Showing posts with label Dundee Kisah -kisah lain. Show all posts
Showing posts with label Dundee Kisah -kisah lain. Show all posts

Thursday, 26 August 2010

PUASA RAMADAN DI DUNDEE, SCOTLAND (1431 HIJRAH @ 2010) - IFTAR

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland

Kali ini kali ketiga saya sekeluarga berpuasa Bulan Ramadan di luar negara, tahun 2008, 2009 dan tahun 2010. Kebiasaan saya sekeluarga jikalau dalam Bulan Ramadan saya sekeluarga berbuka di Masjid Utama Dundee. Masjid itu memang berdekatan dengan pangsapuri kami.

Amalan masyarakat Melayu – Islam di sini, sebelum berbuka, kami beramai – ramai bertadarus Al-Quran sementara menunggu waktu berbuka. Bertadarus jika diperhatikan, tidak diamalkan oleh Muslim di sini, kebanyakan mereka membaca Al Quran secara solo, jika diperhatikan mereka lebih cuba untuk menghafal surah – surah yang ada dalam Al Quran. Setelah waktu berbuka hampir, kami semua, bersama dengan para jemaah yang lain, akan bergerak ke tingkat satu masjid untuk berbuka.

Berbuka dengan tamar, pakora, samosa – makanan orang Pakistan (ramai warga berasal dari Pakistan di sini, klik di sini untuk makluman selanjutnya), serta minuman (bukan air panas (teh atau kopi seperti di Malaysia), seperti minuman bergas, jus atau air kosong dan juga buah – buahan seperti pisang dan tembikai susu. Kemudian selepas itu para jemaah ke dewan utama untuk Solat Maghrib. Setelah selesai menunaikan solat sunat selepas Maghrib, jemaah akan bergerak semula ke tingkat atas dan bertaur untuk mendapatkan makanan berat. Kalau di sini (Masjid Utama Dundee) lebih kepada makanan masyarakat Pakistan, antaranya Nasi Pilau (Pulou – nasi digaul bersama daging kambing biri – biri atau ayam), Nari Biryani, dan Roti Paratha, Nan, Chapati, dengan kari kambing biri – biri atau ayam, atau ayam tikka/tandoori, atau jika tidak berbuka dengan Nasi Arab (Populasi Arab juga ramai di sini, klik di sini untuk bacaan lanjut).






Juadah ketika hendak berbuka – dimulakan dengan makanan ringan seperti tamar, pakora, popia dan pisang.
Makanan ‘ditaburkan’ di atas plastik alas.
Jemaah bersedia untuk berbuka.
Nasi, ayam tandoori, dan ‘sweet rice’.
Roti Nan dan Kari daging kambing biri – biri.

Kalau berbuka puasa di satu lagi Masjid di Dundee ini iaitu di Masjid Victoria (perlu naik kenderaan untuk ke sana), amalannya ialah berbuka dengan makanan berat terlebih dahulu dan kemudian berjemaah solat Maghrib. Kalau di sini, makanan untuk berbuka agak ‘mewah’ sedikit, selain daripada makanan – makanan yang disebutkan di atas, tambahan seperti pizza, kebab, pelbagai jenis masakan ayam dan sebagainya.

Apapun kenangan berpuasa (lebih – lebih lagi berpuasa di musim panas – selama 20 jam dan berbuka / beriftar di masjid menjadi pengalaman berguna buat saya. Saya bersyukur jerana diberi peluang untuk mengenal dunia luar. Insyaallah semua ini akan mematangkan saya untuk lebih berfikiran terbuka dan rasional. Antara ‘guru’ yang paling berkesan dalam memperoleh ilmu ialah pengalaman kita sendiri.

naimoiman

Sunday, 22 August 2010

KEMAS BARANG UNTUK PULANG (OGOS 2010)

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland

Letih tapi puas hati!. Itulah dua perkataan yang terpacul di mulut saya apabila melihat barang - barang telah selamat berada di atas lori untuk diangkut balik ke Malaysia (13 Ogos 2010 - Jumaat). Itu merupakan pemunggahan barang fasa kedua dan yang paling banyak, setelah fasa pertama penghantaran barang dilakukan pada akhir bulan Mei 2010 yang lepas.

Barang – barang daripada fasa pertama, Alhamdulillah, dimaklumkan oleh keluarga di Malaysia telahpun selamat sampai pada awal bulan lapan 2010. Dua buah kotak besar yang ketinggian mencecah 80 cm tiba di rumah keluarga saya di Semenyih dalam keadaan yang amat elok. Hanya mengambil masa selama dua bulan untuk sampai. Syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan barang – barang ini memberi jaminan barang – barang akan sampai terus ke pintu rumah yang dialamatkan dalam masa 6 hingga 10 minggu (perjalanan di laut di dalam kontena menaiki kapal).

Untuk fasa pertama saya menggunakan Syarikat PalShipping yang berpangkalan di Manchester – milikan orang Malaysia. Ia menawarkan pelbagai jenis kaedah pengangkutan dan penghantaran sama ada kontena, kotak PalShipping, kotak sendiri dan sebagainya. Sila klik pada pautan untuk ke laman sesawang syarikat tersebut.

Saya mengambil penghantaran Kotak PalShipping di mana kotak tersebut saiznya lebih kurang tapak 50cm x 50 cm x 80cm. Setelah membuat tempahan kotak melalui telefon, kotak akan dihantar terus ke rumah oleh agen yang dilantik (kakitangan PalShipping Orang Malaysia). Deposit akan dikenakan sebanyak £5.00, harga sekotak ialah £36.00 (harga menang berpatutan). Setelah itu, selepas selesai proses memasukkan barang – barang ke dalam kotak, kotak dikutip setelah dibuat temujanji melalui telefon. Pada saya, saya amat – amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan, agen yang datang, Encik Suhaimi, Encik Khairul dan Encik ? juga ramah dan mesra. Saya mengesyorkan pada pembaca yang sekarang berada di luar negara terutamanya United Kingdom, yang ingin merancang untuk pulang, agar mengambil khidmat PalShipping untuk penghantaran barang pulang ke Malaysia.

Fasa yang kedua. Pemunggahan dan pembungkusan barang – barang yang paling letih dan paling sibuk, paling menguji kesabaran dan ketabahan, mengambil masa berminggu – minggu, dibuat sedikit demi sedikit, kena guna kaedah ‘cuba dan cuba lagi’. Apabila dikira kotak yang dihantar mencecah bilangan 25 kotak dengan pelbagai saiz.


Barang – barang setelah dimasukkan ke dalam kotak

Banyak peralatan digunakan untuk pembungkusan seperti gunting, pita pembalut bungkusan (‘parcel tape’), pembungkus bergelembung (‘bubble wrap’) dan kertas label. Dinasihatkan agar kotak apabila dimasukkan barang mempunyai berat yang tidak jauh bezanya. Barang – barang kaca (atau barang – barang dikategorikan ‘fragile’) perlu dibalutkan dengan ‘kusyen’ terlebih dahulu, tidak kira sama ada menggunakan pembungkus bergelembung atau kertas, dan kemudian baru dimasukkan ke dalam kotak. Apabila dimasukkan ke dalam kotak pastikan barang tersebut dikelilingi dengan ‘kusyen’ juga agar ia cukup untuk menyerap hentakan. Juga pastikan bahawa barang – barang kaca tidak berherak bagi mengelakkan ia berlaga antara satu sama lain. Bolehlah dibuat ujian, cuba goncang – goncang kotak yang dimasukkan barangan mudah pecah ke dalamnya, kalau tidak ada bunyi, bermakna ia boleh, kalau ada bunyi perlulah menyelit apa – apa sahaja kertas untuk pastikan bunyi itu hilang.


Kotak – kotak perlu dilabelkan dan semua ini dibekalkan oleh Putra Venture.


Kotak – kotak dibungkus dengan pembungkus plastik dan setelah berada di atas palet.

Kali ini saya menggunakan khidmat Syarikat Pengangkutan Putra Venture – milikan orang Malaysia, yang berpangkalan di Dublin, Ireland Utara. Saya mengambil kaedah penghantaran menggunakan palet (Kalau sesiapa yang pernah bekerja di gudang dia akan tahu apa dia) – juga ada kaedah penghantaran lain, sila rujuk laman sesawang. Di atas palet boleh letak apa sahaja barang – tapi untuk selamat baik ia berkotak. Kotak disusun di atas palet selagi ia tidak melebih keluasan palet. Tinggi susunan kotak tidak melebih 78 inci (kalau ikut syarat yang diberi oleh Putra Venture). Jadi, Alhamdulillah barang – barang saya dilihat selamat semua berada di atas palet walaupun kotak jumlahnya sebanyak 25 kotak perbagai saiz.


Kotak – kotak dibungkus semula agar tiada kotak yang ‘loose’ apabila tiba di depot syarikat pengangkutan – pada ketika ini kotak – kotak telah selamat sampai di tangan Putra Venture. Notis makluman dikeluarkan melalui email.

Prosedurnya ialah, pertama lawat laman sesawang Putra Venture atau individu dilantik Putra Venture – dalam kes saya di United Kingdom ini saya berurusan dengan Encik Ihsan. Kemudian saya pilih kaedah penghantaran iaitu palet – harganya satu palet ialah £220. Sebut harga (‘Quotation’) dihantar melalui email. Bayaran deposit dibuat, dan temujanji pengutipan barang – barang akan dibuat. Putra Venture melantik syarikat pengangkutan milikan orang tempatan untuk melakukan pengutipan barang – barang pelanggan. Dimaklumkan di sini bahawa palet tidak dibawa bersama, hanya barang – barang akan diangkut ke dalam lori dan pembungkusan barang – barang di atas palet akan dilakukan di depot syarikat pengangkutan terbabit. Sampai di sana barang – barang yang siap di atas palet akan dibungkus dengan plastik pembungkus. Barang – barang kemudian dihantar ke Dublin. Setelah pengesahan penerimaan barang dibuat oleh Putra Venture, bayaran selebihnya perlu didepositkan ke dalam akaun Putra Venture. Kemudian barang – barang akan berada di gudang sehingga masa kontena akan berlepas ke Malaysia. Kontena Syarikat Putra Venture dimaklumkan berlepas selepas pertenganan bulan.

Saya juga amat – amat berpuas hati dengan syarikat Putra Venture ini. Segala maklumat bermula daripada sebut harga dan lain - lain maklumat juga jelas secara bertulis. Sehinggakan pergerakan barang – barang juga dimaklumkan melalui melalui email. Individu atau kakitangan Putra Venture juga memberi perkhidmatan yang terbaik sepanjang saya berurusan dengan mereka. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Encik Ihsan dan Encik Azri.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga Komuniti Melayu Dundee dan sahabat – sahabat yang lain yang sudi membantu saya mengangkut barang – barang dari tingkat dua hingga tingkat bawah dengan bantuan lif, lebih – lebih lagi bulan ini Bulan Ramadan Bulan Puasa, saya berdoa semoga mendapat pahala yang berlipat kali ganda, Insyaallah. Bantuan Allah pasti ada untuk mereka yang memerlukan.

Fasa yang ketiga dan ini merupakan fasa yang terakhir. Pemunggahan barang yang selebihnya dan kali ini barang – barang ini akan bersama – sama dibawa ke dalam kapalterbang. Dalam perancangan saya, daripada mata kasar memang barang – barang yang tinggal dilihat tidaklah banyak sangat, dan diharapkan kami sekeluarga cuma bawa beg maksimum 3 buah apabila pulang ke tanah air pada akhir bulan Ogos 2010 ini. Tetapi, pemunggahan, kemas dan masuk barang ke dalam beg kali ini perlu dilakukan beberapa kali.


Nasihat saya pada para pembaca, pastikan anda memulakan proses pemunggahan lebih awal, paling lewat mungkin 3 minggu sebelum hendak bertolak. Lakukan ‘cuba dan cuba lagi’, apabila barang – barang dimasukkan ke dalam beg. Mungkin nanti perlu melakukan ‘penambahan’ beg daripada apa yang dirancang. Ia berlaku kepada saya. Daripada tiga beg yang dirancang, akhir sekali, bilangan beg yang dibawa bersama – sama ke dalam kapal terbang ialah 6 buah iaitu 2 beg bersaiz besar, 2 beg bersaiz sederhana dan 2 buah lagi dibawa sebagai ‘hand luggage’. Ini tidak termasuk sebuah kotak setinggi 80 cm yang mana barang – barang dikategorikan tidak penting, diposkan melalui PalShipping.

Semak dengan syarikat penerbangan untuk memastikan kelayakan kuantiti dan berat beg yang boleh dibawa oleh seorang penumpang. Tidak mahu berlaku keadaan di mana orang naik kapal terbang tapi beg tertinggal. Kalau boleh berat beg jangan melebihi berat yang dibenarkan. Kalau tidak nanti kena bayar untuk setiap kilo yang berlebih. Kalau British Airways, satu kilo lebih, tambahan £30 dikenakan. Lagi satu, sekarang teknologi semakin canggih, lapor masuk dibuat secara atas talian dan lapor masuk beg dibuat sendiri di kaunter layan diri lapor masuk beg di lapangan terbang, kalau beg terlebih berat nanti, mesin akan kira dan secara tanpa rasa ihsan, budi bicara ‘mesin’ tersebut, pasti kena bayar lebihan berat yang ada. Jadi perlu berhati – hati.

Cikgu Azmi

Wednesday, 11 August 2010

PUASA RAMADAN DI DUNDEE, SCOTLAND (1431 HIJRAH @ 2010)

Semasa saya menulis entri ini, saya baru sahaja selesai menunaikan solat sunat Tarawikh untuk malam yang kedua. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam dan perut pun masih kenyang. Kemudian kena bersahur terus kerana imsak adalah pada jam 1.59 pagi. Hari ini berbuka di rumah sahaja, berbuka bersama keluarga pada hari pertama berpuasa Ramadhan – telah menjadi amalan saya sekian lama sebelum ini. Sebelum ini ketika Ramadhan, banyak kali saya dan keluarga beriftar @ berbuka puasa di masjid dengan menunya ialah nasi pilau bercampur daging kambing (nasi orang Pakistan – ala ala nasi goreng Malaysia).

Alhamdulillah, berpuasa pada hari yang pertama hari ini – 11 Ogos 2010 selama hampir 20 jam berjaya dilaksanakan. Bermula imsak pada jam 1.45 pagi dan berbuka pada jam 9.05 malam. Ramadhan tahun 1431 Hijrah @ Ogos 2010 kali ini tiba pada penghujung musim panas. Jam baru sahaja memulakan putarannya semula dan waktu Isyak dan Subuh pun baru boleh dikesan.


Untuk pengetahuan para pembaca, Dundee tempat saya tinggal ini lokasinya terletak di bahagian Utara kepulauan United Kingdom. Jadi pengaruh cahaya Matahari sangat memberi kesan besar kepada waktu solat dan juga musim. Boleh baca di sini untuk maklumat lanjut tentang lokasi UK di peta dunia dan dan di sini tentang lokasi Scotland seterusnya Dundee di dalam United Kingdom. Dan lihat di sini untuk melihat mengapa berlakunya perubahan musim di negara – negara 4 musim.

Hari pertama solat sunat Tarawikh berjemaah semalam, bermula lewat pada jam 10.30 malam kerana waktu Isyak hanya masuk pada jam 10.18 malam. Solat sunat tarawikh di sini tiada ‘laungan’ pujian – pujian kebesaran Allah dan Rasullullah yang diselang seli dengan solat sunat Tarawikh dua rakaat. Solat lebih fokus dalam suasana yang kondusif, suasana sunyi, hanya kedengaran alunan ayat – ayat Al Quran oleh Imam – kita boleh merasai ‘suasana’ kita berada di dalam rumah Allah menghadap-NYA. Ramadhan juga merupakan bulan turunnya Al quran, maka bacaan surah selepas Al-Fatihah setiap rakaat dalam solat Tarawikh bermula dengan surah Al-Baqarah sehingga khatam satu Al quran dalam satu bulan Ramadhan.

Di sini saya berpeluang bersolat dengan pelbagai jemaah yang berasal dari pelbagai negara terutamanya Pakistan dan Arab. Dan juga terbuka minda mengenai kaedah solat yang berpegang pada mazhab – mazhab tertentu, namun solat itu hanya satu, sujud pada Allah yang Satu, Yang Maha Esa. Contohnya ketika berdiri tegak, posisi tangan ada yang letak di bahagian perut, dada dan ada juga yang lepas tangan. Satu lagi, saya amat kagum dengan semangat Ramadhan yang ditunjukkan. Jemaah terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Semua berpusu – pusu ke masjid. Amalan – amalan seperti zikir, bacaan Al Quran diperhebatkan. Namun saya amat tersentuh dengan semangat yang ditunjukkan lebih – lebih lagi orang yang sudah berumur @ tua datang ke masjid dengan bertongkat, mengejar pahala Ramadhan berlipat kali ganda menunaikan solat sunat Tarawikh 20 rakaat walaupun solat dengan cara duduk.


Pada akhir Ramadhan iaitu pada 9 Sepetember 2010, waktu imsak akan menjadi 4.10 pagi dan berbuka pada jam 7.49 malam. Tempoh masa berpuasa semakin pendek lebih kurang 15 jam, memandang musim menuju ke musim luruh.

Di bahagian bawah jadual solat di atas ada ditunjukkan bayaran zakat fitrah iaitu £3.00 seorang untuk tahun ini.

Begitulah pengalaman yang dihadapi oleh saya semasa berpuasa di negara orang atau kita kata di perantauan berjauhan dengan keluarga, adat dan cara kita di Malaysia. Ini kali ketiga saya berpuasa di sini bermula pada tahun 2008 (pertengahan musim luruh) dan tahun 2009 (permulaan musim luruh).

Walaupun berpuasa pada musim panas agak mencabar, namun ia merupakan pengalaman berguna yang mendidik jiwa lebih bersabar dan menguatkan iman, pegangan, taat kepada ajaran Islam. Puasa pada musim sejuk mungkin lebih ‘seronok’ kerana boleh berbuka awal pada jam lebih kurang 3.30 petang. Namun dimaklumkan oleh teman di sini bahawa kitarannya ialah 25 tahun sekali. Katakan sekarang berpuasa pada penghujung musim panas, waktu berpuasa yang sama akan berlaku 25 tahun dari sekarang.

Saya mengambil kesempatan mengucapkan SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA DAN SEMOGA IBADAH PUASA KITA DITERIMA INSYAALLAH.

Tambahan : Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan dan dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan kali ini. Moga ibadah puasaku dan ibadah – ibadahku selama ini diterima.

Cikgu Azmi

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro