Sunday 24 January 2010

Anak kita demam... apa nak buat?

Anak-anak yang sihat boleh dilihat melalui tingkah lakunya dan wajahnya. Tingkah lakunya akan sentiasa aktif, gembira dan wajahnya akan terpancar keceriaan. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang aktif dan banyak bercakap, itu menunjukkan bahawa anak-anak itu sihat, segar dan bugar.

Namun apabila anak-anak kita mula menunjukkan reaksi tidak seperti biasa, itu menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada anak tersebut. Ambil berat dan tanya kepada anak kita, apa yang tidak kena?. Sakit yang selalu dihadapi oleh anak-anak kita ialah demam. Anak-anak kecil memang perlu sentiasa diperiksa tahap kesihatan mereka, kalau tidak diambil perhatian dan tindakan segera akan menyebabkan sesuatu yang lebih mudarat.

Keadaan kesihatan anak yang tidak berapa baik, ada kalanya kita sebagai ibu bapa boleh mengurusnya sendiri, namun jika keadaan tidak beransur baik, cepat-cepat berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Kanak-kanak dan lebih-lebih lagi bayi mudah mendapat demam dan batuk, ini adalah kerana sistem imunnya belum berkembang dan maju sperti orang dewasa.

Sentiasa awasi suhu badan anak ketika demam. Kalau boleh disarankan kepada ibu bapa agar mendapatkan termometer suhu badan di farmasi. Ini sebagai tindakan awal kita untuk mengenalpasti sama ada anak kita mengalami peningkatan suhu badan melebihi suhu badan manusia normal iaitu 37 darjah Celsius.

Walaubagaimanapun, ramai kanak-kanak yang mempunyai suhu badan yang sedikit tinggi atau rendah daripada suhu normal. Sebagai contoh, suhu badan yang diambil di bawah ketiak kanak-kanak akan mencatat suhu 0.5 darjah Celsius lebih rendah, oleh itu suhu normalnya ialah 36.5 darjah Celcius.

Suhu tinggi secara amnya ialah di atas 37.8 darjah Celsius apabila diambil pada bahagian telinga atau mulut, atau atas 37.3 darjah Celsius apabila bacaan diambil pada bahagian ketiaknya.


Termometer Digital – Bacaan diambil pada bahagian ketiak anak atau mulut.


Termometer Dahi – Bacaan diambil pada bahagian dahi anak.

Selain menggunakan termometer untuk menyukat suhu anak anda, anda boleh memeriksa bahagian belakang tengkuk dengan menyentuhnya dengan tapak tangan anda atau bibir anda. Kajian menunjukkan bibir ibu adalah sangat sensitif dan boleh mengesan peningkatan suhu. Selain itu tanda demam ialah anak anda cepat berpeluh apabila disentuh.

Demam adalah keadaan di mana suhu berada di atas tahap normal iaitu 38 darjah Celsius. Suhu badan 38.6 darjah Celsius masih boleh dirawat di rumah sahaja. Namun jika suhu melebihi 38.6 darjah Celsius, ibu bapa disaran segera membawa anak berjumpa doktor.

Tip dan tindakan penting semasa merawat anak demam :

*Perhatikan perilaku anak. Jika perilaku anak hampir sama seperti biasa, maka anda tidak perlu risau kerana demam biasa adalah tidak berbahaya.

*Rawatan kecemasan awal yang boleh diambil ialah mengelap badan anak dengan air. Ini membantu menurunkan suhu badan anak kita.

*Cegah dehidrasi kekeringan cecair dalam badan anak-anak. Dehidrasi ialah kehilangan air dalam badan. Berikan anak lebih banyak cecair seperti air, kuah sup, jus buah segar yang dicampur air dan sebagainya.

*Jika anak muntah atau cirit-birit, berikan minuman garam oral bagi menggantikan cecair yang telah keluar daripada badan.

*Pastikan bilik anak selesa dan tidak panas. Pasang kipas atau pendingin hawa dan pakaikan anak baju nipis.

*Berikan ubat seperti paracetamol mengikut kadar (dos) yang ditetapkan dan mengikut jadual yang dicadangkan. Pastikan ubat tersebut habis dimakan walaupun demam anak kita sudah beransur pulih atau kebah. Tolong baca arahan ubat dengan berhati-hati.

*Pada waktu malam, anak-anak yang mengalami demam sering terjaga dan ibu bapa perlu memastikan suhu badan anak berada pada tahap yang tidak berbahaya. Gunakan air, dilapkan pada badan anak kita supaya tidak berlaku peningkatan suhu.

Ambil tindakan segera agar anak kita tidak mengalami kekejangan, kaku atau sakit kepala yang teruk.

Sebagai seorang Islam, panjatkan doa kepada Allah agar anak kita beransur pulih, sihat seperti sedia kala dan sesungguhnya DIALAH Maha Penyembuh segala penyakit dan ubat itu merupakan ikhtiar kita semata-mata.

Coretan : naimoiman

No comments:

Post a Comment