rasa makanan – makanan yang ada. Juga terdapat kemudahan tandas kepada para pengunjung yang berhajat untuk membuang yang ‘kecil’ sahaja. Lagi satu, terdapat banyak lagi tempat makan yang ada di sini, lain kali kita cuba yang lain pula.