Sunday, 28 August 2011

SELOKA RAMADHAN SYAWAL

Nukilan : naimoiman


Ramadhan datang dan pergi...
Bersyukur kepada Allah yang SATU, dipertemukan Ramadhan tahun ini,
Moga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan lebih baik berbanding sebelumnya,
Ya Allah, moga KAU panjangkan umurku untuk bertemu RAMADHAN yang akan datang... INSYAALLAH.



Ramadhan datang dan pergi...
Ramadhan, bulan penuh KERAHMATAN, PENGAMPUNAN DAN KECEMERLANGAN,
Sepuluh malam terakhir Ramadhan, ada malam Lailatul Qadar... beribadah di malam ini sama dengan pahala seribu bulan... YA ALLAH, moga ku terpilih untuk berjumpa dengan LAILATUL QADAR.



Syawal kini menjelma...
Pagi Syawal, bergema takbir memuji Illahi,
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar,
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.



Syawal kini menjelma...
BULAN KEMENANGAN umat Islam dalam menangkis dan menahan segala gelora nafsu melampau,
Sambut Syawal dengan penuh adab dan susilanya,
Ucap syukur, mohon kemaafan dengan keikhlasan, ziarah merapat, meneguh segala ukhuwah.



Syawal kini menjelma...
Kampung halaman menjadi matlamat destinasi, tempat di mana ku dibesarkan,
Berjumpa sanak saudara, ayah ibu yang sentiasa ku rindui,
Maafkan diriku, halalkan makan minumku, doakan kesejahteraanku,
Ayah ibuku, tidak akan aku melukaimu,
Oh! Ayah, Oh! Ibu, ampunilah segala kesalahan dan dosaku.



Syawal kini menjelma...
Setiap umat Islam menyambutnya dengan penuh syukur dan gembira,
Yang berada jangan lupa yang miskin, yang bernasib baik jangan lupa yang tidak, yang berbahagia jangan lupa kepada mereka yang lara.

Monday, 22 August 2011

PUASA RAMADAN 5 – Peristiwa Besar Pada Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan bukan hanya terkenal sebagai pusat latihan ibadah kepada umat Islam, malah ia juga terkenal dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya :

BULAN DITURUNKAN AL KITAB

Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah antara yang benar dan salah.

Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.

PERISTIWA BADAR

Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali Perang Badar. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.


Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapan dan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai keredhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan. Allah menegaskan dalam Surah Aali ‘Imran ayat 123 hingga 125.

“Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.”

ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang.

Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani bakar dan Khuza’ah. Bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad.

Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam mara ke Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apabila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian.

Akhirnya umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1:

“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.”

Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ dengan kemenangan bermaksud membuka Mekah.

PERISTIWA PERJALANAN NABI MUHAMMAD SAW KE TABUK

Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, ia memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Herkules, Maharaja Rom Timur (Bizantin) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan utara Tanah Arab.

Apabila berita itu samapai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW, beliau mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip zakat. Pada masa itu tanah Arab dilanda panas dan kesusahan. Iman umat islam ketika itu benar-benar teruji. namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad. Beliau sendiri memimpin tentera seramai 30,000 anggota ke utara Madinah.

Apabila tentera Islam tiba di Tabuk, tentera Rom tidak berada di situ. Sebaliknya Rom menarik diri apabila mengetahui kemaraan tentera Nabi Muhammad SAW yang ramai. Tentera Islam terus mengasak Rom sehingga termeterai perjanjian antara Islam dan Rom. Sebagai persetujuan, Rom tunduk dan bernaung di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan dikenakan cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.

ISLAM SAMPAI KE YAMAN

Yaman terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Nabi Muhammad mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat beliau untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, kesemua mereka memeluk agama Islam secara aman. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.

KHALID BIN AL WALID MERUNTUHKAN BERHALA AL ‘UZZA

Selepas umat Islam membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 hijrah, beliau menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung al ‘Uzza di Nakhla.

Menurut kepercayaan Arab jahiliyyah, al ‘Uzza adalah patung dewi terbesar di situ. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab apabila melafazkan sumpah. Khalid al Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla lalu menghancurkan patung al ‘Uzza. Selepas itu, penyembahan patung pun berakhir.

PENYERAHAN BANDAR TAIF

Bandar Taif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad SAW semasa berdakwah di sana. Selepas beliau dan umat Islam berjaya membebaskan Mekah, golongan Bani Thaqif berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam mara ke Taif lalu mengepungnya dalam tempoh yang lama. Akhirnya rombongan mereka datang ke Mekah pada bulan Ramadhan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Patung al Laata yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.

PEMBUKAAN ANDALUS (SEPANYOL)

Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus.

Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal-kapal tentera Islam supaya mereka tidak berfikir untuk berundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat.

PEPERANGAN ZALLAQAH; PORTUGAL

Peristiwa ini berlaku selepas subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu, berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara. Gabenor Cordova, al Muktamin meminta bantuan Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al Fonso VI. Tentera Kristian yang diketuai oleh al Fonso VI yang berjumlah 80,000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan umat Islam. Selepas itu, Sepanyol Dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.

TENTERA ISLAM MENGALAHKAN TENTERA MONGOL

Pada tahun 126 hingga 1405 masihi, kaum Mongol melebarkan penaklukannya hampir kesemua benua Asia. Menurut rekod, empayar penaklukan mereka meliputi seluas 33 juta kilometer persegi. Jeneral tentera Mongol dikenali sebagai Genghis Khan. Dalam misi penaklukan itu, mereka membunuh melebihi sejuta rakyat negara yang ditakluki. Penaklukan mereka menjangkau hingga ke Moscow dan Kiev.

Pada tahun 1258, tentera pimpinan Jeneral Hulagu Khan merempuh kota Baghdad yang menjadi kemegahan Dinasti Abbasiah. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terbunuh dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat.

Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di ‘Ain Jalut.

Dalam pertempuran itu, tentera Islam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberi nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam.

PEPERANGAN YAKHLIZ

Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34,000 anggota mengalahkan tentera Rusiayang berjumlah 740,000. Seramai 10,000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan umat Islam mempertahankan agama yang diancam oleh kerajaan Tzar di Rusia.

TERTAWANNYA GARIS BAR LEV, ISRAEL

Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan Syria dengan tentera Yahudi Israel pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober hingga 22 atau 24 Oktober 1973 Masihi. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Peperangan Arab-Israel 1973, Perang Oktober, dan Perang Ramadhan.

Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab-Israel sejak dari tahun 1948. Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Dalam pertempuran itu , Israel berjaya menduduki Bukit Golan, Syria di utara serta Semenanjung SInai, Mesir di selatan sehingga ke Terusan Suez. Selepas itu, Israel membina barisan pertahanan di SInai dan Bukit Golan. Pada tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev.

Israel bermegah dengan kubu Bar Lev yang didakwa ‘tidak dapat ditawan’ kerana mempunyai kekebalan dan teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israel. Antara peristiwa menarik dalam peperangan ini adalah peranan seorang sarjana Islam merangkap sebagai Imam Masjid Bandar Suez al Marhum, Syeikh Hafiz Salamah yang mengambilalih pimpinan operasi peperangan.

Beliau menggantikan jawatan ini apabila gabenor daerah bersedia menyerah kalah. Akhirnya para mujahidin gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk bandar Suez berjaya megasak tentera Israel yang terpaksa berundur sehingga terpaksa menyerahkan Semenanjung Sinai dan Bukit Golan.

Rujukan : fauzanibrahim

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro

Thursday, 9 June 2011

Jalan – jalan Malaysia 2 – 'Bukit Gambang Resort City' dan 'Bukit Gambang Water Park'

Cuti sekolah tiba lagi. Cuti 2 minggu pertengahan tahun bagi tahun 2011.
Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa kerana memberi peluang saya menghirup udara segar di dunia ini.

Minggu pertama agak sibuk sebab kelas tambahan tahun 6 berakhir pada hari Selasa dan kemudian pada hari Rabu ada lawatan untuk murid – murid tahun 6 ke Petrosains, Suria KLCC. Tambahan pula markah untuk peperiksaan semester 1 ini perlu dimasukkan ke dalam semester pada masa cuti ini juga.

Tidak mengapa, itu bukan ceritanya. Minggu kedua cuti, isteri telah menempah penginapan bercuti di ‘Bukit Gambang Resort City’ selama 2 hari 1 malam, Isnin hingga Selasa. Menginap di ‘Family Suite’. Isteri berjaya mendapat potongan harga RM88 semalam. Cuba klik di sini kalau – kalau ada potongan harga lagi. Kalau tidak, boleh klik di sini untuk menempah terus dari laman sesawang 'Bukit Gambang Resort City'.

Pernah dengar nama tempat tersebut, dan tidak salah saya di situ juga ada ‘Bukit Gambang Water Park’ (Taman Tema Air Bukit Gambang)...... teruja memang teruja!!!!! Ikuti catatan saya ini.


Isnin, 6 Jun 2011
9.30 pagi
Bertolak ke destinasi dari Semenyih. Kalau dari Ampang boleh terus ke Lebuh Raya MRR2, seterusnya ke Lebuh Raya Karak dan kemudian masuk ke Lebuh Raya Pantai Timur.
Tapi dari Semenyih terus ke Lebuh Raya Lekas keluar di Senawang dan menuju ke Kuala Pilah – Ada jalan baru ke Kuala Pilah tidak ikut Bukit Putus terus keluar ke Ulu Bendul (Tapi saya ikut Semenyih – Beranang – Mantin – masuk LEKAS ikut masuk Setul). Dekat jalan baru itu terletak jambatan kedua tertinggi di Malaysia iaitu setinggi 48 meter.

1.45 tgh
Dari Kuala Pilah ke Serting, simpang empat belok kanan dan menuju ke Temerloh. Di Temerloh, yang merupakan Bandar Ikan Patin, singgah makan tengahari di ‘Food Court’ nya. Tapi tak pasti di mana. Makanannya memang sedap, dan tempat ni memang popular. Harga boleh tahan.... sediakan RM50.00 paling kurang.
4 jam perjalanan.... tapi kalau ikut lebuh raya Pantai Timur terus pasti sampai dalam masa 2 jam. Tapi perjalanan ikut jalan kampung memang menyeronokkan. Pemandangan yang indah yang pasti memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.


2.30 petang
Meneruskan perjalanan ke Bukit Gambang menuju Kuantan.

3.30 ptg
Teruja! Tiba di selekoh masuk ke destinasi, 'Bukit Gambang Resort City'. Boleh klik di sini untuk lihat peta laluannya. Tempoh perjalanan selama 6 jam. Kalau ikut lebuh raya Pantai Timur lagi cepat. Mungkin kurang 4 jam. (MRR2 – KARAK – PANTAI TIMUR).



Pandangan masuk ke ‘Caribbean Bay Suites’. Kelihatan ‘tram’, salah satu cara pengangkutan ke ‘Bukit Gambang Water Park’ yang kira – kira 200 meter dari sini. Tu, belok kanan terus ke sana.



Urusan Daftar Masuk di Kaunter

Urusan daftar masuk hanya mengambil masa 5 minit sahaja kalau tiada masalah. Dapat ‘kad’ kunci apartment dan terus ke sana. Bawa kereta terus letak bawah blok. Blok S2, berdekatan dengan kaunter dan juga cafe, sama tingkat juga. Jadi tidak perlu naik turun, naik turun.

Senario dan keadaan dalam ‘Family Suite’ – dilengkapi perabot


Ruang tetamu


Mempunyai dua bilik yang dilengkapi bilik air masing - masing

5.15 ptg
Bawa anak – anak ke kolam renang. Ingatkan hendak terus ke taman tema air, tapi memandangkan kepenatan dan dah lewat, niat dan hasrat ditangguhkan esok. Tidak mengapa, biar anak – anak bergembira di dalam kolam.


Kolam renang yang terletak di tingkat LG1. Nak ke sana perlu menuju ke cafe dan ia terletak bersebelahan dengannya.

6.30 ptg
Menuju semula ke apartment untuk berehat. Anak – anak... biasalah, kena pujuk baru nak naik dari kolam renang.

Makan malam... tapau jer di cafe. Malas nak keluar memandangkan faktor kesihatan. Lagipun anak – anak lebih suka makan di rumah sahaja.

Malam pula berehat dalam penghawa dingin. NYAMANNYA.

Senario dan suasana sekitar ‘Caribbean Bay Suites’



Cafe yang terletak bersebelahan kaunter daftar masuk. Makanan dan minuman dihidang secara buffet dan ala-carte. Tetapi ala-carte perlu ditempah 45 minit awal ketika waktu puncak. Harga buffet boleh tahan.... kalau tak salah kalau untuk dewasa makan tengahari dan makan malam ialah RM38.00 seorang dan RM20.00 untuk seorang kanak – kanak. Untuk sarapan pagi pula RM18.00 seorang dewasa dan RM9.00 untuk seorang kanak – kanak.

Untuk harga al-carte, hari tu beli nasi goreng kampung RM7.80 satu (untuk makan malam), sama harga dengan nasi lemak. Tapi berbaloi beli sebab bermacam – macam lauk dalam satu bungkusan.

Untuk makan di luar.... boleh juga, tapi kawasan ini agak jauh sedikit dari tempat – tempat makan di luar sana. Alang – alang kalau keluar pun duit minyak. Makan kat dalam saja lah.

Teringat masa berjalan – jalan di UK.... siap bawa periuk nasi untuk memasak makanan dan juga bawa masakan yang kering sebagai hidangan. Air.... sekadar air kosong saja.



Kemudahan tempat letak kereta yang banyak. Daripada bilangan kenderaan yang ada, kita tahu bahawa tempat ini boleh menarik ramai pengunjung.

Selasa, 7 Jun 2011
8.00 pagi
Bersarapan di cafe (Jangan lupa bawa baucer makanan – nanti kena bayar pulak). Ramai juga orang, tapi disebabkan kawasan cafe yang agak luas, tidak menjadi masalah.... ala – ala macam ada keramaianlah pulak.

Hidangan yang disediakan pada hari itu seperti kacang panggang, telur dadar, nasi, bijirin, roti dan jem, beberapa jenis kuih. Air minuman seperti teh dan kopi. Tapi tidak ada nasi lemak atau roti canai.

10.00 pagi
Mengemas. Terus daftar keluar sebab masa untuk daftar keluar ialah pukul 12.00 tgh. Kalau dah daftar keluar tidak payah nak kelam – kabut nanti. Tidak mahu mengganggu keseronokan di Taman Tema Air nanti. Lagipun dari situ boleh terus balik KL.


Beratur untuk mendapat tiket masuk ke Taman Tema Air. Kaunter memang disediakan di tempat penginapan (lokasi di kaunter daftar masuk apartment) ini agar pengunjung tidak perlu bersesak – sesak beratur di kaunter tiket di pintu masuk Taman Tema Air.

Harga.... pembaca nilailah sendiri. ‘Bukit Gambang Water Park’ ini tidak menggunakan sebarang tunai untuk urusan sewa ‘tube’ dan ‘Gabana’ (tempat rehat berbumbung) ataupin membeli makanan. Ia menggunakan E-VALUE (ala – ala kad ‘Touch and Go’ atau kad debit). Segala perbelanjaan ditolak daripada Gelang E-VALUE (Tidak semestinya semua yang melawat Taman Tema Air perlu beli E-VALUE). Minimum E-VALUE ialah RM50.00, ada RM100.00 dan RM200.00. Usah risau membeli E-VALUE, sebab nilai yang tidak dibelanjakan akan dipulangkan ketika balik nanti.


Tempat rehat berbumbungnya kena sewa RM40.00 sehari, lagipun kuantitinya tidak banyak. Lebih selamat bawa tikar ala – ala berkelah di tepi pantai, senang dan percuma. Makanan luar tidak dibenarkan tapi boleh bawa masuk ‘swimming ring’ atau ‘swimming board’ sendiri. Hati – hati sebab di pintu masuk akan diperiksa segala beg – beg yang dibawa bersama.

Senario dan suasana dalam ‘Bukit Gambang Water Park’





Tempat rehat berbumbung dan cafe juga disediakan



Kawasan permainan air untuk kanak - kanak


‘Glasier River’

Di sini juga adanya ‘slide – Rafting slide’ yang terpanjang di Malaysia – tiada gambar. Saya dan cuba memang panjang.

2.00 ptg
Bertolak balk ke Kuala Lumpur.
Memandangkan belum makan tengahari, balik ikut Lebuh Raya Pantai Timur.... keluar mengikut Pintu Tol Gambang dan kemudian berhenti di R&R Gambang untuk menjamu selera. Apa – apa makanan dan minuman di R&R lebuh raya memang sedap.


8.00 mlm
Tiba di Semenyih
Jalan yang dilalui, – Lebuh Raya Pantai Timur – Keluar Tol Karak – Karak – Kuala Pilah – Simpang Pertang – Kuala Klawang – Broga – Semenyih. Jalan belok – belok sebab jalan kampung.


Tempat penginapan ‘Caribbean Bay Suites’ ini baru dibuka 2 tahun yang lalu. Sedangkan Taman Tema Air nya sudah dibuka 3 tahun yang lepas. Tempat ini baru lagi dan untuk kawasan Pantai Timur, ini merupakan antara Taman Tema Air terawal yang wujud di sini. Akan datang akan ada beberapa tarikan di sini seperti Taman Safari dan sebagainya.

Ulasan : Tempat ini amat sesuai untuk percutian keluarga. Kalau nak jimat bolehlah sewa ‘Family Suite’ dan bawa ramai – ramai ahli keluarga. Bayaran untuk penginapan..... kongsi – kongsilah. Kalau nak menginap di ‘Studio Suite’ boleh, tapi tiada bilik. Makanan dan minuman, bawalah masakan kering dan bawa periuk nasi dan grill untuk masak nasi dan apa – apa makanan yang boleh disediakan tanpa mengambil masa yang lama tapi mengenyangkan.

Perbelanjaan, jumlahnya boleh mencecah RM700.00 untuk 5 orang ahli keluarga. Jadi ditambahkan lagi dengan duit minyak dan tol, sediakanlah lebih kurang RM1000.00 untuk bercuti di ‘Bukit Gambang Resort City and Water Park’ ini.

Kembali ke :
Jalan – jalan Malaysia - Intro

Tuesday, 7 December 2010

Lagu Sambutan Maal Hijrah

Alhamdulillah kerana kita semua berpeluang untuk terus hidup bagi menyambut tahun baru Kalendar Islam atau di Malaysia dikenali sebagai Awal Muharram atau Maal Hijrah. Semoga apa yang telah dilakukan pada tahun lepas, sama ada kebaikan semoga dikurniakan pahala dan jika keburukan cepat – cepatlah kita memohon keampunan dan taubat dan agar perkara keburukan yang sama tidak dilakukan semula.

Semoga tahun baru ini, kita mengharapkan agar Allah sentiasa mengurniakan hidayah dan taufik, ke arah jalan yang diredhai untuk kita sentiasa mendapat PERLINDUNGAN dan RAHMAT ALLAH. Amin.

SELAMAT TAHUN BARU 1432 HIJRAH.

Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah


Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan


Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman

Wednesday, 24 November 2010

Lirik TINGGAL KENANGAN – SALEEM

Setelah pertama kali mendengar lagu ini, terus ‘terjatuh’. Cari punya cari rupa – rupanya lagu Saleem. Mari layanzzzzzz!!

Pernah Ada Rasa Cinta Antara Kita
Kini Tinggal Kenangan
Ingin ku Lupakan Semua Tentang Dirimu
Namun Tak Lagi Kan Seperti Dirimu
Oh Bintangku

Jauh Kau Pergi Meninggalkan Diriku
Di Sini aku Merindukan Dirimu oohhh
Kini ku Coba Mencari Penggantimu
Namun Tak Lagi Kan Seperti Dirimu
Oh Kekasih


Pernah Ada Rasa Cinta Antara Kita
Kini Tinggal Kenangan
Ingin ku Lupakan Semua Tentang Dirimu
Namun Tak Lagi Kan Seperti Dirimu
Oh Bintangku

Jauh Kau Pergi Meninggalkan Diriku
Di Sini aku Merindukan Dirimu oohhh
Kini ku Coba Mencari Penggantimu
Namun Tak Lagi Kan Seperti Dirimu
Oh Kekasih


Pernah Ada Rasa Cinta Antara Kita
Kini Tinggal Kenangan...

Sumber : lirik semualagu

Tuesday, 23 November 2010

Jalan – jalan Malaysia 1 - Taman Permainan Air Presint 9, Putrajaya dan KLCC

Pening juga bila dah hujung minggu ni. Lebih – lebih lagi kalau sedang musim cuti sekolah ini. Nak tak nak saya sebagai ayah kepada anak – anak saya, dan memandangkan anak - anak sedang membesar, perlu berfikiran pro aktif dan kreatif untuk mencari aktiviti bagi memenuhi masa lapang anak – anak.

Jadi tempat yang ingin dikunjungi bergantung kepada beberapa faktor antaranya ialah jarak lokasi dari rumah saya, tiket masuk – kalau boleh masuk biar percuma, dan lebih – lebih lagi tempat itu mesti menyeronokkan. Apa yang menyeronokkan bagi anak – anak kecil ini. Bagi anak – anak saya, tempat yang menyeronokkan bagi mereka ialah tempat – tempat seperti taman permainan, kolam atau taman permainan air kanak – kanak.

Tapi antara tempat – tempat yang disebutkan, anak – anak saya amat suka mengunjungi kolam atau taman permainan air. Sewaktu di Dundee, Scotland dulu, ada satu taman permainan kanak – kanak (kalau taman permainan kanak – kanak pasti hanya ada gelongsor, buaian dan jongkang – jongkit dan piring pusing) yang dilengkapi dengan air pancut yang keluar dari tapak permainan ini. Seronok budak – budak ini bermain air.

Agak – agak dekat Malaysia ada tak taman permainan air macam tu. Ya ada, memang ada, Malaysia semuanya ada, malah lebih ‘happening’ lagi. Dulu memang tak rajin nak jalan – jalan. Tapi kali ini kena ubah sikit, kalau hujung minggu, cuti am ker atau cuti sekolah ker kena rajin hidupkan enjin kereta dan pergi keluar bersiar – siar bersama keluarga.

Minggu lepas hari Ahad (21 November 2010), kebetulan meluangkan masa dengan keluarga sebelah saya, di Alamanda Putrajaya. Selepas ‘melepak’ di Taman Permainan Kanak – kanak Dalaman berdekatan dengan Pusat Membeli belah Parkson di Alamanda, kami semua ke Taman Permainan Air Kanak – kanak di Presint 9, Putrajaya. Teringat seorang Ustaz di sekolah yang memberitahu bahawa di Presint 9, Putrajaya ada taman tersebut. Lepas buat panggilan untuk mengetahui lokasi dengan lebih tepat kami semua terus ke sana.

Kalau yang pertama kali ke sana, pastikan anda mengikut Papan Tanda Jalan menuju ke Presint 9, sehingga berjumpa dengan simpang empat berlampu isyarat, belok kiri. Pastikan anda terlihat Klinik Kesihatan di sebelah kiri anda. Jumpa lampu isyarat sekali lagi belok kiri. Jalan ke depan sikit dan anda akan melihat sebelah kanan, ‘foodcourt’ atau medan makan dan kemudian di sebelah kiri bangunan besar yang tertulis Kompleks Kejiranan Presint 9. Gerak ke hadapan sedikit dan mulalah mencari tempat letak kereta dan taman permainan kanak – kanak itu berada di sebelah kiri.













Kemudahan tandas dan bilik persalinan juga disediakan

Ada lagi satu tempat yang boleh bawa anak – anak main air. Iaitu di KLCC, atau lebih tepat Tanam Air KLCC. Masuk tidak dikenakan apa – apa bayaran tinggal lagi tempat letak kereta kena bayar sikit, RM2.00 sejam... atau RM2.00 sekali letak.... eh lupa lak. Tak apa, janji masuk taman air tu tidak perlu bayar apa – apa. Letak kereta kalau nak senang letak kereta dekat dengan Masjid, kalau tak salah nama masjid tu Masjid As-Syakirin. Lepas tu terus cari taman permainan kanak – kanak, jalan depan sikit nampaklah kolam cetek yang sesuai untuk anak – anak kecil bermain.










Di sini juga menyediakan kemudahan tandas dan bilik persalinan

Jadi, ini dua tempat yang saya rasa sesuai bawa anak – anak bersantai. Jimat dan menyeronokkan. Tidak mengapalah kita orang dewasa tidak dapat mandi, ini saat anak – anak kita pulak sebab dulu pun ayah ibu kita pun dah korban masa mereka terhadap kita, jadi ini msa kita pula untuk menggembirakan anak – anak kita.

Selamat berekreasi bersama keluarga tersayang! Beriadah dan berekreasi bersama keluarga merapatkan ukhuwah dan memurnikan kasih sayang antara ahli keluarga.

Kembali ke :
Jalan – jalan Malaysia - Intro

Monday, 15 November 2010

Bukan Senang Nak Kekang Nafsu Nakal... Aduh payahnya

Minggu persekolahan (sesi 2010) akan tamat minggu ini. Minggu ke 41. Cuti sekolah akhir tahun akan bermula pada 20 November 2010 (Sabtu).

Apa kaitannya dengan tajuk entri kali ini? Bila cuti sekolah ramai anak – anak kita akan berehat di rumah, atau mungkin yang ada ibu bapa akan bawa balik ke kampung atau dihantar ke kampung untuk tinggal bersama – sama nenek dan atuk di kampung. Atau mungkin yang ada kewangan lebih sikit (yang memang dah simpan lama dah untuk tahun ni semata – mata untuk pergi melancong cuti sekolah), akan pergi melancong ke tempat – tempat menarik sama ada dalam atau pun ke luar negara.

Mana yang bersama – sama dengan keluarga, meluangkan masa bersama... Alhamdulillah. Sekurang – kurangnya ibu bapa memainkan peranan yang sepatutnya. Ada pula yang membuat persediaan awal, lebih – lebih lagi yang bakal menduduki peperiksaan awam dan besar tahun depan 2011, seperti UPSR, PMR dan SPM, pergi kelas tuisyen semasa cuti sekolah dan sebagainya.

Apa jua aktiviti, jangan sesekali biarkan anak - anak yang lebih – lebih lagi yang sedang meningkat umur menuju ke remaja ’terbiar’ dengan ‘aktiviti mereka sendiri’. Ibu bapa harus memantau apa yang diperlakukan oleh anak – anak mereka. Orang – orang dewasa pun yang konon dah makan garam lebih, jadilah ‘busy body’ sikit, tengok – tengokkan anak – anak sekeliling. Kalau yang memilih untuk membuat aktiviti yang ‘menyayangi diri sendiri’, Alhamdulillah. Tapi mana – mana yang fikir – fikir memilih membuat yang sebaliknya, jangan mula!!!. Berfikir sebelum bertindak dan jangan menzalimi diri anda dengan melakukan perkara – perkara yang mendatangkan mudarat dan yang menzalimi diri anda. Apapun, cegah dan kekang lebih – lebih lagi nafsu (yang mengajak kepada kemungkaran) yang mungkin mengatasi kewarasan fikiran, jangan biar hati jadi hitam.

Saya belek – belek juga kalau – kalau jumpa apa – apa tips dan cara kita yang boleh membantu menangani nafsu nakal ini. Lalu saya terjumpa artikel di bawah yang membicarakan langkah – langkah menangani nafsu nakal. Mari kita kongsi bersama, moga – moga ia dapat membantu. Artikel ditulis oleh Ustaz Zaharuddin (UZAR).

Artikel bertajuk ‘Mengekang Nafsu Gelap’

Persoalan yang timbul ialah, bagaimana mengekang nafsu yang ada dalam diri.

*Mengukuhkan azam untuk berubah. Ia sukar untuk diajar melalui tulisan, tetapi kesedaran dan keinginan inilah yang perlu untuk bertindak.

*Kenali sumber serta punca yang mampu membiakkan ‘kekuatan’ terhadap nafsu itu, dan sebaik dikenal pasti, potong dan hapuskan ia.

*Perlu tahu cara, suasana, tempat dan berdamping dengan individu yang dapat menarik diri kita kepada kebaikan dan lupakan syahwat.

*Proses ini memang memerlukan ‘pantang larang’ yang merujuk kepada perkara yang tidak boleh dibuat dan ‘kemestian’ yang merujuk kepada perkara yang perlu dibuat.

*Ia proses ‘Sunnatullah’ untuk segala jenis penyembuhan, sama ada hati dan iman berbentuk spiritual dan juga tubuh fizikal.

*Ini sama seperti menangani penyakit kencing manis daripada sudut konsepnya, di mana mereka perlu menghadapi cabaran mengawal nafsu makan yang tinggi dan terhalang daripada menikmati juadah lazat.

*Pantang larang ini perlu dilakukan secara terpaksa itulah satu mujahadah (usaha). Oleh itu, cuba fikirkan, bagaimana pantang larang ini akhirnya mampu dipupuk serta diikuti dan itulah satu jalan permulaan untuk mengawal nafsu dalam diri.

*Setiap umat Islam perlu meyakini bahawa setiap perbuatan itu kelak pasti diazab oleh Allah SWT dengan mengingatkan bahawa adanya azab neraka, azab kubur, mati dalam kehinaan (suul khatimah) atau dalam kemaksiatan, tidak memperoleh Rahmat Allah atau tiada peruntukan syafaat daripada Rasulullah SAW.

*Disebabkan itu, tanam semua implikasi berbentuk spiritual itu dalam minda dengan harapan ‘nyalaan’ nafsu itu tadi dapat ditangani.

*Proses pertama untuk mengekang nafsu nakal adalah dengan meningkatkan ilmu dan keyakinan terhadap kedua-dua ilmu, ghaib dan fizikal, iaitu kesan buruknya. Insya-Allah, ia akan mampu menjadi pendinding awal sebelum berlakunya dosa dorongan syahwat nafsu itu.

*Binalah pasak dalam diri mengenai iman dan ilmu dengan segera terlebih dulu kerana tanpanya, perubahan kepada kebaikan akan terbantut di suku perjalanan.

++++++

Sebagai kesimpulan, sebagai tambahan kepada penjelasan di atas, ada perlu mengetahui perkara yang perlu serta tidak perlu dilakukan seperti :

-Fikirkan sasaran kehidupan dan berusaha melaksanakannya. Jauhkan pemikiran berkenaan apa – apa yang mendatangakan kemudaratan dan kemungkaran dan penuhkan masa dengan berusaha mencapai sasaran itu.

-Wujudkan keyakinan bahawa Allah SWT melihat apa yang dilakukan di ketika ramai mahupun kala sendirian.

-Sedarkan diri bahawa malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang dilakukan.

-Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.

-Putuskan hubungan ‘songsang’ dan ‘gelap’ sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperoleh melalui Internet atau fizikal, melalui laman sembang, e-mel, web dan sebagainya. Jika berbual mesra bersama rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elak melakukannya dan makan sendirian atau bersama jantina yang sama.

-Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.

-Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan keagamaan kerana dengannya, ia membuka ruang mendapat rakan yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat dapat dibendung.

-Ziarah kubur secara kerap supaya syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.



-Kalau komputer dan Internet kerap menjadi punca peningkatan syahwat, banyakkan mendengar bacaan al-Quran di depan komputer. Insya-Allah, dengannya rasa malu akan timbul. Namun jika syahwat masih ‘menggila,’ segera berhenti dan lihatlah awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah.

-Memastikan harta diperoleh daripada sumber halal kerana sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat. Ia ibarat mutasi virus yang lebih berbahaya kepada kesihatan.

-Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisiplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin ketika sujud di dalam solat supaya diberi kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.

-Segera beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat berat sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Imran, bahawasanya:
“... dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa.”

Sumber : myMetro Online 14/11/2010 (7 Zulhijjah 1431) Ahad – Artikel bertajuk Kekang Nafsu ‘gelap’