Thursday, 10 May 2012

Jalan – jalan Malaysia 3 – KIDZANIA DAN PUSAT SAINS NEGARA 2012

MEMANG MENYERONOKKAN DAN SANGAT TERUJA!.

Apa lagi perasaan yang boleh digambarkan dengan berkongsi pengalaman dalam lawatan sekolah anjuran Panitia Sains SK Taman Kosas ke KIDZANIA KUALA LUMPUR dan PUSAT SAINS NEGARA BUKIT KIARA.

Ikuti catatan ini.... ‘Dalam Gambar ada Cerita’. – Seminggu selepas bermalam di Petrosains.

Sabtu, 5 Mei 2012
8.00 pagi
Seawal jam 8.00 pagi, murid – murid yang menyertai rombongan ke Kidzania dan Pusat Sains Negara telah berkumpul di sekolah. Ada juga yang sempat menelefon, “Cikgu... cikgu kat mana nie? Kami semua dah sampai sekolah”.


Teruja buat kali pertama yang pertama kali untuk ke Kidzania dan ada juga yang dah pergi 3 kali tapi nak pergi lagi. Katanya kalau dulu pergi dengan ibu bapa dan kali ini nak merasa nak pergi dengan kawan – kawan pulak (Penulis pun teruja jugak.... best sangat ke Kidzania ni).

8.30 pagi “Hello cikgu, pukul berapa kita pergi, 8.30 kan?,”. ”Eh, bukan, pukul 8.00 pagi lah”. “Ok, sorry cikgu, bas dalam perjalanan”.

Cukup 40 orang murid yang menyertai rombongan ini dan disertai oleh 4 orang guru Sains yang hebat – hebat belaka.

Jam 8.30 pagi kami semua pun bertolak. Setelah kedebak, kedebuk, dengan bas baru nak isi minyak nyer, pemandu bas tidak tahu jalan nak ke Kidzania, sampailah sesat masuk ke Taman Megah dan Kayu Ara, Damansara. Akhir sekali tiba juga ke Kidzania dalam jam 9.15 pagi.  

*Petua : jalan ke Kidzania menuju ke Damansara Utama dan kemudian ke Mutiara Damansara, kalau dah jumpa One Utama, Ikea dan The Curve... memang dah sampailah tu.

Puan Salwa (PR Officer) menanti kehadiran kami. Pekerja Kidzania terus membawa kami ke tingkat 3 untuk dipakai tag tangan – ‘Radio Frequency Identification (RFID) bracelet’.

Murid – murid senyum lebar memakai Tag Tangan – bertukar menjadi Kidzanian ...... tak sabar – sabar nak masuk.  

*Petua lagi : Rombongan sekolah baik bayar dulu tiket masuk ... bank in aje dan kemudian slip deposit tu fakskan atau emailkan kepada pihak Kidzania. Jadi tak susah – susahlah nak membayar di kaunter masuk. Petua seterusnya : Bas rombongan boleh terus turunkan murid di foyer pintu utama Kidzania. Ini atas dasar keselamatan murid - murid.


Kaunter tiket di Kidzania Kuala Lumpur. Macam dekat lapangan terbanglah pulak.

Apa itu Kidzania? Mari kita tengok promo ini.

Sebelum penulis teruskan.... mari kita dengar lagu tema Kidzania yang dikenali sebagai Kidzania KL Dance.
 

Kemudian, tiket masuk memang agak mahal sedikit. Kalau kanak – kanak harganya RM55.00 seorang dan dewasa RM35.00 seorang. Jadi kena bawak banyak duit sikitlah tambahan lagi makanan dan minuman luar tidak boleh dibawa masuk. Kena beli dekat dalam Kidzania, harganya .... faham – faham sendirilah.

Selepas dipakaikan tag tangan, kami semua dibawa ke pintu masuk ke taman tema Kidzania.... tapi kami kena melalui pemeriksaan imigresen Kidzania terlebih dahulu. Di situ tag kami di’scan’ dan kami terus masuk ke taman tema Kidzania .... WAH !!!!!!!.


Kaunter Imigresen

Pengembaraan bermula.....
Murid – murid belum sempat diberi taklimat, mereka semua telah menghilangkan diri. Lepas ni biar gambar yang menceritakan apa yang mereka buat di dalam Kidzania Bandar Kanak – Kanak ini. Kami ada masa dari jam 9.15 pagi hingga 1.00 tgh untuk ‘Explore’.


Bank CIMB – masuk sahaja di sebelah kiri, semua kidzanian perlu mendapatkan duit modal untuk mereka menerokai Bandar Kidzania. Mata wang dalam bandar ini ialah Kidzos. Mereka akan diberi 50 Kidzos. Bank ini boleh dibuat akaun simpanan dan siap boleh buat ATM kad lagi. Simpanan wang perlu 50 kidzos ke atas dan ia boleh dikeluarkan apabila kita datang lagi ke sini.  

*Petua lagi : Dapatkan peta Bandar Kidzania ini supaya kita tahu tempat – tempat yang boleh kita bekerja dan memperoleh duit dan tempat yang kita boleh belanja untuk memperoleh barang atau makanan. Peta boleh diperoleh di Pusat Maklumat Kidzania di sebelah kanan pintu masuk utama ke bandar ini.  

*Petua lagi : Ada barangan dan makanan yang dijual dalam matawang kidzos dan juga Ringgit Malaysia. Untuk barangan dan matawang kidzos, mereka perlu melakukan atau menghasilkan sendiri barangan dan makanan tersebut.
 

Sekitar pintu masuk utama Bandar Kidzania – ada pawagam, marrybrown dan mahkamah serta balai polis.

Ada bomba di bandar ini – kanak – kanak berpeluang menjadi ahli bomba dan memadam kebakaran – di sini mereka diberi gaji.
 


Murid – murid SK Taman Kosas bekerja sebagai Doktor Gigi; mereka diberi tunjuk ajar cara – cara menggosok gigi dengan betul dan merawat pesakit – di sini mereka diberi gaji.
 
 Siap ada papan tanda lagi
 

Bekerja sebagai Bidan dan juga Doktor – di sini dibayar gaji. Siap dapat tanda nama (‘name card’) lagi – Dr. Najwa
 

Bakal – bakal Doktor dan Mak Bidan
 

Pemandangan salah satu laluan di bandar ini
 
Bekerja sebagai jurujual di kaunter pembayaran pasar raya – di sini mereka dibayar gaji

Duit Kidzos yang berjaya diperolehi, seronok setelah bekerja – masa untuk berbelanja
 
Papan tanda salah satu gerai yang menunjukkan barangan boleh dibeli menggunakan duit kidzos atau Ringgit Malaysia 

Papan tanda harga di Restoran makanan segera Marrybrown. Lihat pada Z-ekonomi, kidzanian kena bayar 15 Kidzos dan mereka boleh membuat burger sendiri dan makan burger itu.  

*Petua : Lihat betul papan tanda, jika Z-ekonomi menunjukkan +Kidzos (plus Kidzos), mereka bekerja dan mereka memperoleh duit, jika Z-ekonomi menunjukkan –Kidzos (minus Kidzos), mereka buat perkara terssebut dan membayar untuk mendapat perkara tersebut.
 

Salah seorang kidzanian SK Taman Kosas mencuba membuat burger sendiri. Dengan membayar 15 Kidzos, dia boleh makan burger tersebut selepas membuatnya sendiri. Boleh berbelanja di ‘Shopping Alley’ untuk mendapatkan cendehati Kidzania.
 

Berpeluang menjadi juruterbang Air Asia. Gaji yang diperolehi adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 30 Kidzos.

Berpeluang mencuba aktiviti lasak ‘Wall Climbing’, bekerja sebagai DJ radio dan pelakon pentas teater.
Bekerja sebagai jurugambar bebas. Dengan membayar 8 Kidzos, kidzanian akan bekerja sebagai jurugambar bebas, kemudian boleh bawa balik sekeping gambar mereka dengan bingkai Kidzania.
 

Bekerja sebagai sekuriti yang mengagihkan wang.

Bekerja sebagai ejen CSI. Siap dapat kad nama lagi.... kita tangkap orang. Mereka akan diberi kit penyiasatan dan berkomunikasi dengan polis Kidzania dan Ahli Forensik Kidzania.
 

Mendaftar sebagai penuntut kolej Kidzania. Bidang yang ditawarkan adalah bidang Sains Kesihatan, Kewartawanan dan Seni binaan. Kad nama sebagai penuntut kolej akan dikeluarkan.
 

Bekerja sebagai peguam dan hakim (yang hakim memang namanya HAKIM pun) dalam mahkamah dan bekerja sebagai posmen yang menghantar bungkusan ke tempat – tempat yang dialamatkan.

12.00 tgh  
Penat menerokai Bandar Kidazania... masa untuk makan pula. Pihak Kidzania juga menyediakan makanan dan minuman bergantung kepada tempahan. Ini termasuk dalam pakej lawatan.


1.00 tgh

Masa untuk pulang. Kidzanian dengan menaiki kapal terbang Air Asia tiba di Kidzania International Airport untuk kembali ke tanah air tercinta (Keluar dari Bandar Kidzania). Selamat Tinggal Kidzania. KAMI PASTI AKAN KEMBALI.

Wajah – wajah ceria ahli rombongan setelah menerokai Bandar Kidzania .... ada yang rasa tak nak balik pun ada dan ada yang berkata, ‘Cikgu, kalau cikgu buat lawatan lagi ke Kidzania, nak ikut ekk?’. Boleh, dengan syarat markah sains kena POWER.  

KIDZANIA SALAH SATU DESTINASI YANG WAJIB DIKUNJUNGI. PASTI TIDAK AKAN RUGI TETAPI KANAK – KANAK AKAN MENDAPAT PENGALAMAN YANG PASTI MEREKA TIDAK AKAN LUPA SAMPAI BILA – BILA.
 

Antara penaja – penaja Kidzania Kuala Lumpur

1.30 petang
Rombongan terus bergerak ke Pusat Sains Negara yang terletak di Bukit Kiara.

Tiba di Pusat Sains Negara lebih kurang jam 1.45 pm. Kebetulan ada pameran ‘Dinosaur Alive’. Tiket masuk rombongan sekolah RM10.00 seorang. Mahal RM5.00 berbanding tahun lepas.

Kami semua terus ke tingkat 4 untuk menunaikan solat Zohor.

Surau yang terdapat di tingkat 4 Pusat Sains Negara. Kena naik lif sebelah kanan. Amat selesa dan besar ruangnya. Ada juga surau di tingkat 1, tapi agak kecil sedikit.
 
Pintu masuk ke Ruang Pameran Utama Pusat Sains Negara. Melalui satu akuarium besar. Teringat Aquaria KLCC.
 
Di ruang legar luar Pusat Sains Negara. Kebetulan tahun ini merupakan sambutan ulang tahun ke 25 Pusat Sains Negara.
 

Ruang pameran utama Pusat Sains yang menempatkan pelbagai perkara dan aktiviti yang dilakukan secara ‘Hands-on

Kedai Cenderahati di luar Pusat Sains Negara. Di sebelah kedai cenderahati ada kafeteria. Kelihatan ahli rombongan yang kelaparan dan kehausan membeli air dan makanan.

Kebetulan ada pameran ‘Dinasour alive’. Tingkat 2. Ni yang tiket kena RM10 berbanding tahun lepas RM5 sahaja.

4.30 petang 

Masa untuk pulang ke Taman Kosas. Kelihatan wajah ceria ... penat tapi berbaloi melawat 2 tempat lawatan yang rasanya wajib dikunjungi oleh ibu bapa membawa anak – anak.

5.15 petang Alhamdulillah. Selamat kembali ke Taman Kosas.

KITA JUMPA LAGI !!!!

Kembali ke :
Jalan – jalan Malaysia - Intro

Thursday, 27 October 2011

BANYAK SIJIL KENA BUAT.....

Bila lihat pada tajuk.... sijil apa yang kena buat.
Bukannya buat sijil tapi kena sediakan sijil – sijil yang berkaitan untuk anak – anak murid yang dikasihi sekalian.

Sesi persekolahan akan tamat tidak lama lagi dan keputusan UPSR 2011 juga akan diumumkan tidak lama lagi.

Jadi, masa inilah cikgu – cikgu terutama cikgu – cikgu tahun enam perlu menyediakan sijil – taip guna ‘typewriter’ atau yang kalau ada ilmu ICT sikit bolehlah guna ‘words’ dan ‘excel’ untuk sediakan sijil tersebut. Antara sijilnya ialah sijil PLBS, sijil Ko-kurikulum, sijil tamat sekolah dan sebagainya.

Inilah salah satu tugas guru yang orang tidak tahu.... iaitu sediakan sijil. Tapi tak mengapa, demi tugas, kita perlu laksanakan. Lagipun kita buat untuk anak – anak murid kita.

Sekarang ni seronok sangat sediakan sijil sebab dah tahu kaedah yang agak pantas untuk menyediakannya. Apa pun beri pujian untuk Ustaz R saya sebab tunjuk ajar saya buat sijil cara pantas.

Ni yang saya rasa saya nak kongsi nie.

Langkah 1
Ambil sampel sijil.... minta kat pentadbir atau penyelaras terlibat.

Langkah 2
Lihat perkara atau maklumat yang perlu ada dalam sijil seperti nama, angka giliran, no surat beranak dan sebagainya.

Langkah 3
Buka ‘excel’, pada ‘sheet 1’ masukkan semula perkara (tajuk) dan lengkapkan maklumat yang diperlukan. Lepas tu ‘save’.

Langkah 4
Dah siap... ni langkah yang agak mencabar sikit.
Buka ‘words’, tekan ‘enter’ banyak – banyak kali untuk kita dapat ruang satu muka surat. ‘Highlight’ barisan pertama.

Lepas tu pergi kat bar atas tu ada pilihan / ‘option’, klik pada ‘mailings’, klik ‘start mail merge’, pilih ‘normal word document’... ni untuk buat sijil yang bersaiz A4. Ada ker sijil yang bukan saiz A4.

Kemudian pergi ke pilihan sebelahnya, ‘select recipients’, pilih ‘use existing list’. SILA PILIH ‘FILE EXCEL’ YANG KITA BUAT TADI. Jangan lupa pula kat mana kita ‘save’ tadi.

Langkah 5
Kita buat ‘placing’ butiran terlibat – eh macam main bola pulak.... ni pun mencabar sikit.
Pada bahagian ‘mailings’ tu tadi pilih ‘insert merge field’, kat sini kita pilih sahaja perkara (tajuknya) yang kita dah taip dalam fail excel tadi. Semua perkara tajuk itu sudah siap tersenarai, pilih sahaja.

Lepas tu baru buat ‘placing’, tapi sebelum tu pada sila tekan ‘preview results’. Senang sikit bila kita buat ‘placing’ nanti. Dengan menggunakan butang ‘enter’, ‘arrows’, ‘tab’ dan ‘space bar’, dengan cara mengubah saiz dan jenis ‘font’, ‘paragraph’, buat ‘placing’ dan setkan semua perkara pada kedudukan yang seperti mana sijil.

Langkah 6
Cetak. Untuk pastikan ‘placing’ kita tepat. Kalau tak tepat buat sedikit ‘alteration’ yang perlu.

Langkah 7
Bila dan puas hati, ‘preview results’, ‘scroll record’ kiri dan kanan. Kita lihat semua senarai. Pada ketika ini, semua maklumat yang kita masukkan dalam fail ‘excel’ akan bertukar – tukar secara sendirinya. JANGAN LUPA ‘SAVE’ FAIL WORDS TU.

*Kadang – kadang bila kita ‘scroll’ maklumat akan lari dari kedudukan yang kita dah tetapkan. Ni kena buat lagi ‘alteration’. Ubah maklumat misalnya guna singkatan, saiz perkataan dan sebagainya.

Langkah 8
Part’ ni paling saya suka. ‘Print’ – cetak sijil, tanpa buat apa – apa dan tunggu saja pencetak cetak sijil kita.

Pastikan ada pencetak yang bersambung dengan komputer kita... dan ada dakwat. Letak sijil. Pergi pada pilihan ‘mailings’ dan pilih ‘finish & merge’, pilih ‘print documents’. Ia akan bagi kita pilihan sama ada hendak cetak ‘All’, ‘current record’ atau ‘from _ to _’. Ia akan pergi ke ‘printer setting’. Pastikan saiz pada pencetak disetkan saiz A4. Tekan ok dan cetakan bermula.

Langkah 9
Tahniah. Kalau tidak berjaya cuba lagi. Bawa sijil yang telah dicetak untuk ditandatangani atau apa – apa perkara yang sewaktu dengannya.

*Pada fail ‘excel’ boleh dibuat perubahan maklumat jika perlu. Apabila telah selesai buat perubahan, ‘preview results’ pada ‘words’. Nanti bila buka fail ‘words’ ada ‘pop-up’ yang keluar... jangan gentar klik ‘YES’ sahaja. Sistem akan ‘link’ balik dengan ‘data source’ kita.
Kalau boleh letakkan fail excel dan fail words dalam satu folder. Ni kita boleh guna untuk tahun hadapan kalau tiada perubahan pada sijil.

Langkah 10
Kalau ada masalah boleh email saya di naimoiman@gmail.com.

SELAMAT MENCUBA DAN JANGAN PUTUS ASA....

Monday, 12 September 2011

UPSR muncul lagi....

Bagi murid – murid cikgu yang bakal menduduki UPSR nanti, dengarlah lagu ini membakar semangat dalam mengharungi peperiksaan. Siapa yang rasa ‘down’, dengar betul – betul lagu ini dan hayati liriknya.

Cikgu mendoakan, kemudahan dan kefahaman bagi anak – anak murid cikgu. Semoga Allah membantu anda.

SELAMAT BERJAYA.... BUAT YANG TERBAIK.

Faizal Tahir - Gemuruh

Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda

Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda

Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Ungkapan ini bukan sekadar bermimpi
Segalanya pastikan terbukti nanti

Ulang :
Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa


Thursday, 8 September 2011

Pesanan terakhir Rasulullah SAW

Semasa penulis menziarah rakan penulis sempena Eidul Fitri, kalau tak salah penulis pada hari Ahad, 3 September 2011 bersamaan 6 Syawal 1432 di Gombak, dalam melihat sekitar dalam rumah rakan itu, penulis ternampak satu bingkai yang di dalam tertulis tajuk “Khutbah Jumaat Terakhir Rasullullah”. Tidak sempat baca semua. Balik terus penulis cari dalam internet. Alhamdulillah jumpa, oleh itu penulis inginkan kongsi bersama khutbah ini bersama pembaca sekalian. Semoga ia menjadi sumber inspirasi dan iktibar untuk kita dan mengingati kembali tujuan sebenar kita dihantar ke muka bumi ini...


Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini."

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang."

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil."

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh."

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku."

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku."

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."


Sumber rujukan : assyakrin

Sunday, 28 August 2011

SELOKA RAMADHAN SYAWAL

Nukilan : naimoiman


Ramadhan datang dan pergi...
Bersyukur kepada Allah yang SATU, dipertemukan Ramadhan tahun ini,
Moga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan lebih baik berbanding sebelumnya,
Ya Allah, moga KAU panjangkan umurku untuk bertemu RAMADHAN yang akan datang... INSYAALLAH.



Ramadhan datang dan pergi...
Ramadhan, bulan penuh KERAHMATAN, PENGAMPUNAN DAN KECEMERLANGAN,
Sepuluh malam terakhir Ramadhan, ada malam Lailatul Qadar... beribadah di malam ini sama dengan pahala seribu bulan... YA ALLAH, moga ku terpilih untuk berjumpa dengan LAILATUL QADAR.



Syawal kini menjelma...
Pagi Syawal, bergema takbir memuji Illahi,
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar,
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.



Syawal kini menjelma...
BULAN KEMENANGAN umat Islam dalam menangkis dan menahan segala gelora nafsu melampau,
Sambut Syawal dengan penuh adab dan susilanya,
Ucap syukur, mohon kemaafan dengan keikhlasan, ziarah merapat, meneguh segala ukhuwah.



Syawal kini menjelma...
Kampung halaman menjadi matlamat destinasi, tempat di mana ku dibesarkan,
Berjumpa sanak saudara, ayah ibu yang sentiasa ku rindui,
Maafkan diriku, halalkan makan minumku, doakan kesejahteraanku,
Ayah ibuku, tidak akan aku melukaimu,
Oh! Ayah, Oh! Ibu, ampunilah segala kesalahan dan dosaku.



Syawal kini menjelma...
Setiap umat Islam menyambutnya dengan penuh syukur dan gembira,
Yang berada jangan lupa yang miskin, yang bernasib baik jangan lupa yang tidak, yang berbahagia jangan lupa kepada mereka yang lara.

Monday, 22 August 2011

PUASA RAMADAN 5 – Peristiwa Besar Pada Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan bukan hanya terkenal sebagai pusat latihan ibadah kepada umat Islam, malah ia juga terkenal dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya :

BULAN DITURUNKAN AL KITAB

Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah antara yang benar dan salah.

Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.

PERISTIWA BADAR

Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali Perang Badar. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.


Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapan dan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai keredhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan. Allah menegaskan dalam Surah Aali ‘Imran ayat 123 hingga 125.

Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.

ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang.

Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani bakar dan Khuza’ah. Bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad.

Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam mara ke Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apabila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian.

Akhirnya umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1:

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.

Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ dengan kemenangan bermaksud membuka Mekah.

PERISTIWA PERJALANAN NABI MUHAMMAD SAW KE TABUK

Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, ia memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Herkules, Maharaja Rom Timur (Bizantin) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan utara Tanah Arab.

Apabila berita itu samapai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW, beliau mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip zakat. Pada masa itu tanah Arab dilanda panas dan kesusahan. Iman umat islam ketika itu benar-benar teruji. namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad. Beliau sendiri memimpin tentera seramai 30,000 anggota ke utara Madinah.

Apabila tentera Islam tiba di Tabuk, tentera Rom tidak berada di situ. Sebaliknya Rom menarik diri apabila mengetahui kemaraan tentera Nabi Muhammad SAW yang ramai. Tentera Islam terus mengasak Rom sehingga termeterai perjanjian antara Islam dan Rom. Sebagai persetujuan, Rom tunduk dan bernaung di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan dikenakan cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.

ISLAM SAMPAI KE YAMAN

Yaman terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Nabi Muhammad mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat beliau untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, kesemua mereka memeluk agama Islam secara aman. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.

KHALID BIN AL WALID MERUNTUHKAN BERHALA AL ‘UZZA

Selepas umat Islam membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 hijrah, beliau menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung al ‘Uzza di Nakhla.

Menurut kepercayaan Arab jahiliyyah, al ‘Uzza adalah patung dewi terbesar di situ. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab apabila melafazkan sumpah. Khalid al Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla lalu menghancurkan patung al ‘Uzza. Selepas itu, penyembahan patung pun berakhir.

PENYERAHAN BANDAR TAIF

Bandar Taif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad SAW semasa berdakwah di sana. Selepas beliau dan umat Islam berjaya membebaskan Mekah, golongan Bani Thaqif berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam mara ke Taif lalu mengepungnya dalam tempoh yang lama. Akhirnya rombongan mereka datang ke Mekah pada bulan Ramadhan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Patung al Laata yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.

PEMBUKAAN ANDALUS (SEPANYOL)

Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus.

Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal-kapal tentera Islam supaya mereka tidak berfikir untuk berundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat.

PEPERANGAN ZALLAQAH; PORTUGAL

Peristiwa ini berlaku selepas subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu, berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara. Gabenor Cordova, al Muktamin meminta bantuan Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al Fonso VI. Tentera Kristian yang diketuai oleh al Fonso VI yang berjumlah 80,000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan umat Islam. Selepas itu, Sepanyol Dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.

TENTERA ISLAM MENGALAHKAN TENTERA MONGOL

Pada tahun 126 hingga 1405 masihi, kaum Mongol melebarkan penaklukannya hampir kesemua benua Asia. Menurut rekod, empayar penaklukan mereka meliputi seluas 33 juta kilometer persegi. Jeneral tentera Mongol dikenali sebagai Genghis Khan. Dalam misi penaklukan itu, mereka membunuh melebihi sejuta rakyat negara yang ditakluki. Penaklukan mereka menjangkau hingga ke Moscow dan Kiev.

Pada tahun 1258, tentera pimpinan Jeneral Hulagu Khan merempuh kota Baghdad yang menjadi kemegahan Dinasti Abbasiah. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terbunuh dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat.

Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di ‘Ain Jalut.

Dalam pertempuran itu, tentera Islam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberi nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam.

PEPERANGAN YAKHLIZ

Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34,000 anggota mengalahkan tentera Rusiayang berjumlah 740,000. Seramai 10,000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan umat Islam mempertahankan agama yang diancam oleh kerajaan Tzar di Rusia.

TERTAWANNYA GARIS BAR LEV, ISRAEL

Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan Syria dengan tentera Yahudi Israel pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober hingga 22 atau 24 Oktober 1973 Masihi. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Peperangan Arab-Israel 1973, Perang Oktober, dan Perang Ramadhan.

Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab-Israel sejak dari tahun 1948. Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Dalam pertempuran itu , Israel berjaya menduduki Bukit Golan, Syria di utara serta Semenanjung SInai, Mesir di selatan sehingga ke Terusan Suez. Selepas itu, Israel membina barisan pertahanan di SInai dan Bukit Golan. Pada tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev.

Israel bermegah dengan kubu Bar Lev yang didakwa ‘tidak dapat ditawan’ kerana mempunyai kekebalan dan teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israel. Antara peristiwa menarik dalam peperangan ini adalah peranan seorang sarjana Islam merangkap sebagai Imam Masjid Bandar Suez al Marhum, Syeikh Hafiz Salamah yang mengambilalih pimpinan operasi peperangan.

Beliau menggantikan jawatan ini apabila gabenor daerah bersedia menyerah kalah. Akhirnya para mujahidin gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk bandar Suez berjaya megasak tentera Israel yang terpaksa berundur sehingga terpaksa menyerahkan Semenanjung Sinai dan Bukit Golan.

Rujukan : fauzanibrahim

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro