Showing posts with label Anak Sihat. Show all posts
Showing posts with label Anak Sihat. Show all posts

Monday, 19 April 2010

Beberapa fakta mengenai susu badan ibu bagi panduan ibu bapa.

Sebenarnya hampir kesemua ibu dapat mengeluarkan susu yang mencukupi untuk bayi mereka.

Susu badan tidak dapat diukur menggunakan alat-alat yang saintifik, jadi adalah penting untuk anda mengetahui samada bayi anda mendapat susu yang cukup atau tidak.


Di bawah disertakan panduan-panduan yang dapat membantu anda :

Susu badan anda akan 'ada' selepas 2-5 hari bayi dilahirkan. Bayi anda dilahirkan dengan lebihan cecair di dalam tisu-tisunya dan akan dibuang dalam masa 48 jam selepas lahir. Berat akan berkurang 7 - 8 auns. Buah pinggang bayi yang belum matang tidak akan mampu mengawal sejumlah besar cecair ketika ini.

Amaun kolostrum yang kecil (cecair kuning pekat yang keluar sebelum susu 'keluar') adalah sesuai untuk sistem penghadaman bayi baru lahir dan menyediakan antibodi yang penting. Dalam masa 24 jam pertama, anda akan mengeluarkan 37 ml kolostrum. Bayi akan mendapat 7 - 14 ml setiap penyusuan.

Biasanya pada hari kedua atau ketiga, anda akan mula mengeluarkan susu transitional (gabungan kolostrum dan susu matang, berwarna kekuningan).

Bayi anda sepatutnya menyusu dalam tempoh masa selama 10-15 minit. Anda patut mendengar bayi anda sentiasa menelan ketika menyusu.

Bayi yang baru lahir perlu menyusu 8 kali dalam masa 24 jam. Kebanyakan bayi baru lahir akan menyusu 10-12 kali atau lebih. Ini termasuk penyusuan yang panjang dan penyusuan yang pendek. Menyusu setiap 1 ½ - 3 jam sepanjang siang dan setiap 4 jam pada waktu malam. Tetapi jangan sangka bayi anda akan menyusu mengikut jadual 4 jam - bayi anda tidak akan bertambah berat badan. Anda mungkin perlu mengejutkan bayi anda untuk menyusu.

Perhatikan pengeluaran air kencing dan najis bayi. Selain pertambahan berat badan, ini juga pertunjuk yang baik menunjukkan berapa banyak bayi anda menyusu. Untuk beberapa hari selepas lahir, bayi akan membuang najis berwarna gelap. ini adalah najis yang disimpan sejak sebelum kelahiran. Dalam 1 ke 2 hari susu anda mula ada, najisnya akan bertukar warna dan kekerapan.

Ketika peralihan ini, najis akan berwarna keperangan atau kehijauan dan dalam bentuk cair dan tidak terbentuk. Apabila berumur 4 ke 5 hari, dia akan mula mengeluarkan 'najis susu' berwarna kekuningan dan berbiji. Dia patut membuang air besar 2-5 kali sehari dalam masa 24 jam dan mungkin akan membuang air besar selepas setiap penyusuan untuk beberapa minggu pertama. Jika najisnya berkurangan ini bermakna dia tidak mendapat susu yang mencukupi.
Semasa beberapa hari pertama, bayi anda hanya akan kencing 1 atau 2 kali sehari kerana dia hanya menerima kolostrum. Bayi patut kencing 6-8 kali dalam masa 24 jam bila penyusuan badan bermula. Air kencing yang disingkirkan itu sepatutnya pucat, tiada berwarna dan kurang berbau. Air kencing yang gelap menandakan bayi anda tidak mendapat susu yang mencukupi.

Satu cara mudah untuk memastikan bayi anda mendapat susu yang cukup ialah dengan memeriksa berat secara kerap. Adalah biasa untuk bayi kurang berat badan 5-7 % dari berat asal dalam beberapa hari pertama (tetapi jika melebihi 10% perlu pemerhatian).

Anda perlu bertanya berat bayi anda ketika keluar dari hospital kerana ini adalah berat yang perlu anda perhatikan untuk mengira pertambahan berat badannya bukan berat ketika lahir. Contohnya jika berat bayi anda ketika lahir adalah 7 lbs 8 oz. 48 jam kemudian ketika meninggalkan hospital berat bayi anda adalah 7 lbs 1 oz.

Berat bayi patut bertambah 1 auns setiap hari untuk beberapa bulan pertama apabila ia mula menyusu. Kebanyakan bayi akan kembali ke berat ketika lahir dalam masa 2-3 minggu. Untuk melihat peningkatan berat, boleh membuat pemeriksaan selepas 2 minggu. Sepatutnya bayi juga akan mempunyai air kencing dan najis yang elok.

Secara ringkasnya, tanda-tanda yang menunjukkan bayi anda mendapat susu badan yang mencukupi ialah :

• Bayi anda menyusu lapan hingga 10 kali sehari pada dua atau tiga minggu pertama.

• Kulit bayi anda berasa tegang – ia akan memantul semula apabila dicubit.

• Sepatutnya terdapat sekurang-kurangnya enam kali tukaran lampin basah dalam masa 24 jam. (Lebih mudah untuk mengetahui lampin biasa yang basah daripada lampin pakai buang yang basah.) Urin bayi anda akan berwarna jernih dan tidak berbau.

• Kelihatan bayi menelan semasa penyusuan.

• Najis bayi anda berwarna kuning gelap atau sering gelap, atau najis semakin berwarna cerah pada hari kelima selepas kelahiran.

Sumber rujukan : mybengkung, babycenter

Demam Kuning/Jaundis Pada Bayi

Lebih kurang 50% ke 60% bayi yang lahir cukup bulan mengalami demam kuning atau jaundis semasa minggu pertama hingga ke minggu kedua selepas lahir. Ianya kerap berlaku kepada bayi yang lahir tidak cukup bulan. Namun sebenarnya hampir semua bayi baru lahir mengalami jaundis tetapi tidak kelihatan dengan jelas. Pada setengah bayi, ia berlaku sekejap, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau hilang dengan rawatan yang ringkas sahaja. Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian.

Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian mata putih dan kulit berwarna kekuningan. Kesan ini akan dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagian bawah badan. Bayi jaudis juga akan kerap tidur.


# Apakah penyebab jaundis

Jaundis berlaku apabila bilirubin iaitu pigmen yang berwarna kuning berkumpul di bawah kulit. Kadarnya yang tinggi menyebabkan kulit kelihatan kekuningan. Apabila sel darah merah dileraikan, ia menghasilkan bilirubin. Semua darah mengandungi bilirubin dan kebiasaannya akan diproses oleh hati dan disingkir melalui pembuangan najis dan air kencing.

Ketika bayi dalam kandungan ibu, proses ini dilakukan oleh hati ibu. Jadi apabila berada di luar, proses ini mula dilakukan oleh hatinya sendiri. Hati bayi yang belum matang mungkin tidak mampu memproses dan membuang bilirubin dengan pantas sepenuhnya beberapa hari selepas dilahirkan. Ini menyebabkan jaundis terjadi.

Biasa berlaku dari hari pertama ke hari ke 4 mengikut jenis jaundis. Kadarnya akan meningkat sehingga 12mg/dl dan boleh meningkat sehingga 15mg/dl. Jika meningkat sehingga 20mg/dl perlu pengawasan yang rapi dari doktor.

Risiko adalah lebih tinggi untuk bayi mengalaminya jika mempunyai penyebab berikut :
-Bayi lahir pra matang,
-Darah ibu dan bayi yang berlainan,
-Mempunyai adik beradik yang menghidap jaundis,
-Mempunyai kesan lebam ketika lahir (sel-sel darah merah ini adalah sebahagian dari lebam yang diuraikan dan menjadi bilirubin sebahagian kumuhan),
-Etnik Asia,
-Penggunaan oxytocin ketika proses kelahiran.

# Jenis-jenis jaundis

Adalah penting untuk mengenali jenis-jenis jaundis. Setiap jenis jaundis menyebabkan kesan dan mempunyai rawatan yang berbeza.

Jaundis Normal/Physiologic
Biasa terjadi kepada bayi baru lahir. Kadarnya adalah lebih tinggi berlaku pada etnik tertentu seperti Cina, Jepun, Korea (Asia). Bayi yang kurang menyusu beberapa hari selepas dilahirkan dan tidak kerap membuang air besar juga mudah mendapat jaundis. Apabila bilirubin berkumpul di dalam najis bayi dan tidak dibuang, ia akan beredar kembali ke sistemnya. Kekerapan membuang najis dapat merendahkan tahap bilirubin.

Mula kelihatan selepas hari 2 - 4 selepas lahir dan biasanya hilang sendiri selepas 1 ke 2 minggu.

Bagi bayi yang kurang menyusu, ibu perlu mendapatkan nasihat cara dan teknik untuk menyusu bayi dengan betul. Dengan penyusuan yang betul, jaundis akan hilang.

Jaudis Pathologic
Terjadi akibat keadaan perubatan seperti berlainan jenis darah (kerap berlaku), kelahiran pra matang, pembedahan caesarean, infeksi, kerosakan hati akibat rubella, siplis atau toxoplasmosis.

Bagi bayi dan ibu dari jenis darah berlainan kerap berlaku bagi ibu berdarah jenis O atau Rh negatif. Ianya mula dikesan dari hari pertama kelahiran dan meningkat dengan mendadak. Masalah Rh juga pernah menyebabkan demam kuning yang teruk.

Kini ia dapat dielakkan dengan suntikan imunisasi Rh pada ibu dalam tempoh 72 jam selepas kelahiran.

Jaudis Susu Ibu
Ini berkemungkinan dari susu ibu yang terhasil menyebabkan kelewatan atau memanjangkan tempoh membuangan lebihan bilirubin melalui usus. Ia bermula dari hari ke minggu ke 2 dan hilang selepas 3 hingga beberapa minggu atau beberapa bulan kemudian.

Walaupun mendapat susu yang mencukupi bayi masih mendapat jaundis. Jika kadar bilirubin meningkat, doktor anda mungkin menasihatkan untuk memberhentikan penyusuan badan selama 2 ke 3 hari. Dalam masa itu, anda bolehlah memerah susu bagi mengekalkan bekalan susu dan boleh meneruskan penyusuan apabila tahap bilirubin menurun.

# Rawatan

Pemeriksaan akan dibuat dengan menekan kulit bayi atau mengambil darah bayi untuk mengukur tahap bilirubin bayi. Untuk memeriksa sendiri, bagi kulit bayi berkulit cerah, boleh diletakkan di tempat banyak cahaya atau lampu. Tekankan kulit secara lembut dengan jari anda di bahagian hidung, dahi atau dada, jika terdapat kesan kekuningan apabila jari diangkat bermakna bayi anda mengalami jaundis. Bagi bayi berkulit gelap, boleh periksa gusi atau mata putih. Jika tahapnya didapati tinggi, bayi perlu diberikan rawatan.

Biasanya tidak memerlukan rawatan. Jika memerlukan rawatan, rawatan yang dibuat ialah menggunakan phototerapi iaitu menggunakan cahaya. Bayi dibogelkan, mata ditutup dan diletakkan dibawah cahaya 'bililight'. Rawatan ini diteruskan sehingga tahap bilirubin menurun. Kini rawatan ini boleh dilakukan di rumah.

Jika ditahap yang terlalu tinggi, penukaran darah akan dilakukan.
Rawatan Jaundis Normal/Physiologic
Kebanyakan kes jaundis ini tidak memerlukan rawatan phototerapi. Berikut disenaraikan langkah yang boleh dibuat untuk mengelak atau merawatnya.

-Menyusukan bayi dari awal dan dengan kerapnya. Kolostrum akan bertindak sebagai laxative dan kekerapan membuang najis akan merendahkan tahap bilirubin. Perhatikan pengeluaran air kencing dan najis.

-Elakan mengambil air tambahan. Hanya 2% bilirubin keluar melalui air kencing dan 98% keluar melalui najis. Kolostrum dan susu yang mengandungi lemak akan menstimulasikan pergerakan membuang air besar. Jika bayi anda kenyang dengan air dia akan kurang menyusu.

-Galakan bayi anda berjaga dan menyusu setiap 2 jam. Jaundis menyebabkan bayi anda mengantuk.
Jika bayi anda tertidur ketika menyusu badan dan membuang air besar kurang dari 3 kali sehari, cuba perah susu anda menggunakan tangan atau pam. Dan berikan menggunakan cawan, sudu atau picagari (‘syringe’). Jangan menggunakan botol kerana bayi anda akan keliru dengan puting getah ketika peringkat ini.

-Dedahkan kepada cahaya secara tidak terus. Buka pakaian dan diaper dan letak di dalam bilik yang terdapat banyak cahaya. Kulitnya adalah sensitif jangan diletakan secara terus kepada cahaya.

-Elakan ubatan seperti aspirin dan dadah sulfa. Pastikan doktor anda tahu dadah yang anda ambil, jadi anda boleh hentikan atau mencari penganti yang lain jika ubat adalah penyebabnya.

Rawatan Jaudis Pathologic
Bayi perlu mendapat rawatan segera. Penyusuan badan perlu diteruskan. Kolostrum dan susu yang diterima akan membantu pembuangan najis dan mempercepatkan pengeluaran bilirubin. Bayi yang sakit memerlukan lebih susu badan berbanding bayi yang sihat.

Dalam kes tertentu bayi akan perlu menjalani penukaran darah. Ini adalah langkah paling cepat dan perlu jika bayi mencapai tahap tertentu melebihi 26mg/ld. Namun kurang dilakukan kerana proses phototerapi biasanya mujarab. Bayi akan mengantuk dan lemah untuk menyusu. Anda mungkin memerlukan pam untuk memastikan bekalan susu mencukupi untuk bayi anda.

Rawatan Jaudis Susu Ibu
Penyebabnya kurang dapat dipastikan. Bayi boleh diberi susu formula buat seketika. Biasanya tahapnya akan turun dan meningkat semula apabila menyusu badan. Namun anda tidak patut memberhentikan penyusuan badan kerana susu badan adalah susu yang terbaik.

# Adakah ianya merbahaya?

Kebanyakan kes jaundis tidak merbahaya. Namun jika tahapnya adalah tinggi dan dibiarkan tanpa rawatan ia akan menyebabkan kerosakan kekal ke atas sistem saraf. Ia boleh menyebabkan pekak dan pertumbuhan yang lembab dan membentuk cerebral palsy.

Jika bayi anda mendapat jaundis dalam masa 24 jam selepas lahir, ini dianggap serius dan perlu pemerhatian rapi dan rawatan. Ia boleh disebabkan oleh masalh yang serius pada hati, usus kecil dan kelainan intestinal, infeksi atau kelahiran yang trauma atau kelahiran pra matang sebelum 28 minggu.

Bayi yang menghidap jaundis perlu mendapat susu yang cukup untuk mengelak menjadi kekeringan.

# Antara petua lain untuk rawatan jaundis :

1.Jemur bayi di sebelah pagi. Jangan jemur dalam keadaan terlalu panas. Seeloknya dalam pukul 8 sebab belum panas terik lagi. Jika cuaca luar telalu panas nanti baby kita kekurangan air pulak. Tutup mata bayi supaya tak terkena silau .

2.Susukan bayi anda dengan lebih kerap kerana bayi anda akan lebih kerap buang air atau buang air besar yang akan sama-sama keluar dengan kekotora yang ada dalam tubuh mereka.

3.Jika anda mengambil herba atau jamu, hentikan buat seketika sehingga bayi anda sembuh.

4.Anda juga boleh mencuba beri minum susu kambing ( sikit saje ) kerana berapa orang rakan saya yang mencuba kaedah ini sebelum ini memang berkesan.

Sumber rujukan : mybengkung, mysetbersalin

Artikel berkait : Beberapa fakta mengenai susu badan

Sunday, 24 January 2010

Anak kita demam... apa nak buat?

Anak-anak yang sihat boleh dilihat melalui tingkah lakunya dan wajahnya. Tingkah lakunya akan sentiasa aktif, gembira dan wajahnya akan terpancar keceriaan. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang aktif dan banyak bercakap, itu menunjukkan bahawa anak-anak itu sihat, segar dan bugar.

Namun apabila anak-anak kita mula menunjukkan reaksi tidak seperti biasa, itu menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada anak tersebut. Ambil berat dan tanya kepada anak kita, apa yang tidak kena?. Sakit yang selalu dihadapi oleh anak-anak kita ialah demam. Anak-anak kecil memang perlu sentiasa diperiksa tahap kesihatan mereka, kalau tidak diambil perhatian dan tindakan segera akan menyebabkan sesuatu yang lebih mudarat.

Keadaan kesihatan anak yang tidak berapa baik, ada kalanya kita sebagai ibu bapa boleh mengurusnya sendiri, namun jika keadaan tidak beransur baik, cepat-cepat berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Kanak-kanak dan lebih-lebih lagi bayi mudah mendapat demam dan batuk, ini adalah kerana sistem imunnya belum berkembang dan maju sperti orang dewasa.

Sentiasa awasi suhu badan anak ketika demam. Kalau boleh disarankan kepada ibu bapa agar mendapatkan termometer suhu badan di farmasi. Ini sebagai tindakan awal kita untuk mengenalpasti sama ada anak kita mengalami peningkatan suhu badan melebihi suhu badan manusia normal iaitu 37 darjah Celsius.

Walaubagaimanapun, ramai kanak-kanak yang mempunyai suhu badan yang sedikit tinggi atau rendah daripada suhu normal. Sebagai contoh, suhu badan yang diambil di bawah ketiak kanak-kanak akan mencatat suhu 0.5 darjah Celsius lebih rendah, oleh itu suhu normalnya ialah 36.5 darjah Celcius.

Suhu tinggi secara amnya ialah di atas 37.8 darjah Celsius apabila diambil pada bahagian telinga atau mulut, atau atas 37.3 darjah Celsius apabila bacaan diambil pada bahagian ketiaknya.


Termometer Digital – Bacaan diambil pada bahagian ketiak anak atau mulut.


Termometer Dahi – Bacaan diambil pada bahagian dahi anak.

Selain menggunakan termometer untuk menyukat suhu anak anda, anda boleh memeriksa bahagian belakang tengkuk dengan menyentuhnya dengan tapak tangan anda atau bibir anda. Kajian menunjukkan bibir ibu adalah sangat sensitif dan boleh mengesan peningkatan suhu. Selain itu tanda demam ialah anak anda cepat berpeluh apabila disentuh.

Demam adalah keadaan di mana suhu berada di atas tahap normal iaitu 38 darjah Celsius. Suhu badan 38.6 darjah Celsius masih boleh dirawat di rumah sahaja. Namun jika suhu melebihi 38.6 darjah Celsius, ibu bapa disaran segera membawa anak berjumpa doktor.

Tip dan tindakan penting semasa merawat anak demam :

*Perhatikan perilaku anak. Jika perilaku anak hampir sama seperti biasa, maka anda tidak perlu risau kerana demam biasa adalah tidak berbahaya.

*Rawatan kecemasan awal yang boleh diambil ialah mengelap badan anak dengan air. Ini membantu menurunkan suhu badan anak kita.

*Cegah dehidrasi kekeringan cecair dalam badan anak-anak. Dehidrasi ialah kehilangan air dalam badan. Berikan anak lebih banyak cecair seperti air, kuah sup, jus buah segar yang dicampur air dan sebagainya.

*Jika anak muntah atau cirit-birit, berikan minuman garam oral bagi menggantikan cecair yang telah keluar daripada badan.

*Pastikan bilik anak selesa dan tidak panas. Pasang kipas atau pendingin hawa dan pakaikan anak baju nipis.

*Berikan ubat seperti paracetamol mengikut kadar (dos) yang ditetapkan dan mengikut jadual yang dicadangkan. Pastikan ubat tersebut habis dimakan walaupun demam anak kita sudah beransur pulih atau kebah. Tolong baca arahan ubat dengan berhati-hati.

*Pada waktu malam, anak-anak yang mengalami demam sering terjaga dan ibu bapa perlu memastikan suhu badan anak berada pada tahap yang tidak berbahaya. Gunakan air, dilapkan pada badan anak kita supaya tidak berlaku peningkatan suhu.

Ambil tindakan segera agar anak kita tidak mengalami kekejangan, kaku atau sakit kepala yang teruk.

Sebagai seorang Islam, panjatkan doa kepada Allah agar anak kita beransur pulih, sihat seperti sedia kala dan sesungguhnya DIALAH Maha Penyembuh segala penyakit dan ubat itu merupakan ikhtiar kita semata-mata.

Coretan : naimoiman