MAKSUD
SABAR
MAKSUD sabar adalah menahan diri daripada sesuatu yang
sukar. Sabar terpuji yang dituntut oleh Islam ialah sabar dalam mentaati Allah
SWT, sabar dalam meninggalkan larangan-Nya serta sabar dalam musibah yang
ditakdirkan.
DALIL DAN HADIS
Banyak ayat al-Quran berbicara mengenai sabar.
Antaranya,
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan
kepadamu dengan sedikit ketakutan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan
sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang
yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, Inna lillahi wa inna ilaihi
raaji’un (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali).
Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya
dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Ucapan
inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un adalah ucapan istirja’ ketika ditimpa
musibah.
Dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ummu Salamah, beliau
bercerita:
“Pada suatu hari, selepas menemui Rasulullah
SAW, Abu Salamah mendatangiku, lalu beliau menceritakan bahawa beliau telah
mendengar ucapan Rasulullah SAW yang membuat aku merasa senang.
Baginda bersabda: Tidak ada seorang daripada kaum
muslimin yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi
raaji’uun, lalu ia berdoa, Allahumma’ jurnii fii mushibatii wa akhlif lii
khairan minha (Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah
pengganti yang lebih baik darinya), melainkan doanya itu dikabulkan. Ummu
Salamah berkata: Kemudian aku menghafal doa darinya itu. Ketika Abu Salamah
wafat, maka aku pun mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un dan
berdoa: “Allahumma’ jurnii fii mushibatii wa akhlif lii khairan minha.”
Kemudian aku berkata kepada diriku sendiri: Dari mana aku akan memperoleh orang
yang lebih baik dari Ummu Salamah? Selepas masa ‘iddahku berakhir, Rasulullah
SAW meminta izin kepadaku. Ketika itu, aku sedang menyamak kulit milikku lalu
aku menyuci tanganku dari qaraz (daun yang digunakan untuk menyamak). Lalu
kuizinkan Baginda masuk dan kusiapkan untuknya bantal tempat duduk yang berisi
sabut.
Maka Baginda duduk di atasnya. Lalu Baginda menyampaikan
lamaran kepadaku. Selepas Baginda berbicara, aku berkata: Ya Rasulullah,
keadaanku akan membuatmu tak berminat. Aku ini seorang wanita yang sangat
cemburu, maka aku takut engkau mendapatkan dari diriku sesuatu yang kerananya
Allah akan mengazabku, sementara aku sendiri sudah tua dan mempunyai banyak
anak. Maka Baginda bersabda (yang bermaksud): Adapun kecemburuanmu yang engkau
sebutkan, maka semoga Allah SWT menghilangkan darimu. Dan usia tua yang engkau
sebutkan, maka aku pun mengalami apa yang engkau alami. Dan keluarga yang
engkau sebutkan itu, maka sesungguhnya keluargamu adalah keluargaku juga”.
Maka Ummu Salamah menyerahkan diri kepada Rasulullah SAW
dan kemudian Baginda menikahinya. Selepas itu Ummu Salamah pun berkata: “Allah
memberi ganti kepadaku yang lebih baik dari Abu Salamah, iaitu Rasulullah SAW”.
Begitu
juga sabar dalam melaksanakan ketaatan serta meninggalkan pelbagai hal yang
diharamkan dan perbuatan dosa sebagaimana yang disebutkan dalam surah
al-Baqarah ayat 45 (yang bermaksud):
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah)
dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,
kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”
Manusia
paling sabar adalah Nabi sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis riwayat
al-Bukhari dan Muslim dari Abu ‘Abdurrahman ‘Abdullah bin Mas’ud ra, beliau
berkata:
“Seakan-akan saya masih melihat Rasulullah
SAW sewaktu menceritakan seorang dari nabi-nabi ketika dipukul oleh kaumnya
sehingga berlumuran darah dan ia mengusap darah dari mukanya sambil berdoa:
Wahai Allah, ampunilah kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”
Kepada
saudara yang bertanya, sabar dengan ujian kehidupan dunia bukanlah satu tempoh
yang lama kerana pahala dijanjikan Allah sangat besar sebagaimana firman Allah
SWT dalam surah az-Zumar ayat 10, bermaksud:
“Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah
yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” Wallahua’lam.
Rujukan
:
Bharian Online 19/12/2010 (13 Muharram 1431) Ahad - Persoalan
Agama: Sabar hadapi ujian dunia tidak lama; Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
Pautan lain
:
Sabar Itu Indah
No comments:
Post a Comment