Showing posts with label Isu dan Pengetahuan. Show all posts
Showing posts with label Isu dan Pengetahuan. Show all posts

Thursday, 27 October 2011

BANYAK SIJIL KENA BUAT.....

Bila lihat pada tajuk.... sijil apa yang kena buat.
Bukannya buat sijil tapi kena sediakan sijil – sijil yang berkaitan untuk anak – anak murid yang dikasihi sekalian.

Sesi persekolahan akan tamat tidak lama lagi dan keputusan UPSR 2011 juga akan diumumkan tidak lama lagi.

Jadi, masa inilah cikgu – cikgu terutama cikgu – cikgu tahun enam perlu menyediakan sijil – taip guna ‘typewriter’ atau yang kalau ada ilmu ICT sikit bolehlah guna ‘words’ dan ‘excel’ untuk sediakan sijil tersebut. Antara sijilnya ialah sijil PLBS, sijil Ko-kurikulum, sijil tamat sekolah dan sebagainya.

Inilah salah satu tugas guru yang orang tidak tahu.... iaitu sediakan sijil. Tapi tak mengapa, demi tugas, kita perlu laksanakan. Lagipun kita buat untuk anak – anak murid kita.

Sekarang ni seronok sangat sediakan sijil sebab dah tahu kaedah yang agak pantas untuk menyediakannya. Apa pun beri pujian untuk Ustaz R saya sebab tunjuk ajar saya buat sijil cara pantas.

Ni yang saya rasa saya nak kongsi nie.

Langkah 1
Ambil sampel sijil.... minta kat pentadbir atau penyelaras terlibat.

Langkah 2
Lihat perkara atau maklumat yang perlu ada dalam sijil seperti nama, angka giliran, no surat beranak dan sebagainya.

Langkah 3
Buka ‘excel’, pada ‘sheet 1’ masukkan semula perkara (tajuk) dan lengkapkan maklumat yang diperlukan. Lepas tu ‘save’.

Langkah 4
Dah siap... ni langkah yang agak mencabar sikit.
Buka ‘words’, tekan ‘enter’ banyak – banyak kali untuk kita dapat ruang satu muka surat. ‘Highlight’ barisan pertama.

Lepas tu pergi kat bar atas tu ada pilihan / ‘option’, klik pada ‘mailings’, klik ‘start mail merge’, pilih ‘normal word document’... ni untuk buat sijil yang bersaiz A4. Ada ker sijil yang bukan saiz A4.

Kemudian pergi ke pilihan sebelahnya, ‘select recipients’, pilih ‘use existing list’. SILA PILIH ‘FILE EXCEL’ YANG KITA BUAT TADI. Jangan lupa pula kat mana kita ‘save’ tadi.

Langkah 5
Kita buat ‘placing’ butiran terlibat – eh macam main bola pulak.... ni pun mencabar sikit.
Pada bahagian ‘mailings’ tu tadi pilih ‘insert merge field’, kat sini kita pilih sahaja perkara (tajuknya) yang kita dah taip dalam fail excel tadi. Semua perkara tajuk itu sudah siap tersenarai, pilih sahaja.

Lepas tu baru buat ‘placing’, tapi sebelum tu pada sila tekan ‘preview results’. Senang sikit bila kita buat ‘placing’ nanti. Dengan menggunakan butang ‘enter’, ‘arrows’, ‘tab’ dan ‘space bar’, dengan cara mengubah saiz dan jenis ‘font’, ‘paragraph’, buat ‘placing’ dan setkan semua perkara pada kedudukan yang seperti mana sijil.

Langkah 6
Cetak. Untuk pastikan ‘placing’ kita tepat. Kalau tak tepat buat sedikit ‘alteration’ yang perlu.

Langkah 7
Bila dan puas hati, ‘preview results’, ‘scroll record’ kiri dan kanan. Kita lihat semua senarai. Pada ketika ini, semua maklumat yang kita masukkan dalam fail ‘excel’ akan bertukar – tukar secara sendirinya. JANGAN LUPA ‘SAVE’ FAIL WORDS TU.

*Kadang – kadang bila kita ‘scroll’ maklumat akan lari dari kedudukan yang kita dah tetapkan. Ni kena buat lagi ‘alteration’. Ubah maklumat misalnya guna singkatan, saiz perkataan dan sebagainya.

Langkah 8
Part’ ni paling saya suka. ‘Print’ – cetak sijil, tanpa buat apa – apa dan tunggu saja pencetak cetak sijil kita.

Pastikan ada pencetak yang bersambung dengan komputer kita... dan ada dakwat. Letak sijil. Pergi pada pilihan ‘mailings’ dan pilih ‘finish & merge’, pilih ‘print documents’. Ia akan bagi kita pilihan sama ada hendak cetak ‘All’, ‘current record’ atau ‘from _ to _’. Ia akan pergi ke ‘printer setting’. Pastikan saiz pada pencetak disetkan saiz A4. Tekan ok dan cetakan bermula.

Langkah 9
Tahniah. Kalau tidak berjaya cuba lagi. Bawa sijil yang telah dicetak untuk ditandatangani atau apa – apa perkara yang sewaktu dengannya.

*Pada fail ‘excel’ boleh dibuat perubahan maklumat jika perlu. Apabila telah selesai buat perubahan, ‘preview results’ pada ‘words’. Nanti bila buka fail ‘words’ ada ‘pop-up’ yang keluar... jangan gentar klik ‘YES’ sahaja. Sistem akan ‘link’ balik dengan ‘data source’ kita.
Kalau boleh letakkan fail excel dan fail words dalam satu folder. Ni kita boleh guna untuk tahun hadapan kalau tiada perubahan pada sijil.

Langkah 10
Kalau ada masalah boleh email saya di naimoiman@gmail.com.

SELAMAT MENCUBA DAN JANGAN PUTUS ASA....

Monday, 15 November 2010

Bukan Senang Nak Kekang Nafsu Nakal... Aduh payahnya

Minggu persekolahan (sesi 2010) akan tamat minggu ini. Minggu ke 41. Cuti sekolah akhir tahun akan bermula pada 20 November 2010 (Sabtu).

Apa kaitannya dengan tajuk entri kali ini? Bila cuti sekolah ramai anak – anak kita akan berehat di rumah, atau mungkin yang ada ibu bapa akan bawa balik ke kampung atau dihantar ke kampung untuk tinggal bersama – sama nenek dan atuk di kampung. Atau mungkin yang ada kewangan lebih sikit (yang memang dah simpan lama dah untuk tahun ni semata – mata untuk pergi melancong cuti sekolah), akan pergi melancong ke tempat – tempat menarik sama ada dalam atau pun ke luar negara.

Mana yang bersama – sama dengan keluarga, meluangkan masa bersama... Alhamdulillah. Sekurang – kurangnya ibu bapa memainkan peranan yang sepatutnya. Ada pula yang membuat persediaan awal, lebih – lebih lagi yang bakal menduduki peperiksaan awam dan besar tahun depan 2011, seperti UPSR, PMR dan SPM, pergi kelas tuisyen semasa cuti sekolah dan sebagainya.

Apa jua aktiviti, jangan sesekali biarkan anak - anak yang lebih – lebih lagi yang sedang meningkat umur menuju ke remaja ’terbiar’ dengan ‘aktiviti mereka sendiri’. Ibu bapa harus memantau apa yang diperlakukan oleh anak – anak mereka. Orang – orang dewasa pun yang konon dah makan garam lebih, jadilah ‘busy body’ sikit, tengok – tengokkan anak – anak sekeliling. Kalau yang memilih untuk membuat aktiviti yang ‘menyayangi diri sendiri’, Alhamdulillah. Tapi mana – mana yang fikir – fikir memilih membuat yang sebaliknya, jangan mula!!!. Berfikir sebelum bertindak dan jangan menzalimi diri anda dengan melakukan perkara – perkara yang mendatangkan mudarat dan yang menzalimi diri anda. Apapun, cegah dan kekang lebih – lebih lagi nafsu (yang mengajak kepada kemungkaran) yang mungkin mengatasi kewarasan fikiran, jangan biar hati jadi hitam.

Saya belek – belek juga kalau – kalau jumpa apa – apa tips dan cara kita yang boleh membantu menangani nafsu nakal ini. Lalu saya terjumpa artikel di bawah yang membicarakan langkah – langkah menangani nafsu nakal. Mari kita kongsi bersama, moga – moga ia dapat membantu. Artikel ditulis oleh Ustaz Zaharuddin (UZAR).

Artikel bertajuk ‘Mengekang Nafsu Gelap

Persoalan yang timbul ialah, bagaimana mengekang nafsu yang ada dalam diri.

*Mengukuhkan azam untuk berubah. Ia sukar untuk diajar melalui tulisan, tetapi kesedaran dan keinginan inilah yang perlu untuk bertindak.

*Kenali sumber serta punca yang mampu membiakkan ‘kekuatan’ terhadap nafsu itu, dan sebaik dikenal pasti, potong dan hapuskan ia.

*Perlu tahu cara, suasana, tempat dan berdamping dengan individu yang dapat menarik diri kita kepada kebaikan dan lupakan syahwat.

*Proses ini memang memerlukan ‘pantang larang’ yang merujuk kepada perkara yang tidak boleh dibuat dan ‘kemestian’ yang merujuk kepada perkara yang perlu dibuat.

*Ia proses ‘Sunnatullah’ untuk segala jenis penyembuhan, sama ada hati dan iman berbentuk spiritual dan juga tubuh fizikal.

*Ini sama seperti menangani penyakit kencing manis daripada sudut konsepnya, di mana mereka perlu menghadapi cabaran mengawal nafsu makan yang tinggi dan terhalang daripada menikmati juadah lazat.

*Pantang larang ini perlu dilakukan secara terpaksa itulah satu mujahadah (usaha). Oleh itu, cuba fikirkan, bagaimana pantang larang ini akhirnya mampu dipupuk serta diikuti dan itulah satu jalan permulaan untuk mengawal nafsu dalam diri.

*Setiap umat Islam perlu meyakini bahawa setiap perbuatan itu kelak pasti diazab oleh Allah SWT dengan mengingatkan bahawa adanya azab neraka, azab kubur, mati dalam kehinaan (suul khatimah) atau dalam kemaksiatan, tidak memperoleh Rahmat Allah atau tiada peruntukan syafaat daripada Rasulullah SAW.

*Disebabkan itu, tanam semua implikasi berbentuk spiritual itu dalam minda dengan harapan ‘nyalaan’ nafsu itu tadi dapat ditangani.

*Proses pertama untuk mengekang nafsu nakal adalah dengan meningkatkan ilmu dan keyakinan terhadap kedua-dua ilmu, ghaib dan fizikal, iaitu kesan buruknya. Insya-Allah, ia akan mampu menjadi pendinding awal sebelum berlakunya dosa dorongan syahwat nafsu itu.

*Binalah pasak dalam diri mengenai iman dan ilmu dengan segera terlebih dulu kerana tanpanya, perubahan kepada kebaikan akan terbantut di suku perjalanan.

++++++

Sebagai kesimpulan, sebagai tambahan kepada penjelasan di atas, ada perlu mengetahui perkara yang perlu serta tidak perlu dilakukan seperti :

-Fikirkan sasaran kehidupan dan berusaha melaksanakannya. Jauhkan pemikiran berkenaan apa – apa yang mendatangakan kemudaratan dan kemungkaran dan penuhkan masa dengan berusaha mencapai sasaran itu.

-Wujudkan keyakinan bahawa Allah SWT melihat apa yang dilakukan di ketika ramai mahupun kala sendirian.

-Sedarkan diri bahawa malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang dilakukan.

-Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.

-Putuskan hubungan ‘songsang’ dan ‘gelap’ sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperoleh melalui Internet atau fizikal, melalui laman sembang, e-mel, web dan sebagainya. Jika berbual mesra bersama rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elak melakukannya dan makan sendirian atau bersama jantina yang sama.

-Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.

-Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan keagamaan kerana dengannya, ia membuka ruang mendapat rakan yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat dapat dibendung.

-Ziarah kubur secara kerap supaya syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.



-Kalau komputer dan Internet kerap menjadi punca peningkatan syahwat, banyakkan mendengar bacaan al-Quran di depan komputer. Insya-Allah, dengannya rasa malu akan timbul. Namun jika syahwat masih ‘menggila,’ segera berhenti dan lihatlah awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah.

-Memastikan harta diperoleh daripada sumber halal kerana sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat. Ia ibarat mutasi virus yang lebih berbahaya kepada kesihatan.

-Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisiplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin ketika sujud di dalam solat supaya diberi kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.

-Segera beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat berat sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Imran, bahawasanya:
... dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa.

Sumber : myMetro Online 14/11/2010 (7 Zulhijjah 1431) Ahad – Artikel bertajuk Kekang Nafsu ‘gelap’

Friday, 5 November 2010

Saya percayakan dia dan dia sayang sangat dengan saya (siri 1)


Itu merupakan tajuk yang saya pilih untuk entri kali ini. Sebab hari ini saya nampak sesuatu yang amat – amat menyakitkan hati. Sakit mata sakit hati. Tapi itu hakikat dan kenyataan yang hari ini sedang berlaku.

Tajuk ini dipilih kerana ayat di atas menjadi alasan ‘biasa’ bagi anak – anak kita yang sedang meningkat remaja, kononnya baru mengenal erti kasih, sayang dan cinta. Sanggup ‘berkorban’ apa saja. Mungkin mereka lupa bahawa kasih, sayang dan cinta Allah merupakan yang paling agung yang pasti menjamin kehidupan yang manis dan berkat dunia dan akhirat.

Yang lebih mengecewakan ialah gejala berpacaran, dilakukan oleh anak – anak kita yang masih bersekolah, muda, tidak lagi segan silu melakukan perbuatan yang tidak senonoh secara terang – terangan yang pasti memalukan bangsa dan agama Islam itu sendiri. Moga kami berlindung daripada Allah, Nauzubillah daripada perkara – perkara yang keji dan mungkar.

Untuk kali ini saya cuba untuk mengingatkan kembali diri saya dan diri kita tentang batas – batas pergaulan kita orang muslim, lelaki dan perempuan yang menganut agama Islam yang suci ini.

ETIKA PERGAULAN DAN BATAS PERGAULAN DI ANTARA LELAKI DAN WANITA MENURUT ISLAM.

1. Menundukkan pandangan dari kedua belah pihak. Artinya, tidak boleh melihat aurat, tidak boleh memandang dengan syahwat, tidak berlama-lama memandang tanpa ada keperluan:

ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firmanNya;
Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya.” (An- Nur: 30)

Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita yg beriman, ALLAH berfirman;
Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya.” (An-Nur: 31)

2. Menutup Aurat:

Pihak wanita harus mengenakan pakaian yang sopan yang dituntunkan syara', yang menutup seluruh tubuh selain muka dan telapak tangan. Jangan yang tipis dan jangan dengan potongan yang menampakkan bentuk tubuh.

ALLAH berfirman,
Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya.” (An-Nur: 31)

Diriwayatkan dari beberapa sahabat bahwa perhiasan yang biasa tampak ialah muka dan tangan.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nur, ayat 31. Maksudnya:
Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

Maksud “kecuali yang zahir daripadanya” ialah sesuatu yang pada adat atau kebiasaannya dapat dilihat dan sukar untuk disembunyikan termasuk baju luar, muka, dua tapak tangan dan perhiasan seperti cincin dan gelang tangan. Perhiasan di rambut dan di kepala adalah haram dan termasuk dalam kategori aurat wanita.

Juga FirmanNya;
Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Ahzab: 59)

Dengan pakaian tersebut, dapat dibedakan antara wanita yang baik-baik dengan wanita nakal. Terhadap wanita yang baik-baik, tidak ada laki-laki yang suka mengganggunya, sebab pakaian dan kesopanannya mengharuskan setiap orang yang melihatnya untuk menghormatinya.

Video tentang isu pemakaian tudung :



3. Adanya pembatasan antara lelaki dengan wanita:

Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firmanNya;
Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab.” (Al-Ahzaab: 53)

4. Tidak berdua-duaan Di Antara Lelaki Dan Perempuan:

Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda:
Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya.” (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5. Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan):

Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT;
Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik.” (al-Ahzab: 32)

Imam Ibnu Kathir mantafsirkan ayat di atas dengan menyatakan bahawa ianya adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh Allah kepada para isteri Rasulullah SAW dan juga kepada para wanita mukminah iaitu hendaklah berbicara dengan orang lain (lelaki) tanpa suara merdu iaitu janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.

6. Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis. Tidak Bersentuhan Antara Lelaki dan Wanita Ajnabi (Sah Kahwin)

Dalam pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (sah kahwin), tidak dibenarkan berlaku sentuh menyentuh, pegang memegang, cuit mencuit dan seumpamanya walaupun dalam keadaan bergurau dan hubungan yang rapat termasuk bertunang.

Dari Maqil bin Yasar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.” (Hadis Riwayat Baihaqi) .

Antara etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW; Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud).

Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana FirmanNya;
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Al-Isra: 32)

Marilah kita bersama – sama berdoa kepada Allah semoga anak –anak kita sentiasa dikurniakan hidayah dan taufik, terpelihara dan dijauhkan dengan perkara – perkara yang amat buruk seperti ini. Semoga Dia terus melimpahkan rahmatNya ke atas keluargakan kita khususnya dan masyarakat kita umumnya. Amin.

Sumber : misszinnirah, upimkmns, jaipp

Sunday, 24 October 2010

BAGAIMANA HENDAK MENDAPATKAN KOORDINAT (LATITUD DAN LONGITUD) DARIPADA PETA GOOGLE (‘GOOGLES MAPS’)

Caranya (ini yang paling mudah setakat ini) :
1. Dengan menggunakan kod java yang mudah dan ringkas pada pintasan bar alamat (‘browser’s address bar’). Pergi ke Peta Google (‘Google Maps’).

2. Tentukan lokasi yang mana hendak diketahui koordinat pada Peta Google.

3. Klik kanan pada lokasi terpilih, dan pilih "center map here".

4. Padamkan pintasan bar alamat, dan kemudian salin dan tampal (‘copy and paste’) kod mudah dan ringkas di bawah, tampalkan di pintasan bar alamat dan kemudian tekan "enter".

javascript:void(prompt('',gApplication.getMap().getCenter()));

5. Ini akan mengaktifkan ‘pop-up’ window kecil yang akan menunjukkan koordinat lokasi terpilih dalam format perpuluhan. Lihat paparan di bawah.


Baik. Selamat Mencuba!

Sumber : gps

Thursday, 14 October 2010

RUMAH IDAMANKU.... milikku


MEMILIKI kediaman sendiri adalah sesuatu yang diidamkan oleh semua. Keputusan untuk membeli rumah adalah sangat signifikan dan merupakan satu langkah besar dalam kehidupan seseorang. Ia bukan hanya memerlukan komitmen kewangan yang tinggi malah membeli rumah adalah satu pelaburan jangka panjang yang besar faedahnya.

Dalam merancang pembelian rumah banyak elemen yang perlu diambil kira, di antaranya; struktur isi rumah, tarikh pembelian, deposit dan pendahuluan, tempoh pinjaman dan pembayaran balik serta jumlah ansuran bulanan. Pengiraan secara teliti harus dilakukan agar tidak mempengaruhi perancangan perbelanjaan yang lain.

Hari ini membeli rumah melibatkan kos yang besar. Boleh dikatakan majoriti pembeli memilih mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan untuk membiayai pembelian rumah mereka. Maka di sinilah, pembeli khususnya pembeli Muslim perlu membuat keputusan yang tepat dengan memilih institusi kewangan Islam. Ini kerana menerusi institusi kewangan Islam, urus niaga kewangan mereka bebas daripada riba, atau faedah.

Aspek lain yang penting diambil perhatian oleh pembeli dalam pembelian rumah adalah perlindungan takaful/insurans.

Ini kerana takaful/insurans menyediakan perlindungan kewangan dan juga kepada ahli keluarga. Apabila memohon pinjaman perumahan, pembeli perlu mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagai peminjam serta institusi perbankan kerana pembeli akan berurusan dengan institusi perbankan di dalam tempoh yang panjang.

Dengan memahami serba sedikit tentang pengetahuan asas, hak dan tanggungjawab di dalam pembelian sesebuah rumah, pembeli dapat mengurangkan masalah berbangkit di kemudian hari.

Syariah dan kompetitif

Alhamdulillah, institusi kewangan Islam di negara ini mampu menyediakan kaedah pembiayaan pemilikan rumah yang mematuhi syariah dan kompetitif. Di antara kaedah yang popular ialah Bai Bithaman Ajil (BBA) dan kontrak perkongsian Musyarakah Mutanaqisah (MM).

Kaedah BBA adalah kaedah yang mula-mula digunakan dalam pembiayaan perumahan secara Islam oleh institusi kewangan Islam di Malaysia, pada masa itu Bank Islam Malaysia Berhad. Kaedah ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia. Kaedah ini merujuk kepada jualan barangan di mana penjual membayar kepada pembeli harga jualan secara tangguh berserta dengan suatu margin keuntungan yang dipersetujui, sama ada secara sekali gus atau secara ansuran.

Zaharuddin Abd. Rahman di dalam artikelnya, Pembiayaan Perumahan Secara Islam Semakin Inovatif menyebut bahawa konsep ini sangat popular di Malaysia dan sehingga Disember 2005, konsep BBA digunakan sebanyak 52.9 peratus dalam penerbitan Bon Islam (Sukuk) berbanding konsep-konsep lain.

Sepanjang tahun 2005 juga konsep ini digunakan sekitar 41 peratus pula di dalam produk pembiayaan kewangan pelanggan.

Mekanisme operasi BBA ialah pembeli memilih suatu aset yang ingin dibeli, kemudian pembeli mendapatkan pembiayaan BBA daripada bank dan berjanji akan membeli aset tersebut pada harga jualan. Pihak bank akan membeli aset tersebut daripada pemilik secara tunai dan aset tersebut telah menjadi hak milik pihak bank.

Selepas itu pihak bank akan menjual aset berkenaan kepada pembeli berdasarkan harga jualan yang telah termasuk keuntungan yang telah dipersetujui. Hak milik aset tersebut berpindah kepada pembeli dan pihak pembeli akan membayar harga jualan kepada bank secara ansuran di dalam tempoh yang telah dipersetujui.

Pelanggan A ingin membeli rumah berharga RM200,000. Kebiasaannya pelanggan akan membayar 10 peratus iaitu RM20,000 sebagai deposit kepada pemaju. Pelanggan A akan menandatangani perjanjian Sale and Purchase (S&P Agreement) dengan pihak pemaju dan kemudian akan mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank.

Jika Pelanggan A layak membuat pembiayaan maka pihak bank bersetuju membeli rumah itu daripada pelanggan tadi dengan harga RM180,000 setelah ditolak 10 peratus deposit yang telah dibayar tunai oleh Pelanggan A.

Maka rumah tadi telah bertukar hak milik kepada pihak bank setelah semua proses pemilikan ke atas rumah itu telah diselesaikan. Pihak bank akan menjualkan rumah (yang telah dibelinya tadi) itu kepada pelanggan yang sama dengan harga baru disebut sebagai harga jualan iaitu RM350,000 yang boleh dibayar oleh pelanggan secara ansuran bulanan dalam tempoh 20 tahun atau lebih, bergantung kepada persetujuan.

Satu lagi kaedah pembiayaan perumahan secara Islam yang telah ditawarkan oleh institusi kewangan Islam ialah Musyarakah Mutanaqisah (MM). Ia disebut-sebut sebagai alternatif kepada BBA.

Kaedah ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara pada 6 Februari 2006 sebagai kaedah pembiayaan yang mematuhi Syariah kerana ia adalah satu kontrak yang dibenarkan dalam Muamalat Islam. (Shariah Resolution in Islamic Finance-BNM)

Perkongsian dengan bank

Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera dalam artikelnya, 'Pembiayaan Pembelian Rumah Secara Islam Alternatif' menerangkan, dalam MM ini melibatkan dua bahagian kontrak iaitu pelanggan membuat perkongsian (musyarakah) dengan bank di bawah konsep Syirkah al-milk (pemilikan bersama) dan bank memajak sahamnya ke atas pemilikan rumah berkenaan kepada pelanggan di bawah konsep ijarah (pajakan).

Di bawah MM ini pelanggan yang berhajat untuk membeli aset akan menemui pihak bank bagi mendapatkan pembiayaan. Pihak bank dengan pelanggan berkenaan akan menandatangani perjanjian Musyarakah untuk sama-sama membeli aset berdasarkan nisbah saham masing-masing sebagai contoh 90:10.

Deposit yang mungkin telah dibayar oleh pelanggan akan dikira sebagai bayaran awal sahamnya. Pelanggan kemudiannya akan menyewa bahagian aset yang dimiliki oleh bank menerusi perjanjian Ijarah.

Setiap pembayaran sewa adalah dikongsi bersama antara pelanggan dengan bank menurut nisbah pemegangan saham masing-masing dan dalam bayaran sewa yang dibayar oleh pelanggan sejumlah tertentu akan digunakan untuk membeli bahagian saham yang dimiliki oleh pihak bank. Justeru, nisbah saham pelanggan akan terus meningkat selepas setiap pembayaran sewa dan nisbah saham pihak bank akan terus berkurangan sehinggalah ia dimiliki sepenuhnya oleh pelanggan.

Dalam pembiayaan perumahan, aspek perlindungan takaful adalah antara aspek penting yang perlu diberi perhatian. Perlindungan ini perlu untuk memberi jaminan kewangan sekiranya sesuatu yang tidak diingini terjadi.

Secara umumnya, sekurang-kurangnya perlindungan takaful berikut perlu diambil oleh seseorang yang membuat pembiayaan membeli rumah iaitu Pelan Takaful Gadai Janji, Pelan Takaful Empunya Rumah dan Takaful Isi Rumah.

Pelan Takaful Gadai Janji ialah perlindungan takaful yang melindungi pihak pelanggan bank dalam bentuk menyelesaikan baki pembiayaan jika pelanggan berkenaan mengalami kehilangan upaya kekal atau meninggal dunia.

Manakala, Pelan Takaful Empunya Rumah ialah satu bentuk pelan perlindungan takaful untuk melindungi rumah kediaman terhadap kerugian atau kerosakan akibat bencana seperti banjir atau gempa bumi.

Takaful Isi Rumah pula memberi perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan kandungan rumah kediaman, dan perlindungan kepada pelanggan sebagai peserta jika berlaku kecederaan maut.

Pelanggan boleh menyertai Takaful Empunya Rumah atau Takaful Isi Rumah atau kedua-duanya sekali untuk perlindungan yang menyeluruh.

Perancangan yang betul akan dapat memberikan keselesaan dan meminimakan masalah berbangkit dalam mengurus pembelian dan pembiayaan perumahan.

Mudah-mudahan dengan sedikit persedian khususnya dari sudut pengetahuan asas akan dapat membantu seseorang itu membuat keputusan yang lebih tepat untuk membeli dan memiliki sebuah rumah yang diidamkan.

Sumber : Utusan Online 2 Disember 2009 (15 Dzulhijjah 1430) Artikel bertajuk Pembiayaan Perumahan Secara Islam