Monday, 15 November 2010

Bukan Senang Nak Kekang Nafsu Nakal... Aduh payahnya

Minggu persekolahan (sesi 2010) akan tamat minggu ini. Minggu ke 41. Cuti sekolah akhir tahun akan bermula pada 20 November 2010 (Sabtu).

Apa kaitannya dengan tajuk entri kali ini? Bila cuti sekolah ramai anak – anak kita akan berehat di rumah, atau mungkin yang ada ibu bapa akan bawa balik ke kampung atau dihantar ke kampung untuk tinggal bersama – sama nenek dan atuk di kampung. Atau mungkin yang ada kewangan lebih sikit (yang memang dah simpan lama dah untuk tahun ni semata – mata untuk pergi melancong cuti sekolah), akan pergi melancong ke tempat – tempat menarik sama ada dalam atau pun ke luar negara.

Mana yang bersama – sama dengan keluarga, meluangkan masa bersama... Alhamdulillah. Sekurang – kurangnya ibu bapa memainkan peranan yang sepatutnya. Ada pula yang membuat persediaan awal, lebih – lebih lagi yang bakal menduduki peperiksaan awam dan besar tahun depan 2011, seperti UPSR, PMR dan SPM, pergi kelas tuisyen semasa cuti sekolah dan sebagainya.

Apa jua aktiviti, jangan sesekali biarkan anak - anak yang lebih – lebih lagi yang sedang meningkat umur menuju ke remaja ’terbiar’ dengan ‘aktiviti mereka sendiri’. Ibu bapa harus memantau apa yang diperlakukan oleh anak – anak mereka. Orang – orang dewasa pun yang konon dah makan garam lebih, jadilah ‘busy body’ sikit, tengok – tengokkan anak – anak sekeliling. Kalau yang memilih untuk membuat aktiviti yang ‘menyayangi diri sendiri’, Alhamdulillah. Tapi mana – mana yang fikir – fikir memilih membuat yang sebaliknya, jangan mula!!!. Berfikir sebelum bertindak dan jangan menzalimi diri anda dengan melakukan perkara – perkara yang mendatangkan mudarat dan yang menzalimi diri anda. Apapun, cegah dan kekang lebih – lebih lagi nafsu (yang mengajak kepada kemungkaran) yang mungkin mengatasi kewarasan fikiran, jangan biar hati jadi hitam.

Saya belek – belek juga kalau – kalau jumpa apa – apa tips dan cara kita yang boleh membantu menangani nafsu nakal ini. Lalu saya terjumpa artikel di bawah yang membicarakan langkah – langkah menangani nafsu nakal. Mari kita kongsi bersama, moga – moga ia dapat membantu. Artikel ditulis oleh Ustaz Zaharuddin (UZAR).

Artikel bertajuk ‘Mengekang Nafsu Gelap

Persoalan yang timbul ialah, bagaimana mengekang nafsu yang ada dalam diri.

*Mengukuhkan azam untuk berubah. Ia sukar untuk diajar melalui tulisan, tetapi kesedaran dan keinginan inilah yang perlu untuk bertindak.

*Kenali sumber serta punca yang mampu membiakkan ‘kekuatan’ terhadap nafsu itu, dan sebaik dikenal pasti, potong dan hapuskan ia.

*Perlu tahu cara, suasana, tempat dan berdamping dengan individu yang dapat menarik diri kita kepada kebaikan dan lupakan syahwat.

*Proses ini memang memerlukan ‘pantang larang’ yang merujuk kepada perkara yang tidak boleh dibuat dan ‘kemestian’ yang merujuk kepada perkara yang perlu dibuat.

*Ia proses ‘Sunnatullah’ untuk segala jenis penyembuhan, sama ada hati dan iman berbentuk spiritual dan juga tubuh fizikal.

*Ini sama seperti menangani penyakit kencing manis daripada sudut konsepnya, di mana mereka perlu menghadapi cabaran mengawal nafsu makan yang tinggi dan terhalang daripada menikmati juadah lazat.

*Pantang larang ini perlu dilakukan secara terpaksa itulah satu mujahadah (usaha). Oleh itu, cuba fikirkan, bagaimana pantang larang ini akhirnya mampu dipupuk serta diikuti dan itulah satu jalan permulaan untuk mengawal nafsu dalam diri.

*Setiap umat Islam perlu meyakini bahawa setiap perbuatan itu kelak pasti diazab oleh Allah SWT dengan mengingatkan bahawa adanya azab neraka, azab kubur, mati dalam kehinaan (suul khatimah) atau dalam kemaksiatan, tidak memperoleh Rahmat Allah atau tiada peruntukan syafaat daripada Rasulullah SAW.

*Disebabkan itu, tanam semua implikasi berbentuk spiritual itu dalam minda dengan harapan ‘nyalaan’ nafsu itu tadi dapat ditangani.

*Proses pertama untuk mengekang nafsu nakal adalah dengan meningkatkan ilmu dan keyakinan terhadap kedua-dua ilmu, ghaib dan fizikal, iaitu kesan buruknya. Insya-Allah, ia akan mampu menjadi pendinding awal sebelum berlakunya dosa dorongan syahwat nafsu itu.

*Binalah pasak dalam diri mengenai iman dan ilmu dengan segera terlebih dulu kerana tanpanya, perubahan kepada kebaikan akan terbantut di suku perjalanan.

++++++

Sebagai kesimpulan, sebagai tambahan kepada penjelasan di atas, ada perlu mengetahui perkara yang perlu serta tidak perlu dilakukan seperti :

-Fikirkan sasaran kehidupan dan berusaha melaksanakannya. Jauhkan pemikiran berkenaan apa – apa yang mendatangakan kemudaratan dan kemungkaran dan penuhkan masa dengan berusaha mencapai sasaran itu.

-Wujudkan keyakinan bahawa Allah SWT melihat apa yang dilakukan di ketika ramai mahupun kala sendirian.

-Sedarkan diri bahawa malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang dilakukan.

-Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.

-Putuskan hubungan ‘songsang’ dan ‘gelap’ sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperoleh melalui Internet atau fizikal, melalui laman sembang, e-mel, web dan sebagainya. Jika berbual mesra bersama rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elak melakukannya dan makan sendirian atau bersama jantina yang sama.

-Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.

-Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan keagamaan kerana dengannya, ia membuka ruang mendapat rakan yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat dapat dibendung.

-Ziarah kubur secara kerap supaya syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.



-Kalau komputer dan Internet kerap menjadi punca peningkatan syahwat, banyakkan mendengar bacaan al-Quran di depan komputer. Insya-Allah, dengannya rasa malu akan timbul. Namun jika syahwat masih ‘menggila,’ segera berhenti dan lihatlah awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah.

-Memastikan harta diperoleh daripada sumber halal kerana sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat. Ia ibarat mutasi virus yang lebih berbahaya kepada kesihatan.

-Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisiplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin ketika sujud di dalam solat supaya diberi kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.

-Segera beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat berat sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Imran, bahawasanya:
... dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa.

Sumber : myMetro Online 14/11/2010 (7 Zulhijjah 1431) Ahad – Artikel bertajuk Kekang Nafsu ‘gelap’

No comments:

Post a Comment