Wednesday 14 April 2010

SELAMAT DATANG PUTERIKU...

Setelah selama 9 bulan 10 hari berada di dalam kandungan ibunya, maka pada tanggal 5 April 2010 (20 Rabi’ul Akhir 1431; 7.56 petang) bersamaan dengan hari Isnin, lahirlah lagi seorang bayi comel, insan permata hati, penghibur hati penenang jiwa ibu bapa. Bersyukur dan Alhamdulillah dengan kebesaran Allah yang maha kuasa. Menitis air mataku ketika melihat insan ciptaan yang Maha Esa.

Alhamdulillah ku panjatkan kesyukuran kepadaNYA. Coretan ini ditulis ketika puteriku baru berumur 9 hari. Namun ingin ku kongsikan bersama dengan pembaca, detik – detik dan pengalamanku kehadiran puteriku yang kedua yang merupakan anakku yang ketiga.

Tanda menunjukkan isteriku akan bersalin bermula seminggu sebelum kelahiran, iaitu lebih kurang dalam akhir bulan tiga. Terdapat tanda – cecair seakan agar – agar berwarna keputihan lut cahaya, yang menunjukkan bahawa isteriku akan bersalin. Namun ‘due date’ isteriku ialah pada pertengahan bulan April 2010.

Harapan dan doa dipanjatkan kepada Ilahi semoga isteriku bersalin pada akhir bulan tiga 2010. Ini memberi peluang rehat secukupnya bagi isteriku yang sedang mengikuti pengajiannya di universiti dan persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhirnya. Manalah tahu nanti mungkin sama tarikh dengan tarikh hari lahir ayahnya (aku) pada 27 Mac. Dan sekurang – kurangnya anak – anakku yang dua lagi nanti bolehlah aku hantar ke nurseri untuk penjagaan, sementara aku menguruskan isteriku nanti. Nurseri bercuti ‘Easter’ pada 2 – 18 April 2010. Agak – agak sempat tak?.

Namun Allah itu Mahakuasa. Segala apa yang berlaku di dunia ini semuanya dalam perancangannya. Semua apa yang dirancang pasti ada hikmahnya. Dia Maha Mengetahui. Isteriku hanya mula terasa sakit hendak bersalin – ‘contraction’ pada pagi hari Ahad 4 April 2010. Pada ketika itu isteriku mengadu bahawa ‘contraction’ berlaku selang 20 minit. Namun pada waktu tengahari ia menjadi semakin kerap iaitu selang 10 – 13 minit sekali. Isteriku mengambil keputusan untuk menelefon bidan – ‘midwife’ pada pukul 10 pagi dan kemudian diminta untuk menjalani pemeriksaan di hospital.

Aku bergegas ke hospital bersama isteriku dan anak – anakku yang dua lagi (itu pilihan yang ada kerana nurseri telah bercuti), minta tolong jiran pasangan Malaysia untuk menjaga mereka. Perjalanan dari rumah aku ke hospital mengambil masa lebih kurang 10 minit dengan menaiki kenderaan. Sebelum itu aku hendak beritahu bahawa perjalanan dari pintu masuk utama ke wad 37a mengambil masa lebih kurang 5-8 minit. Selain itu, selagi keadaan masih berisiko rendah (‘low risk’), hendak ke wad bersalin atau bilik bersalin hanya boleh masuk melalui pintu utama hospital atau pintu Unit Bidan.

Berada selama 3 jam sehingga pukul 3.30 petang, di hospital telaga sembilan (‘Ninewells Hospital, Dundee, Scotland’) di wad 37a. Sebelum aku dan isteri dibenarkan untuk masuk ke dalam wad tersebut aku dan isteri diminta untuk tunggu lima minit memandangkan baru sahaja ada katil yang kosong dan pada waktu itu katil sedang dikemas dan dibersihkan. Hasil pemeriksaan doktor – doktor itu namanya Dr. Aik, doktor Cina datang daripada Malaysia, memaklumkan bahawa isteriku belum lagi hendak bersalin. Tidak dimaklumkan apa – apa kecuali Dr. Aik memberitahu bahawa air ketuban isteriku belum pecah – ‘Your water has not broken yet’. Lalu doktor itu menasihatkan isteriku pulang ke rumah.

Makluman : Sebelum ini, kelahiran anak – anakku yang dua lagi, isteriku tiada pengalaman air ketuban pecah, air ketuban ‘dipecahkan’ di hospital. Pengalaman bersalin di Malaysia, doktor di Malaysia lebih melihat kepada tanda – tanda seperti bukaan laluan saluran peranakan dan juga ‘contraction’. Dan jika ada tanda – tanda tersebut, si ibu akan ditempatkan di dalam satu bilik khas untuk pemantauan atau dimasukkan ke dalam wad.

Berbeza dengan polisi di sini, selagi air ketuban tidak pecah dan juga ‘contraction’ tidak berlaku selang masa 2 -3 minit jangan harap dimasukkan ke dalam bilik bersalin (‘labour room’). Yang peliknya kenapa begitu? Kasihan kepada ibu – ibu yang bakal bersalin, sudahlah kena tahan sakit untuk bersalin, tunggu air ketuban pecah baru hendak ke hospital. Silap – silap ada yang bersalin dalam kereta ni nanti.

Keesokkan harinya, 5 pagi, 5 April 2010 bersamaan hari Isnin, ‘contraction’ berlaku dengan lebih kerap dengan selang masa 7-10 minit. Malam tadi pun cuma tidur – tidur ayam sahaja memandangkan menemani isteriku yang dalam kesakitan. Pada waktu ini mula timbul rasa kasihan dan perasaan amat... amat menghargai pengorbanan isteriku yang mengandungkan anakku selama ini. Jadi, para suami, seboleh – bolehnya beradalah di samping isteri anda tak kala isteri sedang menanggung kesakitan hendak bersalin. Bersama dengannya agar kita juga boleh sama – sama merasai kesakitan yang ditanggung.

Pukul 10 pagi, kekerapan ‘contraction’ berlaku dengan lebih kerap selang 5-8 minit. Apa yang pasti ia memang semakin hampir. Isteriku menelefon bidan sekali lagi. Bidan menasihatkan supaya berada di dalam tab mandi (seolah – olah berkubang) dan kemudian jika terasa ‘contraction’, dialirkan air suam ke atas perut. Selain itu ada petua daripada bidan Malaysia, nak cepatkan sakit bersalin minum air kopi dengan telur mentah. Air kopi tak ada kat sini, jadi minum air nescafe campur dengan telur mentah. Kita sebagai orang Islam, banyakkan membaca surah Yusuf ketika waktu mengandung dan surah Maryam ketika hendak bersalin.

Lama juga ‘berkubang’ dalam tab mandi, sehingga pukul 5 petang. Dalam masa yang sama, aku menjadi pencatat minit selang masa ‘contraction’ dan tempoh masa ‘contraction’. Perghhh... ia betul – betul menguji kesabaran dan ketabahan. Petang tu baru ‘contraction’ berlaku pada selang masa 2-3 minit. Tiba masanya untuk ke hospital sebab ‘contraction’ dah kerap sangat, cuma air ketuban jer yang belum pecah. Anak – anakku dihantar di bawah penjagaan jiranku. Harap – harap kali ni bersalin. Pukul 6 petang lebih kurang, kali ini aku dan isteri ke Unit Bidan, Hospital Ninewells. Pemeriksaan dibuat oleh seorang bidan yang dikenali sebagai Guwen. Bidan Orang Scotland. Semoga doa aku dimakbulkan.

Bila pemeriksaan dibuat, ‘contraction’ tiba – tiba berlaku 15 minit sekali. Tetapi hanya ambil sekali sahaja. Kenapa pulak begitu? Tadi kat rumah dah kerap dah. Bidan Guwen kata, disebabkan selang masa 15 minit, kalau ikut cara dia bercakap, dia nak suruh balik rumah jer. Tapi isteriku berkeras tak nak balik. Jadi bidan Guwen itu mencadangkan agar isteri aku buat senaman sikit. Pergi berjalan ke kafe dan minum kopi. Ha! Ni yang nak dijadikan cerita ni...

Lorong ke Unit Ibu Bersalin

Sebelum ni dah beritahu yang jauh antara Unit Bidan dengan kafe atau pintu utama ialah 5-8 minit perjalanan. Jadi aku dan isteri bergerak ke kafe. Dalam perjalanan ke kafe tu, isteriku kena berhenti beberapa kali kerana ‘contraction’ berlaku. Kali ini kerap sangat, selang masa 3 minit sekali. Di kafe sempat pekena ‘Hot Chocolate’. Lepas tu sempat pergi cari ‘top up’ telefon, tapi tak jumpa. Aku lihat jam sudah pukul 7 petang. Kemudian aku dan isteri lepak dekat ruang menunggu hospital. Tiba – tiba isteriku minta untuk ke tandas. Keluar tandas isteriku maklumkan bahawa mungkin air ketuban dah pecah – yelah sebelum ini tidak ada pengalaman air ketuban pecah. Ingat nak pergi dapatkan ‘wheelchair’, tapi isteriku kata jom kita terus ke Unit Bidan. Aku dah mula sedikit gelabah sebab yelah... dah empat tahun aku tidak merasai pengalaman ini. Perjalanan ke Unit Bidan terhenti beberapa kali... kelihatan muka isteriku seperti meneran. Ah! Sudah... ni betul – betul nak bersalin ni. Sampai tingkat bawah isteriku cepat – cepat minta aku dapatkan bidan. Aku pun tekan loceng dan tersembul kata, “My wife is going to give birth near the lift”. Bidan tu pun gelabah dan pada ketika itu isteriku dibawa ke ‘labour room’. Bila diperiksa, sahkan isteriku bakal melahirkan bayi.

Bilik bersalin

Aku terus berdoa kepada Ilahi semoga isteriku sabar, tabah dan dipermudahkan proses bersalin. Penantian ini bakal berakhir. Isteriku tenang seketika, bak kata Bidan Guwen, “Calm before storm”. Aku dimaklumkan oleh Bidan Guwen bahawa dia habis bekerja pada jam 8 pm. Namun dia maklumkan bahawa dia akan menyambut kelahiran ini kerana dia kata dia tidak pernah meninggalkan seseorang dalam kesakitan. Kerja perlu diselesaikan. Alhamdulillah... tepat jam 7.56 petang isteriku selamat melahirkan seorang bayi comel yang beratnya 3.08 kg. Alhamdulillah. Aku tanpa disedari menitis air mata atas kurniaan Ilahi, seorang bayi perempuan anugerah Ilahi yang tidak terhingga nilainya.

Nawal bayiku

Namun cerita ini belum berakhir. Anakku disahkan mengidap kuning (‘Jaundice’), tapi tidak teruk. Anakku perlu menjalani fototerapi. Sebelum ini pun kedua – dua anakku juga mengalami keadaan yang sama. Tapi Alhamdulillah. Empat hari berada di wad ibu bersalin dan berada di bawah cahaya lampu, isteri dan anakku dibenarkan pulang pada malam Jumaat 8 April 2010. Isteriku kata bahawa layanan jururawat di hospital bagus – bagus dan makanan pun boleh pilih nak makan apa. Apapun, aku bersyukur kepada Ilahi kerana terus memberikan aku kekuatan, ketabahan, ketenangan dan kesabaran dalam aku melalui detik – detik ini. Tapi apa yang pasti aku perlu menjadi seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab dan berjiwa besar.

Nawal di bawah lampu - fototerapi

Setiap apa yang dicipta ada tujuannya dan setiap kejadian yang menimpa pasti ada hikmahnya. Jangan berputus asa mengharapkan bantuan dan pertolonganNya. Yakin denganNya kerana pasti… pasti… pasti tanpa ragu dan was, Dia akan membantu. Kelahiran bayi ini memberi erti mendalam dalam kehidupan ini dan semoga bayi yang dilahirkan ini menjadi anak solehan. Insyaallah. Amin

Pengalaman menaiki teksi : perjalanan dari rumah ke hospital hanya mengambil masa 10 minit sahaja tetapi tambangnya adalah 8-10 pound.

Pautan berkait :
SELAMAT DATANG PUTERIKU... BAH 2

2 comments:

  1. nak tambah sikit: ada hikmah gak Nawal kena Jaundice, sebab saya boleh rehat dengan aman di hospital tanpa naim dan najwa. memang tak sempat terjun pool, sebab bby dah nak keluar sgt2 lepas ketuban pecah tu.

    ReplyDelete
  2. Well written Cikgu..btw Congrats to both of you..at least ade pengalaman bersalin di Scotland!!hehe..untung k.Lela dapat suami Mithali..hehe..btw take care and selamat menjaga org berpantang..K.lela..selamat berpantang!! ;)

    ReplyDelete