Saya amat risau dengan anak – anak masa kini. Namun walaupun tidak semua hanya segelintir, boleh memberi kesan besar, menganggu aktiviti penyampaian dan penerimaan ilmu.
Namun mengapa anak – anak kini seolah – olah kurang adab atau kurang sivik ketika berhadapan dengan guru atau penyampai ilmu. Mungkin mereka lupa dan perlu selalu diingatkan. Nasihat itu perlu walaupun kadang kala berbuih mulut dibuatnya. Nasihat itu perlu dan banyak kali diulang – ulang. Walaupun letih dan kadang kala boleh memberi ‘sakit’ kepada penyampai ilmu, itu merupakan cara terbaik dalam mendidik generasi kecil yang masih tercari – cari rentak dan memerlukan pengemudi untuk ke jalan yang betul.
Mari kita renungkan artikel di bawah yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin dalam membincangkan apa yang dikatakan sebagai adab dalam menuntut ilmu.
Allah swt pernah menggambarkan bagaimana adab penuntut ilmu di hadapan gurunya, yang bermaksud :-
Ertinya : “Berkata Khidr (selaku guru), jika kamu ingin ikutiku maka jangan kamu bertanya apa-apa sehinggalah aku menceritakannya kepadamu" ( Al-Kahfi, 70)
Imam az-Zamakhshari berkata, yang bermaksud :
Ertinya : “Inilah sebahagian dari adab penuntut ilmu bersama gurunya, pengikut dengan yang diikutinya" ( Al-Kasyyaf, 2/686)
Namun ini tidaklah bermakna, anda tidak boleh bertanya apa jua semasa guru mengajar, apa yang perlu adalah ‘minta izin' dan menunggu guru menamatkan percakapannya.
Adab-adab penuntut ini sangat ditekankan oleh ulama silam sehingga Imam Al-Ghazzali menyebut :-
Ertinya : “Apapun yang diterangkan oleh guru semasa pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan sang guru lebih bermanfaat dari apa yang mungkin benarnya apa yang datang dari dirinya (penuntut)" ( Ihya 'Ulumiddin, 1/50)
Tidak dinafikan kita boleh berhujjah, berdiskusi dan mengkritik pendapat Imam Al-Ghazzali di atas, namun sefaham saya ia dibuat dalam konteks penekanan keperluan menghormati guru, meyakini ilmunya dan adab-adab penuntut ilmu di hadapan guru.
Sebagai murid atau penuntut, jika anda tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat guru, anda boleh berbincang dengan guru secara tertutup, mengemukakan hujjah anda dalam bentuk yang beradab dan tenang serta menjaga air muka serta menghormati tarjihan sang guru.
Ramai saya temui, penuntut yang menampilkan hujah seolah-olah si guru tersebut tidak tahu. Ramai penuntut yang baru khatam dua tiga buah kitab, merasakan diri lebih bijak dari gurunya.
Jika ada yang mengatakan, "memang hakikatnya murid itu lebih bijak dari gurunya" atau "murid tidak yakin guru itu lebih tahu dari dirinya".
Nescaya ketika itu, murid itulah yang KURANG BIJAK, salah dan kurang berilmu, iaitu kerana dia perlu memilih guru, lalu kenapakah memilih guru yang diyakini kurang ilmu berbanding dirinya?. Malah sebenarnya, individu yang merasakan dirinya berilmu adalah tanda dia belum cukup berilmu. Ya, sepatutnya, walau siapapun guru, walau terbukti sang guru 'kurang ilmu', namun anak murid yang pandai tetap akan beroleh manfaat dan ilmu baru dari guru tersebut, banyak cara dan bentuknya.
Imam Malik Bin Anas dan Muhammad Ibn Sirin berkata :-
Ertinya : “Ilmu itu agama, maka telitilah dari siapa kamu ambil ilmu agamamu" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)
Lihatlah contoh anak murid Imam Syafie Rabi yang berkata :-
Ertinya : “Berkata Rabi', murid dan rakan SYafie, aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Syafie sedang memandang ke arahku, merasakan kehebatannya" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)
Malah penuntut ilmu Islam di zaman silam amat menghargai gurunya sehingga mereka sering berdoa :-
Ertinya : "Ya Allah, tutuplah aib guruku dari penglihatanku dan janganlah hilangkan berkat ilmunya dariku"
KESIMPULAN
Berusahalah mencari guru yang dipercayai, doakan agar tidak terlihat aibnya, dan jangan mencari kelemahannya, ambil kebaikannya, diskusi dengannya dengan adab dan masuki majlisnya dengan hormat agar berkat ilmu mampu sampai dan memberikanmanfaat di dunia dan akhirat.
Ingatlah, berkat itu amat perlu dalam pengajian ilmu Islam, dengan wujud keberkatan, kefahaman mudah diperoleh, ingatan lambat luput, amalan menjadi mudah, hati menjadi tenang.
Tanpa adab, berkat hilang dan susut, kefahaman tidak menjelang tiba, lupa adalah sindrom biasa dan fikiran sentiasa merasa serabut, hati gersang dan kering.
Rujukan : zaharuddin.net
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment