Monday 22 July 2019

Pasukan Bola Baling SK Taman Kosas 2019/2020 - K3

Alhamdulillah, semuanya dah rasa!!!

Pertandingan : Kejohanan Bola Baling Pembangunan Daerah Gombak Sirkit 1/2019
Kategori : Perempuan bawah 11 tahun
Tarikh : 21 Julai 2019 (Ahad)
Tempat : SK Sungai Buloh
Anjuran : Unit Kokurikulum, SK Sungai Buloh





Pemain yang terlibat kali ini adalah pemain yang hampir sama dengan Kejohanan Piala Mahmeri pada minggu lepas, cuma aina digantikan dengan Ain Shah
Pemain terlibat : Ain Shah, Farisya, Danisya, Elli, Batrisyia, Jannah, Huda, Puteri, Azeeqah, Qistina, Nana, Marissa

Kali ini pemain menunjukkan karakter yang berbeza. Karakter yang di mana jurulatih paling takuti iaitu bermain tidak mengikut perancangan.

Namun ada kebaikannya apabila menyertai beberapa siri kejohanan setakat ini, para pemain dan jurulatih merasai satu pengalaman mendepan dengan emosi dan cara menyerap tekanan. Takut mengambil risiko menyebabkan kita 'tewas' dengan diri sendiri dan akhirnya pasukan hanya membawa pulang sijil penyertaan.

Banyak yang perlu diperbaiki antaranya perkara asas dalam peraturan dan disiplin permainan bola baling. Para pemain harus fokus dengan peranan masing - masing dan mengikut taktikal yang diterapkan oleh jurulatih. Faktor pengadil juga boleh mengacau bilaukan emosi pemain dan jurulatih.

Namun, apapun yang berlaku dan dipelajari, tahniah dan syabas diucapkan kepada para pemain, akhirnya bermain dengan amat baik pada perlawanan yang terakhir. Mengikut segala perancangan yang diberitahu oleh jurulatih.

Untuk pasukan perempuan, kejohanan disertai oleh 5 buah pasukan iaitu, SK Sungai Buloh (tuan rumah), SK Tasik Puteri 2, SK Lembah Keramat, SK Ampang Campuran dan SK Taman Kosas.

Keputusan perlawanan adalah seperti berikut. SK Taman Kosas seri dengan SK Tasik Puteri 2 dengan jaringan 1 - 1, tewas dengan SK Lembah Keramat dan SK Sungai Buloh dengan jaringan yang sama iaitu 0 - 2, dan menang dengan SK Ampang Campuran dengan jaringan 2 - 1. Bermain secara liga dan SK Taman Kosas menghuni tempat keempat daripada 5 buah pasukan.

Johan dimenangi oleh SK Sungai Buloh dan Naib Johan disandang oleh SK Ampang Campuran. Tahniah!!!

Pasukan SK Taman Nirwana dan SK Al Amin menjadi Johan dan Naib Johan masing - masing, bagi kategori lelaki bawah 11 tahun pada kejohanan Sirkit 1 ini.

Sirkit kedua akan berlangsung pada 3 Ogos, InsyaAllah kita akan bangkit!!!

Jutaan terima kasih kepada semua pihak seperti para ibu bapa, pentadbir dan semua warga SK Taman Kosas yang menjadi pemain kelapan, membantu dan menyokong kami... PASUKAN BOLA BALING SK TAMAN KOSAS.

Saturday 13 July 2019

Pasukan Bola Baling SK Taman Kosas 2019/2020 - K2

Alhamdulillah, namun 'BELUM' lagi!

Pertandingan : Kejohanan Bola Baling Piala Mahmeri edisi 1/2019
Kategori : Perempuan bawah 11 tahun
Tarikh : 13 Julai 2019 (Sabtu)
Tempat : SK Bukit Bangkong (A), Sepang
Anjuran : Unit Kokurikulum, SK Bukit Bangkong (A), Sepang

**Mahmeri, salah satu suku kaum di Kampung Bukit Bangkong




Berdiri dari kiri : Aina, Farisya, Danisya, Elli, Batrisyia, Jannah
Duduk dari kiri : Huda, Puteri, Azeeqah, Qistina, Nana, Marissa

Alhamdulillah! namum 'Belum' lagi.

Banyak yang dipelajari dan PENGALAMAN BERHARGA yang ditimba oleh para pemain daripada kejohanan ini. Walaupun berjaya mendapat tempat ketiga, namun kejohanan ini membantu jurulatih dan para pemain mengenalpasti kelemahan ketara dalam pasukan.
Banyak lagi yang perlu dilakukan, berusaha keras untuk menjadi yang terbaik.
Namun para pemain semua mempunyai semangat dan disiplin yang tinggi untuk memastikan mereka berjaya menempatkan diri di peringkat separuh akhir dan akhirnya berjaya menduduki tempat KETIGA dalam kejohanan. Tahniah dan syabas diucapkan.

Kejohanan yang disertai oleh 12 buah pasukan iaitu, SK Bukit Bangkong (A) - tuan rumah, SK Methodist, SK Bukit Kemandol (A), SK Seksyen 27 (2), SK Dengkil, SK Seri Hartamas, SKTPSP, SK Kanchong Darat, SK Seremban (2), SK Sungai Rawang, SKTPP (2) dan SK Taman Kosas.

Sudah pasti pasukan yang menyertai kejohanan ini adalah pasukan yang hebat - hebat, yang sudah membuat persediaan untuk menghadapi kejohanan.

SK Taman Kosas diundi dalam kumpulan D bersama - sama dengan SK Kanchong Darat dan SKTPSP. Perjalanan SK Taman Kosas bermula dengan menewaskan SK Kanchong Darat dengan jaringan 7-0 dan menang ke atas SKTPSP dengan jaringan 4 berbalas 0. Berjaya menjadi johan kumpulan dan diundi bertemu dengan SK Seremban (2) yang menjadi naib johan kumpulan A.

Dengan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan yang sengit, SK Taman Kosas berjaya menewaskan SK Seremban (2) dengan jaringan tipis 1-0. Alhamdulillah. Pada peringkat kalah mati ini, pasti suasana berbeza dengan pasukan berusaha sedaya upaya untuk memenangi perlawanan bagi menempatkan diri ke peringkat separuh akhir.

Rezeki pasukan hanya setakat di peringkat separuh akhir, membuat 'comeback' untuk mengejar jaringan akhirnya kami akur, tewas 3-6. Kami tetap bersyukur dengan kejayaan tempat ketiga ini. Alhamdulillah.

Walaupun tidak bergelar juara, penyertaan di kejohanan ini memberi kami banyak pengajaran. Sesi latihan selepas ini akan digunakan sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Ingat! Bukan senang untuk jadi juara.

Jutaan terima kasih kepada semua pihak seperti para ibu bapa, pentadbir dan semua warga SK Taman Kosas yang menjadi pemain kelapan, membantu dan menyokong kami... PASUKAN BOLA BALING SK TAMAN KOSAS.

Sunday 7 July 2019

Pasukan Bola Baling SK Taman Kosas 2019/2020 - K1

Alhamdulillah, lulus Ujian yang Pertama!!!

Pertandingan : Kejohanan Bola Baling 4 Penjuru
Kategori : Perempuan bawah 11 tahun
Tarikh : 06 Julai 2019 (Sabtu)
Tempat : SK Seri Hartamas, Kuala Lumpur
Anjuran : SK Seri Hartamas, Kuala Lumpur




Berdiri dari kiri : Batrisyia, Elli, Aina, Danisya, Farisya, Qistina
Duduk dari kiri : Jannah, Azeeqah, Sayang, Aleeya, Ain, Huda

Alhamdulillah! Kata - kata yang terhambur daripada pemain - pemain bola baling SK Taman Kosas setelah tamat wisel penamat dibunyikan pada final Kejohanan Bola Baling 4 Penjuru perempuan bawah 11 tahun.

Walaupun hanya 4 pasukan yang terlibat, iaitu pasukan SK Seri Hartamas (Tuan Rumah), SK Taman Kosas, SK Bangsar dan SK Sungai Buloh, namun kejayaan menjadi johan menjadi pemangkin dan meningkatkan motivasi para pemain untuk terus gigih dan bekerja keras berlatih untuk menghadapi persaingan pada masa mendatang.

Tewas 0-1 dengan SK Sungai Buloh, menang 4-2 dengan SK Seri Hartamas, seri 0-0 dengan SK Bangsar, meletakkan SK Taman Kosas di tempat kedua pada peringkat kumpulan dan berjaya menempatkan diri ke final kejohanan.

Dengan semangat juang yang tinggi dan berdisplin tinggi, pada perlawanan akhir yang sengit, akhirnya SK Taman Kosas menang dengan jaringan 2-1 dan bergelar Juara.

Alhamdulillah! Tahniah kepada semua para pemain dan terima kasih kepada semua pihak seperti para ibu bapa dan semua warga SK Taman Kosas.