RAMADAN adalah bulan mulia yang mempunyai kelebihan tersendiri antaranya :
•Ramadan penghulu semua bulan. Diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Kabir,
“Penghulu bulan ialah Ramadan dan penghulu hari ialah Jumaat.”
•Daripada Ubadah Bin Somit meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadan hampir menjelang yang bermaksud:
“Sudah datang kepadamu bulan Ramadan, di mana Allah melimpahkan dalamnya dengan keberkatan, rahmat, me-ngampuni dosa kamu, memakbulkan doa, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperoleh kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini.”
Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila sudah tibanya Ramadan, dibuka pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)
•Diampunkan dosa sehingga Ramadan akan datang. Hadis riwayat Muslim yang diriwayatkan Abu Hurairah:
“Solat fardu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadan kepada Ramadan, akan diampunkan di antara keduanya sekiranya seseorang itu melakukan dosa besar.”
•Ganjaran daripada Allah. Diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud:
“Allah berkata: Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa dan Aku yang akan membalasnya. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding haruman kasturi.”
•Kita juga dianugerahkan keampunan dan ganjaran pahala yang banyak hasil daripada ibadat yang dilakukan pada Ramadan.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Nasai'e, Ibn Majah, Ibn Habban)
•Abu Hurairah berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda mengenai Ramadan yang bermaksud:
“Sesiapa yang mendirikan (Ramadan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai', Ahmad dan Baihaqi)
•Diturunkan al-Quran. Nabi Muhammad SAW berkata:
“Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada awal malam Ramadan dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadan dan diturunkan Injil pada 13 Ramadan dan diturunkan Zabur pada 18 Ramadan dan diturunkan al-Quran pada 14 Ramadan.” (al-Mu’jam al-Kabir)
•Malam Lailatulqadar. Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu dan sesiapa yang qiamullail pada malam Lailatulqadar dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)
•Dibebaskan daripada api neraka.
“Sesungguhnya bagi Allah hamba yang bebas (daripada api neraka) setiap berbuka, dan demikian itu pada setiap malam.” (Hadis riwayat Ahmad)
•Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sembahyang difardukan kepada sembahyang sebelumnya adalah penebus dosa antara kedua-duanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya adalah penebus dosa antara kedua-duanya, dan bulan kepada bulan (iaitu Ramadan) adalah kafarah apa antara kedua-duanya melainkan tiga golongan; syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar).
Berkata Abu Hurairah: Aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! Adapun syirik dengan Allah sudah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda SAW bersabda: Adapun engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jemaah (Islam).” (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, Baihaqi)
Sumber Rujukan :
1) Bharian Online 11 Ogos 2010 (1 Ramadan 1431) Rabu – Artikel bertajuk Ihya Ramadan
2) Bharian Online 19 Ogos 2010 (9 Ramadan 1431) Khamis – Artikel bertajuk Soal Jawab Agama: Banyak ganjaran pahala buat hamba soleh
Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment