Showing posts with label Insan - Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Insan - Ibadah. Show all posts

Friday, 27 August 2010

PUASA RAMADAN 4 – Adab Berbuka


ADAB berbuka puasa ialah menyegerakan berbuka apabila masuk waktu.
Sahl bin Sa’ad melaporkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdoa ketika berbuka.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Doa daripada Rasulullah SAW ketika berbuka dan disunatkan kita membaca:
Hilanglah dahaga, basahlah peluh (hilang kekeringan) dan tetaplah pahala, insya-Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berdoa kepada orang yang menjamu kita berbuka.
Kata Anas: “Rasulullah SAW pernah datang ke (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda makan dan berkata: Mereka yang berpuasa berbuka puasa di sisi kamu, mereka yang baik makan makanan kamu dan malaikat akan berselawat ke atas kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air.
Rutab ialah buah kurma yang sudah masak sebelum menjadi tamar kering. Ia lembut dan manis, manakala tamar ialah buah kurma yang sudah kering.
Anas berkata: “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Jika tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar dan jika tiada tamar, maka beliau minum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Makan dengan sederhana.
Orang berpuasa digalakkan tidak makan berlebihan ketika berbuka bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Segerakan solat Maghrib.
Selepas berbuka dengan tamar atau air, jika makanan belum dihidangkan, umat Islam perlu segera menunaikan solat. Namun, jika makanan sudah dihidangkan, maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jemaah) sudah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sumber Rujukan :
1) Bharian Online 18 Ogos 2010 (8 Ramadan 1431) Rabu – Artikel bertajuk Ihya Ramadan: Umat Islam dituntut jaga adab berbuka puasa

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro

Thursday, 26 August 2010

PUASA RAMADAN 3 - Kelebihan - kelebihan Puasa Bulan Ramadan

RAMADAN adalah bulan mulia yang mempunyai kelebihan tersendiri antaranya :

•Ramadan penghulu semua bulan. Diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Kabir,
Penghulu bulan ialah Ramadan dan penghulu hari ialah Jumaat.

•Daripada Ubadah Bin Somit meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadan hampir menjelang yang bermaksud:
Sudah datang kepadamu bulan Ramadan, di mana Allah melimpahkan dalamnya dengan keberkatan, rahmat, me-ngampuni dosa kamu, memakbulkan doa, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperoleh kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini.

Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Apabila sudah tibanya Ramadan, dibuka pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

•Diampunkan dosa sehingga Ramadan akan datang. Hadis riwayat Muslim yang diriwayatkan Abu Hurairah:
Solat fardu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadan kepada Ramadan, akan diampunkan di antara keduanya sekiranya seseorang itu melakukan dosa besar.

•Ganjaran daripada Allah. Diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud:
Allah berkata: Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa dan Aku yang akan membalasnya. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding haruman kasturi.

•Kita juga dianugerahkan keampunan dan ganjaran pahala yang banyak hasil daripada ibadat yang dilakukan pada Ramadan.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Nasai'e, Ibn Majah, Ibn Habban)

•Abu Hurairah berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda mengenai Ramadan yang bermaksud:
Sesiapa yang mendirikan (Ramadan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai', Ahmad dan Baihaqi)

•Diturunkan al-Quran. Nabi Muhammad SAW berkata:
Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada awal malam Ramadan dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadan dan diturunkan Injil pada 13 Ramadan dan diturunkan Zabur pada 18 Ramadan dan diturunkan al-Quran pada 14 Ramadan.” (al-Mu’jam al-Kabir)

•Malam Lailatulqadar. Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu dan sesiapa yang qiamullail pada malam Lailatulqadar dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)

•Dibebaskan daripada api neraka.
Sesungguhnya bagi Allah hamba yang bebas (daripada api neraka) setiap berbuka, dan demikian itu pada setiap malam.” (Hadis riwayat Ahmad)

•Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Sembahyang difardukan kepada sembahyang sebelumnya adalah penebus dosa antara kedua-duanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya adalah penebus dosa antara kedua-duanya, dan bulan kepada bulan (iaitu Ramadan) adalah kafarah apa antara kedua-duanya melainkan tiga golongan; syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar).

Berkata Abu Hurairah: Aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! Adapun syirik dengan Allah sudah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda SAW bersabda: Adapun engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jemaah (Islam).” (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, Baihaqi)

Sumber Rujukan :
1) Bharian Online 11 Ogos 2010 (1 Ramadan 1431) Rabu – Artikel bertajuk Ihya Ramadan
2) Bharian Online 19 Ogos 2010 (9 Ramadan 1431) Khamis – Artikel bertajuk Soal Jawab Agama: Banyak ganjaran pahala buat hamba soleh


Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro

Saturday, 21 August 2010

PUASA RAMADAN 2 – BUKAN SEKADAR LAPAR DAHAGA

PUASA Ramadan adalah ibadah yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Kewajipan puasa ini sabit dengan nas Ilahi dalam surah al-Baqarah pada ayat 183.

Firman Allah mafhumnya:
Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa sebagaimana difardukan kepada umat sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa”. (al-Baqarah: 183).

Puasa bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata. Walaupun definisi puasa ialah imsak iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari, namun hikmah puasa yang sebenar ialah bagi menjana nilai takwa dalam diri insan.

Antara perkara – perkara yang membatalkan puasa atau membatalkan pahala ibadah puasa ialah akhlak yang buruk seperti mengumpat, bercakap bohong, berbual perkara yang lagha atau sia-sia secara keterlaluan.

Wajar untuk direnungi suatu sabda Nabi SAW maksudnya:
Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan dengannya maka tiadalah Allah berhajat baginya untuk dia meninggalkan makan dan minum”. (riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menggambarkan bahawa amalan puasa ini tidak diterima oleh Allah.

Alangkah ruginya puasa yang dilakukan dengan kelaparan dan kehausan namun ia tidak diterima. Maka menjauhi perkara yang sia-sia sebenarnya merupakan dasar bagi seorang mukmin.


Tidakkah al-Quran menjelaskan ciri-ciri golongan mukmin yang berjaya. Antaranya ialah menjauhi perkara yang sia-sia sebagaimana firman Allah mafhumnya:
Sesungguhnya orang mukmin telah berjaya. Mereka ialah golongan yang khusyuk dalam solat mereka. Dan golongan yang berpaling menjauhi daripada perkara lagha (sia-sia)”. (al-Mukminun: 1-3).

Akhlak perlu dijaga dengan baik ketika berpuasa. Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya:
...maka apabila hari puasa seseorang kamu, maka janganlah dia melakukan maksiat dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil (seperti berkelahi, bertegang lidah dan sebagainya). Maka jika seseorang mencacinya atau melawannya maka hendaklah dia berkata bahawa saya adalah orang yang berpuasa”. (riwayat al-Bukhari).

Elakkan diri daripada melakukan perkara – perkara yang tidak baik sperti memfitnah, mencaci dan berkata dusta. Oleh itu, adalah Amat wajar tempoh sebulan Ramadan ini diisi dengan perkara yang boleh menjana nilai takwa.

Wujudkan akhlak keikhlasan dalam beribadat. Keikhlasan beribadat ini pula didasarkan dengan pedoman al-Quran dan as-Sunnah. Seterusnya ia dilanjutkan dengan kekuatan semangat istiqamah.

Marilah kita bersama – sama memastikan bahawa puasa kita merupakan ibadah yang berkualiti dan diterima oleh Allah.

Rujukan : Utusan Online 20 Ogos 2010 (10 Ramadan 1431) Jumaat – Artikel bertajuk Puasa bukan sekadar lapar dahaga

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro

Monday, 9 August 2010

PUASA RAMADAN 1 - Intro


Ramadan menjema kembali. Alhamdulillah dan bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana kita diberi panjang umur dan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadan kali ini. Ramadan bulan yang penuh keberkatan, rahmah (kasih sayang) dan maghfirah (pengampunan). Ramadan bulan mulia bermakna kita menjalani ibadah puasa selama sebulan yang juga merupakan Rukun Islam yang Ketiga. Segala amal ibadah dan perkara baik yang dilakukan akan diberi ganjaran yang berliapat kali ganda berbanding bulan – bulan yang lain.

Sebagai seorang Muslim kita seharusnya gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan dan menghadapi dengan dada yang sangat lega; dengan jiwa yang tenang, dengan hati yang tenteram. Bagi orang Islam yang beriman mereka menerima kehadiran bulan yang barakah ini dengan penuh kegembiraan.

Sesungguhnya Allah mewajibkan puasa adalah untuk membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang hina dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang mulia serta menjauhkannya daripada setiap sifat yang tercela. Kita dianjurkan banyak bersabar dan berjihad melawan hawa nafsu. Dengan puasa juga iman seseorang Muslim akan bertambah kuat dan bersih.

Ramadan menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran individu dan keluarga Muslim yang beriman. Sebab itu juga bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah. Iaitu bulan di mana orang-orang yang beriman berebut-rebut mengerjakan amalan soleh.

Banyak kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan dibandingkan dengan bulan-bulan lain dalam Islam. Kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup kita diturunkan di dalam bulan mulia ini. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang berbunyi:
Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar.” (al-Qadr: 1)

Umat Islam harus menghayati keagungan bulan Ramadan ini. Bulan di mana Allah telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Ini adalah bulan kembali dan taubat, bulan pengampunan dan rahmat, bulan kebebasan dari api neraka dan kemenangan berupa syurga.

Ibadah sunat perlu dilipatgandakan seperti solat terawih, solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib diberi ganjaran yang amat besar - yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya. Selain itu perbanyakkan bersedekah, qiamullail, sembahyang tahajud, perbanyakkan sedekah, zikir, baca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.

Setiap amalan sunat akan dinilai sama seperti amalan fardu manakala segala amalan fardu akan dilipat gandakan sehingga 70 kali ganda amalan seumpamanya sebagai bonus tahunan pemberian Allah SWT. Lebih daripada itu, ganjaran pahala sehingga 700 kali ganda menanti setiap hamba yang sanggup berjuang habis-habisan dalam melakukan kebajikan.

Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Walaupun bersahur hukumnya sunat namun jangan ditinggalkan. Selain mendapat pahala ia juga melatih kita dan membiasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan, dan diharap ini dapat membantu kita bangun awal di luar bulan Ramadan. (5)

Setiap individu Muslim seharusnya membuat persiapan rapi menjelang Ramadan. Peluang keemasan yang tiba itu tidak patut dipersia-siakan memandangkan hanya insan istimewa dan terpilih sahaja bakal mendapat kurnia ganjaran berlipat kali ganda termasuklah peluang beribadah pada malam Lailatul Qadar yang menyamai pahala 1,000 bulan.

Oleh yang demikian, segala persiapan termasuk rohani dan jasmani perlu dilengkapkan. Persiapan rohani diperlukan bagi mengikhlaskan niat melaksanakan ibadah puasa demi mendambakan keampunan daripada-Nya. Manakala persediaan jasmani diperlukan bagi menjalani proses pentarbiyahan Ilahi yang beraneka ragam sepanjang Ramadan.

Malah persiapan mental juga penting bagi mengharungi cabaran dan ujian untuk berperang dengan nafsu sendiri. Sehingga kejayaan tersebut menjadi asas pula kepada kejayaan untuk melawan hasutan Iblis apabila berakhirnya Ramadan nanti.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang yang terdahulu semoga kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah:183).

Berpuasa menahan lapar dan dahaga, mulut berpuasa daripada mengumpat atau mengata sesuatu yang tidak baik, mata berpuasa daripada memandang perkara – perkara yang haram, telinga berpuasa daripada mendengar perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa. Terus usaha melaksanakan ketaatan lain seperti solat, menutup aurat dan lain-lain.

Ketika berbuka, jangan leka kerana asyik menjamu selera atau ada yang makan terlalu banyak sehingga melalaikan solat Maghrib dan Isyak yang semestinya wajib dikerjakan.

Dalam konteks ini, Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud:
"Ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasa mereka melainkan rasa lapar dan dahaga". (Hadis Riwayat Ibn Majah dan al-Nasai'e).

Bulan Ramadan juga bulan bersedekah. Umat Islam disaran berlumba-lumba menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT seperti memberi juadah berbuka puasa dan menyediakan minuman kepada orang yang berpuasa. Atau berusahalah untuk menyegerakan pembayaran zakat fitrah seawal 1 Ramadan supaya pihak yang memerlukan bantuan kewangan dapat sama-sama menikmati kegembiraan sebelum berlalunya Ramadan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur, dan perawan-perawan yang sebaya umurnya serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta. Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya)". (Surah al-Naba':32-36) (2)

Syaitan Dirantai Ketika Ramadan (4)

Ada sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Apabila tiba bulan puasa, maka terbuka pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dirantai.
Daripada hadis berkenaan, dapatlah kita memahami pengertian majazi (kiasan) dan hakiki (kenyataan). Dalam pengertian majazi, hadis itu mengandungi makna Ramadan adalah bulan ibadat untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Ketika Ramadan, Allah SWT melimpahkan ganjaran pahala yang luar biasa serta membuka pintu keampunan seluas-luasnya. Dengan melakukan sedikit amal, kita memperoleh ganjaran pahala seterusnya membawa kita ke syurga. Sehinggakan syurga pada Ramadan itu sentiasa terbuka kerana luasnya rahmat Allah SWT dan neraka, kerana banyaknya pengampunan Allah SWT untuk hambanya sentiasa tertutup dan syaitan bagaikan terbelenggu atau terikat berikutan kesedaran manusia yang terlalu tinggi sepanjang Ramadan.

Jika hadis terbabit difahami secara hakiki (kenyataan), maka kita dapat fahami dan berkata bahawa penderhakaan itu muncul akibat godaan syaitan dan rayuan hawa nafsu. Dalam Ramadan, iaitu bulan puasa, sememangnya syaitan diikat, tetapi bagi orang yang hawa nafsunya tidak dikawal, maka mereka itulah yang menderhaka kepada Allah SWT.

Kalangan ulama menjelaskan terdapat perbezaan antara godaan syaitan dan rayuan nafsu. Syaitan menggoda dengan tujuan menyesatkan dan merugikan manusia, atau sekurang-kurangnya menjadikan manusia tidak beruntung dalam memperoleh rahmat Allah.

Justeru, syaitan dapat mengubah rayuannya dari waktu ke waktu jika ia gagal dalam rayuan yang pertama. Ini berbeza dengan nafsu yang hanya ingin memuaskan dirinya, sehingga apabila ia menginginkan sesuatu, dia tidak akan mengubah dan terus mendesak sehingga keinginannya tercapai. (4)

Semoga ibadah puasa yang akan ditempuhi tahun ini akan lebih bererti dan berkualiti berbanding tahun-tahun yang lalu. Untuk tujuan itu marilah semua bermuhasabah serta berazam untuk melakukan yang terbaik. Anggaplah puasa kali ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidup kita, kerana jika terpilih bertemu Ramadan tahun ini belum tentu akan terpilih lagi di masa mendatang.

Pemakanan Ketika Ramadan

Tip sahur dan berbuka (1) (3)

•Untuk sahur dan berbuka, kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak tepu seperti mentega dan santan kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol dalam darah.

•Berpuasa pada siang hari mengambil masa yang panjang, justeru pilihlah makanan yang lambat dicerna misalnya makanan kaya serat yang boleh bertahan sehingga lapan jam. Umumnya makanan yang mudah dicerna hanya bertahan antara tiga ke empat jam saja. Antara jenis makanan yang lambat dicerna adalah gandum, barli, oat selain nasi. Sementara makanan yang kaya serat tentu saja sayur-sayuran hijau, seperto bayam dan makanan kering seperti prune.

•Elakkan makanan yang panas, pedas atau masin. Makanan yang terlalu masin akan membuatkan mudah terasa dahaga ketika berpuasa dan tubuh memerlukan lebih banyak air. Ia kemudiannya menyebabkan anda rasa kembung. Elak makan terlalu banyak makanan pedas kerana menyebabkan anda minum terlalu banyak air dan seterusnya berasa amat letih.

•Makanan manis atau bergula mudah dibakar tubuh dan hanya bertahan antara tiga ke empat jam. Lebih teruk, makanan jenis ini akan berubah menjadi lemak sekali gus meningkatkan kadar kolesterol anda dan menyebabkan berat badan bertambah.

•Makanan bergoreng dan ditumis pula umumnya tidak sihat dan harus dihadkan pengambilannya. Ia akan menyebabkan masalah dalam pencernaan, pedih ulu hati selain masalah berat badan.

•Makanan daripada kumpulan ikan, daging dan telur pula perlu diambil secara sederhana. Sayuran juga perlu diambil untuk memastikan tubuh mendapat vitamin dan mineral secukupnya untuk keperluan.

•Minum air yang secukupnya ditambah dengan pengambilan makanan dengan serat tinggi bagi mengelakkan sembelit. Banyakkan minum air kosong bagi mengelakkan tubuh mengalami dehidrasi.
Setiap individu perlu meminum sekurang-kurangnya empat liter air atau bersamaan 15 gelas air setiap hari. Bagi mereka yang tidak menghidap masalah tekanan darah tinggi boleh mencampurkan sedikit garam ke dalam air.

•Elakkan pengambilan terlalu banyak minuman kafein dan minuman soda. Kafein akan menyingkirkan kalsium dari tubuh anda yang menyebabkan anda terasa lapar. Pengambilan minuman kafein dan makanan pedas boleh menyebabkan peningkatan paras asid dalam perut dan mengalami masalah seperti pedih ulu hati.

•Ada sesetengah orang yang ketagih tembakau dan kafein akan mengalami gejala tarikan pada permulaan Ramadan. Gejala tarikan ini menyebabkan sakit kepala dan biasanya akan menjadi lebih teruk jika anda juga berhadapan dengan masalah tekanan darah rendah. Justeru, kurangkan tabiat pengambilan minuman kafein dan hentikan tabiat merokok perlahan-lahan menjelang Ramadan. Selain itu dapatkan tidur yang cukup.

•Jangan elak sahur. Sesetengah orang gemar makan pada lewat malam dan tidak akan bangun bersahur. Tindakan ini tidak bijak kerana anda bukan saja hilang pahala bersahur tetapi juga tubuh akan kekurangan tenaga yang diperlukan tubuh bagi meneruskan puasa sepanjang hari.

•Ketika iftar, mulakan dengan makanan yang ringan. Kurma, jus atau sup mungkin boleh dijadikan permulaan hidangan makanan berbuka. Meminum air ketika berbuka juga selari keperluan tubuh yang memerlukan glukos sebagai sumber tenaga terutama otak. Simpan makanan yang berat selepas solat maghrib atau bagi sesetengah orang selepas solat sunat tarawih.

•Pengambilan makanan yang mengandungi karbohidrat perlulah cukup bagi membekalkan tenaga hingga waktu berbuka puasa.

Catatan Penulis : SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA. Ini tahun yang ketiga saya sekeluarga berpuasa di luar negara, Dundee Scotland. Untuk pengetahuan rakan pembaca, berpuasa di sini agak mencabar kerana bulan Ramadan kali ini hampir dengan penghujung musim panas. Hari pertama puasa (Insyaallah 11 Ogos 2010 – 1 Ramadan 1431) tamat sahurnya adalah pada jam 1.45 pagi dan berbuka pada jam 9.05 malam – hampir 20 jam berpuasa. Hari terakhir pula tamat sahurnya ialah 4.10 pagi dan dan berbuka pada jam 7.49 malam – hampir 16 jam berpuasa. Tahun – tahun mendatang Ramadan bakal jatuh pada musim panas di mana waktu berbuka dan bersahur adalah amat hampir.

Rujukan :
1) Bharian Online 7 Ogos 2010 (26 Syaaban 1431) Sabtu – Rambang juadah berbuka

2) Utusan Online 10 Ogos 2010 (29 Syaaban 1431) Selasa – Artikel bertajuk Bermuhasabah sambut ketibaan Ramadan

3) Bharian Online 08 Ogos 2010 (27 Syaaban 1431) Ahad - Puasa secara sihat

4) Bharian Online 08 Ogos 2010 (27 Syaaban 1431) Ahad - Persoalan Agama: Syaitan dirantai ketika Ramadan hanya kiasan

5) Utusan Online 10 Ogos 2010 (29 Syaaban 1431) Selasa – Artikel bertajuk Persiapan Ramadan

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 2 – BUKAN SEKADAR LAPAR DAHAGA
PUASA RAMADAN 3 – Kelebihan – kelebihan Puasa Bulan Ramadan
PUASA RAMADAN 4 – Adab Berbuka
PUASA RAMADAN 5 – Peristiwa Besar Pada Bulan Ramadhan

Wednesday, 24 March 2010

Balik Malaysia : Waktu Buka, Sahur dan Solat Dalam Kapalterbang

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman


WAKTU BERBUKA ATAS KAPAL TERBANG

Sebagaimana fatwa Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, waktu berbuka bagi mereka yang berada di atas kapalterbang adalah dengan melihat ke luar tingkap kapalterbang bagi memastikan matahari sudah terbenam atau tidak. Waktu berbuka tidak akan mengikut waktu destinasi atau tempat bertolak.

Bagi waktu sahur kami akan menuruti waktu Dubai kerana kami berada di Dubai sekitar waktu sahur itu, manakala waktu Subuh memerlukan sedikit kiraan, kerana jika matahari naik dijadikan panduan masuk Subuh sebagaimaan untuk berbuka tadi, itu sudah terlewat kerana pastinya sejurus kelihatan matahari bermakna waktu subuh sudah tamat.

PENENTUAN WAKTU SUBUH ATAS KAPAL TERBANG

Justeru, kaedah saya menentukan masuk waktu Subuh adalah mengikut kiraan Dubai, sebagaimana yang pembaca boleh lihat, kami akan berlepas dari Dubai pada jam 03.15 pagi iaitu satu setengah jam sebelum Subuh di Dubai. Waktu Subuh di Dubai adalah 4.48 pagi.

Jika melihat kepada peta dunia, jika sebuah flight berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, dalam tempoh satu jam setengah, saya yakin kapal terbang itu akan berada di atas Indian Ocean. Maka waktu solat Subuh di tengah lautan itu boleh mengikut tanah yang terdekat dengannya, yang saya yakin iaitu Oman atau mungkin juga Karachi.

Setelah disemak, waktu Subuh bagi Oman adalah pada jam 4.46 pagi ( waktu Oman adalah sama dengan Dubai) manakala Karachi pada jam 5.55 pagi.

Namun setakat ini saya lebih yakin kapalterbang akan lebih dekat dengan ruang waktu Oman, justeru subuh dalam waktunya sama ada waktu Oman atau Karachi.

Ulasan penulis :
Oleh itu, adalah penting untuk menyemak waktu ketibaan samaada lokasi transit atau destinasi dituju. Ini penting kerana apabila kapal terbang telah mendarat, maka waktu solat, sahur dan buka puasa adalah mengikut waktu lokasi semasa. Jika masih berada di atas kapal terbang, ia bergantung kepada waktu tanah yang terdekat dengan lokasi semasa kita di atas kapal terbang.


WUDHU ATAU TAYAMMUM ATAS KAPAL TERBANG?

Wudhu tiada masalah untuk disempurnakan menggunakan air di atas kapalterbang, tayammum juga tidak perlu kerana wujudnya air dan tandas kecil yang boleh digunakan bagi penyempurnaan Wudhu. Apa yang perlu dilakukan adalah gunakan cawan kecil plastik minum sebagai bekas air wudhu, dan berwudhulah sesempurna yang boleh di dalam tandas itu.

Tiada alasan untuk bertayammum di dinding kapalterbang atau kerusi atau hanya sekadar solat hormat waktu kerana tiada wudhu.

Malah menurut pandangan yang paling kuat, tidak boleh disempurnakan dengan menepuk dinding, kerusi atau debu-debu yang melekat pada baju. Ini kerana habuk di dinding buatan dan kerusi kapalterbang bukan tidak termasuk dalam erti tanah. tetapi jika dinding, kerusi, baju dan sebagainya itu benar-benar jelas kelihatan berdebu dengan debu tanah, tatkala itu barulah boleh menepuk di atasnya untuk tujuan tayamum.

Allah swt menyebut dengan jelas tayamum hendaklah menggunakan tanah yang suci. Justeru, debu yang diambil mestilah berasal dari benda yang benar-benar datang tanah. Dinding kapalterbang bukan dari tanah, amat sukar pula dibayangkan kewujduan debu tanah di dinding kapalterbang, demikian juga debu atas kerusi.

Allah swt menyebut yang ertinya :

"Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun." (An-Nisa : 43)

Menurut pandangan ulama Maliki, di waktu sukar, boleh digunakan batu asli untuk mendapatkan debu tayamum, kerana batu yang bercampur dengan tanah sejak dari asalnya, dianggap sebahagian dari tanah. Mazhab Syafie pula membenarkan menggunakan pasir yang bercampur sedikit dengan tanah.

Ulasan penulis :
Tiada alas an untuk tidak mengambil wudhu’ kerana sumber air boleh diperolehi dari dalam kapal terbang seperti di dalam tandas.


ARAH KIBLAH UNTUK SOLAT

InshaAllah kami juga tiada masalah arah kiblah kerana kami boleh menunaikan solat zohor dan asar di lapangan terbang Birmingham, berbekalkan kompas kiblah, urusan penentuan arah menjadi lebih mudah dan meyakinkan.

Bagi solat maghrib pada 12 Sept, kami punyai pilihan sama ada untuk jama' takhir iaitu solat di lapangan terbang Dubai atau solat di dalam kapal terbang secara duduk.

Arah kiblah mungkin boleh dilihat melalui panduan Emirates Airline (jika dalam Flight MAS ada disediakan, Emirates saya kurang pasti kerana pertama kali menaikinya esok) atau melalui cara melihat arah halaan Kapalterbang.

Biasanya mudah, kerana arah flight dari UK ke Dubai, biasanya akan selari atau tidak jauh lari daripada arah Ka'abah. Justeru, sejurus kami dapati kapalterbang sedang berhadapan dengan Mekah, kami boleh terus menunaikan solat secara duduk menghadap hadapan.

MASALAH MEMBELAKANGKAN KIBLAH

Cuma sedikit masalah akan timbul ketika kami ingin solat Subuh di atas kapalterbang. Kerana berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, beerti kapalterbang membelakangkan Mekah.

Namun tidak ditolak, adakalanya kapalterbang akan sedikit membelok ke kanan dan kiri. Justeru, cara kami adalah apabila tiba waktu solat Subuh, kami akan memerhati peta kedudukan kapalterbang yang disediakan. Melalui cara itu, kami boleh mengagak arah mana yang perlu kami solat.

Jika kedudukan Mekah terlalu menghadap ke belakang secara 100%, dan solat secara duduk untuk menghadapnya sangat tidak mengizinkan. Kami akan berusaha meminta izin pramugara/i untuk menggunakan mana-mana ruang yang sesuai.

Namun, jika arah Mekah hanya memerlukan menoleh 90 darjah kanan atau kiri, saya yakin masih boleh ditunaikan solat di atas tempat duduk, iaitu dengan cara mengangkat sebelah kaki di letakkan di atas kerusi dan badan dihalakan ke tepi kanan atau kiri setakat yang diperlukan. Apa yang penting adalah ketika takbir permulaan dada kita berada tepat menghadap arah yang dikehendaki, pergerakan kapalterbang selepas itu tidak lagi perlu dihiraukan.

Ulasan penulis :
Perlu membuat sedikit kajian, tentang arah pergerakan kapal terbang menuju ke destinasi dan juga lokasi Kaabah. Perlu menghadap kiblah dalam solat dan penting bagi menghadap kiblah pada saat ketika mengangkat takbir permulaan, dada kita berada tepat menghadap arah Kaabah, pergerakan kapal terbang selepas itu tidak lagi perlu dihiraukan. Boleh melakukan solat duduk tetapi kalau boleh dilakukan solat secara berdiri.

Rujukan : zaharuddin.net