Saya percayakan dia dan dia sayang sangat dengan saya (siri 1)
Itu merupakan tajuk yang saya pilih untuk entri kali ini. Sebab hari ini saya nampak sesuatu yang amat – amat menyakitkan hati. Sakit mata sakit hati. Tapi itu hakikat dan kenyataan yang hari ini sedang berlaku.
Tajuk ini dipilih kerana ayat di atas menjadi alasan ‘biasa’ bagi anak – anak kita yang sedang meningkat remaja, kononnya baru mengenal erti kasih, sayang dan cinta. Sanggup ‘berkorban’ apa saja. Mungkin mereka lupa bahawa kasih, sayang dan cinta Allah merupakan yang paling agung yang pasti menjamin kehidupan yang manis dan berkat dunia dan akhirat.
Yang lebih mengecewakan ialah gejala berpacaran, dilakukan oleh anak – anak kita yang masih bersekolah, muda, tidak lagi segan silu melakukan perbuatan yang tidak senonoh secara terang – terangan yang pasti memalukan bangsa dan agama Islam itu sendiri. Moga kami berlindung daripada Allah, Nauzubillah daripada perkara – perkara yang keji dan mungkar.
Untuk kali ini saya cuba untuk mengingatkan kembali diri saya dan diri kita tentang batas – batas pergaulan kita orang muslim, lelaki dan perempuan yang menganut agama Islam yang suci ini.
ETIKA PERGAULAN DAN BATAS PERGAULAN DI ANTARA LELAKI DAN WANITA MENURUT ISLAM.
1. Menundukkan pandangan dari kedua belah pihak. Artinya, tidak boleh melihat aurat, tidak boleh memandang dengan syahwat, tidak berlama-lama memandang tanpa ada keperluan:
ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firmanNya; “Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya.” (An- Nur: 30)
Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita yg beriman, ALLAH berfirman; “Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya.” (An-Nur: 31)
2. Menutup Aurat:
Pihak wanita harus mengenakan pakaian yang sopan yang dituntunkan syara', yang menutup seluruh tubuh selain muka dan telapak tangan. Jangan yang tipis dan jangan dengan potongan yang menampakkan bentuk tubuh.
ALLAH berfirman, “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya.” (An-Nur: 31)
Diriwayatkan dari beberapa sahabat bahwa perhiasan yang biasa tampak ialah muka dan tangan.
Firman Allah SWT di dalam surah an-Nur, ayat 31. Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”
Maksud “kecuali yang zahir daripadanya” ialah sesuatu yang pada adat atau kebiasaannya dapat dilihat dan sukar untuk disembunyikan termasuk baju luar, muka, dua tapak tangan dan perhiasan seperti cincin dan gelang tangan. Perhiasan di rambut dan di kepala adalah haram dan termasuk dalam kategori aurat wanita.
Juga FirmanNya; “Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Ahzab: 59)
Dengan pakaian tersebut, dapat dibedakan antara wanita yang baik-baik dengan wanita nakal. Terhadap wanita yang baik-baik, tidak ada laki-laki yang suka mengganggunya, sebab pakaian dan kesopanannya mengharuskan setiap orang yang melihatnya untuk menghormatinya.
Video tentang isu pemakaian tudung :
3. Adanya pembatasan antara lelaki dengan wanita:
Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firmanNya; “Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab.” (Al-Ahzaab: 53)
4. Tidak berdua-duaan Di Antara Lelaki Dan Perempuan:
Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya.” (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)
5. Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan):
Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT; “Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik.” (al-Ahzab: 32)
Imam Ibnu Kathir mantafsirkan ayat di atas dengan menyatakan bahawa ianya adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh Allah kepada para isteri Rasulullah SAW dan juga kepada para wanita mukminah iaitu hendaklah berbicara dengan orang lain (lelaki) tanpa suara merdu iaitu janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.
6. Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis. Tidak Bersentuhan Antara Lelaki dan Wanita Ajnabi (Sah Kahwin)
Dalam pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (sah kahwin), tidak dibenarkan berlaku sentuh menyentuh, pegang memegang, cuit mencuit dan seumpamanya walaupun dalam keadaan bergurau dan hubungan yang rapat termasuk bertunang.
Dari Maqil bin Yasar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.” (Hadis Riwayat Baihaqi) .
Antara etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW; Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud).
Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana FirmanNya; “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Al-Isra: 32)
Marilah kita bersama – sama berdoa kepada Allah semoga anak –anak kita sentiasa dikurniakan hidayah dan taufik, terpelihara dan dijauhkan dengan perkara – perkara yang amat buruk seperti ini. Semoga Dia terus melimpahkan rahmatNya ke atas keluargakan kita khususnya dan masyarakat kita umumnya. Amin.
Saya merupakan seorang pendidik dalam bidang Sains di salah sebuah sekolah di Ampang, Selangor. Pernah bercuti panjang ke luar negara dari tahun 2008 sehingga 2010, di Dundee Scotland untuk menimba pengalaman.Redha, sentiasa memaafkan, bersyukur dengan ni'mat dikurniakan dan sabar dalam menghadapi segala perkara menjadi pegangan hidup.
Buat sesuatu perkara dengan bersungguh - sungguh selagi mana ia betul dan memberi kebaikan. Selagi kudrat ini kuat untuk melaksanakan sendiri sesuatu perkara, lakukannya sendiri.
No comments:
Post a Comment