Friday 22 January 2010

Budaya saling berpesan pererat kesatuan ummah

BUDAYA saling nasihat-menasihati sudah semakin pupus dan tidak dititikberatkan lagi. Manusia sepanjang hidupnya memang memerlukan kepada nasihat, teguran dan saling ingat-mengingati, berpesan-pesan antara satu sama lain supaya diri tidak terus terpesong daripada landasan syariat Islam.

Apabila budaya nasihat-menasihati tidak dijadikan amalan sudah tentu masyarakat hidup dalam suasana penuh celaru, keliru, lalai dan mengikut hawa nafsu semata-mata.

Allah memberi gambaran jelas bagaimana seharusnya seorang yang beriman tatkala berada dalam masyarakatnya. Firman-Nya yang bermaksud:
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran." Surah al-Ashr, ayat 1-3)

Semua orang Islam itu bersaudara dan perlu saling sayang-menyayangi tanpa mengira kedudukan. Apabila menyedari hakikat ini, maka seorang Muslim sejati pasti tidak akan tergamak membiarkan saudaranya berada dalam kealpaan dan kesesatan yang sangat dimurkai Allah.

Pasti akan ditegur atau dinasihati jika ada saudara kita melakukan kesilapan supaya dengan demikian kehidupan mereka mengarah kepada ajaran Islam sebenar. Keadaan ini selari gesaan Islam supaya umatnya hidup dalam suasana damai dan bagi mencapai maksud itu masyarakat wajar bertindak memperbaiki apabila melihat kesalahan berlaku.

Allah berfirman yang bermaksud:
"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." Surah al-Hujurat, ayat 10)

Rasulullah SAW selalu menekankan pentingnya nasihat kerana ia adalah suruhan agama. Daripada Tamim ad-Daari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Ad-din itu nasihat (tiga kali) maka kami bertanya: Untuk siapa wahai Rasulullah? Sabdanya: Untuk Allah, kitabnya, rasulnya, pemimpin dan yang dipimpin (orang biasa)." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Seorang Muslim memang ada hak dan tanggungjawabnya terhadap Muslim yang lain seperti dijelaskan Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam.

Jika anda (1) bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika (2) anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika (3) dia meminta nasihat maka nasihatlah dia dan jika (4) dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika (5) dia sakit maka ziarahilah dan jika (6) dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur."
(Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya amalan nasihat-menasihati adalah salah satu cara yang boleh menutup kekurangan dan keaiban yang ada di antara kita, memberi keuntungan dan keselamatan bagi yang mahu menerima nasihat serta mengamalkannya dalam kehidupan.

Di samping itu, dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama Islam serta mengukuhkan kesatuan umat Islam seluruhnya. Apabila amalan ini dapat dihidupkan, sudah pasti ia akan membuahkan suasana kemesraan sekali gus mengelak tercetusnya api permusuhan dan perpecahan.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya." (Surah ali-Imran, ayat 104)

Selain disuruh memberi nasihat, kita juga dituntut supaya ikhlas dan berlapang dada dalam menerima nasihat. Kadangkala ada di kalangan kita yang marah dan tidak senang hati apabila ditegur atau diberi nasihat.

Padahal, nasihat yang diberi itu semata-mata supaya kita menjadi orang yang baik, kembali ke jalan benar selepas tersilap langkah dan inilah sebenarnya yang dikehendaki agama.

Tidak dinafikan jika dalam masyarakat tidak ada budaya nasihat-menasihati dan amar makruf nahi mungkar, ia adalah petanda masyarakat yang tidak bertanggungjawab, tiada kesepakatan, penuh dengan sifat mazmumah serta mementingkan diri sendiri.

Masyarakat sebegini sebenarnya lupa pesan agama bahawa sebahagian Muslim menjadi penolong dan pelindung kepada Muslim lain. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan orang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Bagi mencipta masyarakat yang baik, maka perlulah wujud suasana saling nasihat-menasihati, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar di mana saja sepanjang masa. Inilah yang dikatakan sebaik-baik umat.

Sumber : Mohd Adid Ab Rahman, Bharian Online, 4 Januari 2009 (8 Rabiulakhir 1430)

No comments:

Post a Comment