Sunday, 23 September 2012

SEJARAH TERCIPTA ... PERTANDINGAN KAPAL TERBANG KERTAS 1MALAYSIA 2012


1MALAYSIA PAPER AIRPLANE CONTEST (1MPAC)

Assalamualaikum w.b.t. sebagai pembuka bicara.

Tarikh yang dinantikan akhirnya tiba. Pertandingan Kapal Terbang Kertas yang julung kalinya diadakan di Malaysia.

Pendaftaran terbuka kepada semua warga Malaysia. Memang ada diiklankan di surat khabar, media elektronik serta internet. Termasuk dalam fb. Pendaftaran terbuka bermula bulan April hari itu sehingga hari pertandingan. Lama tu.

Penulis hanya tahu pertandingan ini apabila PPDHL (Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat) menghantar surat mengenai pertandingan ini. Penulis membuat pemilihan dengan mengadakan pertandingan kapal terbang kertas peringkat sekolah. Memang mendapat sambutan yang menggalakkan. Tetapi pada ketika ini tidak berapa tahu mengenai peraturan – peraturannya yang sebenar.

Walaupun nampak macam pertandingan yang remeh, namun pertandingan kapal terbang kertas ini telah dipertandingkan di peringkat dunia. Pemenangnya ialah peserta dari Jepun yang berjaya menerbangkan kapal terbang di udara selama 27 saat.

Lihat video klip ini (antara contoh terbaik lipatan kapal terbang kertas terbaik) :



Juga ini

 


Untuk rekod dunia sila baca artikel ini : rekod kapal terbang kertas


Pertandingan kapal terbang kertas ini buat pertama kalinya tahun 2012 diadakan di Malaysia hasil inisiatif penganjur iaitu Well Add dan Pusat Sains Negara.
Nak tahu lebih lanjut klik di sini : 1MPAC laman sesawang, 1MPAC fb



Sejarah tercipta....

Secara ringkas penulis akan mencoret mengenai format pertandingan. Apa – apapun penganjur berhak mengubah format pertandingan apabila diperlukan.

Pada asalnya, peserta yang mewakili sekolah penulis adalah seramai 10 orang. Namun pada pagi Sabtu 22 September 2012 (lagipun hari Sabtu tu merupakan hari ganti persekolahan sempena raya tempoh hari), hanya 9 orang sahaja yang muncul. Seorang lagi diberitahu sakit pada hari tersebut.




Melapor diri di kaunter pendaftaran. Pertandingan ini dibahagikan kepada 3 kategori iaitu, sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka. Kategori sekolah menengah mempunyai peserta yang paling ramai. Cuba bayangkan ada sekolah dari Pahang yang menghantar sehingga 90 peserta.

Bagi peringkat sekolah rendah, tidak tahu sebenarnya bilangannya. Namun kalau dikira lebih kurang 80 orang sahaja.

Pertandingan bermula dengan pusingan 1. Peserta dibahagikan kepada 5 orang satu kumpulan. Pada pusingan pertama ini hanya seorang peserta sahaja layak ke peringkat yang seterusnya. Peserta yang mana kapal terbang paling lama di udara dikira sebagai pemenang.

Peserta diminta untuk membuat kapal terbang kertas (bebas) daripada kertas bersiri A4 80 gram yang dibekalkan. 3 helai seorang peserta dan peserta menggunakan salah satu sahaja kapal terbang kerana balingan yang dibenarkan hanya sekali sahaja. Peserta membuat kapal terbang kertas di ‘holding area’.

Peserta perlu membaling daripada bawah di ‘launcher pad’, gaya balingan terpulang masing – masing. Sila lihat klip ini.









Juara setiap kumpulan akan mara ke pusingan yang kedua.

Peserta dari sekolah penulis, daripada 9 orang, 3 orang layak untuk pusingan yang seterusnya. Alhamdulillah. Mereka dalam senarai 15 yang terbaik untuk pusingan yang kedua. Masih lagi mengikut format pusingan yang pertama, peserta akan membaling kapal terbang kertas dalam 5 orang sekumpulan. Namun kali ini masa akan diambil.

Setelah selesai 3 kumpulan membuat balingan pusingan kedua, penulis mendapati salah seorang peserta sekolah penulis berada di ranking yang kedua. Alhamdulillah ada harapan membawa balik sesuatu.

Maju ke peringkat ketiga, peringkat akhir. 10 peserta dengan masa terbaik diberi peluang untuk membuat balingan. Alhamdulillah, sekolah penulis masih lagi mempunyai 3 orang wakil tadi. Masih lagi menggunakan format balingan 5 orang sekumpulan.

Akhirnya setelah membuat balingan, dua orang peserta sekolah penulis berjaya menjadi juara dan naib juara. Peserta yang berada di ranking yang keduas itu tadi mendapat tempat pertama dengan masa 5.27 saat, manakala tempat kedua juga dimenangi oleh peserta sekolah penulis dengan masa 4.74 saat. Dan seorang lagi wakil mendapat tempat yang kelapan.


Video balingan juara


Juara membawa pulang trofi, hamper, tiket firefly ke Hadyai dan sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy Y. Tempat kedua pula membawa pulang trofi, hamper dan sebuah telefon Samsung Corby dan tempat kelapan Alhamdullillah mendapat medal. Semua peserta mendapat sijil penyertaan.



INI SEMUA AKAN TERPAHAT DALAM SEJARAH SKTK.
*PERTANDINGAN YANG PERTAMA KALI DIADAKAN MALAYSIA.
*BERJAYA MENEMPATKAN SERAMAI 3 ORANG WAKIL DALAM PERINGKAT AKHIR.
*BERJAYA MENDAPATKAN TEMPAT PERTAMA UNTUK PERTANDINGAN YANG PERTAMA KALI DIANJURKAN.
*PESERTA YANG MENANG MERUPAKAN JUARA MALAYSIA, CATATAN MASA PESERTA TERSEBUT AKAN MENJADI REKOD MALAYSIA.
*KEJAYAAN PALING BESAR YANG DIKECAPI OLEH PANITIA SAINS SKTK dan JUGA SECARA PERIBADI. PENULIS BERASA AMAT BANGGA DAN GEMBIRA YANG TERAMAT SANGAT.

TAHNIAH KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT DAN YANG MEMBERI SOKONGAN.
ALHAMDULILLAH, SEMUA INI KETENTUAN ALLAH DAN KITA BERUSAHA UNTUK MENDAPATKANNYA.

Wednesday, 22 August 2012

Sabar Itu Indah

















Sabar itu indah,
Apa itu sabar,
Sabar.... menahan diri daripada sifat gelisah, keluh kesah, sedih dan beremosi (istilahnya),
Sabar.... menahan dan mengekang (bahasanya),
Sabar.... menahan lisan daripada mengeluh, menahan anggota badan daripada perbuatan yang tidak terarah.
Sabar itu indah,
Sabar badan, diuji dengan seksaan, penyakit dan kesusahan,
Sabar rohani, diuji dengan ejekan, perpisahan, kecewa, kegagalan, kematian,
Semua yang dirancang tidak menjadi, diri kita diperlakukan tidak seadilnya,
timbul perasaan tidak puas hati.... jangan marah dan emosi, bersabarlah.

Sabar itu indah,
Sabar itu adalah satu tindakan,
Sabar itu merupakan pemula langkah kemudahan dan kejayaan.

Sabar itu indah,
Dunia ini sabar,
Sabarnya sang matahari, terbit di timur dan perlahan terbenam di barat,
Sabarnya tumbuh – tumbuhan membesar, anak benih menadi pohon yang besar,
Sabarnya sang harimau menerkam mangsanya,
Sabarnya manusia mencipta jaya dan nama,
Sabar, membuat kebaikan, sabar, tidak berbuat keburukan, sabar, dalam musibah dan permasalahan.

Sabar itu indah,
Semua orang yang hidup di dunia ini, pasti diuji,
Baik, kesenangan dan kemudahan,
Buruk, musibah dan permasalahan,
Dengan sabar, pasti kita boleh atasinya.

Sabar itu indah,
Jika kita dikutuk dan dicerca, sabarlah,
Katakan seperti ini; “Jika benar sepertimana yang kau katakan, pada tuhan aku mohon kemaafan,
Jika tidak, maka semoga tuhan mengampuni kamu”.
Jika marah, gelisah hendak mengawal diri, maka duduklah, minumlah, larilah, diamlah, berwudhuk, bersolat dan berdoa.

Sabar itu indah,
Sabar banyak ganjarannya,
Sabar itu, pahala,
Sabar itu, kebaikan hasilnya,
Kita punya ramai kawan dan teman,
Sabar itu menyebabkan kita tenang,
Sabar itu menyebabkan kita selasa, gembira dan jaya
Segala ujian dan tugasan boleh kita selesai secara bijaksana,
Paling penting.... sabar itu mendekatkan kita kepada pencipta.

Sabar itu indah,
Pupuk sabar dengan senyuman, pupuk sabar dengan kemanisan muka dan kata,
Pupuk sabar dengan perkataan – perkataan yang lembut, pupuk sabar dengan tidak merungut,
Pupuk sabar dengan berbuat baik, kita jadi baik, tenang dan indahnya kebaikan,
Pupuk sabar dengan berkata, “Aku redha ya tuhan, aku redha ya tuhan”,
Pupuk sabar dengan ingat kepada pencipta.... kerana dia punca segala.

Sabar itu indah,
Sabarlah.... sabarlah... sabarlah, dalam bersabar.

Nukilan : naimoiman

Pautan lain :
Sabar Itu Indah 2

Saturday, 18 August 2012

SABAR ITU INDAH (hadapi ujian dunia tidak lama)


MAKSUD SABAR

MAKSUD sabar adalah menahan diri daripada sesuatu yang sukar. Sabar terpuji yang dituntut oleh Islam ialah sabar dalam mentaati Allah SWT, sabar dalam meninggalkan larangan-Nya serta sabar dalam musibah yang ditakdirkan.

DALIL DAN HADIS

Banyak ayat al-Quran berbicara mengenai sabar.
Antaranya, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:
Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Ucapan inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un adalah ucapan istirja’ ketika ditimpa musibah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ummu Salamah, beliau bercerita:
Pada suatu hari, selepas menemui Rasulullah SAW, Abu Salamah mendatangiku, lalu beliau menceritakan bahawa beliau telah mendengar ucapan Rasulullah SAW yang membuat aku merasa senang.

Baginda bersabda: Tidak ada seorang daripada kaum muslimin yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun, lalu ia berdoa, Allahumma’ jurnii fii mushibatii wa akhlif lii khairan minha (Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah pengganti yang lebih baik darinya), melainkan doanya itu dikabulkan. Ummu Salamah berkata: Kemudian aku menghafal doa darinya itu. Ketika Abu Salamah wafat, maka aku pun mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un dan berdoa: “Allahumma’ jurnii fii mushibatii wa akhlif lii khairan minha.” Kemudian aku berkata kepada diriku sendiri: Dari mana aku akan memperoleh orang yang lebih baik dari Ummu Salamah? Selepas masa ‘iddahku berakhir, Rasulullah SAW meminta izin kepadaku. Ketika itu, aku sedang menyamak kulit milikku lalu aku menyuci tanganku dari qaraz (daun yang digunakan untuk menyamak). Lalu kuizinkan Baginda masuk dan kusiapkan untuknya bantal tempat duduk yang berisi sabut.

Maka Baginda duduk di atasnya. Lalu Baginda menyampaikan lamaran kepadaku. Selepas Baginda berbicara, aku berkata: Ya Rasulullah, keadaanku akan membuatmu tak berminat. Aku ini seorang wanita yang sangat cemburu, maka aku takut engkau mendapatkan dari diriku sesuatu yang kerananya Allah akan mengazabku, sementara aku sendiri sudah tua dan mempunyai banyak anak. Maka Baginda bersabda (yang bermaksud): Adapun kecemburuanmu yang engkau sebutkan, maka semoga Allah SWT menghilangkan darimu. Dan usia tua yang engkau sebutkan, maka aku pun mengalami apa yang engkau alami. Dan keluarga yang engkau sebutkan itu, maka sesungguhnya keluargamu adalah keluargaku juga”.
Maka Ummu Salamah menyerahkan diri kepada Rasulullah SAW dan kemudian Baginda menikahinya. Selepas itu Ummu Salamah pun berkata: “Allah memberi ganti kepadaku yang lebih baik dari Abu Salamah, iaitu Rasulullah SAW”.

Begitu juga sabar dalam melaksanakan ketaatan serta meninggalkan pelbagai hal yang diharamkan dan perbuatan dosa sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 45 (yang bermaksud):
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.

Manusia paling sabar adalah Nabi sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Abu ‘Abdurrahman ‘Abdullah bin Mas’ud ra, beliau berkata:
Seakan-akan saya masih melihat Rasulullah SAW sewaktu menceritakan seorang dari nabi-nabi ketika dipukul oleh kaumnya sehingga berlumuran darah dan ia mengusap darah dari mukanya sambil berdoa: Wahai Allah, ampunilah kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.

Kepada saudara yang bertanya, sabar dengan ujian kehidupan dunia bukanlah satu tempoh yang lama kerana pahala dijanjikan Allah sangat besar sebagaimana firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 10, bermaksud:
Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” Wallahua’lam.

Rujukan :
Bharian Online 19/12/2010 (13 Muharram 1431) Ahad - Persoalan Agama: Sabar hadapi ujian dunia tidak lama; Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Pautan lain :
Sabar Itu Indah