Showing posts with label Masyarakat Melayu Islam - Amalan. Show all posts
Showing posts with label Masyarakat Melayu Islam - Amalan. Show all posts

Sunday, 18 April 2010

Buang amalan khurafat

Pandangan daripada Ustaz Abu Hassan Din

Abu Hassan Din

Binaan atas kubur...

Terlebih dahulu kita perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan membuat binaan. Setakat kita membuat dinding simen atau mar mar di sekeliling kubur itu bukan termasuk dalam binaan atau perhiasan.

Tetapi jika sampai ke tahap membuat bumbung di kubur, itu sudah termasuk dalam membuat binaan. Ini diharamkan kecuali pada kubur para rasul, sahabat dan yang setaraf dengannya.

Ada pun, amalan masyarakat yang suka menabur bunga di pusara, ini pun tidak ada nas yang mensyariatkannya. Adalah dibimbangi perbuatan sedemikian boleh membawa kepada termasuk dalam perhiasan itu tadi.

Kalau ada pun dalam syarak adalah amalan para ulama yang menyiram air atas pusara selepas jenazah disemadikan.

Perbuatan memacak sesuatu yang basah seperti pelepah tamar atau kelapa, ada nas menyebut selagi ia masih basah ia masih bertasbih pada Allah memohon keampunan pada mayat.

Barangkali berdasarkan nas tadi, agak masyhur di kalangan masyarakat kita untuk menanam pokok kemboja kerana ia basah dan akan mendoakan si mati.

Tetapi tidak pula disebut memacak payung di atas pusara. Tidak ada nas menyuruh perbuatan sebegini dan ulama menyebut ia termasuk dalam bidaah dan khurafat.

Tahlil arwah yang dilihat mesti dibuat apabila berlaku kematian...

Ini satu lagi perkara yang sampai sekarang masih diperdebatkan. Bagi yang tidak mengharuskannya, ia dianggap bidaah atas alasan antaranya Nabi SAW tidak pernah membuat tahlil arwah dan juga bersandarkan hadis bermaksud :
Apabila mati anak Adam putuslah amalnya kecuali tiga iaitu amal jariah, doa anak soleh dan ilmu yang bermanfaat”. (riwayat Muslim)

Bagi ulama yang mengharuskannya, tahlil dibolehkan berdasarkan hadis yang sama. Cuma yang terputus adalah amalan orang yang mati. Sedangkan amalan orang yang masih hidup untuk di mati masih belum putus dan boleh dilaksanakan.

Keharusan tahlil juga bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW di mana pada suatu hari baginda didatangi oleh seorang wanita. Kata wanita itu: "Ya Rasulullah, ibu saya baru meninggal dunia dan belum mengerjakan haji. Lalu Nabi menjawab, kerjakan olehmu haji untuk ibumu itu".

Bersandarkan peristiwa itu, ulama memutuskan bahawa orang yang hidup boleh membuat ibadat seperti haji, puasa dan sedekah untuk si mati.

Bagaimanapun, soal menetapkan tarikh tahlil pada malam pertama, ketiga, ketujuh, ke-40 dan 100, ini tidak ada nasnya. Bahkan ada pendapat ulama bahawa hal ini tergolong dalam bidaah.

Kalau nak buat tahlil, buat sahaja pada bila-bila masa jangan kaitkan dengan masa atau tarikh tertentu.

Lagi pun, bagi saya, tahlil untuk si mati itu bukan kemestian. Ia sekadar untuk membantu atau menambah sedikit pahala kepada si mati.

Itupun dengan syarat si mati itu orang yang semasa hidupnya beribadat dan bertakwa. Jika semasa hayatnya, si mati tadi dikenali sebagai orang yang tidak pernah solat malah hidupnya sentiasa bergelumang dengan maksiat, secara peribadi saya melihat tahlil tiada ada faedah baginya.

Contohnya, seorang bapa semasa anak mudanya masih hidup tidak pernah menyuruh anaknya solat malah hidup anaknya terlalu bebas sehingga tidak mengenali Tuhan.

Tiba-tiba anaknya itu mati, adakah tahlil boleh membantu atau memberi faedah kepadanya, kebanyakan ulama berpendapat, ia tidak memberi sebarang faedah.

Kalau hendak membantu anak atau kaum keluarga daripada api neraka pastikan ia dibuat semasa hayat mereka bukan setelah mereka mati.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka...” (al-Tahrim: 6).

Majlis cukur jambul...

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud:
"Seorang anak terikat dengan akikahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama". (riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Rasulullah sendiri mencukur rambut cucunya iaitu Hasan dan Husin semasa melakukan akikah. Mencukur di sini bermaksud membotakkan kepala anak.

Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa Nabi SAW mengakikah seekor kambing untuk cucunya dan berseru : "Hai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah dengan perak kepada orang-orang miskin seberat timbangan (rambutnya). Mereka berdua lalu menimbangnya, adalah timbangannya waktu itu seberat satu dirham atau sebahagian dirham". (riwayat Tirmidzi)

Sayangnya, menjadi amalan dalam masyarakat kita dalam majlis bercukur jambul akan diadakan berzanji dan marhaban. Kemudian bayi tadi dibawa bersama sebiji kelapa dan hadirin akan menggunting sedikit rambutnya dan dimasukkan ke dalam kelapa itu.

Berdasarkan pandangan ulama, perbuatan begini adalah bidaah dan khurafat.

Kita dilarang melakukan qazak iaitu mencukur sebahagian tertentu kepala anak itu sahaja.

Daripada Abdullah bin Umar r.a., bahawasanya dia berkata :
Nabi SAW melarang daripada mencukur sebahagian kepala anak kecil, dan meninggalkan yang sebahagian lain, iaitu qazak.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara kelebihan mencukur kepala, rambut yang ada pada kepala bayi dibimbangi mengandungi kuman yang dibawa bersama daripada dalam rahim.

Jika tidak dibuang dibimbangi kuman atau virus itu akan meresap dalam kepala dan otak yang mungkin menjejaskan mental bayi tersebut.

Hukum melukis inai pada tangan terutama bagi gadis yang mahu berumah tangga...

Islam melarang perbuatan melukis pada mana-mana anggota badan tidak kira apa juga bahan yang digunakan sama ada kekal atau sementara.

Ini ditegaskan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud :
"Allah melaknat (washam) yang bekerja sebagai melukis di badan orang dan orang yang meminta supaya dilukis".

Sepatutnya, berkahwin itu adalah perbuatan yang baik, maka jangan dicampur aduk dengan benda atau perbuatan yang kurang baik lebih-lebih yang khurafat.

Dibimbangi akan kurang keberkatan dalam perkahwinan tersebut.

Tentang pakai inai ia memang diharuskan tetapi jangan dilukis.

Demikian juga dengan upacara menepung tawar yang kini dilihat sudah jadi tradisi dan sebati dalam masyarakat. Sedangkan ia bukan budaya Islam.

Sebab itu, ulama berpendapat perbuatan merenjis dengan tepung tawar itu untuk tujuan apa sekali pun adalah termasuk dalam bidaah dan khurafat. Ia patut ditolak.

Ada juga sebahagian ulama yang membolehkan merenjis dengan syarat jangan guna tepung tawar. Gantikan dengan benda lain seperti merenjis air mawar.

Kedua, jangan ada niat tertentu tetapi seelok-eloknya jangan amalkan budaya ini.

Hukum memelihara anjing sebagai kegemaran...
Memang tidak ada nas yang melarang kita memelihara anjing. Cuma kita kena tengok apakah tujuan berbuat demikian.

Dalam kitab fiqh ada istilah kalbul mu'allim iaitu anjing yang dilatih untuk berburu. Dalam keadaan ini adalah diharuskan untuk kita menggunakan anjing. Syaratnya, tempat gigitan anjing itu tidak boleh dimakan.

Berdasarkan hukum ini, ulama berpendapat tidak jadi kesalahan jika orang Islam pelihara anjing bagi tujuan menjaga keselamatan harta benda dan rumah.

Tetapi pada masa yang sama, kita perlu tahu bahawa anjing itu adalah binatang bernajis. Jika ia menjilat atau kita terkena jilatan anjing maka ia perlu disamak.

Dalam hal memelihara anjing untuk tujuan suka-suka, dibimbangi kita terkena najisnya. Apatah lagi jika anjing itu dibiar berkeliaran dalam rumah. Dalam keadaan demikian, kita tidak boleh memastikan tentang najis anjing itu yang keluar masuk ke rumah.

Pada masa yang sama, Rasulullah ada bersabda yang bermaksud :
Malaikat tidak akan masuk dalam mana-mana rumah yang ada anjing dan patung”. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalau demikian, bagaimana kita hendak mendapat rahmat Allah?

Sumber : Utusan Melayu, 6 April 2010 (22 Rabi’ul Akhir 1431)

Cukur jambul amalan bidaah orang Melayu

Pandangan daripada Ustaz Abu Hassan Din

ABU HASSAN DIN AL-HAFIZ.

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu.
Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda,
Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi)

Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin.

Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada hari ketujuh akan dilakukan tahnik, jelas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Menurut beliau, amalan tahnik adalah memasukkan sesuatu yang manis seperti manisan madu lebah atau buah tamar yang dihancurkan dan memalitkannya ke lelangit bayi. Sebaliknya, cecair manis hanya disapukan ke bibir bayi dan bukannya ke dalam mulut sebagaimana yang disunahkan oleh Rasulullah s.a.w..

Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.

Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan tradisi yang telah dilakukan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa.

Memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, maka ulama berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul adalah bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Islam yang cuba menghidupkan kembali kepercayaan seperti ini.

Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India seperti menggunakan buah kelapa. Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?” kata beliau.

Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain.

Menurut Abu Hassan, upacara cukur rambut tidak perlu disertakan dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.

“Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga, kita mengadakan majlis secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan. Perbuatan ini tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah s.w.t.. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah menjadi satu kesalahan,” ulas beliau mengenai kecenderungan masyarakat hari ini yang gemar mengadakan majlis cukur jambul secara besar-besaran.

Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepercayaan dan tradisi agama lain.

Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang Melayu dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan di negara ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu.

Antara adat yang tidak boleh dipisahkan oleh masyarakat Melayu ialah persandingan dan menepung tawar pengantin ketika majlis perkahwinan. Walaupun Islam tidak melarang tetapi dari segi perlaksanaannya ia tetap bertentangan dengan syariat agama. Contohnya, menghiaskan pengantin dan ditambah dengan pelamin yang berhias bunga-bungaan dan sebagainya. Kemudian, pengantin diletakkan di atas pelamin dan diadakan upacara merenjis dan menepung tawar. Malah pengantin perempuan pada hari ini juga cenderung melukis pelbagai bentuk dan corak pada tangan mereka sedangkan ia jelas bertentangan dengan hukum Islam yang melarang sebarang lukisan dilakukan pada anggota badan.

“Sebenarnya terlalu banyak adat dan tradisi yang bertentangan dengan syariat tetapi masih tetap diamalkan oleh masyarakat Melayu. Sepatutnya semua perkara bidaah ini harus dihentikan demi menjamin kesejahteraan ummah.“ Justeru, demi kebaikan bayi yang dilahirkan supaya menjadi manusia yang berguna kelak, tidak seharusnya mereka didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil,” tegas beliau.

Adat cukur jambul

Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan. Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan iaitu sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.

Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa yang dihias dengan lilitan rantai emas atau perak disekelilingnya diletakkan di dalam sebiji batil. Kesemua rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.

Adat berendoi

Semasa adat berendoi, bayi akan diletakkan di dalam buaian dengan menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.

Sumber : Utusan Melayu, 11 September 2006

ARTIKEL BERKAIT :
Perkara – perkara yang perlu dilakukan selepas kelahiran menurut lunas – lunas Islam

Amalan Selepas Kelahiran Masyarakat Melayu Malaysia