Thursday, 9 June 2011

Jalan – jalan Malaysia 2 – 'Bukit Gambang Resort City' dan 'Bukit Gambang Water Park'

Cuti sekolah tiba lagi. Cuti 2 minggu pertengahan tahun bagi tahun 2011.
Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa kerana memberi peluang saya menghirup udara segar di dunia ini.

Minggu pertama agak sibuk sebab kelas tambahan tahun 6 berakhir pada hari Selasa dan kemudian pada hari Rabu ada lawatan untuk murid – murid tahun 6 ke Petrosains, Suria KLCC. Tambahan pula markah untuk peperiksaan semester 1 ini perlu dimasukkan ke dalam semester pada masa cuti ini juga.

Tidak mengapa, itu bukan ceritanya. Minggu kedua cuti, isteri telah menempah penginapan bercuti di ‘Bukit Gambang Resort City’ selama 2 hari 1 malam, Isnin hingga Selasa. Menginap di ‘Family Suite’. Isteri berjaya mendapat potongan harga RM88 semalam. Cuba klik di sini kalau – kalau ada potongan harga lagi. Kalau tidak, boleh klik di sini untuk menempah terus dari laman sesawang 'Bukit Gambang Resort City'.

Pernah dengar nama tempat tersebut, dan tidak salah saya di situ juga ada ‘Bukit Gambang Water Park’ (Taman Tema Air Bukit Gambang)...... teruja memang teruja!!!!! Ikuti catatan saya ini.


Isnin, 6 Jun 2011
9.30 pagi
Bertolak ke destinasi dari Semenyih. Kalau dari Ampang boleh terus ke Lebuh Raya MRR2, seterusnya ke Lebuh Raya Karak dan kemudian masuk ke Lebuh Raya Pantai Timur.
Tapi dari Semenyih terus ke Lebuh Raya Lekas keluar di Senawang dan menuju ke Kuala Pilah – Ada jalan baru ke Kuala Pilah tidak ikut Bukit Putus terus keluar ke Ulu Bendul (Tapi saya ikut Semenyih – Beranang – Mantin – masuk LEKAS ikut masuk Setul). Dekat jalan baru itu terletak jambatan kedua tertinggi di Malaysia iaitu setinggi 48 meter.

1.45 tgh
Dari Kuala Pilah ke Serting, simpang empat belok kanan dan menuju ke Temerloh. Di Temerloh, yang merupakan Bandar Ikan Patin, singgah makan tengahari di ‘Food Court’ nya. Tapi tak pasti di mana. Makanannya memang sedap, dan tempat ni memang popular. Harga boleh tahan.... sediakan RM50.00 paling kurang.
4 jam perjalanan.... tapi kalau ikut lebuh raya Pantai Timur terus pasti sampai dalam masa 2 jam. Tapi perjalanan ikut jalan kampung memang menyeronokkan. Pemandangan yang indah yang pasti memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.


2.30 petang
Meneruskan perjalanan ke Bukit Gambang menuju Kuantan.

3.30 ptg
Teruja! Tiba di selekoh masuk ke destinasi, 'Bukit Gambang Resort City'. Boleh klik di sini untuk lihat peta laluannya. Tempoh perjalanan selama 6 jam. Kalau ikut lebuh raya Pantai Timur lagi cepat. Mungkin kurang 4 jam. (MRR2 – KARAK – PANTAI TIMUR).



Pandangan masuk ke ‘Caribbean Bay Suites’. Kelihatan ‘tram’, salah satu cara pengangkutan ke ‘Bukit Gambang Water Park’ yang kira – kira 200 meter dari sini. Tu, belok kanan terus ke sana.



Urusan Daftar Masuk di Kaunter

Urusan daftar masuk hanya mengambil masa 5 minit sahaja kalau tiada masalah. Dapat ‘kad’ kunci apartment dan terus ke sana. Bawa kereta terus letak bawah blok. Blok S2, berdekatan dengan kaunter dan juga cafe, sama tingkat juga. Jadi tidak perlu naik turun, naik turun.

Senario dan keadaan dalam ‘Family Suite – dilengkapi perabot


Ruang tetamu


Mempunyai dua bilik yang dilengkapi bilik air masing - masing

5.15 ptg
Bawa anak – anak ke kolam renang. Ingatkan hendak terus ke taman tema air, tapi memandangkan kepenatan dan dah lewat, niat dan hasrat ditangguhkan esok. Tidak mengapa, biar anak – anak bergembira di dalam kolam.


Kolam renang yang terletak di tingkat LG1. Nak ke sana perlu menuju ke cafe dan ia terletak bersebelahan dengannya.

6.30 ptg
Menuju semula ke apartment untuk berehat. Anak – anak... biasalah, kena pujuk baru nak naik dari kolam renang.

Makan malam... tapau jer di cafe. Malas nak keluar memandangkan faktor kesihatan. Lagipun anak – anak lebih suka makan di rumah sahaja.

Malam pula berehat dalam penghawa dingin. NYAMANNYA.

Senario dan suasana sekitar ‘Caribbean Bay Suites



Cafe yang terletak bersebelahan kaunter daftar masuk. Makanan dan minuman dihidang secara buffet dan ala-carte. Tetapi ala-carte perlu ditempah 45 minit awal ketika waktu puncak. Harga buffet boleh tahan.... kalau tak salah kalau untuk dewasa makan tengahari dan makan malam ialah RM38.00 seorang dan RM20.00 untuk seorang kanak – kanak. Untuk sarapan pagi pula RM18.00 seorang dewasa dan RM9.00 untuk seorang kanak – kanak.

Untuk harga al-carte, hari tu beli nasi goreng kampung RM7.80 satu (untuk makan malam), sama harga dengan nasi lemak. Tapi berbaloi beli sebab bermacam – macam lauk dalam satu bungkusan.

Untuk makan di luar.... boleh juga, tapi kawasan ini agak jauh sedikit dari tempat – tempat makan di luar sana. Alang – alang kalau keluar pun duit minyak. Makan kat dalam saja lah.

Teringat masa berjalan – jalan di UK.... siap bawa periuk nasi untuk memasak makanan dan juga bawa masakan yang kering sebagai hidangan. Air.... sekadar air kosong saja.



Kemudahan tempat letak kereta yang banyak. Daripada bilangan kenderaan yang ada, kita tahu bahawa tempat ini boleh menarik ramai pengunjung.

Selasa, 7 Jun 2011
8.00 pagi
Bersarapan di cafe (Jangan lupa bawa baucer makanan – nanti kena bayar pulak). Ramai juga orang, tapi disebabkan kawasan cafe yang agak luas, tidak menjadi masalah.... ala – ala macam ada keramaianlah pulak.

Hidangan yang disediakan pada hari itu seperti kacang panggang, telur dadar, nasi, bijirin, roti dan jem, beberapa jenis kuih. Air minuman seperti teh dan kopi. Tapi tidak ada nasi lemak atau roti canai.

10.00 pagi
Mengemas. Terus daftar keluar sebab masa untuk daftar keluar ialah pukul 12.00 tgh. Kalau dah daftar keluar tidak payah nak kelam – kabut nanti. Tidak mahu mengganggu keseronokan di Taman Tema Air nanti. Lagipun dari situ boleh terus balik KL.


Beratur untuk mendapat tiket masuk ke Taman Tema Air. Kaunter memang disediakan di tempat penginapan (lokasi di kaunter daftar masuk apartment) ini agar pengunjung tidak perlu bersesak – sesak beratur di kaunter tiket di pintu masuk Taman Tema Air.

Harga.... pembaca nilailah sendiri. ‘Bukit Gambang Water Park’ ini tidak menggunakan sebarang tunai untuk urusan sewa ‘tube’ dan ‘Gabana’ (tempat rehat berbumbung) ataupin membeli makanan. Ia menggunakan E-VALUE (ala – ala kad ‘Touch and Go’ atau kad debit). Segala perbelanjaan ditolak daripada Gelang E-VALUE (Tidak semestinya semua yang melawat Taman Tema Air perlu beli E-VALUE). Minimum E-VALUE ialah RM50.00, ada RM100.00 dan RM200.00. Usah risau membeli E-VALUE, sebab nilai yang tidak dibelanjakan akan dipulangkan ketika balik nanti.


Tempat rehat berbumbungnya kena sewa RM40.00 sehari, lagipun kuantitinya tidak banyak. Lebih selamat bawa tikar ala – ala berkelah di tepi pantai, senang dan percuma. Makanan luar tidak dibenarkan tapi boleh bawa masuk ‘swimming ring’ atau ‘swimming board’ sendiri. Hati – hati sebab di pintu masuk akan diperiksa segala beg – beg yang dibawa bersama.

Senario dan suasana dalam ‘Bukit Gambang Water Park





Tempat rehat berbumbung dan cafe juga disediakan



Kawasan permainan air untuk kanak - kanak


Glasier River

Di sini juga adanya ‘slide – Rafting slide’ yang terpanjang di Malaysia – tiada gambar. Saya dan cuba memang panjang.

2.00 ptg
Bertolak balk ke Kuala Lumpur.
Memandangkan belum makan tengahari, balik ikut Lebuh Raya Pantai Timur.... keluar mengikut Pintu Tol Gambang dan kemudian berhenti di R&R Gambang untuk menjamu selera. Apa – apa makanan dan minuman di R&R lebuh raya memang sedap.


8.00 mlm
Tiba di Semenyih
Jalan yang dilalui, – Lebuh Raya Pantai Timur – Keluar Tol Karak – Karak – Kuala Pilah – Simpang Pertang – Kuala Klawang – Broga – Semenyih. Jalan belok – belok sebab jalan kampung.


Tempat penginapan ‘Caribbean Bay Suites’ ini baru dibuka 2 tahun yang lalu. Sedangkan Taman Tema Air nya sudah dibuka 3 tahun yang lepas. Tempat ini baru lagi dan untuk kawasan Pantai Timur, ini merupakan antara Taman Tema Air terawal yang wujud di sini. Akan datang akan ada beberapa tarikan di sini seperti Taman Safari dan sebagainya.

Ulasan : Tempat ini amat sesuai untuk percutian keluarga. Kalau nak jimat bolehlah sewa ‘Family Suite’ dan bawa ramai – ramai ahli keluarga. Bayaran untuk penginapan..... kongsi – kongsilah. Kalau nak menginap di ‘Studio Suite’ boleh, tapi tiada bilik. Makanan dan minuman, bawalah masakan kering dan bawa periuk nasi dan grill untuk masak nasi dan apa – apa makanan yang boleh disediakan tanpa mengambil masa yang lama tapi mengenyangkan.

Perbelanjaan, jumlahnya boleh mencecah RM700.00 untuk 5 orang ahli keluarga. Jadi ditambahkan lagi dengan duit minyak dan tol, sediakanlah lebih kurang RM1000.00 untuk bercuti di ‘Bukit Gambang Resort City and Water Park’ ini.

Kembali ke :
Jalan – jalan Malaysia - Intro

2 comments: