Monday 16 December 2019

Jauh Jalan - Jalan, Dapat Pengalaman - SABAK - 'Sayang Keluargaku'

Alhamdulillah, dah 3 tahun ke sini, cuti - cuti hujung tahun

Bermula mengenali kawasan ini pada tahun 2016... kalau tak salah penulis, apabila penulis bersama - sama, pertama kali menjadi pegawai pengiring ke Kejohanan Bola Baling peringkat negeri Selangor bawah 12 tahun.

Pada tahun 2017, anak sulong penulis ditawarkan untuk meneruskan pelajaran di peringkat menengah di kawasan ini. Bermula dari situ, 'best' dan tertarik dengan suasana kampung di kawasan ini. Keluar dari lebuhraya LATAR, terus menjelajah kawasan ini... Kuala Selangor - Tanjung Karang - Sekinchan - Sungai Besar - Sabak.

Ada sebab lain juga mengapa penulis suka ke sini... sebab utama ialah penulis dan keluarga suka membeli kelengkapan sekolah di sini, terutamanya baju seragam sekolah... murah dan berkualiti. Dah 3 tahun penulis memborong di satu kedai ini yang terletak di Pekan Sabak, pak cik Ah Ping pemiliknya, peramah dan pemurah. Dari elok kedai dia dekat bahagian depan, sehingga berpindah ke bahagian dalam kawasan.

Senang jer nak ke kedai ini, tuju jer ke Pekan Sabak, 'landmark'nya ialah Sekolah Agama Menengah Muhammadiah, Pekan Sabak. Kalau dari LATAR akan belok ke kiri, kalau dari utara, belok ke kanan ke bawah 'fly over'.



Pada 14 Dis 2019 yang lalu, selepas tiba di Pekan Sabak dalam jam 2.30 ptg, penulis sekeluarga terus menunaikan solat di Masjid Pekan Sabak. Selepas itu terus ke kedai pakcik Ah Ping untuk memborong, Alhamdulillah, pak cik Ah Ping masih lagi 'maintain' harga. Siap dapat free stokin dan baju budak kecik. Terima kasih pak cik Ah Ping.

Jam 4.00 petang, terus 'check in' di Farm Ville Cafe & Homestay yang terletak di Pekan Sekinchan. Dari Sabak mengambil masa 40 minit, sempat singgah kedai mamak Restoran Sri Kassim (RSK) makan mee goreng. RSK ni memang popular dan banyak cawangan di kawasan ini.

Apa yang 'best'nya di Farm Ville ini ialah... biar gambar yang menceritakan... tidur dalam kontena. Dan juga harga untuk semalam memang berpatutan, RM 150++ untuk bilik keluarga dan juga RM90++ untuk bilik bujang.








Ada banyak kemudahan di Farm Ville ini, antaranya ialah kolam renang kanak - kanak, permainan trampolin juga ada tempat untuk 'barbeque'. Memang berbaloi.

Apa lagi yang ditawarkan di sini, antaranya ialah permandangan sawah padi yang indah, boleh naik Buggy pusing kawasan sawah dan juga boleh berbasikal. Pergh, seronok sungguh, tenang rasanya jiwa penulis bila menikmati kawasan kampung ni. Alhamdulillah.






Apa lagi yang menarik di kawasan ini... MAKAN... petang hari pertama makan mee goreng, makan malam di Restoran Abah Ikan Bakar - boleh pilih makanan laut yang segar dan diaorang masak untuk kita. Alhamdulillah, nikmat sungguh. Esok pagi penulis makan di restoran Cendol Pulut Was Sekinchan... ada roti canai pelangi lagi. Selepas 'check out' jam 12.00 tgh (15 Dis 2019) ... selepas anak - anak puas berendan dalam kolam, terus menuju untuk cari makan tengah hari. Jumpa restoran Warung Ibu Nasi Ambeng. Alhamdulillah, kawasan ini memang menawarkan pelbagai makan dan minum dengan harga yang berpatutan.









InsyaAllah, jika panjang umur dan rezeki, kita jumpa lagi di lain trip keluarga.

##Apa - apa pun ini untuk anak - anak, mencari kebahagian keluarga, dunia dan akhirat, mencari Redho Allah.

Monday 9 December 2019

Lawat - Lawat Tempat Orang - Terengganu, SK Taman Kosas 2019

Kuala Terengganu!!

Aktiviti : Program Lawatan Sambil Belajar SK Taman Kosas ke Terengganu 2019 - Siri 1
Peserta : 38 orang murid dan 9 orang guru  
Tarikh : 04-06 Okt 2019 (Jumaat, Sabtu dan Ahad)
Tempat : Kuala Terengganu
Anjuran : Kumpulan Guru tahun 6 dan Panitia Sains, SK Taman Kosas

Hari Pertama - 04 Okt 2019 (Jumaat)

Pendaftaran adalah pada jam 2.00 ptg, semua telah berkumpul, doa dibaca, rombongan pun bertolak pada jam 3.00 ptg. Sebuah bas dan 2 buah kereta, 'berlepas' ke Terengganu.

Berhenti sementara di RnR Gambang untuk makan malam sebelum terus bertolak ke 'Homestay' AidaZaki di Wakaf Mempelam, Terengganu.
'Homestay' AidaZaki di Wakaf Mempelam ini merupakan rumah besar dua tingkat yang mana dua buah rumah terletak di tingkat satu rumah besar ini. 10 bintang untuk 'Homestay' ini.





Murid dan guru lelaki sebuah rumah dan murid perempuan dan guru perempuan sebuah lagi rumah. Tiba di 'homestay' agak lewat, tidur dan kita mulakan penjelajahan pada keesokan harinya. Selamat malam.

Hari Kedua - 05 Okt 2019 (Sabtu)

Tepat jam 8.00 pagi, semua ahli rombongan sudah bersiap untuk penjelahan seterusnya. Tapi sebelum itu kami semua dibawa sarapan pagi di 'MyMom' Nasi Lemak dan kemudian sempat pergi ke pantai berdekatan untuk memenuhi masa lapang sementara menunggu tempat lawatan kami dibuka.



Bergerak seterusnya ke lokasi lawatan iaitu di Mak Adek Keropok Lekor dan juga Lambo Sari Batik. Di Mak Ader Keropok Lekor, rombongan berpeluang untuk mengetahui cara - cara keropok lekor dibuat dan ada antara ahli rombongan yang berpeluang untuk membentuk keropok lekor.
Di Lambo Sari pula, ahli rombongan berpeluang untuk membuat aktiviti mewarna batik dan juga melihat proses membuat batik tekap. Pasti ini merupakan  pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh daripada aktiviti 'hands-on'.






Pada sebelah tengah hari pula, ahli rombongan terus dibawa ke Muzium Negeri Terengganu dan Taman Tamadun Islam. Di Taman Tamadun Islam, ahli rombongan berpeluang melihat replika - replika masjid terkenal yang ada di seluruh dunia, menaiki bot menyusuri Sungai Terengganu, melihat Masjid Kristal dan juga Jambatan Angkat Terengganu. Untuk makluman para pembaca, semua lokasi yang disebutkan sebenarnya adalah berada berhampiran antara satu sama lain, dan kawasan sekitar ini dinaiktaraf untuk menjadikan ia kawasan tarikan pelancong ke Kuala Terengganu ini. Juga berdekatan ialah 'Waterfront' Sungai Terengganu dan juga lokasi Pasar Payang yang merupakan lokasi syurga membeli belah di Kuala Terengganu. Di 'Waterfront' Sungai Terengganu juga terdapat sebuah jambatan (khas untuk pejalan kaki) yang berbentuk bulan sabit, jambatan bulan sabit. Teringat penulis kepada sebuah jambatan di Newcastle iaitu Jambatan Gateshead Millenium.

Solat Jamak Zohor dan Asar diselesaikan di Muzium Negeri dan seterusnya menikmati makan tengah hari bungkus di Taman Tamadun Islam. Thank you Cikgu Fahmi...









Tamat lokasi lawatan di 'Drawbridge' Terengganu, ahli rombongan sudah kepenatan. Setelah menikmati makan makan, kami semua terus balik ke 'homestay' untuk beristirehat.

Hari Ketiga - 06 Okt 2019 (Ahad)

Hanya beberapa lokasi sahaja pada hari ini, iaitu Pasar Kedai Payang atau sekarang dikenali sabagai Pasar Payang yang terletak di 'Waterfront' Sungai Terengganu. Bersarapan dengan nikmat kesedapan rasa Terengganu yang tidak terhingga serta berbelanja sehingga kering kontang poket dibuatnya. Itulah penangan Pasar Payang, Kuala Terengganu. Seterusnya kami ke Masjid Terapung atau lebih dikenali sebagai Masjid Tengku Tengah Zaharah, di Cendering, sebagai lokasi lawatan terakhir rombongan kami.







Terus menuju ke Kuala Lumpur selepas itu, namun kami sempat singgah di Kemaman, Terengganu untuk mencari kedai makan. Di sini, makanan yang paling popular iaitu satar. Yum! yum!. Alhamdulillah.

Setelah menikmati makan tengah hari, rombongan terus pulang ke Ampang. Pasti lawatan di Terengganu ini meninggalkan seribu satu memori indah yang tidak akan dilupakan. Tiba di Ampang dalam jam 9.00 malam.



Kita jumpa lagi pada lawatan yang seterusnya...

**Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam program ini, antaranya pihak PPD Hulu Langat yang memberi kelulusan, pihak pentadbir SK Taman Kosas yang memberi sokongan dan dorongan, pihak ibu bapa yang sentiasa memberi kerjasama baik dengan pihak penganjur serta membenarkan anak -anak mereka menyertai lawatan ini, guru - guru yang terlibat serta para peserta.
**Terima kasih kepada Kak putri, Ustazah Norhidayati, Cikgu Yussalina, Kak Murni, Ustazah Saebah dan Ustaz Yusairi kerana sudi menjadi peneman/guru pengiring untuk lawatan kali ini. Cikgu Noraini seisi keluarga yang membantu dalam pengurusan lawatan. Anda suma 'superb'.
**Terima kasih kepada Cikgu Fahmi yang menjadi 'pemandu pelancong' kami.

Thursday 5 December 2019

Lawat - Lawat Tempat Orang - Perak, SK Taman Kosas 2019

Gopeng - Batu Gajah - Taiping - Kuala Kangsar!!

Aktiviti : Program Lawatan Sambil Belajar SK Taman Kosas ke Perak 2019 - Siri 2
Peserta : 38 orang murid dan 4 orang guru  
Tarikh : 30 Nov 2019 - 01 Dis 2019 (Sabtu dan Ahad)
Tempat : Gua Tempurung, Kellie's Castle, Tune Hotel, Zoo Taiping, Bukit Merah Laketown Resort, Win Kraf Labu Sayong, Kuala Kangsar
Anjuran : Kumpulan Guru tahun 6 dan Panitia Sains, SK Taman Kosas

Hari Pertama - 30 Nov 2019 (Sabtu)

Seminggu bermula 23 Nov (mula cuti sekolah akhir tahun) membuat persiapan terakhir untuk lawatan ke Perak ni... antaranya ialah mengemaskini senarai peserta dan juga menyiapkan tag nama untuk para peserta lawatan ini, selain menghubungi tempat - tempat lawatan memberi 'reminder' yang kami akan datang.

6.30 pagi bermula pendaftaran, setelah semua peserta sampai, tepat jam 7.15 pagi kami bertolak ke tempat lawatan yang pertama iaitu ke Gua Tempurung. Berhenti sekejap di RnR Tapah untuk minum kopi... walaupun sedar akan berlaku kelewatan untuk tiba ke destinasi.



Menyambung perjalanan ke Gua Tempurung pada jam 9.15 pagi, dan akhirnya kami tiba di Gua Tempurung tepat jam 10.30 pagi. Uruskan tiket dan kami mulakan eksplorasi Gua Tempurung tepat jam 11.10 pagi. Semua teruja.





Info Gua Tempurung : 640 anak tangga (Tour 2), mengambil masa 1 jam 45 minit pergi dan balik, laluan kering, melihat kejadian stalagtit, stalagmit, laluan berangin, pembentukan batu kapur dan juga marmar, terdapat bentuk seperti baju, kambing biri - biri, kuda laut, singa, gajah, takungan air pada atas gua (bukit) dan lain - lain.

Tepat jam 12.30 tgh, rombongan kami terus ke Kellie's Castle yang terletak di Batu Gajah yang mengambil masa 30 minit perjalanan dari Gua Tempurung.

Namun akibat terlalu kelaparan dan dahaga, rombongan kami mengambil keputusan untuk berhenti di RTC Gopeng untuk makan tengah hari dan solat jamak Zohor dan Asar.

Selesai di RTC Gopeng, kami meneruskan perjalanan. Tiba di Kellie's  Castle pada jam 2.15 ptg. Ekplorasi bermula selepas dah dapat tiket masuk.



Tamat menjelajah di Kellie's Castle, rombongan kami terus ke Taiping, untuk ke Zoo Taiping. Bertolak jam 3.30 petang, di jangka tiba di Zoo Taiping pada jam 6.00 ptg. Namun apabila tiba di Zoo Taiping, didapati kaunter tiket telah pun tutup bagi zoo siang hari dan akan bersambung pada jam 8.00 malam nanti.

Rombongan kami mengambil keputusan untuk terus 'check in' di Tune Hotel, Taiping.

Dengan layanan yang cukup mesra, rombongan kami bagi 10 bintang, kami 'check in' di Tune Hotel dalam keadaan basah akibat hujan. Personel yang ada di kaunter itu memaklumkan, Tune Hotel pernah menerima pengunjung yang ramai sehingga 9 buah bas. Boleh memaklumkan terlebih dahulu dan personel hotel akan menguruskan parkir untuk bas. Perjalanan Zoo Taiping ke Tune Hotel hanya mengambil masa 5 minit sahaja.




Makan malam, rombongan kami berhajat untuk makan malam di tempat makan paling popular di Taiping, iaitu di Pusat Penjaja Taiping di Balai Bomba Taiping - berhadapan dengan Novotel Hotel (menghidangkan makanan laut), namun hajat kami tidak kesampaian, apabila terlalu ramai pengunjung ada di situ. Tempat pilihan menggantikan gerai penjaja itu, ialah TESCO yang ada bersebelahan dengan hotel kami menginap. Klik sini untuk tempat - tempat makan yang best di Taiping.


Hari Kedua - 01 Dis 2019 (Ahad)

Pagi - pagi kami dah keluar untuk terus ke Zoo Taiping. Sebab semalam tak sempat memandangkan hari hujan (takut - takut haiwan kat zoo tidur waktu sejuk - sejuk ni.. tak puas lah pulak nak tengok nanti). Terus pekena roti yang dibeli oleh ahli rombongan sewaktu makan malam di TESCO semalam. Selepas beli tiket Zoo Taiping, jam 8.20 pagi kami mulakan penjelajahan.



Perut dah bunyi keroncong, semua ahli rombongan terus berkumpul keluar jam 9.20 pagi, kami terus naik bas dan menuju ke tempat makan. Ini yang nak rombongan kami sarankan kepada semua pembaca, pergilah ke Kedai Makan SELERA WARISAN ABAH, yang terletak berdekatan dengan Zoo Taiping. Boleh kami katakan masakan di sini memang sedap dan menyelerakan. Niat nak bersarapan pagi, namun lauk - pauk telah terhidang untuk makan tengah hari, kami terus makan tengah hari... memang sedap dan terbaik.




Lokasi persekitaran Zoo Taiping juga merupakan kawasan Taman Tasik Taiping yang mana ramai pengunjung yang datang untuk bersenam dan beriadah bersama keluarga. Selain itu juga ada penjara Taiping yang sekarang dijadikan muzium untuk dilawati.

Setelah menjamu selera di kedai makan Selera Warisan Abah, rombongan kami terus ke Bukit Merah Laketown Resort yang terletak 20 minit perjalanan. Di Bukit Merah rombongan kami melawat Pulau Terapung Orang Utan dan juga Ecopark serta diberi tambahan percuma satu aktiviti iaitu 'Skycycle'. Alhamdulillah... seronoknya.

Tiba di Bukit Merah (pejabat jualan) dalam jam 10.30 pagi, menyelesaikan urusan tiket, kami terus ke jeti Pulau Orang Utan untuk ke Pulau Terapung Orang Utan. Selesai lawatan di sana kami terus ke jeti Ecopark untuk ke 'Skycycle' dan melawat zoo mini haiwan peliharaan Ecopark. Ada ikan Arapaima besar kat sini.








Setelah penat beraktiviti, rombongan kami terus ke 'Bubble Restaurant' untuk makan tengah hari yang dibungkus. Harga kalau nak kira memang biasa di tempat - tempat seperti ini, bayangkan air mineral sahaja sudah RM 3.00, nasi lemak RM 8.00.




Jam 2.30 petang rombongan kami terus bertolak ke Kuala Kangsar, untuk melawat kraf Labu Sayong, melawat Masjid Ubudiah dan juga makan malam di gerai tepi Sungai Perak. Tiba di Win Kraf Labu Sayong pada jam 4.00 petang. Di sini para peserta berpeluang untuk membentuk labu sayong daripada tanah yang dilembapkan. Terus bergerak ke Masjid Ubudiah untuk solat jamak Zohor dan Asar yang terletak bersebelahan dengan Istana Sultan Perak. Menunaikan tanggungjawab solat itu wajib, setelah itu terus ke gerai tepi Sungai Perak untuk makan malam. Penulis dan guru - guru yang lain memilih untuk makan laksa dan nasi goreng. Alhamdulillah sedap sangat. Ke Perak, makannya pasting tidak mengecewakan. Cuma tidak berkesempatan untuk ke Kuala Sepetang untuk merasai mee udangnya.






Bertolak balik ke Ampang setelah menikmati makan malam dalam jam 7.30 malam. Masuk jer lebuhraya, terkejut kami dengan keadaan trafik yang amat sesak. 'Exit' di Gopeng dan rombongan kami berhenti dulu untuk solat jamak Maghrib dan Isya' di RTC Gopeng. Setelah itu meneruskan perjalanan pulang... dan Alhamdulillah tiba di Ampang lewat 5 jam (janji dengan ibu bapa jam 9.00 malam) iaitu pada pukul 2.30 pagi (terpaksa meredah laluan lama). Terima kasih kepada Yang Maha Esa, rombongan kami selamat pergi dan balik.

Kita jumpa lagi pada lawatan yang seterusnya... kata Kak Putri jom pi Pulau Pinang dan Sabak Bernam.

**Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam program ini, antaranya pihak PPD Hulu Langat yang memberi kelulusan, pihak pentadbir SK Taman Kosas yang memberi sokongan dan dorongan, pihak ibu bapa yang sentiasa memberi kerjasama baik dengan pihak penganjur serta membenarkan anak -anak mereka menyertai lawatan ini, guru - guru yang terlibat serta para peserta.
**Terima kasih kepada Kak Azla, Kak putri dan Cikgu Noraini kerana sudi menjadi peneman/guru pengiring untuk lawatan kali ini.
**Terima kasih juga kepada Abg Zuri - pemandu bas yang sentiasa sporting dengan kerenah kami... apa yang penting, "biar puas hati".