Showing posts with label Masyarakat Malaysia - Amalan. Show all posts
Showing posts with label Masyarakat Malaysia - Amalan. Show all posts

Monday, 5 April 2010

APRIL FOOL – APAKAH DIA?


1 April, setiap kali tibanya tarikh ini kita perlu lebih... lebih berhati – hati. Ini kerana takut kita akan dikenakan oleh orang – orang yang berada di sekeliling kita. Tidak kira teman, sahabat mahupun ahli keluarga kita sendiri. Takut jadi bahan lawak, adakalanya takut hendak keluar rumah atau kekadang ada juga lawak yang dikenakan kepada kita; kalau kita ini jenis yang cepat terasa; boleh menimbulkan konflik. Ada juga yang mengenakan lawak yang melampau sehingga boleh mencetuskan pergaduhan. Ada yang jenis tidak menghiraukan hari ‘April Fool’ ini. Ya! Lagi bagus sebab ia bukannya mendatangkan apa – apa faedah pun.

Apa sebenarnya hari ‘April Fool’ ini? Penulis ada membuat sedikit rujukan tentang hari ini. Mengapa satu April dan bukannya tarikh – tarikh yang lain. ‘May Fool’ ke, ‘Jun Fool’ ke?.

Sejarah hari ‘April fool’ ini sebenarnya tidak jelas. Ia sebenarnya tidak ada Hari ‘1 April fool’ di dalam kalendar. Berapa laman web menyatakan demikian. Sesetengah orang melihat ‘April fool’ ini berkaitan dengan perubahan musim. Menandakan bahawa 1 April ini sebagai pemisah antara musim sejuk dengan musim bunga.

Ada juga yang menyatakan bahawa hari ini sebagai pemula kepada kalendar baru. Tapi apa pun, ‘April fool’ ini memang tidak boleh disambut atau kita terlibat dengannya kerana ia dibuat di negara – negara barat yang mengalami perubahan musim dan sudah pastinya ia bukan budaya kita.

Berikut merupakan beberapa penjelasan yang ada kaitan bagaimana mulanya ‘April fool’ ini.

Penjelasan pertama :
Dalam budaya kuno, termasuk Orang Roman dan Hindu, tahun baru disambut pada atau sekitar 1 April. Ia hampir dengan berlaku ekuinoks musim bunga (20 Mac atau 21 Mac). Pada abad pertengahan, sebahagian Eropah menyambut 25 Mac, sebagai permulaan tahun baru.


Penjelasan kedua :
Pada 1582, Pope Gregory XIII mengarahkan kalendar baru iaitu Kalendar Gregorian untuk menggantikan Kalendar lama Julian. Kalendar baru menyatakan tahun baru bermula dan disambut pada 1 Jan.


Pada tahun tersebut, Perancis mengubahsuai mengikut kalendar tersebut dan menyambut tahun baru pada 1 Jan. Berdasarkan kepada penjelasan yang popular, ramai orang yang menolak untuk menerima 1 Jan itu, atau tidak hirau akan ia, dan terus menyambut tahun baru pada 1 April. Orang lain mula untuk membuat lawak terhadap tradisi ini, yang mana cuba untuk memperdayakan dan mengatakan bahawa mereka mempercayai sesuatu yang merepek. Kemudian, amalan ini terus tersebar seluruh Eropah.

Namun, terdapat dua halangan dengan penjelasan di atas. Pertama, ia tidak mengambil kira tentang penyebaran ‘April Fool’ ke seluruh negara Eropah. Ini kerana, sebagai contoh, kalendar Gregorian tidak digunapakai di England sehinggalah tahun 1752, tetapi Hari ‘April Fool’ telah pun tersebar pada ketika itu, jika menurut penjelasan di atas.

Kedua, tidak ada bukti yang jelas tentang penjelasan ini, ia hanya tekaan atau agakan semata, dan tekaan itu merebak ke serata tempat.

Penjelasan ketiga :
Penjelasan yang lain tentang asal usul hari ‘April Fool’ diberikan oleh Joseph Baskin, seorang profesor sejarah dari Universiti Boston. Beliau menerangkan bahawa amalan ‘April Fool’ ini bermula semenjak pemerintahan Konstantin, apabila sekumpulan pelawak dan badut istana memberitahu Maharaja Rom bahawa mereka boleh melakukan tugas lebih baik untuk menguruskan empayar. Konstantin, berasa terhibur, dan membenarkan seorang pelawak bernama Kugel untuk menjadi Raja selama satu hari. Kugel mengeluarkan perintah yang dinamakan ‘kemustahilan’ pada hari tersebut, dan kemudian budaya itu menjadi acara tahunan.


Apapun, ia merupakan hari yang serius”, kata Profesor Baskin. Pada waktu itu pelawak dianggap sebagai orang yang bijak. Itu merupakan peranan pelawak memasukkan lawak ke dalam satu – satu perspektif atau pandangan.

Penjelasan keempat :
Catatan lain yang dikatakan paling hampir yang dikenalpasti tentang permulaan tradisi ini ialah ia bermula dalam tahun 1582, di Perancis. Pada tahun tersebut, tahun baru disambut selama lapan hari, bermula pada 25 Mac. Kemuncak sambutannnya ialah pada 1 April. Di bawah pemerintahan Raja Charles IX, kalendar Gregorian diperkenalkan, dan hari sambutan tahun baru diubah kepada 1 Januari.


Walaubagaimanapun, disebabkan dahulu penyampaian berita hanyalah melalui pejalan kaki, ramai orang yang tidak mendapat berita tersebut selama beberapa tahun. Bagi mereka yang agak degil, menolak untuk menerima kalendar baru dan terus menyambut tahun baru pada 1 April. Orang – orang ini digelar sebagai ‘lawak’ oleh orang lain. Mereka dikaitkan dengan perkara – perkara merepek, dan sering dalam keadaan ‘dibodohkan’ atau sering diperkenakan dengan lawak – lawak yang dibuat.

Usikan gurauan ini berterusan, bertukar menjadi tradisi gurau senda pada setiap kali hari pertama bulan April. Tradisi ini menular ke England dan Scotland dalam abad ke 18. Ia kemudian diperkenalkan kepada koloni Amerika kedua – dua Negara United Kingdom dan Perancis. Hari ‘April Fool’ berkembang menjadi festival jenaka antarabangsa, yang mana jenis dan gaya lawaknya bergantung kepada budaya dan negara tersebut.


April Fool’ di negara – negara tertentu

Di Scotland, sebagai contoh, hari ‘April Fool’ sebenarnya disambut selama 2 hari. Hari kedua bertumpu kepada senda gurau yang melibatkan bahagian badan. Ia dipanggil sebagai Hari Berantai (‘Taily Day’). Pemerhatian menyatakan bahawa tanda ‘tendang saya’ akan dilekatkan pada bahagian badan mangsa yang diusik.

Bagi Mexico, Hari ‘April Fool’ ialah pada 28 Disember. Asalnya, hari tersebut ialah hari sedih memperingati kejadian penyembelihan kanak – kanak yang tidak bersalah oleh Raja Herod. Ia berkembang secara beransur – ansur kepada perayaan yang lebih melibatkan senda gurau dan tipu helah.

Orang Perancis memanggil 1 April sebagai ‘Poisson d’Avril’, atau ‘April Fish’. Kanak – kanak kadang kala melekatkan gambar ikan pada bahagian belakang rakan mereka, dan menjerit ‘Poisson d’Avril’ apabila gurauan itu disedari.

Dimaklumkan, terdapat banyak pelbagai budaya mempunyai hari ‘lawak jenaka’ (‘day of foolishness’) mereka sendiri bermula pada bulan April. Orang Roman mempunyai perayaan yang dinamakan Hilaria pada 25 Mac. Dalam kalendar Hindu, ada perayaan Holi, dan dalam kalendar orang Yahudi adanya perayaan Purim. Diharap ia ada kaitan dengan perubahan masa dalam setahun, iaitu perubahan musim daripada musim sejuk ke musim bunga, yang mana memeriahkan lagi sambutan tersebut.

Pemerhatian dibuat mengenai hari ‘April Fool’ di seluruh negara Barat. Amalan termasuk membuatkan seseorang rasa seperti ‘dibodohkan’, membuat sesuatu yang jarang dilakukan; bersenda gurau; dan cuba untuk membuat seseorang mempercayai sesuatu yang merepek.

Senda gurau yang diperlihatkan pada hari ‘April Fool’, adakalanya gurau senda yang ringan, (seperti mengatakan, “Tali kasut awak terbuka!”), adakalanya senda gurau yang melampau. Seperti menetapkan jam penggera rakan sebilik lewat sejam supaya dia terlewat untuk hadir ke sesebuah majlis penting, adalah sesuatu yang biasa. Apa sekali pun senda guraunya, tipu helah selalunya berakhir dengan menjerit kata – kata “April Fool!” kepada mangsa.

Memperlihatkan atau mempertontonkan perkara lawak adalah amalan yang biasa pada hari ‘April Fool’. Kadang kala, lawak yang dikenakan kepada rakan atau saudara mara berlaku sepanjang hari.

Pemerhatian yang dibuat menyatakan bahawa hari ‘April Fool’ hanyalah untuk suka – suka sahaja. Tidak ada orang yang menjangkakan untuk orang membelikan hadiah atau membawa mereka keluar makan di restoran. Tidak ada orang yang akan tidak ke tempat kerja atau sekolah. Ia hanya hari yang mana kita perlu lebih berwaspada, takut – takut terkena dengan senda gurau orang – orang sekeliling kita.

Rujukan : Pautan 1, Pautan 2

Friday, 12 February 2010

HARI KEKASIH (‘VALENTINE’s DAY’).


14 Februari setiap tahun adalah Hari Kekasih atau Valentine Day. Hari di mana kita sebagai pasangan kekasih menunjukkan kasih, sayang dan cinta kita kepada pasangan kita bagi membuktikan hanya ‘Kau yang satu, tiada yang lain’.

Pasangan bercinta, baik berjaga-jaga dalam setiap perbuatan dan tingkah laku selama mana kita digelar sebagai pasangan bercinta tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Batasan pergaulan perlu ada untuk mengelakkan perkara yang tidak diiingin berlaku.

Kasih sayang itu luas skopnya, bukan hanya kepada kekasih atau isteri. Kasih sayang kepada ibu bapa, kasih sayang kepada adik beradik dan saudara mara, kasih sayang kepada kawan, teman sahabat, kasih saya seorang yang muda kepada yang tua atau sebaliknya. Ingat! Kasih sayang paling agung hanya kepada Allah Yang Maha Esa.

Sebagai pasangan suami isteri, kasih sayang itu perlu ada, perlu diluahkan sepanjang masa, tiap saat, minit dan ketika. Bukan hanya menunggu hari-hari tetentu sahaja.

Berikut penulis mengambil berapa petikan artikel mengenai Hari Kekasih, pada pandangan Islam. Panduan berguna agar kita tidak bertindak tanpa berfikir atau mengetahui mengenai sesuatu.

Artikel 1 :

Oleh Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud, (Panel Penulis Luar Jakim), Majalah Cahaya keluaran Februari 2009.

Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada kebobrokkan akhlak. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M).

Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :

1- Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2- Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.

3- Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

Untuk lebih lanjut layari : klik di sini JAKIM

Artikel 2 :

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

Justeru, secara ringkasan saya boleh simpulkan seperti berikut :-

1) Kita hanya boleh merayakan perayaan yang diiktiraf oleh Islam iaitu Idil Fitroi dan Idil Adha. Nabi SAW bersabda :

Ertinya : “Sesungguhnya bagi setiap kaum itu perayaan masing-masing, dan ini (IdilFitri dan Idiladha) adalah perayaan kita" ( Riwayat AL-Bukhari, 952 ; Muslim, 1892)

Justeru, sebarang perayaan yang disambut oleh umat Islam mestilah terhad kepada dua perayaan ini sahaja.

Ini bermakna, setiap tujuan dan asal usul perayaan itu perlulah disemak. Maka jika disemak perayaan Valentine ini. Ternyata ia berasal dari cerita dongeng, karut dan syirik berakitan dewa dan sebagainya. Selain dari asalusul, cara dan kaedah implementasnya juga mesti dilihat, jika secara adatnya ia disambut dengan dosa dan maksiat. Ia sekali lagi dilarang di atas dasar tersebut pula.

2) Tidak harus pula meniru orang Kafir dan ahli maksiat dalam meraikan majlis yang dianjurkan.

3) Islam tidak mengiktiraf hari kasih sayang. Kasih sayang dalam Islam bersifat universal, tidak dibatasi waktu dan tempat dan tidak dibatasi oleh objek dan motif. Hal ini sesuai dengan hadis :

"Cintailah saudara seislam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari).

Rasulullah saw. bersabda : "Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya lebih dari tiga hari" (Muslim).

Kasih sayang dalam Islam diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturahmi, menjenguk yang sakit, meringankan beban tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang berselisih, mengajak kepada kebenaran (amar ma'ruf) dan mencegah dari perbuatan mungkar.

4) Sambutan hari Valentine hari ini menjadi semakin terkeji apabila ia menjurus kepada perlakuan maksiat, mengadaikan ‘dara' kepada kekasih yang bernafsu ‘syaitan' dan dengan perlakaun seks bebas yang kononnya bagi membuktikan 'ketulenan' cinta seseorang kepada kekasihnya.

Untuk lebih lanjut layari : klik di sini ZAHARUDDIN

Thursday, 21 January 2010

Sambut hari lahir: Ganti lagu dengan doa

Kita sering diingatkan supaya tidak menyerupai sesuatu kaum, seperti mana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia dikira dari kaum tersebut". (riwayat Abu Daud, no: 4031, Ibn Hibban, no: 437, Al-Haithamiy, Majma' al-Zawaid, jld: 10, hlm: 274).

Maksudnya kita ditegah supaya tidak menyerupai mana-mana kaum yang jelas ingkar kepada Allah SWT.

Mungkin cara berfikir sesetengah dari kita yang tidak analis sesuatu cerita dari sudut latar belakangnya, lalu mudah menerima perkhabaran yang belum tentu kesahannya. Apa-apa pun setiap amalan kita bergantung kepada niat.

Budaya potong kek diterima dan diislamisasi dengan tujahan nilai-nilai Islam. Justeru, bagi mereka yang ingin menyambut hari jadi setelah dia memotong kek adalah lebih baik kalau disertai dengan bacaan doa selamat.

Adapun nyanyian iringan happy birthday to you ditukar kepada "Allah selamatkan kamu". Seperkara yang perlu diingat ialah tiada acara melalaikan.

Oleh yang demikian, iringan doa adalah lebih utama kerana majlis itu disambut dengan kegembiraan dengan peningkatan usia yang dikekalkan kesihatan dan keafiatan.

Walaupun demikian, tokoh dan sarjana Islam, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi, menganggap bahawa menyambut hari lahir adalah suatu yang kurang tepat kerana kenapa harus disambut usia yang kian meningkat tua.

Sambutan yang dibenarkan oleh Islam adalah, dengan mengadakan majlis kesyukuran, dengan mengajak orang makan dan lain-lain amalan kebajikan yang lain, dan tiada aktiviti-aktiviti maksiat dalamnya.

Sumber : Utusan Online, 22 Januari 2010 (7 Safar 2010), Jumaat