Thursday, 19 August 2010

JELAJAH 4 : NEWCASTLE-SHEFFIELD-WALSALL-BIRMINGHAM-STOKE-YORK-EDINBURGH

Bahagian 2
2 Ogos 2010 (Isnin)
Lokasi : Wednesbury-Stoke-on-Trent-Sheffiled


Lokasi pertama pada sesi pagi ialah ke kilang Queen Anne. Ini kali kedua saya ke sini. Bukan apa saja mencari barang ‘tableware’ yang tidak ada pada lawatan bulan lepas. Selain itu mencari cenderahati untuk saudara mara di Malaysia.
Sesiapa yang minat dengan barang – barang Queen Anne ini, kena pergi kilang ini sebab ia memberi harga barangan yang amat berpatutan. Ini alamatnya Queen Anne Tableware Ltd, Alamat : Classic Works, Holyhead Road, Wednesbury, West Midlands, United Kingdom, WS10 7PD, laman webnya klik di sini.

PERINGATAN! Kepada sesiapa yang ingin ke sana. Pengemudi satelit tidak menunjukkan lokasi dengan tepat. Ia akan tunjuk ke kawasan gudang pembungkusan kotak. Pada bulatan pastikan anda masuk ke Jalan Holyhead (‘Holyhead Road’) dan kilang Queen Anne berada di sebelah kiri jalan tersebut.

Setelah selesai urusan di Queen Anne dengan ‘hasil pancing’ sampai penuh boot kereta, lokasi seterusnya ialah ke tempat di mana jualnya pinggan mangkuk Potmeirion iaitu di Stoke-on-Trent. Kali ini saya pergi ke kedai jualan kilang (‘Factory Shop’) yang berbeza dengan lawatan bulan lepas. Tapi kali ini tempatnya lebih besar dan menjual lebih banyak pinggan mangkuk (‘pottery’) dengan pelbagai pilihan.



Tempatnya terletak di hadapan Lidl. Alamatnya adalah seperti berikut, Portmeirion Potteries, Stoke, London Road, Stoke, Stoke-on-Trent, ST4 7QQ. Laman web sila klik di sini.





Kali ini tidak dapat pancing banyak barang. Sebab antara Potmeirion dengan Queen Anne, saya lebih suka Queen Anne. Cuma dapat beli pinggan hiasan Spode untuk keluarga di Malaysia.

Setelah selesai urusan, dalam jam 5.00 petang, saya sekeluarga terus ke rumah kawan isteri saya di Sheffiled. Perjalanan mengambil masa 2 jam dan tiba di sana lebih kurang jam 7 malam. Kami diajak bermalam di sana.

Terima kasih Kak Rozi dan suami kerana mengajak kami bermalam di rumah dan memberi layanan yang tip top. Terima kasih yang tidak terhingga.

2 Ogos 2010 (Selasa)
Lokasi : Sheffiled-York-Edinburgh-Dundee


Keesokan harinya selepas bersarapan pagi – lebih kurang jam 9.30 pagi, saya sekeluarga memulakan perjalanan pulang ke Dundee. Tapi sebelum kami balik, kami nak menyinggah dulu. Lokasinya ialah York (sebab isteri ada terbaca booklet tentang York).

Renowned for its Roman, Viking, and Medieval heritage and wealth of attractions like and the iconic York Minster and JORVIK York is fast developing a flourishing cutting edge scene. Broaden your mind with a visit to world class museums like the National Railway Museum and with a host of magnificent events, entertaining guided walks and boat trips on the River Ouse, there is something to keep you entertained throughout your stay. Delve into the city's vibrant café culture or simply watch the world go by while sipping a drink at a riverside stylish bar or in one of the many cities' heritage taverns.
-visityork

Bandar York terkenal dengan Zon Kawasan Pejalan Kaki yang terbesar di Eropah. Klik di sini untuk bacaan lanjut.


Kami bercadang hendak ke Muzium Kebangsaan Kereta Api York (‘National Rail Museum’), tapi malang sekali kami tidak jumpa tempa letak kereta, penuh sebab tempat letak kereta percuma (terletak sebelah muzium) dan masuk ke muzium pun percuma. Jadi pada sesiapa yang nak ke sini kena pergi awal – awal pagi. Apapun ini saya berikan maklumat seperti alamat dan laman web rasminya.
Alamat : NRM York, NRM York, Leeman Road, York, YO26 4XJ
Laman khusus untuk lawatan ke York, visityork.
Yang ini laman web rasminya, National Rail Museum.

Plan B saya sekeluarga letak kereta di tepi sungai (‘riverside - esplanade’) dan dikenakan bayaran tempat letak kereta £2.00 sejam. Di situ kami makan tengah hari dengan bekalan Kak Rozi sambil anak – anak seronok melambai - lambai tengok kapal dan bot melintas di sepanjang sungai.
Pautan ini berkenaan kawasan tempat letak kereta di York. Klik di sini.

Pautan untuk aktiviti menaiki bot di York. Klik di sini.

Pautan ini untuk aktiviti menaiki bas melawat sekitar Bandar York. York City Sightseeing Bus.


Permandangan Sekitar Bandar York





Pada mulanya ke sini, saya dan isteri perasan bahawa ada dinding yang terbina yang melingkungi sebahagian kawasan di situ. Nampak juga ada orang yang berjalan di sepanjang dinding tersebut.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, ‘The city walls’ dibina pada waktu Roman pada tahun 1900, yang mana dibina untuk tujuan pertahanan, namun sekarang ia dikekalkan sebagai salah satu tarikan pelancong, sejarah yang dipelihara yang menjadi kebanggaan Bandar York.

Maklumat penuh sila klik di sini. Jika ingin tahu sejarah pembinaannya sila klik di sini.


Selepas makan tengah hari, kalau ikut perancangan ingin terus balik Dundee. Tapi apabila ternampak satu menara, kami mengambil keputusan untuk singgah di situ. Cari tempat letak kereta dan kami sekeluarga terus naik menara tersebut. Anak – anak yang paling gembira sebab anak – anak berulang – ulang kali kata, “I want to go the castle” bila nampak menara tersebut – namanya Menara Clifford (‘Clifford’s Tower’). Klik di sini atau di sini untuk mengetahui maklumat lawatan. Alamatnya Clifford's Tower, Tower Street, York, YO1 9SA.

Klik di sini untuk mengetahui sejarah pembinaannya.

Nak tak nak terus berhenti kereta. Lagi satu ini mungkin upah mereka sebab jadi budak baik, lagipun banyak agenda turun England kali ini pun merupakan agenda saya dan isteri, jadi kena bagi peluang kat anak – anak pulak.

Dengan bayaran masuk sebanyak £8.00 untuk sekeluarga, kami pun menjelajah menara tersebut. Daripada menara tersebut – yang merupakan titik lokasi paling tinggi, kita boleh nampak permandangan keseluruhan Bandar York.




Keadaan dan permandangan di dalam menara




Adanya tarikan pelancong lain di sekitar menara seperti Muzium Istana York (‘York Castle Museum’). Tapi saya tidak sempat masuk sebab masa telah suntuk. Tapi saya bagi maklumatnya, klik di sini untuk maklumat lawatan dan di sini untuk laman web rasminya.


Permandangan dari Menara Clifford – boleh lihat hampir keseluruhan Bandar York.






Jika sesiapa yang ingin ke York, di sini saya berikan pautan yang boleh anda gunakan sebagai panduan merancang lawatan di sini. Klik di sini di bawah laman web Majlis Perbandarannya, atau di sini – pautan khusus untuk aktiviti lawatan ke York.

Untuk bacaan menambah pengetahuan tentang sejarah Bandar York boleh klik di sini atau di sini.

Setelah bergambar dan berada selama kira – kira sejam di situ, kami teruskan perjalanan pulang memandangkan lokasi seterusnya ialah Edinburgh sebab isteri ada temujanji dengan rakan di sana. Makan KFC Halal.

Namun dalam perjalanan pulang kami sempat singgah di sempadan antara England dan Scotland. Ini juga merupakan lokasi yang ingin di’touchdown’, Alhamdulillah kami tiba di situ. Kalau nak ke sana pengemudi perlu disetkan menuju ke Edinburgh tapi ikut jalan tepian laut. Insyaallah sampai.

Kalau ada peta sila tengok peta dulu. Nak bagi poskod pun tidak berapa pasti, tapi kalau dari utara, dari Edinburgh kena ikut Lebuh Raya A1 dan menuju ke tempat bernama Berwick-Upon-Tweed. Klik di sini untuk mengetahui maklumat pelancongan di Scottish Border. Ingin tahu mengenai sejarahnya, sila klik di sini.



Batu sempadan yang membahagikan kawasan England (warna perang) dan kawasan Scotland (hijau)




Tiba di Edinburgh dalam jam 6.30 petang, kami terus ke Meadowbank Retail Park, EH7 5TS. Di situ ada satu KFC halal. Jadi kami terus menjamu ayam KFC di sana. Rasa agak lain sikit. Alhamdulillah ada juga KFC halal di UK ni. Sudah pekena KFC bulan lepas di Manchester semasa turun ke England secara beramai – ramai.



Selepas itu kami singgah di Masjid Edinburgh (‘The Edinburgh Central Mosque’), beralamat di 50 Potter Row, Edinburgh, EH8 9BT, United Kingdom, untuk solat, masjid ini mesti pergi kalau anda berada di UK ini. Antara tarikannya ialah ada kafe makanan halal di sini yang menawarkan pelbagai makanan yang menyelerakan.

Dari Edinburgh ke Dundee mengambil masa lebih kurang 2 jam. Kami tiba di Dundee dalam jan 12.30 malam. Setelah mengangkat barang ke flat dan meletak kereta di masjid saya terus berehat (Sini susah sikit nak cari tempat letak kereta, kalau ada semua berbayar atau letak kereta di tepi jalan).

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana saya sekeluarga selamat dalam perjalanan pergi dan balik walaupun keletihan semasa memandu balik. Namun peringatan, jika letih, berhentilah dan berehat dan pekena secawan kopi. INGAT BAHAWA PEMANDU BERTANGGUNGJAWAB KE ATAS PENUMPANG YANG DIBAWA, DAN SUAMI/BAPA KENA INGAT MENGENAI KESELAMATAN ISTERI DAN ANAK – ANAK.

Kemudi ke :
JELAJAH 4 : NEWCASTLE-SHEFFIELD-WALSALL-BIRMINGHAM-STOKE-YORK-EDINBURGH - bahagian 1

JELAJAHKU DI UNITED KINGDOM - intro

Wednesday, 18 August 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 8 : JELAJAH 4

JELAJAH 4 : NEWCASTLE-SHEFFIELD-WALSALL-BIRMINGHAM-STOKE-YORK-EDINBURGH (31 JULAI – 3 OGOS 2010 – SABTU HINGGA SELASA)

Bahagian 1
Kita teruskan ke jelajah yang seterusnya. Kali ini penjelajahan mungkin kali yang terakhir ke England sebelum saya balik ke tanah air tercinta Malaysia. Banyak lokasi yang menjadi tempat persinggahan saya dan keluarga seperti mana yang tercatat pada tajuk.

Sepertimana mana biasa, kerete disewa daripada syarikat sewa kereta Enterprise. Kali ini berpeluang pandu Ford Zetec Fiesta. Ini kali kedua saya dapat peluang kereta yang harganya lebih RM100 ribu di Malaysia yang mana harga di sini cuma beribu pound sahaja.

31 Julai 2010 (Sabtu)
Lokasi : Dundee-Newcastle


Saya dan keluarga memulakan perjalanan dari Dundee lebih kurang jam 4.00 petang, selepas menghadiri ‘Barbeque’ tahunan Komuniti Melayu Dundee pada sebelah paginya di Monikie Park. Dimasukkan poskod ke tempat yang dituju iaitu Bishop’s Avenue, Newcastle. Perjalanan mengambil masa selama 3 jam (seperti mana di dalam pengemudi satelit), namun perjalanan sebenarnya mengambil masa lebih kurang 5 jam. Tempat yang dituju ialah rumah sahabat isteri saya.


Kebetulan terjumpa pelangi – menjadikan perjalanan lebih warna – warni dan indah.


Permandangan yang biasa di United Kingdom jika kita melalui jalan ‘countryside’ – turbin angin, padang ragut dan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing biri – biri.

Permandangan di kiri dan kanan sepanjang perjalanan ialah kawasan – kawasan padang ragut menghijau yang amat luas dan juga kawasan tanaman gandum. Hanya kelihatan kelompok – kelompok kecil hutan di kawasan tersebut.

Tiba di rumah kawan isteri dalam jam lebih kurang 9.00 malam. Pengemudi satelit tepat menunjukkan lokasi rumah. Kami disambut dengan senyuman. Mengambil peluang berehat kerana keletihan disebabkan oleh perjalanan yang amat panjang.


Nama penuh Newcastle – Newcastle Upon Tyne

1 Ogos 2010 (Ahad)
Lokasi : Newcastle-Sheffiled-Walsall


Paginya setelah bersarapan, kami semua ke ‘Carboot’ di Newcastle (terlupa pula apa nama tempatnya). Dapat pancing kasut roda jenama ‘Dora the Explorer’ (harga £1.00) dan jam tangan ‘Princess' (harga £4.00) untuk anak perempuan saya dengan harga dan juga jam tangan ‘Thomas the Tank Engine’ (harga £4.00) untuk anak bujang saya.

Carboot’ ialah karnival jualan barang – barang terpakai / barang – barang yang tidak digunakan lagi di kawasan padang yang luas, yang dikeluarkan daripada ‘boot’ (tempat penyimpan barang pada kereta) kereta. Harga yang ditawarkan adalah amat murah, apa yang pasti barang tersebut mesti terjual.



Menghabiskan masa selama dua jam di ‘carboot’. Pada jam 12.00 tengah hari kami sekeluarga dibawa ke Pusat Bandar Newcastle, lebih tepat ke Newcastle’s Quayside.


Tempat letak kereta agak susah di sini. Oleh itu menumpang di tempat letak kereta Travelodge di sini. Bayaran dikenakan £1.00 setiap jam.

Antara tarikan utama yang mesti dikunjungi pelancong ke Newcastle ialah Jambatan Gateshead Millenium. Alamat untuk ke sini ialah Gateshead Millennium Bridge, South Shore Road, Gateshead, Tyne and Wear, NE8 3AE.





Roda dan gandar yang boleh menyendengkan jambatan ini.

Tarikan Utama Pelancong di Newcastle – ‘Gateshead Millenium Bridge’.

Jambatan melengkung yang boleh disendengkan untuk membenarkan kapal lalu di bawahnya. Untuk informasi berkenaan jambatan tersebut sila klik di sini.

Di bawah merupakan beberapa fakta menarik tentang jambatan ini. Untuk bacaan lanjut sila klik di sini.
•Diiktiraf sebagai kelas dunia pada tahun 2000.
•Pertama kali disendengkan pada 20 November 2000.
•Mengandungi keluli yang boleh digunakan untuk membina 64 bus dua tingkat (‘double decker buses’).
•Bernilai £22 milion.
•Setiap bukaan dan tutup mengambil masa empat dan setengah minit.
•Ia dijana oleh lapan motor elektrik – yang mencukupi untuk menggerakkan lebih lapan kereta Ford Focus.
•Terdiri daripada 19,000 tan konkrit.
•Memanjang 126 meter merentangi Sungai Tyne.
•Telah diletakkan pada tempatnya oleh Kren Terapung Paling Besar di Eropah – Asian Hercules II.
•Puncak lengkungan paling tinggi ialah 50 meter dari paras Sungai Tyne.
•Beratnya melebihi 800 tan


Video menunjukkan bagaimana jambatan itu diangkat untuk memberi kapal lalu di bawahnya.



Video di bawah menunjukkan bagaimana Kren Asian Hercules II mengangkat Jambatan Millenium Gateshead.




Papan arah tempat – tempat menarik di Newcastle’s Quayside.


Saya dan keluarga bergambar berlatar belakangkan Jambatan Tyne.


Pusat Seni Kontemporari Baltic (‘Baltic Centre for Contemporary Art’)
Laman web di bawah Majlis Perbandaran Newcastle – Gateshead. Klik di sini.

Laman web rasmi Pusat Seni Kontemporari Baltic.

Merupakan mercu tanda bangunan industri di tebing selatan Sungai Tyne di Gateshead, BALTIC merupakan galeri paling besar seumpamanya di dunia – mempamerkan pelbagai program seni visual kontemporari yang dinamik, pelbagai dan bertaraf antarabangsa.




Bas pelancong yang membawa pelancong ke tempat – tempat menarik sekitar Newcastle.
(‘Sightseeing Bus’)
Bas ini terdapat di setiap bandar – bandar Utama di England mahupun Scotland.


The Sage Gateshead – Pusat Seni Muzik Antarabangsa di Gateshead, Newcastle

Di bawah merupakan beberapa fakta menarik tentang Sage ini. Untuk bacaan lanjut sila klik di sini.
•Harga £70 milion
•Bumbung unik melengkung terdiri daripada 3,043 panel keluli tahan karat dan 250 panel kaca.
•Jika ia rata, ia boleh melingkungi kawasan seluas 12,000 meter persegi
•Memerlukan seramai 4,000 pekerja pembinaan dan lebih dua juta jam waktu bekerja.
•Lebih 20,000 meter padu konkrit digunakan.
•Memerlukan sebanyak 1.650 pancang keluli untuk menampung beratnya.
•Bangunan meliputi kawasan seluas 8,000 meter persegi.
•Memerlukan 8 tahun perancangan dan kajian.
•Dua kali ganda tinggi ‘The Angel of the North’.
•Dewan Satu mengandungi 1,750 tempat duduk dan dewan kedua mengandungi 400 tempat duduk
•Pemegang tangga mempunyai tulisan Braille yang berguna untuk pengunjung buta.


Panorama sekitar Newcastle’s Quayside.

Setelah bersantai di sini selama beberapa ketika, kami semua menuju pulang ke Bishop’s Avenue semula untuk makan tengah hari dan solat.

Setelah itu kami bertolak ke lokasi seterusnya. Terima kasih diucapkan kepada Faizah (kawan isteri penulis) dan suami kerana menerima kami sebagai tetamu dan kami amat berterima kasih di atas layanan yang cukup tip top. Terima kasih sekali lagi.

Kami meneruskan perjalanan ke Sheffield. Dalam perjalanan ke sana kami singgah di ‘Angel of the North’, salah satu mercu tanda dan tarikan utama pelancong yang mesti dilawati, yang betul terletak di tepi lebuh raya (sini panggil ‘motorway’). Alamat untuk ke sini ialah The Angel of the North, Durham Road, Low Eighton, Gateshead, Tyne and Wear, NE9 6AA.




Berikut merupakan beberapa fakta tentang ‘the Angel of the North’ ini. Untuk bacaan lanjut sila klik di sini.
•Ia dipercayai sebagai arca bidadari paling besar di dunia.
•Kelebaran sayapnya ialah 54 meter (175 kaki) yang mana lebih besar daripada Boeing 757 atau jet 767 dan hampir sama dengan saiz Jet Jumbo.
•Ketinggiannya ialah 20 meter (65 kaki) – ketinggian bangunan lima tingkat dan empat bas dua tingkat (‘double decker buses’).
•Berat 200 tan – badan 100 tan dan sayap 50 tan setiap satu.
•Keluli untuk membinanya cukup untuk bina 16 bas dua tingkat (‘double decker buses’).
•Ia akan bertahan selama lebih 100 tahun.
•Di bawah arca, pancang konkrit yang amat besar kedalaman 20 meter.
•Terdiri daripada keluli tahan cuaca Cor-ten, mengandungi sedikit kuprum, yang membentuk tahi tembaga (‘patina’) pada permukaan yang melembut.
•Berharga £800,000


Untuk mengetahui tempat – tempat tarikan pelancong di Gateshead, Newcastle, sila klik di sini.

Perjalanan diteruskan ke Sheffield. Destinasinya ialah ke rumah kawan lama isteri saya.


Singgah mengisi minyak di Stesen Minyak Esso – harga minyak 113.0 (£1.13) pence seliter. Ingatkan hendak ke Tesco, memandangkan harga minyak di Tesco agak mahal itu 118.0 pence (£1.18) seliter, tidak jadi isi terus ke stesen ini. Untuk pengetahuan pembaca semua, harga minyak di sini memang tidak tetap seperti di Malaysia.

Setiap stesen minyak mempunyai harga tersendiri walaupun daripada stesen syarikat yang sama ataupun stesen – stesen minyak berada dalam lingkungan satu kawasan yang sama. Seperti ada persaingan antara stesen – stesen minyak dan harga paling mahal yang penulis pernah jumpa ialah di stesen minyak Shell di lebuh raya iaitu 122 pence (£1.22) seliter.


Antara permandangan – permandangan indah di sepanjang perjalanan.

Tiba di Sheffiled (‘Eleanor Street’) dalam jam 6.30 petang. Perjalanan mengambil masa selama 3 jam. Setelah berehat dan pekena mi rebus serta kopi di rumah kawan lama isteri saya (terima kasih Uji dan suami), kami terus menuju ke tempat menginap pada malam itu, iaitu di Travelodge di Walsall. Tiba di Travelodge dalam jam 11.00 malam.



Travelodge Walsall. Tempat letak kereta dikenakan bayaran sebanyak £3.00 selama 24 jam. Terdapat Travelodge yang lebih besar bilikinya iaitu di Birmingham. Berehat untuk semalam kerana esok ada misi yang perlu dilaksanakan.

Pautan berkait :
JELAJAH 4 : NEWCASTLE-SHEFFIELD-WALSALL-BIRMINGHAM-STOKE-YORK-EDINBURGH - bahagian 2

Wednesday, 11 August 2010

PUASA RAMADAN DI DUNDEE, SCOTLAND (1431 HIJRAH @ 2010)

Semasa saya menulis entri ini, saya baru sahaja selesai menunaikan solat sunat Tarawikh untuk malam yang kedua. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam dan perut pun masih kenyang. Kemudian kena bersahur terus kerana imsak adalah pada jam 1.59 pagi. Hari ini berbuka di rumah sahaja, berbuka bersama keluarga pada hari pertama berpuasa Ramadhan – telah menjadi amalan saya sekian lama sebelum ini. Sebelum ini ketika Ramadhan, banyak kali saya dan keluarga beriftar @ berbuka puasa di masjid dengan menunya ialah nasi pilau bercampur daging kambing (nasi orang Pakistan – ala ala nasi goreng Malaysia).

Alhamdulillah, berpuasa pada hari yang pertama hari ini – 11 Ogos 2010 selama hampir 20 jam berjaya dilaksanakan. Bermula imsak pada jam 1.45 pagi dan berbuka pada jam 9.05 malam. Ramadhan tahun 1431 Hijrah @ Ogos 2010 kali ini tiba pada penghujung musim panas. Jam baru sahaja memulakan putarannya semula dan waktu Isyak dan Subuh pun baru boleh dikesan.


Untuk pengetahuan para pembaca, Dundee tempat saya tinggal ini lokasinya terletak di bahagian Utara kepulauan United Kingdom. Jadi pengaruh cahaya Matahari sangat memberi kesan besar kepada waktu solat dan juga musim. Boleh baca di sini untuk maklumat lanjut tentang lokasi UK di peta dunia dan dan di sini tentang lokasi Scotland seterusnya Dundee di dalam United Kingdom. Dan lihat di sini untuk melihat mengapa berlakunya perubahan musim di negara – negara 4 musim.

Hari pertama solat sunat Tarawikh berjemaah semalam, bermula lewat pada jam 10.30 malam kerana waktu Isyak hanya masuk pada jam 10.18 malam. Solat sunat tarawikh di sini tiada ‘laungan’ pujian – pujian kebesaran Allah dan Rasullullah yang diselang seli dengan solat sunat Tarawikh dua rakaat. Solat lebih fokus dalam suasana yang kondusif, suasana sunyi, hanya kedengaran alunan ayat – ayat Al Quran oleh Imam – kita boleh merasai ‘suasana’ kita berada di dalam rumah Allah menghadap-NYA. Ramadhan juga merupakan bulan turunnya Al quran, maka bacaan surah selepas Al-Fatihah setiap rakaat dalam solat Tarawikh bermula dengan surah Al-Baqarah sehingga khatam satu Al quran dalam satu bulan Ramadhan.

Di sini saya berpeluang bersolat dengan pelbagai jemaah yang berasal dari pelbagai negara terutamanya Pakistan dan Arab. Dan juga terbuka minda mengenai kaedah solat yang berpegang pada mazhab – mazhab tertentu, namun solat itu hanya satu, sujud pada Allah yang Satu, Yang Maha Esa. Contohnya ketika berdiri tegak, posisi tangan ada yang letak di bahagian perut, dada dan ada juga yang lepas tangan. Satu lagi, saya amat kagum dengan semangat Ramadhan yang ditunjukkan. Jemaah terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Semua berpusu – pusu ke masjid. Amalan – amalan seperti zikir, bacaan Al Quran diperhebatkan. Namun saya amat tersentuh dengan semangat yang ditunjukkan lebih – lebih lagi orang yang sudah berumur @ tua datang ke masjid dengan bertongkat, mengejar pahala Ramadhan berlipat kali ganda menunaikan solat sunat Tarawikh 20 rakaat walaupun solat dengan cara duduk.


Pada akhir Ramadhan iaitu pada 9 Sepetember 2010, waktu imsak akan menjadi 4.10 pagi dan berbuka pada jam 7.49 malam. Tempoh masa berpuasa semakin pendek lebih kurang 15 jam, memandang musim menuju ke musim luruh.

Di bahagian bawah jadual solat di atas ada ditunjukkan bayaran zakat fitrah iaitu £3.00 seorang untuk tahun ini.

Begitulah pengalaman yang dihadapi oleh saya semasa berpuasa di negara orang atau kita kata di perantauan berjauhan dengan keluarga, adat dan cara kita di Malaysia. Ini kali ketiga saya berpuasa di sini bermula pada tahun 2008 (pertengahan musim luruh) dan tahun 2009 (permulaan musim luruh).

Walaupun berpuasa pada musim panas agak mencabar, namun ia merupakan pengalaman berguna yang mendidik jiwa lebih bersabar dan menguatkan iman, pegangan, taat kepada ajaran Islam. Puasa pada musim sejuk mungkin lebih ‘seronok’ kerana boleh berbuka awal pada jam lebih kurang 3.30 petang. Namun dimaklumkan oleh teman di sini bahawa kitarannya ialah 25 tahun sekali. Katakan sekarang berpuasa pada penghujung musim panas, waktu berpuasa yang sama akan berlaku 25 tahun dari sekarang.

Saya mengambil kesempatan mengucapkan SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA DAN SEMOGA IBADAH PUASA KITA DITERIMA INSYAALLAH.

Tambahan : Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan dan dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan kali ini. Moga ibadah puasaku dan ibadah – ibadahku selama ini diterima.

Cikgu Azmi

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro

Monday, 9 August 2010

PUASA RAMADAN 1 - Intro


Ramadan menjema kembali. Alhamdulillah dan bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana kita diberi panjang umur dan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadan kali ini. Ramadan bulan yang penuh keberkatan, rahmah (kasih sayang) dan maghfirah (pengampunan). Ramadan bulan mulia bermakna kita menjalani ibadah puasa selama sebulan yang juga merupakan Rukun Islam yang Ketiga. Segala amal ibadah dan perkara baik yang dilakukan akan diberi ganjaran yang berliapat kali ganda berbanding bulan – bulan yang lain.

Sebagai seorang Muslim kita seharusnya gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan dan menghadapi dengan dada yang sangat lega; dengan jiwa yang tenang, dengan hati yang tenteram. Bagi orang Islam yang beriman mereka menerima kehadiran bulan yang barakah ini dengan penuh kegembiraan.

Sesungguhnya Allah mewajibkan puasa adalah untuk membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang hina dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang mulia serta menjauhkannya daripada setiap sifat yang tercela. Kita dianjurkan banyak bersabar dan berjihad melawan hawa nafsu. Dengan puasa juga iman seseorang Muslim akan bertambah kuat dan bersih.

Ramadan menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran individu dan keluarga Muslim yang beriman. Sebab itu juga bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah. Iaitu bulan di mana orang-orang yang beriman berebut-rebut mengerjakan amalan soleh.

Banyak kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan dibandingkan dengan bulan-bulan lain dalam Islam. Kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup kita diturunkan di dalam bulan mulia ini. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang berbunyi:
Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar.” (al-Qadr: 1)

Umat Islam harus menghayati keagungan bulan Ramadan ini. Bulan di mana Allah telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Ini adalah bulan kembali dan taubat, bulan pengampunan dan rahmat, bulan kebebasan dari api neraka dan kemenangan berupa syurga.

Ibadah sunat perlu dilipatgandakan seperti solat terawih, solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib diberi ganjaran yang amat besar - yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya. Selain itu perbanyakkan bersedekah, qiamullail, sembahyang tahajud, perbanyakkan sedekah, zikir, baca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.

Setiap amalan sunat akan dinilai sama seperti amalan fardu manakala segala amalan fardu akan dilipat gandakan sehingga 70 kali ganda amalan seumpamanya sebagai bonus tahunan pemberian Allah SWT. Lebih daripada itu, ganjaran pahala sehingga 700 kali ganda menanti setiap hamba yang sanggup berjuang habis-habisan dalam melakukan kebajikan.

Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Walaupun bersahur hukumnya sunat namun jangan ditinggalkan. Selain mendapat pahala ia juga melatih kita dan membiasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan, dan diharap ini dapat membantu kita bangun awal di luar bulan Ramadan. (5)

Setiap individu Muslim seharusnya membuat persiapan rapi menjelang Ramadan. Peluang keemasan yang tiba itu tidak patut dipersia-siakan memandangkan hanya insan istimewa dan terpilih sahaja bakal mendapat kurnia ganjaran berlipat kali ganda termasuklah peluang beribadah pada malam Lailatul Qadar yang menyamai pahala 1,000 bulan.

Oleh yang demikian, segala persiapan termasuk rohani dan jasmani perlu dilengkapkan. Persiapan rohani diperlukan bagi mengikhlaskan niat melaksanakan ibadah puasa demi mendambakan keampunan daripada-Nya. Manakala persediaan jasmani diperlukan bagi menjalani proses pentarbiyahan Ilahi yang beraneka ragam sepanjang Ramadan.

Malah persiapan mental juga penting bagi mengharungi cabaran dan ujian untuk berperang dengan nafsu sendiri. Sehingga kejayaan tersebut menjadi asas pula kepada kejayaan untuk melawan hasutan Iblis apabila berakhirnya Ramadan nanti.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang yang terdahulu semoga kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah:183).

Berpuasa menahan lapar dan dahaga, mulut berpuasa daripada mengumpat atau mengata sesuatu yang tidak baik, mata berpuasa daripada memandang perkara – perkara yang haram, telinga berpuasa daripada mendengar perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa. Terus usaha melaksanakan ketaatan lain seperti solat, menutup aurat dan lain-lain.

Ketika berbuka, jangan leka kerana asyik menjamu selera atau ada yang makan terlalu banyak sehingga melalaikan solat Maghrib dan Isyak yang semestinya wajib dikerjakan.

Dalam konteks ini, Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud:
"Ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasa mereka melainkan rasa lapar dan dahaga". (Hadis Riwayat Ibn Majah dan al-Nasai'e).

Bulan Ramadan juga bulan bersedekah. Umat Islam disaran berlumba-lumba menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT seperti memberi juadah berbuka puasa dan menyediakan minuman kepada orang yang berpuasa. Atau berusahalah untuk menyegerakan pembayaran zakat fitrah seawal 1 Ramadan supaya pihak yang memerlukan bantuan kewangan dapat sama-sama menikmati kegembiraan sebelum berlalunya Ramadan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur, dan perawan-perawan yang sebaya umurnya serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta. Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya)". (Surah al-Naba':32-36) (2)

Syaitan Dirantai Ketika Ramadan (4)

Ada sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Apabila tiba bulan puasa, maka terbuka pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dirantai.
Daripada hadis berkenaan, dapatlah kita memahami pengertian majazi (kiasan) dan hakiki (kenyataan). Dalam pengertian majazi, hadis itu mengandungi makna Ramadan adalah bulan ibadat untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Ketika Ramadan, Allah SWT melimpahkan ganjaran pahala yang luar biasa serta membuka pintu keampunan seluas-luasnya. Dengan melakukan sedikit amal, kita memperoleh ganjaran pahala seterusnya membawa kita ke syurga. Sehinggakan syurga pada Ramadan itu sentiasa terbuka kerana luasnya rahmat Allah SWT dan neraka, kerana banyaknya pengampunan Allah SWT untuk hambanya sentiasa tertutup dan syaitan bagaikan terbelenggu atau terikat berikutan kesedaran manusia yang terlalu tinggi sepanjang Ramadan.

Jika hadis terbabit difahami secara hakiki (kenyataan), maka kita dapat fahami dan berkata bahawa penderhakaan itu muncul akibat godaan syaitan dan rayuan hawa nafsu. Dalam Ramadan, iaitu bulan puasa, sememangnya syaitan diikat, tetapi bagi orang yang hawa nafsunya tidak dikawal, maka mereka itulah yang menderhaka kepada Allah SWT.

Kalangan ulama menjelaskan terdapat perbezaan antara godaan syaitan dan rayuan nafsu. Syaitan menggoda dengan tujuan menyesatkan dan merugikan manusia, atau sekurang-kurangnya menjadikan manusia tidak beruntung dalam memperoleh rahmat Allah.

Justeru, syaitan dapat mengubah rayuannya dari waktu ke waktu jika ia gagal dalam rayuan yang pertama. Ini berbeza dengan nafsu yang hanya ingin memuaskan dirinya, sehingga apabila ia menginginkan sesuatu, dia tidak akan mengubah dan terus mendesak sehingga keinginannya tercapai. (4)

Semoga ibadah puasa yang akan ditempuhi tahun ini akan lebih bererti dan berkualiti berbanding tahun-tahun yang lalu. Untuk tujuan itu marilah semua bermuhasabah serta berazam untuk melakukan yang terbaik. Anggaplah puasa kali ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidup kita, kerana jika terpilih bertemu Ramadan tahun ini belum tentu akan terpilih lagi di masa mendatang.

Pemakanan Ketika Ramadan

Tip sahur dan berbuka (1) (3)

•Untuk sahur dan berbuka, kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak tepu seperti mentega dan santan kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol dalam darah.

•Berpuasa pada siang hari mengambil masa yang panjang, justeru pilihlah makanan yang lambat dicerna misalnya makanan kaya serat yang boleh bertahan sehingga lapan jam. Umumnya makanan yang mudah dicerna hanya bertahan antara tiga ke empat jam saja. Antara jenis makanan yang lambat dicerna adalah gandum, barli, oat selain nasi. Sementara makanan yang kaya serat tentu saja sayur-sayuran hijau, seperto bayam dan makanan kering seperti prune.

•Elakkan makanan yang panas, pedas atau masin. Makanan yang terlalu masin akan membuatkan mudah terasa dahaga ketika berpuasa dan tubuh memerlukan lebih banyak air. Ia kemudiannya menyebabkan anda rasa kembung. Elak makan terlalu banyak makanan pedas kerana menyebabkan anda minum terlalu banyak air dan seterusnya berasa amat letih.

•Makanan manis atau bergula mudah dibakar tubuh dan hanya bertahan antara tiga ke empat jam. Lebih teruk, makanan jenis ini akan berubah menjadi lemak sekali gus meningkatkan kadar kolesterol anda dan menyebabkan berat badan bertambah.

•Makanan bergoreng dan ditumis pula umumnya tidak sihat dan harus dihadkan pengambilannya. Ia akan menyebabkan masalah dalam pencernaan, pedih ulu hati selain masalah berat badan.

•Makanan daripada kumpulan ikan, daging dan telur pula perlu diambil secara sederhana. Sayuran juga perlu diambil untuk memastikan tubuh mendapat vitamin dan mineral secukupnya untuk keperluan.

•Minum air yang secukupnya ditambah dengan pengambilan makanan dengan serat tinggi bagi mengelakkan sembelit. Banyakkan minum air kosong bagi mengelakkan tubuh mengalami dehidrasi.
Setiap individu perlu meminum sekurang-kurangnya empat liter air atau bersamaan 15 gelas air setiap hari. Bagi mereka yang tidak menghidap masalah tekanan darah tinggi boleh mencampurkan sedikit garam ke dalam air.

•Elakkan pengambilan terlalu banyak minuman kafein dan minuman soda. Kafein akan menyingkirkan kalsium dari tubuh anda yang menyebabkan anda terasa lapar. Pengambilan minuman kafein dan makanan pedas boleh menyebabkan peningkatan paras asid dalam perut dan mengalami masalah seperti pedih ulu hati.

•Ada sesetengah orang yang ketagih tembakau dan kafein akan mengalami gejala tarikan pada permulaan Ramadan. Gejala tarikan ini menyebabkan sakit kepala dan biasanya akan menjadi lebih teruk jika anda juga berhadapan dengan masalah tekanan darah rendah. Justeru, kurangkan tabiat pengambilan minuman kafein dan hentikan tabiat merokok perlahan-lahan menjelang Ramadan. Selain itu dapatkan tidur yang cukup.

•Jangan elak sahur. Sesetengah orang gemar makan pada lewat malam dan tidak akan bangun bersahur. Tindakan ini tidak bijak kerana anda bukan saja hilang pahala bersahur tetapi juga tubuh akan kekurangan tenaga yang diperlukan tubuh bagi meneruskan puasa sepanjang hari.

•Ketika iftar, mulakan dengan makanan yang ringan. Kurma, jus atau sup mungkin boleh dijadikan permulaan hidangan makanan berbuka. Meminum air ketika berbuka juga selari keperluan tubuh yang memerlukan glukos sebagai sumber tenaga terutama otak. Simpan makanan yang berat selepas solat maghrib atau bagi sesetengah orang selepas solat sunat tarawih.

•Pengambilan makanan yang mengandungi karbohidrat perlulah cukup bagi membekalkan tenaga hingga waktu berbuka puasa.

Catatan Penulis : SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA. Ini tahun yang ketiga saya sekeluarga berpuasa di luar negara, Dundee Scotland. Untuk pengetahuan rakan pembaca, berpuasa di sini agak mencabar kerana bulan Ramadan kali ini hampir dengan penghujung musim panas. Hari pertama puasa (Insyaallah 11 Ogos 2010 – 1 Ramadan 1431) tamat sahurnya adalah pada jam 1.45 pagi dan berbuka pada jam 9.05 malam – hampir 20 jam berpuasa. Hari terakhir pula tamat sahurnya ialah 4.10 pagi dan dan berbuka pada jam 7.49 malam – hampir 16 jam berpuasa. Tahun – tahun mendatang Ramadan bakal jatuh pada musim panas di mana waktu berbuka dan bersahur adalah amat hampir.

Rujukan :
1) Bharian Online 7 Ogos 2010 (26 Syaaban 1431) Sabtu – Rambang juadah berbuka

2) Utusan Online 10 Ogos 2010 (29 Syaaban 1431) Selasa – Artikel bertajuk Bermuhasabah sambut ketibaan Ramadan

3) Bharian Online 08 Ogos 2010 (27 Syaaban 1431) Ahad - Puasa secara sihat

4) Bharian Online 08 Ogos 2010 (27 Syaaban 1431) Ahad - Persoalan Agama: Syaitan dirantai ketika Ramadan hanya kiasan

5) Utusan Online 10 Ogos 2010 (29 Syaaban 1431) Selasa – Artikel bertajuk Persiapan Ramadan

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 2 – BUKAN SEKADAR LAPAR DAHAGA
PUASA RAMADAN 3 – Kelebihan – kelebihan Puasa Bulan Ramadan
PUASA RAMADAN 4 – Adab Berbuka
PUASA RAMADAN 5 – Peristiwa Besar Pada Bulan Ramadhan