Wednesday 18 August 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 8 : JELAJAH 4

JELAJAH 4 : NEWCASTLE-SHEFFIELD-WALSALL-BIRMINGHAM-STOKE-YORK-EDINBURGH (31 JULAI – 3 OGOS 2010 – SABTU HINGGA SELASA)

Bahagian 1
Kita teruskan ke jelajah yang seterusnya. Kali ini penjelajahan mungkin kali yang terakhir ke England sebelum saya balik ke tanah air tercinta Malaysia. Banyak lokasi yang menjadi tempat persinggahan saya dan keluarga seperti mana yang tercatat pada tajuk.

Sepertimana mana biasa, kerete disewa daripada syarikat sewa kereta Enterprise. Kali ini berpeluang pandu Ford Zetec Fiesta. Ini kali kedua saya dapat peluang kereta yang harganya lebih RM100 ribu di Malaysia yang mana harga di sini cuma beribu pound sahaja.

31 Julai 2010 (Sabtu)
Lokasi : Dundee-Newcastle


Saya dan keluarga memulakan perjalanan dari Dundee lebih kurang jam 4.00 petang, selepas menghadiri ‘Barbeque’ tahunan Komuniti Melayu Dundee pada sebelah paginya di Monikie Park. Dimasukkan poskod ke tempat yang dituju iaitu Bishop’s Avenue, Newcastle. Perjalanan mengambil masa selama 3 jam (seperti mana di dalam pengemudi satelit), namun perjalanan sebenarnya mengambil masa lebih kurang 5 jam. Tempat yang dituju ialah rumah sahabat isteri saya.


Kebetulan terjumpa pelangi – menjadikan perjalanan lebih warna – warni dan indah.


Permandangan yang biasa di United Kingdom jika kita melalui jalan ‘countryside’ – turbin angin, padang ragut dan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing biri – biri.

Permandangan di kiri dan kanan sepanjang perjalanan ialah kawasan – kawasan padang ragut menghijau yang amat luas dan juga kawasan tanaman gandum. Hanya kelihatan kelompok – kelompok kecil hutan di kawasan tersebut.

Tiba di rumah kawan isteri dalam jam lebih kurang 9.00 malam. Pengemudi satelit tepat menunjukkan lokasi rumah. Kami disambut dengan senyuman. Mengambil peluang berehat kerana keletihan disebabkan oleh perjalanan yang amat panjang.


Nama penuh Newcastle – Newcastle Upon Tyne

1 Ogos 2010 (Ahad)
Lokasi : Newcastle-Sheffiled-Walsall


Paginya setelah bersarapan, kami semua ke ‘Carboot’ di Newcastle (terlupa pula apa nama tempatnya). Dapat pancing kasut roda jenama ‘Dora the Explorer’ (harga £1.00) dan jam tangan ‘Princess' (harga £4.00) untuk anak perempuan saya dengan harga dan juga jam tangan ‘Thomas the Tank Engine’ (harga £4.00) untuk anak bujang saya.

Carboot’ ialah karnival jualan barang – barang terpakai / barang – barang yang tidak digunakan lagi di kawasan padang yang luas, yang dikeluarkan daripada ‘boot’ (tempat penyimpan barang pada kereta) kereta. Harga yang ditawarkan adalah amat murah, apa yang pasti barang tersebut mesti terjual.



Menghabiskan masa selama dua jam di ‘carboot’. Pada jam 12.00 tengah hari kami sekeluarga dibawa ke Pusat Bandar Newcastle, lebih tepat ke Newcastle’s Quayside.


Tempat letak kereta agak susah di sini. Oleh itu menumpang di tempat letak kereta Travelodge di sini. Bayaran dikenakan £1.00 setiap jam.

Antara tarikan utama yang mesti dikunjungi pelancong ke Newcastle ialah Jambatan Gateshead Millenium. Alamat untuk ke sini ialah Gateshead Millennium Bridge, South Shore Road, Gateshead, Tyne and Wear, NE8 3AE.





Roda dan gandar yang boleh menyendengkan jambatan ini.

Tarikan Utama Pelancong di Newcastle – ‘Gateshead Millenium Bridge’.

Jambatan melengkung yang boleh disendengkan untuk membenarkan kapal lalu di bawahnya. Untuk informasi berkenaan jambatan tersebut sila klik di sini.

Di bawah merupakan beberapa fakta menarik tentang jambatan ini. Untuk bacaan lanjut sila klik di sini.
•Diiktiraf sebagai kelas dunia pada tahun 2000.
•Pertama kali disendengkan pada 20 November 2000.
•Mengandungi keluli yang boleh digunakan untuk membina 64 bus dua tingkat (‘double decker buses’).
•Bernilai £22 milion.
•Setiap bukaan dan tutup mengambil masa empat dan setengah minit.
•Ia dijana oleh lapan motor elektrik – yang mencukupi untuk menggerakkan lebih lapan kereta Ford Focus.
•Terdiri daripada 19,000 tan konkrit.
•Memanjang 126 meter merentangi Sungai Tyne.
•Telah diletakkan pada tempatnya oleh Kren Terapung Paling Besar di Eropah – Asian Hercules II.
•Puncak lengkungan paling tinggi ialah 50 meter dari paras Sungai Tyne.
•Beratnya melebihi 800 tan


Video menunjukkan bagaimana jambatan itu diangkat untuk memberi kapal lalu di bawahnya.



Video di bawah menunjukkan bagaimana Kren Asian Hercules II mengangkat Jambatan Millenium Gateshead.




Papan arah tempat – tempat menarik di Newcastle’s Quayside.


Saya dan keluarga bergambar berlatar belakangkan Jambatan Tyne.


Pusat Seni Kontemporari Baltic (‘Baltic Centre for Contemporary Art’)
Laman web di bawah Majlis Perbandaran Newcastle – Gateshead. Klik di sini.

Laman web rasmi Pusat Seni Kontemporari Baltic.

Merupakan mercu tanda bangunan industri di tebing selatan Sungai Tyne di Gateshead, BALTIC merupakan galeri paling besar seumpamanya di dunia – mempamerkan pelbagai program seni visual kontemporari yang dinamik, pelbagai dan bertaraf antarabangsa.




Bas pelancong yang membawa pelancong ke tempat – tempat menarik sekitar Newcastle.
(‘Sightseeing Bus’)
Bas ini terdapat di setiap bandar – bandar Utama di England mahupun Scotland.


The Sage Gateshead – Pusat Seni Muzik Antarabangsa di Gateshead, Newcastle

Di bawah merupakan beberapa fakta menarik tentang Sage ini. Untuk bacaan lanjut sila klik di sini.
•Harga £70 milion
•Bumbung unik melengkung terdiri daripada 3,043 panel keluli tahan karat dan 250 panel kaca.
•Jika ia rata, ia boleh melingkungi kawasan seluas 12,000 meter persegi
•Memerlukan seramai 4,000 pekerja pembinaan dan lebih dua juta jam waktu bekerja.
•Lebih 20,000 meter padu konkrit digunakan.
•Memerlukan sebanyak 1.650 pancang keluli untuk menampung beratnya.
•Bangunan meliputi kawasan seluas 8,000 meter persegi.
•Memerlukan 8 tahun perancangan dan kajian.
•Dua kali ganda tinggi ‘The Angel of the North’.
•Dewan Satu mengandungi 1,750 tempat duduk dan dewan kedua mengandungi 400 tempat duduk
•Pemegang tangga mempunyai tulisan Braille yang berguna untuk pengunjung buta.


Panorama sekitar Newcastle’s Quayside.

Setelah bersantai di sini selama beberapa ketika, kami semua menuju pulang ke Bishop’s Avenue semula untuk makan tengah hari dan solat.

Setelah itu kami bertolak ke lokasi seterusnya. Terima kasih diucapkan kepada Faizah (kawan isteri penulis) dan suami kerana menerima kami sebagai tetamu dan kami amat berterima kasih di atas layanan yang cukup tip top. Terima kasih sekali lagi.

Kami meneruskan perjalanan ke Sheffield. Dalam perjalanan ke sana kami singgah di ‘Angel of the North’, salah satu mercu tanda dan tarikan utama pelancong yang mesti dilawati, yang betul terletak di tepi lebuh raya (sini panggil ‘motorway’). Alamat untuk ke sini ialah The Angel of the North, Durham Road, Low Eighton, Gateshead, Tyne and Wear, NE9 6AA.




Berikut merupakan beberapa fakta tentang ‘the Angel of the North’ ini. Untuk bacaan lanjut sila klik di sini.
•Ia dipercayai sebagai arca bidadari paling besar di dunia.
•Kelebaran sayapnya ialah 54 meter (175 kaki) yang mana lebih besar daripada Boeing 757 atau jet 767 dan hampir sama dengan saiz Jet Jumbo.
•Ketinggiannya ialah 20 meter (65 kaki) – ketinggian bangunan lima tingkat dan empat bas dua tingkat (‘double decker buses’).
•Berat 200 tan – badan 100 tan dan sayap 50 tan setiap satu.
•Keluli untuk membinanya cukup untuk bina 16 bas dua tingkat (‘double decker buses’).
•Ia akan bertahan selama lebih 100 tahun.
•Di bawah arca, pancang konkrit yang amat besar kedalaman 20 meter.
•Terdiri daripada keluli tahan cuaca Cor-ten, mengandungi sedikit kuprum, yang membentuk tahi tembaga (‘patina’) pada permukaan yang melembut.
•Berharga £800,000


Untuk mengetahui tempat – tempat tarikan pelancong di Gateshead, Newcastle, sila klik di sini.

Perjalanan diteruskan ke Sheffield. Destinasinya ialah ke rumah kawan lama isteri saya.


Singgah mengisi minyak di Stesen Minyak Esso – harga minyak 113.0 (£1.13) pence seliter. Ingatkan hendak ke Tesco, memandangkan harga minyak di Tesco agak mahal itu 118.0 pence (£1.18) seliter, tidak jadi isi terus ke stesen ini. Untuk pengetahuan pembaca semua, harga minyak di sini memang tidak tetap seperti di Malaysia.

Setiap stesen minyak mempunyai harga tersendiri walaupun daripada stesen syarikat yang sama ataupun stesen – stesen minyak berada dalam lingkungan satu kawasan yang sama. Seperti ada persaingan antara stesen – stesen minyak dan harga paling mahal yang penulis pernah jumpa ialah di stesen minyak Shell di lebuh raya iaitu 122 pence (£1.22) seliter.


Antara permandangan – permandangan indah di sepanjang perjalanan.

Tiba di Sheffiled (‘Eleanor Street’) dalam jam 6.30 petang. Perjalanan mengambil masa selama 3 jam. Setelah berehat dan pekena mi rebus serta kopi di rumah kawan lama isteri saya (terima kasih Uji dan suami), kami terus menuju ke tempat menginap pada malam itu, iaitu di Travelodge di Walsall. Tiba di Travelodge dalam jam 11.00 malam.



Travelodge Walsall. Tempat letak kereta dikenakan bayaran sebanyak £3.00 selama 24 jam. Terdapat Travelodge yang lebih besar bilikinya iaitu di Birmingham. Berehat untuk semalam kerana esok ada misi yang perlu dilaksanakan.

Pautan berkait :
JELAJAH 4 : NEWCASTLE-SHEFFIELD-WALSALL-BIRMINGHAM-STOKE-YORK-EDINBURGH - bahagian 2

No comments:

Post a Comment