Thursday 21 January 2010

Jumlah penduduk Malaysia kini menghampiri 30 juta orang

Jumlah penduduk Malaysia dijangka mencecah 28.9 juta orang pada tahun ini berdasarkan kadar pertumbuhan kira-kira 2.1 peratus pada setiap tahun.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan, Datuk Wan Ramlah Wan Abd. Raof berkata, jumlah penduduk tahun lalu meningkat 1.54 peratus iaitu daripada 27.7 juta pada tahun 2008 kepada 28.2 juta orang.

''Orang Melayu kekal dengan kaum paling banyak iaitu 66.7 peratus diikuti Cina 24.6 peratus dan India 7.4 peratus,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Operasi Jabatan Perangkaan Negeri Selangor di Wisma Wan Asia di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, kaum lain iaitu bumiputera Sabah dan Sarawak adalah sebanyak 1.3 peratus.

''Selangor kekal dengan jumlah penduduk paling ramai di negara ini iaitu 5.2 juta orang diikuti Johor seramai 3.4 juta orang dan Sabah sebanyak 3.2 juta orang pada tahun lalu," katanya.

Menurut Wan Ramlah, kadar pertumbuhan 2.1 peratus pada setiap tahun adalah sihat dan bukan satu keadaan yang mendadak.

Sumber : Utusan Online, 22 Januari 2010 (7 Safar 2010), Jumaat

No comments:

Post a Comment