Wednesday 3 March 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland

Nukilan ini bersiri. Segala pengalaman yang dikutip selama berada di sini akan menjadi tatapan dan sejarah. Oleh itu, nukilan ini ditulis semata – mata sebagai rekod warna warni kehidupan penulis selama berada di luar negara.

Ini pertama kali saya ke luar negara. Bermula dari tahun 2008 bulan September 2008, saya akan ke luar negara selama 2 – 3 tahun. Segala pengalaman yang saya perolehi ingin saya kongsikan bersama dengan pembaca. Saya akan menulis berdasarkan apa yang terlintas di fikiran dan apa yang saya rasa saya nak cerita.

Dundee, Scotland.

Nama tempat yang jarang – jarang didengar berbanding tempat – tempat yang lebih popular seperti London, Manchester, dan sebagainya.

Perjalanan saya pada bulan 9 2008, dari Kuala Lumpur (KLIA) ke Dundee mengambil masa lebih kurang satu hari. Penerbangan dari KLIA ke London mengambil masa 13 jam. Turun di Lapangan Terbang Heathrow, London dan dari sana penerbangan ke Edinburgh mengambil masa 1 jam 45 minit yang mana jarak antara London dan Edinburgh ialah 331.98 batu (534.26 km).

Berada di atas awan semasa perjalanan dari London ke Edinburgh menaiki kapal terbang.

Tiba di Lapangan Terbang Edinburgh, perlu menaiki bas ke Stesen Keretapi Edinburgh untuk ke Dundee. Dari Edinburgh ke Dundee, menaiki keretapi selama 1 jam 30 minit. Jarak Edinburgh – Dundee ialah 62.5 batu iaitu bersamaan 100.6 Kilometer (1 batu = 1.61 km).

Scotland merupakan salah sebuah negara yang yang terletak dalam sebuah kesatuan yang disebut sebagai United Kingdom (UK) atau juga dikenali sebagai Britain. Selain Scotland, UK juga terdiri daripada Negara – negara seperti England, Wales dan Northern Ireland. Bacaan lanjut sila klik di sini.


Lokasi Scotland berwarna jingga, berada dalam United Kingdom (kuning cair), dalam benua Eropah (putih)

Serba sedikit tentang Scotland. Sila rujuk peta di bawah. Berada pada bahagian utara, dalam tiga negara yang berada dalam Kepulauan ‘Great Britain’. Bersempadan dengan England di sebelah selatan. Selain tanah besar, Scotland juga terdiri daripada 790 pulau.


Scotland dan bandar – bandar utama.

Edinburgh, merupakan ibu negara Scotland dan merupakan bandar kedua terbesar di Scotland selepas Glasgow, diikuti Aberdeen merupakan bandar ketiga terbesar.

Jumlah penduduk di Scotland pada tahun 2008 dianggarkan seramai 5,168,500 orang. Penduduk Scotland dikenali sebagai Orang Scottish. Bahasa rasmi ialah Bahasa Inggeris, namun bahasa yang dipertuturkan oleh penduduk Scotland ialah Bahasa Inggeris Scottish yang mana ia mempunyai gaya pertuturan sendiri (Seperti Bahasa Melayu yang dipertutur dalam loghat Kelantan). Selain itu ia bertutur dalam bahasa Scottish asal yang dikenali sebagai ‘Scottish Gaelic’.

Keluasan negara ini ialah 78,772 km persegi atau 30,414 batu persegi. Mata wang yang digunakan ialah Pound Sterling (£). Bagi pertukaran wang semasa (1 March 2010), 1 pound sterling bersamaan RM 5.00.


Scotland terdiri daripada 14 bahagian seperti dalam rajah di atas.

Di Scotland saya menetap di sebuah bandar yang dikenali sebagai Dundee. Kalau biasa ikuti liga bola sepak Scotland, pasti terlintas 2 pasukan bola sepak yang berpangkalan di Dundee, iaitu Dundee United dan Dundee FC. Alex Ferguson (pengurus pasukan bola sepak Manchester United) dan Darren Fletcher (pemain tengah Manchester United) adalah orang Scotland.

Dundee kalau kita lihat dalam peta 14 bahagian dalam Scotland di atas, terletak dalam bahagian Angus & Dundee.

Dundee atau nama penuhnya ialah ‘Dundee City’ (Bandar Dundee) merupakan bandar keempat terbesar di Scotland. Ia terletak di sebelah utara muara Sungai Tay (‘Firth of Tay’), yang mana menghala ke dalam Laut Utara (‘North Sea’).


Bandar Dundee – kawasan berwarna perang.

Dundee, bermula daripada kurun ke 19, terkenal dengan industri ‘jute (rami atau jerami pokok jut).

Pada pertengahan 2006, populasi Bandar Dundee adalah dianggarkan seramai 150,000 orang.

Hari ini, Dundee dipromosikan sebagai ‘City of Discovery’, dalam memberi pengiktirafan kepada sejarah aktiviti – aktiviti saintifiknya dan juga Penjelajahan RRS, eksplorasi melalui jalan air oleh Robert Falcon Scott ke Antartik. Industri Bioperubatan dan teknologi bermula semenjak tahun 1980an, dan bandar ini menyumbangkan 10 peratus industri hiburan digital United Kingdom. Dundee mempunyai dua buah universiti utama – iaitu Universiti Dundee dan Universiti Abertay Dundee. Selain itu terdapat juga pusat pengajian tinggi yang lain seperti Al – Maktoum Institut dan Kolej Dundee.


Dundee ditadbir oleh Majlis Perbandaran Dundee (‘Dundee City Council’)

Peta interaktif Bandar Dundee seperti di atas, sila klik di sini.

Bacaan lanjut boleh klik di sini :
Mengenai Scotland, melawat ke Scotland, Bandar Dundee

AKAN BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment