Wednesday 20 January 2010

Senarai 5 bangunan tertinggi dunia



Burj Khalifa – Bangunan tertinggi dunia buat masa ini dengan ketinggian 828 meter dan mempunyai 162 tingkat.

Burj Khalifa, yang sebelum ini dikenali sebagai Burj Dubai, binaan tertinggi pernah didirikan di atas muka bumi dibuka secara rasmi pada 4 Januari 2010. Pembinaannya mengambil masa hampir lima tahun bermula September 2004.

Bangunan dan menara tertinggi dunia yang baru - Burj Khalifa - dibuka dengan rasminya dan mempunyai ketinggian 828 meter di tengah padang pasir Dubai. Burj Khalifa dibuka secara rasmi oleh Timbalan Presiden dan Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dan pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum.

Burj Khalifa, gelaran diberikan sebagai menghargai sumbangan Sheikh Khalifa Zayed al-Nahayan yang merupakan presiden dan pemerintah negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Fakta menarik Burj Khalifa

Kos pembinaan Burj Khalifa dilaporkan mencecah AS$1.5 bilion (RM5.08 bilion).

Burj Khalifa, yang dibina bersebelahan Teluk Parsi, jauh mengatasi ketinggian Taipei 101 di Taiwan setinggi 509 meter yang memegang gelaran bangunan tertinggi sejak 2004.

Burj Khalifa yang tingginya 828 meter (bayangkan ketinggian bangunan hampir satu kilometer) mempunyai 162 tingkat (rekod paling banyak tingkat) memecah rekod Taipei 101 yang dirasmikan tahun 2004, yang mempunyai 101 tingkat. Dengan ketinggian yang "luar biasa" itu, dijangka rekod yang dipegang oleh Burj Khalifa tidak mungkin dapat diatasi sekurang-kurang 20 tahun akan datang.

Sebagai struktur binaan paling tinggi, ia merampas dan mencipta 15 rekod tertinggi di dunia termasuk pencapaian terbaru dalam sejarah pembinaan bangunan moden.

Burj Khalifa menempatkan unit penginapan paling tinggi, pemasangan antena, cermin dan aluminium paling tinggi serta dek tinjauan luar, kolam renang dan masjid tertinggi di tingkat 158. Selain itu, teknologi pembinaannya melibatkan pemasangan konkrit paling dalam, pemasangan lif terpanjang dan paling pantas di dunia dengan berkelajuan 18 meter sesaat bersamaan 64 km/jam.

Menara itu turut mempunyai 1,000 kediaman, 160 bilik hotel mewah (sembilan hotel termasuk penginapan mewah Hotel Armani) dan 37 tingkat bilik pejabat korporat, selain itu menempatkan 1,200 premis perniagaan, sekaligus menjadi pusat membeli belah terbesar di dunia.

Burj Khalifa yang boleh dilihat sejauh 100 kilometer. Ia direka oleh Adrian Smith, seorang arkitek dari syarikat Skidmore, Owings and Merill, Chicago, Amerika Syarikat (AS). Turut terlibat pada fasa pertama pembinaan adalah Samsung C&T Korea Selatan yang membina Menara Berkembar Petronas dan juga Taipei 101. Burj Khalifa dibina dengan bahan asasnya konkrit sebanyak 333,000 meter padu konkrit dan 39,000 tan besi.

Samsung Engineering & Construction berkerjasama dengan syarikat kontraktor Besix dari Belgium dan Arabtec dari UAE. Burj Khalifa yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk mendepani gegaran gempa.

Seperti kebanyakan menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa juga menawarkan pemandangan dari udara yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan hampir keseluruhan bandar Dubai.

Ruang legar yang diberi nama At The Top pada tingkat 124 itu dibina dengan lantai cermin yang memberikan pemandangan telus pada sudut keliling 360 darjah. Pelantar tinjau yang dibuka pada 5 Januari 2010 kini boleh dikunjungi dengan bayaran 100 dirham (RM92). Selain itu, konsep interaksinya juga memberi peluang kepada pelawat menyusuri sejarah pembinaan bangunan tertinggi itu. At The Top dijangka menjadi salah satu daripada tarikan utama di Dubai selepas ini.

Menara Berkembar Petronas..... tempat ke-berapa?



Menara Berkembar Petronas (KLCC), ketinggian 451 meter, dengan 88 tingkat – Pernah menjadi bangunan tertinggi dunia pada tahun 1998 - 2004. Namun kedudukan semasa menjadi KLCC di tempat keempat atau kelima.

Kita masih boleh berbangga dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC), menurut Judith Dupre dalam bukunya, Skyscrapers yang diterbitkan sepuluh tahun lalu menyatakan, Malaysia mempunyai dua bangunan tertinggi di dunia yang terletak di Kuala Lumpur.

Kini selepas sepuluh tahun, Menara Berkembar Petronas dengan ketinggian 451 meter, berada pada tangga, keempat atau kelima. Walaupun begitu, bangunan yang dikagumi dengan seni bina menakjubkan dan jambatan udara bertingkat (di tingkat 41 dan 42) itu sehingga kini masih lagi kekal sebagai bangunan berkembar tertinggi di dunia.



Taipei 101 – Kedudukan semasa, dengan ketinggian 509 meter dan mempunyai 101 tingkat, menjadi bangunan kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa dibuka secara rasmi pada 4 Januari 2010.

Pada 1998, dunia memandang ke arah Malaysia apabila bangunan tertinggi di dunia dibina secara berkembar dengan ketinggian 451 meter.

Dengan pencapaian itu Menara Berkembar Petronas memegang rekod bangunan tertinggi di dunia selama enam tahun sehinggalah diatasi oleh Taipei 101.

Pada 2004, Taipei 101 atau dikenali sebagai Pusat Kewangan Taipei di Taiwan merampas gelaran tertinggi daripada Menara Berkembar Petronas dengan ketinggian 509 meter yang dimilikinya.

Pembinaan Taipei 101 memakan masa lima tahun dan dibina dengan keupayaan menahan gempa bumi dan taufan. Seperti namanya, bangunan yang diilhamkan daripada bentuk pokok buluh itu mempunyai 101 tingkat.

Taipei 101 kini berada di tangga kedua selepas takhta yang dipegang selama tiga tahun dirampas oleh Burj Khalifa.



Shanghai World Financial Centre di Shanghai, China – Kedudukan semasa, merupakan bangunan ketiga tertinggi dunia, ketinggian 492 meter dan 101 tingkat.



International Commerce Centre (Hong Kong, China), dikatakan mempunyai ketinggian 483 meter dan 118 tingkat mengatasi Menara Berkembar Petronas. Namun bangunan ini dalam pembinaan.

Mengikut laman web wikipedia (1) senarai bangunan tertinggi di dunia mengikut turutan ialah Burj Khalifa (Dubai, UAE), Taipei 101 (Taipei, Taiwan), Shanghai World Financial Centre (Shanghai, China), International Commerce Centre (Hong Kong, China) dan Menara Berkembar Petronas (Kuala Lumpur, Malaysia).

Mengikut laman web emporis (2) senarai bangunan tertinggi di dunia mengikut turutan ialah Burj Khalifa (Dubai, UAE), Taipei 101 (Taipei, Taiwan), Shanghai World Financial Centre (Shanghai, China), dan Menara Berkembar Petronas (Kuala Lumpur, Malaysia), menduduki tempat keempat dan kelima.

Sumber rujukan :

(1) http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_tallest_buildings_in_the_world
(2) http://www.emporis.com/en/bu/sk/st/tp/wo/
http://www.utusan.com.my , 4 Januari 2009, 9 Januari 2009
http://www.bharian.com.my 5 Januari 2009

1 comment:

  1. Saya telah mengkopi penulisan encik yang bermanfaat ini.

    ReplyDelete