Monday, 9 August 2010

PUASA RAMADAN 1 - Intro


Ramadan menjema kembali. Alhamdulillah dan bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana kita diberi panjang umur dan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadan kali ini. Ramadan bulan yang penuh keberkatan, rahmah (kasih sayang) dan maghfirah (pengampunan). Ramadan bulan mulia bermakna kita menjalani ibadah puasa selama sebulan yang juga merupakan Rukun Islam yang Ketiga. Segala amal ibadah dan perkara baik yang dilakukan akan diberi ganjaran yang berliapat kali ganda berbanding bulan – bulan yang lain.

Sebagai seorang Muslim kita seharusnya gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan dan menghadapi dengan dada yang sangat lega; dengan jiwa yang tenang, dengan hati yang tenteram. Bagi orang Islam yang beriman mereka menerima kehadiran bulan yang barakah ini dengan penuh kegembiraan.

Sesungguhnya Allah mewajibkan puasa adalah untuk membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang hina dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang mulia serta menjauhkannya daripada setiap sifat yang tercela. Kita dianjurkan banyak bersabar dan berjihad melawan hawa nafsu. Dengan puasa juga iman seseorang Muslim akan bertambah kuat dan bersih.

Ramadan menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran individu dan keluarga Muslim yang beriman. Sebab itu juga bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah. Iaitu bulan di mana orang-orang yang beriman berebut-rebut mengerjakan amalan soleh.

Banyak kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan dibandingkan dengan bulan-bulan lain dalam Islam. Kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup kita diturunkan di dalam bulan mulia ini. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang berbunyi:
Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar.” (al-Qadr: 1)

Umat Islam harus menghayati keagungan bulan Ramadan ini. Bulan di mana Allah telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Ini adalah bulan kembali dan taubat, bulan pengampunan dan rahmat, bulan kebebasan dari api neraka dan kemenangan berupa syurga.

Ibadah sunat perlu dilipatgandakan seperti solat terawih, solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib diberi ganjaran yang amat besar - yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya. Selain itu perbanyakkan bersedekah, qiamullail, sembahyang tahajud, perbanyakkan sedekah, zikir, baca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.

Setiap amalan sunat akan dinilai sama seperti amalan fardu manakala segala amalan fardu akan dilipat gandakan sehingga 70 kali ganda amalan seumpamanya sebagai bonus tahunan pemberian Allah SWT. Lebih daripada itu, ganjaran pahala sehingga 700 kali ganda menanti setiap hamba yang sanggup berjuang habis-habisan dalam melakukan kebajikan.

Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Walaupun bersahur hukumnya sunat namun jangan ditinggalkan. Selain mendapat pahala ia juga melatih kita dan membiasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan, dan diharap ini dapat membantu kita bangun awal di luar bulan Ramadan. (5)

Setiap individu Muslim seharusnya membuat persiapan rapi menjelang Ramadan. Peluang keemasan yang tiba itu tidak patut dipersia-siakan memandangkan hanya insan istimewa dan terpilih sahaja bakal mendapat kurnia ganjaran berlipat kali ganda termasuklah peluang beribadah pada malam Lailatul Qadar yang menyamai pahala 1,000 bulan.

Oleh yang demikian, segala persiapan termasuk rohani dan jasmani perlu dilengkapkan. Persiapan rohani diperlukan bagi mengikhlaskan niat melaksanakan ibadah puasa demi mendambakan keampunan daripada-Nya. Manakala persediaan jasmani diperlukan bagi menjalani proses pentarbiyahan Ilahi yang beraneka ragam sepanjang Ramadan.

Malah persiapan mental juga penting bagi mengharungi cabaran dan ujian untuk berperang dengan nafsu sendiri. Sehingga kejayaan tersebut menjadi asas pula kepada kejayaan untuk melawan hasutan Iblis apabila berakhirnya Ramadan nanti.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang yang terdahulu semoga kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah:183).

Berpuasa menahan lapar dan dahaga, mulut berpuasa daripada mengumpat atau mengata sesuatu yang tidak baik, mata berpuasa daripada memandang perkara – perkara yang haram, telinga berpuasa daripada mendengar perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa. Terus usaha melaksanakan ketaatan lain seperti solat, menutup aurat dan lain-lain.

Ketika berbuka, jangan leka kerana asyik menjamu selera atau ada yang makan terlalu banyak sehingga melalaikan solat Maghrib dan Isyak yang semestinya wajib dikerjakan.

Dalam konteks ini, Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud:
"Ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasa mereka melainkan rasa lapar dan dahaga". (Hadis Riwayat Ibn Majah dan al-Nasai'e).

Bulan Ramadan juga bulan bersedekah. Umat Islam disaran berlumba-lumba menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT seperti memberi juadah berbuka puasa dan menyediakan minuman kepada orang yang berpuasa. Atau berusahalah untuk menyegerakan pembayaran zakat fitrah seawal 1 Ramadan supaya pihak yang memerlukan bantuan kewangan dapat sama-sama menikmati kegembiraan sebelum berlalunya Ramadan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur, dan perawan-perawan yang sebaya umurnya serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta. Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya)". (Surah al-Naba':32-36) (2)

Syaitan Dirantai Ketika Ramadan (4)

Ada sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Apabila tiba bulan puasa, maka terbuka pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dirantai.
Daripada hadis berkenaan, dapatlah kita memahami pengertian majazi (kiasan) dan hakiki (kenyataan). Dalam pengertian majazi, hadis itu mengandungi makna Ramadan adalah bulan ibadat untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Ketika Ramadan, Allah SWT melimpahkan ganjaran pahala yang luar biasa serta membuka pintu keampunan seluas-luasnya. Dengan melakukan sedikit amal, kita memperoleh ganjaran pahala seterusnya membawa kita ke syurga. Sehinggakan syurga pada Ramadan itu sentiasa terbuka kerana luasnya rahmat Allah SWT dan neraka, kerana banyaknya pengampunan Allah SWT untuk hambanya sentiasa tertutup dan syaitan bagaikan terbelenggu atau terikat berikutan kesedaran manusia yang terlalu tinggi sepanjang Ramadan.

Jika hadis terbabit difahami secara hakiki (kenyataan), maka kita dapat fahami dan berkata bahawa penderhakaan itu muncul akibat godaan syaitan dan rayuan hawa nafsu. Dalam Ramadan, iaitu bulan puasa, sememangnya syaitan diikat, tetapi bagi orang yang hawa nafsunya tidak dikawal, maka mereka itulah yang menderhaka kepada Allah SWT.

Kalangan ulama menjelaskan terdapat perbezaan antara godaan syaitan dan rayuan nafsu. Syaitan menggoda dengan tujuan menyesatkan dan merugikan manusia, atau sekurang-kurangnya menjadikan manusia tidak beruntung dalam memperoleh rahmat Allah.

Justeru, syaitan dapat mengubah rayuannya dari waktu ke waktu jika ia gagal dalam rayuan yang pertama. Ini berbeza dengan nafsu yang hanya ingin memuaskan dirinya, sehingga apabila ia menginginkan sesuatu, dia tidak akan mengubah dan terus mendesak sehingga keinginannya tercapai. (4)

Semoga ibadah puasa yang akan ditempuhi tahun ini akan lebih bererti dan berkualiti berbanding tahun-tahun yang lalu. Untuk tujuan itu marilah semua bermuhasabah serta berazam untuk melakukan yang terbaik. Anggaplah puasa kali ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidup kita, kerana jika terpilih bertemu Ramadan tahun ini belum tentu akan terpilih lagi di masa mendatang.

Pemakanan Ketika Ramadan

Tip sahur dan berbuka (1) (3)

•Untuk sahur dan berbuka, kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak tepu seperti mentega dan santan kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol dalam darah.

•Berpuasa pada siang hari mengambil masa yang panjang, justeru pilihlah makanan yang lambat dicerna misalnya makanan kaya serat yang boleh bertahan sehingga lapan jam. Umumnya makanan yang mudah dicerna hanya bertahan antara tiga ke empat jam saja. Antara jenis makanan yang lambat dicerna adalah gandum, barli, oat selain nasi. Sementara makanan yang kaya serat tentu saja sayur-sayuran hijau, seperto bayam dan makanan kering seperti prune.

•Elakkan makanan yang panas, pedas atau masin. Makanan yang terlalu masin akan membuatkan mudah terasa dahaga ketika berpuasa dan tubuh memerlukan lebih banyak air. Ia kemudiannya menyebabkan anda rasa kembung. Elak makan terlalu banyak makanan pedas kerana menyebabkan anda minum terlalu banyak air dan seterusnya berasa amat letih.

•Makanan manis atau bergula mudah dibakar tubuh dan hanya bertahan antara tiga ke empat jam. Lebih teruk, makanan jenis ini akan berubah menjadi lemak sekali gus meningkatkan kadar kolesterol anda dan menyebabkan berat badan bertambah.

•Makanan bergoreng dan ditumis pula umumnya tidak sihat dan harus dihadkan pengambilannya. Ia akan menyebabkan masalah dalam pencernaan, pedih ulu hati selain masalah berat badan.

•Makanan daripada kumpulan ikan, daging dan telur pula perlu diambil secara sederhana. Sayuran juga perlu diambil untuk memastikan tubuh mendapat vitamin dan mineral secukupnya untuk keperluan.

•Minum air yang secukupnya ditambah dengan pengambilan makanan dengan serat tinggi bagi mengelakkan sembelit. Banyakkan minum air kosong bagi mengelakkan tubuh mengalami dehidrasi.
Setiap individu perlu meminum sekurang-kurangnya empat liter air atau bersamaan 15 gelas air setiap hari. Bagi mereka yang tidak menghidap masalah tekanan darah tinggi boleh mencampurkan sedikit garam ke dalam air.

•Elakkan pengambilan terlalu banyak minuman kafein dan minuman soda. Kafein akan menyingkirkan kalsium dari tubuh anda yang menyebabkan anda terasa lapar. Pengambilan minuman kafein dan makanan pedas boleh menyebabkan peningkatan paras asid dalam perut dan mengalami masalah seperti pedih ulu hati.

•Ada sesetengah orang yang ketagih tembakau dan kafein akan mengalami gejala tarikan pada permulaan Ramadan. Gejala tarikan ini menyebabkan sakit kepala dan biasanya akan menjadi lebih teruk jika anda juga berhadapan dengan masalah tekanan darah rendah. Justeru, kurangkan tabiat pengambilan minuman kafein dan hentikan tabiat merokok perlahan-lahan menjelang Ramadan. Selain itu dapatkan tidur yang cukup.

•Jangan elak sahur. Sesetengah orang gemar makan pada lewat malam dan tidak akan bangun bersahur. Tindakan ini tidak bijak kerana anda bukan saja hilang pahala bersahur tetapi juga tubuh akan kekurangan tenaga yang diperlukan tubuh bagi meneruskan puasa sepanjang hari.

•Ketika iftar, mulakan dengan makanan yang ringan. Kurma, jus atau sup mungkin boleh dijadikan permulaan hidangan makanan berbuka. Meminum air ketika berbuka juga selari keperluan tubuh yang memerlukan glukos sebagai sumber tenaga terutama otak. Simpan makanan yang berat selepas solat maghrib atau bagi sesetengah orang selepas solat sunat tarawih.

•Pengambilan makanan yang mengandungi karbohidrat perlulah cukup bagi membekalkan tenaga hingga waktu berbuka puasa.

Catatan Penulis : SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA. Ini tahun yang ketiga saya sekeluarga berpuasa di luar negara, Dundee Scotland. Untuk pengetahuan rakan pembaca, berpuasa di sini agak mencabar kerana bulan Ramadan kali ini hampir dengan penghujung musim panas. Hari pertama puasa (Insyaallah 11 Ogos 2010 – 1 Ramadan 1431) tamat sahurnya adalah pada jam 1.45 pagi dan berbuka pada jam 9.05 malam – hampir 20 jam berpuasa. Hari terakhir pula tamat sahurnya ialah 4.10 pagi dan dan berbuka pada jam 7.49 malam – hampir 16 jam berpuasa. Tahun – tahun mendatang Ramadan bakal jatuh pada musim panas di mana waktu berbuka dan bersahur adalah amat hampir.

Rujukan :
1) Bharian Online 7 Ogos 2010 (26 Syaaban 1431) Sabtu – Rambang juadah berbuka

2) Utusan Online 10 Ogos 2010 (29 Syaaban 1431) Selasa – Artikel bertajuk Bermuhasabah sambut ketibaan Ramadan

3) Bharian Online 08 Ogos 2010 (27 Syaaban 1431) Ahad - Puasa secara sihat

4) Bharian Online 08 Ogos 2010 (27 Syaaban 1431) Ahad - Persoalan Agama: Syaitan dirantai ketika Ramadan hanya kiasan

5) Utusan Online 10 Ogos 2010 (29 Syaaban 1431) Selasa – Artikel bertajuk Persiapan Ramadan

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 2 – BUKAN SEKADAR LAPAR DAHAGA
PUASA RAMADAN 3 – Kelebihan – kelebihan Puasa Bulan Ramadan
PUASA RAMADAN 4 – Adab Berbuka
PUASA RAMADAN 5 – Peristiwa Besar Pada Bulan Ramadhan

No comments:

Post a Comment