Sunday 23 February 2020

Pasukan Bola Baling SK Taman Kosas (SABER TT HC) 2020 – K17

Berani Menyahut Cabaran!!

Aktiviti : Kejohanan Bola Baling Piala YB Zuraidah U13
Kategori : Perempuan bawah 13 tahun
Tarikh : 23 Feb 2020 (Ahad)
Tempat : Gelanggang Futsal, The Challenger, Ampang
Anjuran : BBA Handball Club




Pemain dalam Pasukan Bola Baling U13 SABER TT HC, dari depan :
Qistina, Azeeqa, Farhanah, Marissa, Farisha, Danisha, Elli, Jannah, Ainie, Maisarah, Syazana, Farah

Ini kejohanan pertama kita di bawah nama SABER TT HC. Menyahut cabaran untuk menyertai kejohanan ini, kejohanan Bola Baling Piala YB Zuraidah di bawah umur 13 tahun, dengan harapan pasukan ini mampu melakar kejutan sekurang – kurangnya mara ke perlawanan kalah mati peringkat suhu akhir. Untuk merealisasikan matlamat itu, para pemain telah diberi taklimat dan pemahaman agar mencapai sasaran yang ditetapkan. Berbekal semangat juang yang tinggi, kesungguhan para pemain terserlah dalam setiap perlawananan pada peringkat kumpulan.

Diundi dalam kumpulan ‘maut’, kumpulan B, bersama – sama dengan SK Bangsar, GGK (Jempol), SK Bukit Kemandol, dan SK Tasik Puteri 2, menuntut setiap pemain untuk bermain bermati – matian. Kenapa begitu? Semua pasukan dalam kumpulan ini merupakan pasukan – pasukan yang berpengalaman dan telah membuat latihan sepanjang musim, ditambahkan dengan pasukan – pasukan ini banyak menyertai pertandingan atau kejohanan terbuka. Dengan ada juga pasukan yang mempunyai pemain bertaraf pemain negeri.

Melangkah paling awal meninggalkan kejohanan dengan penuh maruah, seri 10 – 10 dengan GGK (Jempol), menang 8 – 7 dengan SK Bangsar, tewas 8 – 13 dengan Kemandol Warrior dan tewas 10 – 13 dengan SK Taman Tasik Puteri 2.... 36 biji gol berjaya dihasilkan, tahniah!!!

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, semua pemain menunjukkan semangat melawan yang cukup tinggi, bermain sebagai satu pasukan, sehingga pada suatu ketika ketinggalan 3 -8, mengejar menjadikan kedudukan 7 – 9.

Secara keseluruhan, persembahan pasukan boleh dibanggakan, walaupun pada umur 10 – 12 tahun, mereka tidak gerun untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja. Tahniah kepada semua pemain. Anda memang hebat.
   
Alhamdulillah, amat beruntung diundi bersama dengan pasukan – pasukan hebat ini. Pemain dapat merasai pengalaman yang terbaik untuk memperbaiki kelemahan diri. Kepada pemain – pemain muda, anda sudah lihat ciri – ciri seorang pemain yang hebat... anda harus bercita – cita untuk menjadi pemain hebat. Tidak mengapa, pengalaman kekalahan ini dijadikan sebagai motivasi untuk menjadi juara.

Berlatih dan terus berlatih. Kita pasti akan juara suatu hari nanti.

Pihak pengurusan pasukan amat – amat berterima kasih dengan ibu bapa / penjaga para pemain SABER TT HC yang sentiasa memberikan kerjasama dan komitmen tinggi untuk membenarkan anak – anak mereka bermain. Hanya tuhan yang membalas kebaikan tuan dan puan. Teruskanlah menyokong pasukan ini sehingga terus mencapai kecemerlangan.

Semangat membara, usaha, juara...

**Bersedia untuk kejohanan yang seterusnya... mula mencari semula bakat – bakat yang ada untuk digilap semula kemahirannya. Atas dasar minat yang mendalam kepada sukan bola baling. Sempat berlatih di DMS sehari sebelum kejohanan... ambil angin jauh sikit.

Monday 17 February 2020

Pasukan Bola Baling SK Taman Kosas (SEKOSA Jr) 2020 – K16

Sudah Cuba Sehabis Baik, Namun...!!

Aktiviti : Kejohanan Bola Baling U15, Piala PeBT MPAJ 2020
Kategori : Perempuan bawah 15 tahun
Tarikh : 01 Feb 2020 (Sabtu)
Tempat : Gelanggang Futsal, Taman Tasik Tambahan
Anjuran : PeBT MPAJ, BBA Handball



Pemain dalam Pasukan Bola Baling U15 Sekosa Jr : Elly, Danisya, Qistina, Farisha, Azeeqah, Jannah, Hani, Faeazah, Adlina, Dian, Fatimah, Zeti, Syuhada, Farhana

Hanya berbekalkan sehari sahaja latihan, harapan untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini tidak berapa penting. Apa yang penting ialah pengalaman yang diperoleh oleh pemain. Banyak kelemahan dan kekurangan perlu diperbaiki dalam pasukan ini dari segi kemahiran individu dan juga semangat juang berpasukan. Ini merupakan kejohanan yang kedua disertai oleh pasukan SEKOSA selepas menyertai satu kejohanan di Kuala Pilah pada tahun lepas.

Keputusan perlawanan adalah seperti berikut : Sekosa Jr 1 – Seremban Jaya 4, Sekosa Jr 1 – BBAWILDCATS HC 3, Sekosa Jr 1 – SGS 8, Sekosa Jr 2 – Beavers Jr 3. Lain – lain pasukan yang terlibat ialah Hornet Reunion (Kuala Langat), Kemandol Warrior HC (Kuala Langat), LGHC, AC Girls, Wildcats Jr. Pasukan – pasukan ini adalah pasukan yang hebat – hebat.

Perlawanan ini merupakan perlawanan kedua dan yang terakhir bagi pasukan ini, apabila pengurus pasukan mengambil keputusan untuk membubarkan SEKOSA, dan menubuhkan pasukan SABER TT HC, atas sebab – sebab tertentu. Semoga dengan tertubuhnya pasukan baru ini, akan memberi semangat baru untuk berusaha bersungguh – sungguh untuk mengcapi kejayaan.

**Kekalahan mengajar kita keperitan, pengalaman itu merupakan guru yang terbaik.

Sunday 16 February 2020

Pasukan Bola Baling SK Taman Kosas 2019/2020 – K15

Team Harapan, Moga Sukses Pada Masa Hadapan!!

Aktiviti : Kejohanan Bola Baling 5 vs 5, Piala Perpaduan Rakyat Ampang Selangor 2019
Kategori : Perempuan bawah 17 tahun
Tarikh : 29 Dis 2019 (Ahad)
Tempat : Gelanggang Futsal, Taman Tasik Tambahan
Anjuran : BBA Handball Club




Pemain dalam Pasukan Bola Baling U17 : Elly, Danisya, Qistina

Setelah semalam, menempuh perlawanan persahabatan anjuran KL Handball di Pantai Dalam, hari ini 3 orang pemain SK Taman Kosas dijemput untuk memperkuatkan pasukan ‘wildcats’ kelolaan Cikgu Erlina, menyertai Kejohanan Piala Perpaduan anjuran BBA HB Club (Cikgu Amin).

Klon untuk pasukan Bola Baling Daerah Hulu Langat U11 yang berjaya mendapat tempat ketiga di peringkat negeri Selangor bulan 10 yang lalu.

Memberi saingan pada peringkat umur lebih tinggi, pasukan ini berjaya menempatkan diri selaku naib johan kumpulan dan berjaya mendapat tempat ketiga, tewas di separuh akhir. Tahniah diucapkan.

**Walaupun umur kecil, tapi masih boleh memberi tentangan sengit kepada pasukan yang lebih dewasa.

Pasukan Bola Baling SK Taman Kosas 2019/2020 – K14

Lama bercuti, stamina out!!

Aktiviti : Perlawanan Persahabatan Pantai Dalam U11 (P)
Kategori : Perempuan bawah 11 tahun
Tarikh : 28 Dis 2019 ()
Tempat : Gelanggang Futsal, Pantai Dalam, DBKL
Anjuran : Handball KL


Pemain dalam Pasukan Bola Baling U11 :
Elly, Danisya, Qistina, Azeeqah, Farisha, Jannah, Bat, Huda, Maisarah

Setelah 3 minggu bercuti panjang sempena cuti akhir tahun persekolahan, semua pemain pasukan bola baling sekolah dipanggil semula. Kali ini atas jemputan KL Handball diterajui oleh SK Seri Hartamas. Bermain di Gelanggang Futsal, Pantai Dalam, para pemain dilihat sedikit kepenatan ketika bermain.

Keputusan juga tidak memberansangkan, namun pemain menunjukkan kesungguhan dalam perlawanan.

Antara sekolah yang terlibat ialah SK Bangsar, SK Seri Hartamas, dan SK Ampang Campuran. Terima kasih KL Handball.  

Jutaan terima kasih kepada semua pihak seperti para ibu bapa, pentadbir dan semua warga SK Taman Kosas yang menjadi pemain kelapan, membantu dan menyokong kami... PASUKAN BOLA BALING SK TAMAN KOSAS.

Kepada mana - mana organisasi atau orang perseorangan yang ingin menyumbang dana kepada pasukan ini... amatlah dialukan - alukan. Segala sumbangan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Boleh hubungi saya di 0132795903.

**Seseorang atlit perlu sentiasa bersenam untuk memastikan kecergasan berada pada tahap yang baik.