Alhamdulillah, puteriku beransur pulih daripada demam kuningnya. Hari Jumaat hari tu 16 April 2010, bawa puteriku ke Neonatal Unit di hospital buat pemeriksaan. Puteriku masih kuning tapi sudah berkurangan. Daripada bacaan aku di internet, bayi yang mengalami kuning akan kurang menyusu dan kurang nyahtinja. Tapi puteriku Alhamdulillah dia sebaliknya. Harapanku agar dia cepat sembuh Amin.
Tak habis lagi cerita di hospital. Di sini bayi yang dilahirkan tidak terus dibersihkan seperti di Malaysia. Sejurus selepas kelahiran bayi akan terus diangkat dan diletakkan di atas perut ibunya. Ini adalah kerana di sini ada polisi ‘skin to skin contact’ antara ibu dan anak yang yang mana berdasarkan kajian, ini dikatakan merapatkan hubungan naluri antara ibu dan anak.
Berbanding di Malaysia, bayi akan dibersihkan ‘luar dan dalam’ dan kemudian dibedung dan barulah diberikan kepada ibunya.
+++++
Sedikit maklumat tentang ‘skin to skin contact, the baby and the mother’. Sentuhan kulit ke kulit membantu mengeratkan hubungan antara bayi dan si ibu dan juga boleh memberi keselesaan bayi apabila bayi menangis. Sentuhan juga memainkan peranan yang amat penting dalam perkembangan emosi dan tumbesaran bayi.
Kajian menunjukkan, bahawa sentuhan kulit ke kulit antara bayi dan ibu yang berlaku dengan lebih lama sejerus selepas bersalin mempunyai faedah kesihatan bagi kedua – dua ibu dan bayi. Bayi yang dipegang lebih kerap dan lebih lama pada kulit ibu lebih mudah menyusu dan penyusuannya lebih lama.
Bayi amat suka jika ibu bapa sentiasa dekat di sampingnya, bercakap dengan dia, dukung dan peluk dia. Ini boleh membantu ibu bapa lebih yakin dan ini boleh membantu bayi permulaan emosi yang amat baik kerana bayi rasa disayangi. Bayi yang mempunyai hubungan yang baik dan sentiasa berasa selamat di samping ibunya akan membesar menjadi kanak – kanak yang lebih yakin dan kurang mengalami masalah kesihatan mental.
+++++
Selepas beberapa ketika, baru bayi akan ‘dbersihkan sedikit’ dan kemudian diletakkan ke tempat khas bayi. Sementara isteriku ‘dibersihkan’ oleh bidan dan pembantunya. Pada waktu ini aku mengambil kesempatan mengiqamahkan puteriku.
Sebelum dipindahkan ke wad ibu bersalin yang berdekatan, kami disediakan sedikit minuman panas dan sedikit kudapan. Setelah selesai semua, aku pulang ke rumah pada malam itu juga kerana memikirkan anakku yang dua lagi yang dijaga oleh jiranku. Harapnya esok isteri dan puteriku boleh ‘discharge’ dari hospital. Namun puteriku, apa yang telah diceritakan sebelum ini, mengalami kuning dan isteriku perlu berada di hospital selama 4 hari 3 bagi membolehkan puteriku menjalani fototerapi.
Bila puteriku balik ke rumah malam Jumaat yang lalu, bermula semula episod 4 tahun lepas. Kena berjaga malam menemani isteri menjaga bayi. Bak kata kakak iparku, “Wah, nanti meriahlah yer kat rumah nanti!”. Namun itulah pengalaman dan seni menjadi ibu bapa. Susah nak dapat ni. Bagi aku, pasti sibuk kerana perlu melayan karenah dua lagi anakku dan juga membantu isteriku berpantang. Lepas ini, rutinnnya ialah mandikan bayi, susukan bayi guna botol, tukar ‘lampin’ bayi – walaupun sekarang guna lampin pakai buang, mandikan bayi, pakaikan baju bayi, tidurkan bayi dan lain – lain bersangkutan dengan bayi.
Tangisan bayi mula kedengaran dalam rumahku. Macam kekok pula sebab kena ‘recall’ balik tentang beberapa perkara tentang pengurusan bayi. Kena cepat ‘recall’ sebab sekarang ni isteriku tengah cuti belajar 3 minggu. Sebab lepas ni aku kena lebih uruskan ketiga – ketiga anakku. Isteriku kena gigih berusaha dalam pengajiannya. Lebih – lebih lagi anakku akan bermula nurseri semula pada 19 April 2010. Ini akan lebih menguji kesabaran dan ketabahanku sebagai suami dan ayah. Berikanlah aku kekuatan Ya Allah!.
Bangun malam merupakan kewajipan bagi semua ibu bapa yang mempunyai bayi yang baru lahir. Bagi bayi apa yang mereka mampu buat ialah menangis, minum susu dan melakukan ‘pembuangan’.
++++
Bagi bayi, menangis adalah satu bentuk komunikasi yang berkesan untuk memberitahu ibu bapa mengenai diri mereka. Bayi menangis kerana mereka lapar, berasa tidak selesa, berasa panas atau sejuk, keletihan, tidak berasa selamat, tidak sihat dan juga bayi mengalami kembung perut atau sakit perut.
Bayi menangis boleh dipujuk dengan beberapa cara seperti :
# ambil dan peluk erat bayi dan bercakap dengannya dengan suara yang lembut,
# dodoi, tepuk atau urut secara perlahan dan lembut bahagian belakang bayi, perut dan kaki,
# memberi penyusuan pada kadar yang lebih kerap,
# dukung bayi erat di badan,
# memberi bayi mandian air suam,
# ubah kedudukan anda – pergi ke tempat lain yang mempunyai permandangan yang berbeza,
# Periksa tubuh badan bayi – kadang kala pakaian yang dikenakan tidak selesa.
Peringatan : Jangan sesekali menggoncang bayi kerana ini boleh menyebabkan sesuatu perkara yang lebih buruk berlaku.
+++++
Selain beberapa perkara yang aku perlukan untuk puteriku ini, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian. Mengikut pengalaman aku menguruskan dua orang anakku sebelum ini, angin dalam badan atau kembung perut merupakan antara penyebab utama mengapa bayi menangis selain daripada lapar.
Oleh itu, saya menyarankan kepada bapa – bapa terutamanya agar diadakan ‘minyak panas’ bayi iaitu minyak telon atau minyak yu yee cap limau (ini sangat – sangat disarankan). Minyak panas ini amat sesuai mengatasi masalah angin dalam badan dan kembung perut bayi. Sapukan pada bahagian pelipat anggota badan, bahagian perut, belakang bayi dan juga tapak kaki bayi.
Kulit bayi juga amat sensitif, mudah kena ruam dan juga melecet. Bolehlah disediakan minyak kulit bayi dan juga ‘bepanthen’. Minyak kulit bayi disapukan ke seluruh bahagian badan bagi mengelak kulit kering serta ruam dan ‘bepanthen’ digunakan untuk menyembuhkan bahagian kulit yang melecet.
Mengikut pusingan jam – minyak telon, minyak kulit bayi, minyak yu yee dan ‘bepanthen’.
Mengikut amalan kita orang Melayu, bayi amat suka dibedung bagi mengelak daripada terkejut dan boleh tidur dengan lebih lena.
+++++
Sedikit maklumat mengenai amalan memakai bedung. Memakaikan bedung kepada bayi baru lahir merupakan amalan yang praktiskan sejak dari zaman dulu lagi. Antara alasan yang sering diberikan oleh orang-orang tua kenapa bayi perlu dibedung adalah untuk mengelakkan bayi dari terkejut.
Namun begitu, kajian yang dijalankan menunjukkan bayi yang dibedung tidur dengan lebih lena kerana :
# Bayi tidak mudah terkejut dengan bunyi bising disekelilingnya,
# Membantu agar bayi rasa lebih selamat dan selesa,
# Mengelakkan bayi dari menggosok dan mencakar mukanya sendiri terutama jika tidak dipakaikan sarung tangan,
# Mengelakkan bayi dari menggawangkan tangannya ke atas - keadaan ini biasanya terjadi apabila bayi terkejut disebabkan oleh bunyi yang kuat disekelilingnya.
Rujukan : klik di sini
+++++
Perkara seterusnya yang perlu dilakukan ialah menanam uri puteriku. Ada yang panggil tembuni dan ada yang panggil plasenta.
Para bapa, basuhlah uri bayi anak itu. Ini Insyaallah boleh membantu kita menimbulkan rasa penghargaan yang amat sangat terhadap isteri kita di atas pengorbanannya mengandung dan kemudian melahirkan anak kita ke dunia. Oh ya, jangan lupa kalau boleh temanlah isteri kita ketika isteri hendak bersalin. Insyaallah, keinsafan akan kita perolehi.
Disebabkan rumah flat aku di sini tiada tanah, aku perlu cari tempat yang sesuai untuk ditanam uri tersebut. Tambah di sini disebabkan ramainya orang yang membela anjing, kena pastikan tempat yang ditanam uri tidak didatangi anjing dan kemudian menggali dan makan uri tersebut.
Akhirnya aku menanam uri di rumah ustaz Aminurrashid di Abbotfort Street. Ustaz beritahu yang kawasan lapang belakang rumah dia tidak didatangi anjing dan tambahan kawasan rumahnya dihuni kebanyakannya orang tua. Ingat, jangan lupa bawa pengorek tanah untuk mengorek tanah!
Puteriku diberi nama, bertahnik dan cukur jambul
Dalam kesibukan menjaga puteriku ini dan isteriku berpantang serta menjaga anakku yang dua lagi, aku berbesar hati menerima kunjungan teman dan sahabat di sini. Yelah, hidup di perantauan tanpa ibu bapa dan sanak saudara di sisi, merekalah penggantinya.
Tetamu yang hadir membawa seribu keberkatan. Alhamdulillah, aku cukup gembira dengan kehadiran teman – teman dan sahabat – sahabat sekalian, terutamanya sahabat – sahabat daripada Komuniti Melayu Dundee.
Kebetulan semasa kunjungan mereka segerombolan pada hari Sabtu, 12 April 2010, merupakan hari ketujuh puteriku di dunia ini. Alhamdulillah. Teringat aku mengenai bertahnik dan cukur jambul untuk bayi. Kebetulan Ustaz Aminurrashid pun ada, aku minta pandangan beliau mengenai perkara tersebut. Beliau memberitahu memang elok dilaksanakan bertahnik dan cukur jambul pada hari itu. Tambahan ia memang sunnah Rasulullah.
Tambahan pada hari itu ramai juga orang yang datang berkunjung ke rumahku dan kita boleh selawat ramai – ramai. Program itu terus dilaksanakan dan aku dengan segera menyediakan apa yang patut seperti semangkuk air, kurma dan gunting. Ustaz Aminurrashid melakukan tahnik ke atas puteriku dan yang lain berselawat sambil bersama ‘menggunting’ rambut puteriku. Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar walaupun program tersebut adalah program ‘tiba - tiba’. Terima kasih kepada semua yang hadir.
Sebelum itu, aku dan isteri berbincang dan bersetuju untuk puteriku ini diberi nama Nawal Nurain Norazmi. Ini juga diperkenankan oleh Ustaz Aminurrashid. Alhamdulillah. Semoga anak ini membawa banyak keberkatan dan kebahagiaan ke dalam keluarga ini.
Daftar Kelahiran Puteriku
Hari Isnin 14 April 2010, aku pergi ke bandar untuk proses pendaftaran kelahiran puteriku. Daftar kelahiran perlu dibuat di Jabatan Pendaftaran Kelahiran, Kematian dan Perkahwinan, Majlis Perbandaran Dundee di Commercial Street. Dokumen yang diperlukan hanya surat pengesahan daripada hospital dan jika berkahwin boleh dibawa sekali sijil kahwin. Selain itu kena sediakan duit £9 bagi memperoleh sijil kelahiran.
Di sini disebabkan penduduk bandar ini tidak ramai, segala urusan di jabatan – jabatan kerajaan tidak terlalu sibuk jika dibandingkan di Malaysia yang perlu datang awal untuk mendapatkan angka giliran.
Jabatan Pendaftaran di Commercial Street, Dundee.
Isteriku berpantang 40 hari.
Lauk pantang memang bukan kerja aku. Kalau ikut pengalaman aku sebelum ini – pernah menjaga isteriku berpantang semasa puteriku yang pertama, lauk berpantang memang isteriku yang sediakan sendiri.
Untuk kali ini, isteriku lebih ‘advance’ menyediakan lauk pantangnya sebelum dia bersalin. Senang sikit aku, aku cuma bantu ‘grill’kan lauk tersebut dan ia sedia untuk dimakan. Nasi aku yang masak. Lauk pantang lebih bertujuan untuk membantu menyingkirkan angin dalam badan selain boleh menyebabkan isteriku kenyang. Tengoklah gambar di bawah yang mana resipi lauk pantangnya banyak mengandungi halia, bawang putih, lada hitam. Kalau boleh jangan makan ikan dia sahaja... kalau depan mak mertua aku (mak isteri aku), isteriku kena telan semua sekali. Kalau kat sini, ada ‘tipu – tipu sikit’.
Selain itu, isteriku kena pakai bengkung dan jamu untuk sihat semula dan mengembalikan bentuk badan yang ideal. Ini memang memerlukan kesabaran, kerajinan dan disiplin selain sokongan suami. Bengkung itu dililitkan pada badan terutama pada bahagian perut – tujuan untuk mengemiskan perut, dan bahagian pinggul – tujuan untuk merapatkan rahim dan salur peranakan. Hendak seribu daya dan tak nak seribu dalih.
Selain itu juga, kena bertungku. Nampak tak benda putih dalam rajah di bawah tu. Itulah tungkunya, ia perlu dipanaskan dan kemudian dituamkan di seluruh badan. Kalau di kampung boleh guna batu sungai yang berat dan panjang kemudian dibalutkan dengan kain, dipanaskan dan kemudian dituamkan ada seluruh badan.
Para suami pun kena bantu isteri anda berpantang seperti bantu melumurkan jamu – jamu ke seluruh badan dan membantu memakaikan bengkung. Selain itu boleh mengurut badan isteri sekadar mampu bagi membantu angin dalam badan isteri disingkirkan.
Aku pun bukan pakar sangat pasal pantang – berpantang ini. Yang aku tahu jamu pilis untuk disapukan di atas dahi untuk menghilang pening kepala dan tapel dilumurkan ke seluruh badan untuk mengecutkan rahim dan buang lemak. Ingat! Lepas tolong sapukan isteri dengan jamu – jamu itu, cepat – cepat kena basuh tangan sebab jamu – jamu tu ‘panas’. Tidak mahu cerita panjang - panjang tentang set berpantang ni. Pasti ibu – ibu yang ada pengalaman berpantang lebih arif dan lagipun ada banyak set berpantang pelbagai jenama di pasaran.
Coretan ini ditulis pada 18 April 2010 (Ahad), ketika puteriku dan anak – anakku yang lain sedang tidur lena dan sekarang puteriku (bayiku) berumur 13 hari. Semoga bayi comel ini membesar dalam keadaan yang sihat jasmani dan rohani. Layanlah karenah dan permintaan anak – anak, berikanlah perhatian yang sewajarnya kepada mereka, curahkanlah kasih sayang kepada mereka, didik, nasihat dan tunjuk ajar mereka dan tunaikanlah tanggungjawab dan hak – hak mereka.
Semoga anak – anak ayah akan menjadi anak – anak yang soleh dan solehah yang mana akan mendoakan kesejahteraan diriku dan isteriku kelak, Insyaallah.
Di sini aku mengambil kesempatan kepada semua yang terlibat dan membantu aku ketika isteriku sedang sakit bersalin. Kepada abang Shahrun dan Kak Zaity, terima kasih banyak – banyak sebab tolong tengok – tengokkan Naim dan Najwa, Abang Mahmud dan Kak Rabihah, terima kasih kerana bantu kami sekeluarga ketika membawa pulang isteriku dan bayi pulang ke rumah, semua yang mengunjungi rumah kami melawat puteri kami. Kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung memberikan sokongan moral dan kata – kata motivasi. Terima kasih di atas doa – doa kalian.
Kepada semua ahli keluarga di Malaysia, ibu bapa kami, adik beradik kami dan semua sanak – saudara kami, rakan, teman dan sahabat yang sentiasa mengingati kami dan mendoakan kami. Terima kasih semua. Kami amat – amat menghargai bantuan dan doa kalian. Tidak mampu kami untuk membalas setiap satunya dan kami juga mendoakan kalian sihat sejahtera hendak-NYA dan sentiasa dia bawah rahmat ILAHI. Amin. KAMI AMAT MERINDUI MALAYSIA!!!!.
Pautan berkait :
SELAMAT DATANG PUTERIKU
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment