Saturday 21 August 2010

PUASA RAMADAN 2 – BUKAN SEKADAR LAPAR DAHAGA

PUASA Ramadan adalah ibadah yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Kewajipan puasa ini sabit dengan nas Ilahi dalam surah al-Baqarah pada ayat 183.

Firman Allah mafhumnya:
Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa sebagaimana difardukan kepada umat sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa”. (al-Baqarah: 183).

Puasa bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata. Walaupun definisi puasa ialah imsak iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari, namun hikmah puasa yang sebenar ialah bagi menjana nilai takwa dalam diri insan.

Antara perkara – perkara yang membatalkan puasa atau membatalkan pahala ibadah puasa ialah akhlak yang buruk seperti mengumpat, bercakap bohong, berbual perkara yang lagha atau sia-sia secara keterlaluan.

Wajar untuk direnungi suatu sabda Nabi SAW maksudnya:
Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan dengannya maka tiadalah Allah berhajat baginya untuk dia meninggalkan makan dan minum”. (riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menggambarkan bahawa amalan puasa ini tidak diterima oleh Allah.

Alangkah ruginya puasa yang dilakukan dengan kelaparan dan kehausan namun ia tidak diterima. Maka menjauhi perkara yang sia-sia sebenarnya merupakan dasar bagi seorang mukmin.


Tidakkah al-Quran menjelaskan ciri-ciri golongan mukmin yang berjaya. Antaranya ialah menjauhi perkara yang sia-sia sebagaimana firman Allah mafhumnya:
Sesungguhnya orang mukmin telah berjaya. Mereka ialah golongan yang khusyuk dalam solat mereka. Dan golongan yang berpaling menjauhi daripada perkara lagha (sia-sia)”. (al-Mukminun: 1-3).

Akhlak perlu dijaga dengan baik ketika berpuasa. Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya:
...maka apabila hari puasa seseorang kamu, maka janganlah dia melakukan maksiat dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil (seperti berkelahi, bertegang lidah dan sebagainya). Maka jika seseorang mencacinya atau melawannya maka hendaklah dia berkata bahawa saya adalah orang yang berpuasa”. (riwayat al-Bukhari).

Elakkan diri daripada melakukan perkara – perkara yang tidak baik sperti memfitnah, mencaci dan berkata dusta. Oleh itu, adalah Amat wajar tempoh sebulan Ramadan ini diisi dengan perkara yang boleh menjana nilai takwa.

Wujudkan akhlak keikhlasan dalam beribadat. Keikhlasan beribadat ini pula didasarkan dengan pedoman al-Quran dan as-Sunnah. Seterusnya ia dilanjutkan dengan kekuatan semangat istiqamah.

Marilah kita bersama – sama memastikan bahawa puasa kita merupakan ibadah yang berkualiti dan diterima oleh Allah.

Rujukan : Utusan Online 20 Ogos 2010 (10 Ramadan 1431) Jumaat – Artikel bertajuk Puasa bukan sekadar lapar dahaga

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro

No comments:

Post a Comment