JELAJAHKU DI UNITED KINGDOM
Untuk Siri ke 8 ini, tajuknya adalah ‘Jelajahku di United Kingdom’, yang mana penulis hendak berkongsi pengalaman bersama dengan para pembaca blog ini, ke tempat – tempat menarik yang telah dilawati oleh penulis sepanjang hampir dua tahun penulis tinggal di Scotland ini. Dingatkan bahawa negara Scotland merupakan salah satu negara dalam United Kingdom selain England, Wales dan Northern Ireland. Jadi banyak jelajah atau tempat – tempat yang penulis pergi sekitar Scotland dan England.
Untuk jalan – jalan di sini pada mulanya penulis agak was – was, tapi setelah mencari dan mendapat maklumat serta mendengar cerita – cerita daripada orang – orang Melayu yang dah lama duduk sini, rupanya tidak ada yang perlu dirisaukan sangat. Yang penting keyakinan diri, keinginan dan cukup maklumat.
Mengapa penulis berkata demikian? Sebab di sini maklumat semua tempat – tempat menarik boleh diperolehi melalui internet dan juga promosi – promosi pelancongan yang agak hebat dijalankan terutamanya melalui sebaran risalah, media cetak dan elektronik. Sehingga kita pun rasa semangat nak pergi.
Untuk jalan – jalan di sini kita perlukan satu : kenderaan, Alat pengemudi satelit (‘Satelite Navigator’), maklumat tentang tentang tempat lawatan terutamanya poskod dan google map.
Peta setakat ini penulis tidak menggunakannya, sebab penulis pun kurang sikit tentang ilmu membaca peta ini, cuma tahu asas saja. Tapi ia tetap dibawa sekiranya diperlukan.
1) Kenderaan
Setakat ini penulis kalau hendak ke tempat – tempat yang agak jauh, penulis akan sewa kereta. Sewa kereta di sini, ada pelbagai perusaha sewa kereta, namun jika dibandingkan harga dan layanan, penulis sentiasa menggunakan perusaha sewa kereta Enterprise kerana ia lebih murah dan mudah. Ada pakej murah jika kita sewa kereta pada hujung minggu termasuk hari Jumaat, Sabtu, Ahad selama 5 hari. Ada pelbagai kelas kereta dengan harga yang berpatutan. Ada juga perusaha sewa kereta yang lain seperti Europcar, Nationalcar, Carrentals dan lain – lain lagi.
2) Alat pengemudi satelit (‘Satelite Navigator’)
Alat ini memang canggih, mengguanakan teknologi satelit. Teringat lagi pertama kali penulis melihat alat ini memang penulis teruja sangat. Mana taknyer.... ternganga mulut penulis melihat alat sedemikian. Patutlah ramai orang berani memandu, rupa – rupanya gajet ini yang membantu mengemudi ke mana kita hendak pergi. Sedangkan orang – orang di sini pun (kekadang penulis perasan dalam van penghantar bungkusan pun ada gajet ini), menggunakan gajet ini untuk ke sesuatu destinasi.
Gajet ini akan mengemudi kita mula sehingga ke destinasi, ia akan mengeluarkan arahan belok kanan kiri, jalan terus dan memberi maklumat seperti ‘speed trap’, kalau kita laju sangat melebihi had kelajuan gajet ini memberi peringatan supaya memperlahankan kereta, kamera polis dan sebagainya. Sama ada nak ikut tol atau tidak, nak ikut jalan dekat atau jauh dan sebagainya.
Gajet ini ada pelbagai jenama. Jenama yang paling popular ialah Tom Tom dan Garmin. Penulis punya rasanya yang paling murah ialah Binatone. Harga pun boleh tahan juga, kalau paling murah pun £70 dan ke atas. Semakin mahal semakin canggih kerana ia boleh membekalkan pelbagai maklumat dan banyak peta jalan di dalamnya.
Cara nak gunakan, mudah sahaja, kalau ada alamat penuh lagi bagus, alat ini akan terus kemudi kita ke sana pasti sampai. Kalau tersalah masuk jalan pun ia akan ‘recalculate’ semula jarak dan mengesan jalan mana yang perlu diikut selepas itu. Kalau tak der alamat masukkan poskod pun cukup, dan kemudian alat ini akan cuba mengenalpasti jalan yang perlu kita ikut (berdasarkan maklumat yang kita telah masukkan). Lepas itu kita akan terus memandu sambil mendengar arahan daripada alat pengemudi ini. Insyaallah jangan risau kita akan tiba ke destinasi. Nanti kalau dah sampai alat ini akan cakap, “You have arrived at your destination”. Gajet ini juga boleh digunakan jika kita berjalan kaki. Tapi setakat ini belum pernah penulis mencubanya.
Kadang – kadang dalam kereta jadi meriah sebab anak – anak pun sama ikut apa yang dicakap oleh alat pengemudi ini.
3) Maklumat tentang tentang tempat lawatan terutamanya poskod
Maklumat tempat yang hendak dilawati boleh diperoleh melalui laman sesawang tempat lawatan tersebut. Ambil maklumat seperti alamat terutamanya poskod tempat lawatan tersebut. Hendak maklumkan di sini bahawa, jika dibandingkan di Malaysia poskodnya meliputi kawasan yang besar, sedangkan di sini poskod sesuatu tempat itu, hanya untuk tempat itu sahaja atau hanya merujuk kawasan yang kecil sahaja. Untuk contoh sila lihat rajah di bawah.
Poskod kawasan lorong di luar rumah penulis.
Poskod masjid di jalan bersebelahan dan amat dekat dengan rumah penulis.
Dengannya adanya poskod khusus untuk setiap tempat lawatan ini memudahkan kita memasukkan ke dalam Alat Pengemudi Satelit dan alat tersebut akan mengemudi kita terus tempat yang ditujukan. Ia sangat tepat kalau kita mempunyai alamat lengkap tempat tersebut.
Dan jika pergi menggunakan Google Map dan taip sama ada alamat penuh atau poskod sahaja, kita akan dapat tahu lokasi di mana tempat itu.
4) Google Map
Kita boleh memperoleh maklumat seperti lokasi tempat lawatan, jarak antara lokasi dan anggaran tempoh masa perjalanan – membantu dalam merancang aktiviti lawatan.
Contoh maklumat yang boleh diperoleh daripada Google Map : Jarak antara dua lokasi iaitu Dundee – titik A (DD1 5EF) dan Durham – titik B (DH3 3SJ) dan tempoh masa perjalanan antara dua lokasi berkenaan.
Untuk tempat tinggal, kalau ada kawan – kawan sekitar UK, bolehlah ‘calling – calling’ mana – mana tahu boleh tumpang tidur rumah kawan kita tu semalam dua. Kalau yang hendak duduk hotel, bolehlah menginap di Travelodge ataupun Premier Inn. Dua hotel ala – ala Hotel Seri Malaysia di Malaysia yang ada kat UK ni. Dua hotel ini boleh dapat harga murah untuk semalam, untuk Travelodge paling murah £19 semalam dan Premier Inn £29 semalam. Tapi ini bergantung kepada promosi dan kalau boleh tempah awal. Harga Hotel Seri Malaysia pun harganya dalam lingkungan RM120 semalam, lebih kurang £20 kalau ditukarkan kepada pound. Tempah awal kerana, penulis sekeluarga pernah menginap di Premier Inn ketika isteri penulis ada urusan di Edinburgh, perlu bayar £70 semalam gara – gara lambat membuat tempahan. Tapi nasib baik boleh tuntut semula bayaran.
Untuk makanan, isteri penulis banyak membantu. Sebab kami akan membawa peralatan dan bahan masakan seperti periuk nasi, minyak masak dan bahan mentah seperti ikan bilis, telur, sardin, roti, beras dan sebagainya. Ini semua boleh membantu menjimatkan kos. Kalau hendak makan di restoran boleh, tapi kenalah pikir – pikirkan harganya, halal ke tak jangan risau sebab banyak orang Islam terutamanya dari Pakistan yang membuka kedai – kedai makanan ‘bungkus dan bawa balik’ (‘take away’). Boleh baca entri penulis tentang masyarakat Islam di UK. Klik di sini.
Siri ke 8 ini akan menjadi satu siri yang mempunyai banyak bahagian bergantung kepada tempat lawatan yang sudah penulis pergi. Kalau sebelum ini setiap siri yang mana pecahannya dipanggil bahagian, untuk siri ke 8 ini, nama pecahan ‘bahagian’ digantikan dengan ‘Jelajah 1,2,3 dan seterusnya’.
Jadi tunggu entri – entri yang akan datang mengenai siri ke 8 - Jelajahku di United Kingdom. Insyaallah penulis akan mulakan dengan jelajah penulis yang paling baru iaitu Lawatan ke Midland England pada 3 – 7 Julai 2010 (Sabtu – Rabu).
Senarai Jelajah :
1) JELAJAH 1 : LONDON – BIRMINGHAM - MANCHESTER (3 hingga 7 Julai 2010)
2) JELAJAH 2 : MONIKIE PARK, DUNDEE (5 JUN 2010 - SABTU)
3) JELAJAH 3 : ABERDEEN (2 MEI 2010 - AHAD)
4) JELAJAH 4 : NEWCASTLE-SHEFFIELD-WALSALL-BIRMINGHAM-STOKE-YORK-EDINBURGH (31 JULAI – 3 OGOS 2010 – SABTU HINGGA SELASA)
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment