TEMPAT – TEMPAT TARIKAN PELANCONG SEKITAR DUNDEE
Pusat Informasi Pelancongan, Dundee terletak di tengah – tengah pusat bandar iaitu di Jalan Castle, berdekatan Dataran Bandar (‘City Square’), segala maklumat mengenai Dundee ada disediakan, beserta dengan bantuan untuk penginapan dan sebagainya. Sila klik di sini dan sini untuk maklumat lanjut.
Peta biru di bawah menunjukkan kedudukan beberapa tempat menarik utama di Dundee, serta kedudukan Hospital Ninewells dan Lapangan Terbang Dundee.
*Peta ini kalau berjalan di pusat bandar, memang ada beberapa papan kenyataan ini di beberapa lokasi dan memudahkan pelancong untuk mengetahui tempat – tempat menarik yang boleh dilawati.
Selain itu peta di bawah diperolehi daripada Laman Sesawang Majlis Perbandaran Dundee untuk menunjukkan kedudukan tempat – tempat menarik yang boleh dilawati.
Peta interaktif Bandar Dundee seperti di atas, sila klik di sini.
Antara tempat menarik yang boleh dilawati ialah, mengikut kategori :
A) Tempat Tarikan Pelancong
B) Kawasan Rekreasi dan Taman
C) Tempat Membeli belah
D) Sukan dan Rekreasi
A) Tempat Tarikan Pelancong
1) Broughty Castle Museum
2) Camperdown Wildlife Centre
3) Discovery Point
4) Dundee Contemporary Arts
5) Dundee Flower and Food Festival
6) Frigate Unicorn
7) The McManus: Dundee's Art Gallery and Museum
8) Mills Observatory
9) Sensation
10) Verdant Works
11) North Carr Lightship
12) Dundee Law
13) Claypotts Castle
14) Dundee Rep Theatre
15) Tay Bridges
16) Glamis Castle
1) Broughty Castle and Museum (Istana Broughty dan Muzium)
Istana Broughty dibina pada tahun 1946 tetapi musnah semasa abad ke – 18. Pada abad ke–19, ia dibeli dan dibina semula oleh Pejabat Perang (‘War Office’). Pada 1969, Istana Broughty dibuka sebagai muzium perikanan, peralatan menangkap ikan paus, senjata dan perisai. Ia sekarang merupakan sebahagian daripada rangkaian Muzium Dundee dan tempat menunjukkan cara hidup dan penduduk di Broughty Ferry. Istana Broughty terletak beberapa minit daripada pantai Broughty Ferry dan persiaran, lima batu di sebelah timur Dundee. Ia mempunyai permandangan Sungai Tay yang hebat.
Gambar di atas : Ikut pusingan jam; Papan tanda ‘Broughty Ferry Castle Green & Beach’, taman permainan kanak – kanak, air pancur yang berfungsi hanya pada musim panas sahaja untuk kanak – kanak bermain air, permandangan indah Sungai Tay, adanya permainan kereta go-kart, lapangan golf mini juga disediakan, gambar penulis di tengah - tengah.
Catatan penulis : Penulis sudah dua kali ke sini bersama keluarga. Pertama pada awal semasa penulis tiba di sini dan kali kedua pergi bersama keluarga untuk berkelah. Ada kawasan permainan kanak – kanak dan juga berdekatan dengan pantai. Ramai orang sekitar Dundee yang menghabiskan masa bersama keluarga ketika musim panas.
2) Camperdown Wildlife Centre (Pusat Hidupan Liar Camperdown)
Zoo mini yang terletak di Taman Rekreasi Camperdown (‘Camperdown park’) yang mempunyai pelbagai hidupan liar yang dipuliharakan dan penyelidikan dijalankan oleh pihak universiti.
Catatan penulis : Walaupun sudah beberapa kali pemulis ke taman rekreasi Camperdown ini, tapi masih belum berkesempatan memasuki pusat hidupan liar ini. Ini kerana setiap kali penulis ke sini pasti ke taman permainan kanak – kanak yang terdapat di taman rekreasi ini.
3) Discovery Point
‘Discovery Point’ adalah tempat letaknya kapal Kapten Scott – ‘RRS Discovery’, yang mana telah dibina di Dundee untuk ekspedisinya ke Antartik, dan ‘Verdant Works’, pemenang Anugerah Tahunan Muzium Industri Eropah. Ia mempunyai mesin – mesin asal, dan juga mempamerkan bahan – bahan komputer dan bahan – bahan boleh laku (‘hands-on’).
‘RRS Discovery’ adalah kapal kayu tiga tiang layar yang dibina di Kepulauan British, dan telah dilancarkan pada 21 March 1901, direka untuk penyelidikan ke Antartik. Misi pertama kapal ini ini dipanggil sebagai Ekspedisi Antartik Kebangsaan Britain, yang membawa Robert Falcon dan Ernest Shackleton yang merupakan pelayaran pertama mereka, yang merupakan pelayaran yang berjaya ke Antartik, dikenali sebagai Ekspedisi Penemuan (‘Discovery Expedition’).
Pada 28 Mac 1986, kapal ini meninggalkan London di atas kapal kargo ‘Happy Mariner’ untuk dibawa pulang ke Dundee, bandar di mana ia dibina, tiba di Sungai Tay pada 3 April dengan sambutan yang kacau – bilau. Dipindahkan ke dok limbungan biasa pada 1992, kapal ini merupakan pusat tumpuan pelancong ke Dundee terutama bagi ‘Discovery Point’. Bandar ini juga dikenali sebagai ‘The City of Discovery’, sebagai penghormatan kerja dan penyelidikan yang dilakukan oleh oleh Kapal ‘RRS Discovery’ dan juga kerja – kerja penyelidikan yang dilakukan oleh universiti – universiti dan Hospital Ninewells.
Lawatan penulis ke Discovery Point pada tahun 2008
Catatan penulis : Antara tempat terawal yang penulis serta keluarga melawat ketika mula – mula tiba di sini. Behajat hendak masuk dan naik kapal, tapi memandangkan tiket untuk mesuk kapal agak mahal, hajat terbantut. Tidak mengapa, ambil gambar kapal pun jadilah. Terlintas di fikiran penulis, bahawa di Melaka pun ada tempat lawatan sebegini. Sejarah negara kita perlu diketahui terlebih dahulu. Ini juga antara lokasi wajib yang perlu dilawati jika ada kawan atau sahabat yang berkunjung di sini. Lagipun cantik permandangan di sini kerana ia terletak di tepi sungai Tay. Kalau bernasib baik boleh lihat orang memancing di sini.
4) Dundee Contemporary Arts (Pusat Seni Kontemporari Dundee)
‘Dundee Contemporary Arts (DCA)’, Pusat Seni Kontemporari Dundee disenaraikan antara sepuluh tempat menarik pelancongan di Scotland oleh ‘Visit Scotland’ dan ia dikenali di peringkat antarabangsa, sebagai pemenang anugerah dalam bidang pendidikan dan juga merupakan tempat, lokasi diadakan aktiviti sosial dan perjumpaan. DCA mempunyai 5 sinema, galari, kemudahan seni, sumber pendidikan, pusat penyelidikan secara maya Universiti Dundee dan sebuah kafe yang besar dan popular. Ia telah menarik minat pengunjung lebih 1,000,000 orang sejak dibuka pada Mac 1999, lebih 300,000 setahun.
Catatan penulis : Penulis masih belum berpeluang untuk ke sini.
5) Dundee Flower and Food Festival (Festival Makanan dan Bunga Dundee)
Festival Makanan dan Bunga ini akan diadakan pada 3-5 September 2010. Ia merupakan acara tahunan yang memperagakan dan mempertontonkan tukang masak – tukang masak Scotland dan juga pakar – pakar perkebunan serta diadakan pameran kraftangan, pembuatan kek dan roti, aktiviti – aktiviti kanak – kanak dan seni flora.
Catatan penulis : Festival ini diadakan sepanjang tahun. Selalunya diadakan di pusat bandar Dundee. Meriah dan menghiburkan lebih – lebih lagi iai memperkenalkan budaya Scotland.
6) Frigate Unicorn (Kapal Perang Kecil Unicorn)
Unicorn, kapal perang kecil dengan rangka kapal diperbuat daripada kayu dibina pada tahun 1824 merupakan kapal paling tua binaan British yang masih terapung. Terletak di limbungan Victoria di Sungai Tay yang menggambarkan teknologi yang ada pada masa dahulu. Kapal tersebut telah menjadi muzium maritim dan ia dibuka kepada orang ramai dengan mempamerkan koleksi artifak dan pelbagai lagi yang jarang dijumpai.
Kapal perang ‘Frigate Unicorn’ yang terletak di Limbungan Victoria di City Quay
Catatan penulis : Penulis pernah ke lokasi di mana kapal ini berlabuh tapi tidak sangka ia merupakan sebuah muzium maritim. Perlu dilawati satu hari nanti.
7) The McManus: Dundee's Art Gallery and Museum
McManus : Muzium dan Galeri Seni Dundee, pusat utama galeri dan muzium bagi Dundee, dulu dikenali sebagai Institut Albert, terletak di tengah – tengah Bandar Dundee di ‘Albert Square’ di jalan Reform.
Galeri dan muzium ini merupakan salah satu struktur binaan Gothic di dalam bandar. Koleksi seni yang mengkagumkan menarik minat pelbagai lapisan masyarakat dan pengunjung.
Catatan penulis : Masih lagi tidak berkesempatan untuk masuk ke dalam walaupun boleh dikatakan kerap juga penulis ke pusat bandar.
8) Mills Observatory (Balai Cerap Mills)
Terletak di puncak Bukit Balgay. Ia merupakan satu – satunya Balai Cerap British yang dibina semata – mata untuk tujuan menggalakkan orang ramai untuk memahami Sains, dan ia merupakan Balai Cerap yang dibuka untuk lawatan pengunjung.
Catatan penulis : Penulis dan keluarga pernah sekali tiba di sini. Perlu mendaki sedikit. Tempat ini kalau di Malaysia sama seperti Planetarium Negara di Kuala Lumpur.
9) Sensation
‘Dundee Sensation’ atau dalam Bahasa Melayunya penulis panggil Pusat Sains Sensasi Dundee dibuka kepada orang ramai pada bulan Julai 200 dan ia adalah salah satu tarikan utama pelancong apabila ke Dundee. Ia menarik minat seramai lebih 60,000 pengunjung setahun, meruapakan sebahagian daripada Rangkaian Pusat Sains Scotland, bersama – sama dengan Pusat Sains Glasgow, dan Pusat Sains Satrosfera dan Bumi Kita Yang Dinamik di Aberdeen.
Ia mempunyai aktiviti dan eksperimen yang boleh laku dan buat untuk semua orang – terdapat pelbagai pertunjukan dan pameran yang interaktif yang boleh membawa Sains itu lebih difahami. Dengan melibatkan deria seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan, hidu dan rasa kita boleh berinteraksi dan menjelajahi perkara – perkara yang berlaku di sekeliling kita.
Catatan penulis : Penulis hanya berkesempatan melawat pusat Sains ini ketika nurseri anak penulis membuat lawatan sambil belajar ke sini. Di mana penulis menjadi sukarela untuk membantu mengawal anak – anak yang masih kecil. Bayaran untuk sukarelawan adalah percuma dan anak – anak nurseri ini dikenakan bayaran £3.50 seorang untuk tiket, iaitu dua pertiga daripada harga sebenar. Cuba lihat bagaimana anak – anak kecil digalakkan untuk melawat tempat sebegini untuk menimbulkan minat terhadap sains.
Apabila penulis ke sini, penulis tiba – tiba terfikir bahawa Malaysia juga mempunyai pusat sains seperti ini iaitu satu di Bukit Kiara iaitu Pusat Sains Negara. Malah penulis boleh simpulkan bahawa pusat sains kita lebih ke hadapan dan menarik berbanding di sini.
10) Verdant Works
Bermula dari tarikh 1830an, kilang ini telah ditukarkan menjadi sebuah muzium yang amat menarik menumpukan khusus kepada industri penghasilan jut di Dundee. Jut merupakan serat semula jadi yang pelbagai guna. Muziumnya mengekalkan mesin penghasilan jut yang asal, penggambaran, aktiviti multimedia, dan juga aktiviti tindakan yang boleh menarik minat kanak – kanak.
Catatan penulis : Tempat ini juga penulis belum berpeluang untuk pergi, walaupun ia terletak tidak jauh dari rumah penulis.
11) North Carr Lightship
North Carr adalah satu – satunya kapal lampu (‘lightship’) yang tinggal di Scotland. Pengangkutan air yang hebat yang pernah ditugaskan untuk melindungi kapal – kapal belayar dari Fife Ness. Sehinggalah tahun 1975 ia akhirnya berlabuh di pelabuhan kali yang terakhir dan kemudian ia menjadi tempat tarikan pelancong. Ia merupakan tempat yang paling hebat untuk mengetahui mengenai warisan maritim.
Kapal lampu North Carr yang terletak di Limbungan Victoria di City Quay
Catatan penulis : Masih belum berkesempatan ke sana. Ia berdekatan dengan Kapal Perang Unicorn.
12) Dundee Law
Dundee Law merupakan kawasan pusat tinjau yang mana kita boleh melihat panorama bandar Dundee dari sini. Puncak ini boleh didaki dengan menaiki kereta atau berjalan kaki.
“Law”, nama dalam perkataan ‘Gaelic’ untuk bukit atau seumpama dengannya, membawa maksud timbunan atau bukit, merupakan bukaan batu basalt sebuah gunung berapi yang telah lama mati terbentuk 400 juta tahun yang lalu. Puncak bukit adalah 174 meter dari paras laut.
Merupakan pusat pertahanan Dundee beberapa ribu tahun yang lalu, mempunyai struktur menara iaitu memorial sempena memperingati mereka yang terkorban semasa ‘Great War’ 1914 – 1918.
Boleh melihat panorama sekeliling Dundee, menjangkau 45 batu pada hari siang yang baik iaitu kawasan Fife, Perthshire dan Bukit Sidlaw di sebelah utara.
Gambar di atas : Ikut pusingan jam; struktur menara memorial, penulis, keluarga dan sahabat, jambatan landasan keretapi, boleh nampak rumah penulis dari sini, gambar tengah – tengah menunjukkan jambatan yang menghubungkan Dundee dan Fife.
Catatan penulis : Penulis telah beberapa kali ke sini. Setiap kali ada sahabat yang berkunjung pasti lokasi ini akan dikunjungi. Kalau di Malaysia, kita boleh ke Kompleks Pelancongan Menara Tinjau Ampang di Bukit Langat yang mana kita boleh melihat panorama Kuala Lumpur dari situ.
13) Claypotts Castle
Sebuah rumah menara yang lengkap dan istimewa tahun 1560 – 88, ia dibuka kepada orang ramai. Ia terletak di tepi West Ferry, yang pernah suatu masa dulu merupakan kawasan pinggiran yang terkaya di Eropah.
Catatan penulis : Penulis masih belum berkesempatan untuk ke sini.
14) Dundee Rep Theatre
‘The Rep’ atau ‘Dundee Repertory Theatre’ adalah merupakan bangunan yang moden, yang telah diperbaharui, pawagam yang memenangi anugerah yang berubah tema dan hiasan dalamannya mengikut musim. Ia terletak di ‘Tay Square’. Rep juga merupakan syarikat hiburan kumpulan muzik dan tarian sepenuh masa di Scotland, lokasi yang popular bagi peminat jazz dan blues dan terdapat bar dan restoran.
Pawagam Rep ini adalah salah satu daripada tiga pawagam yang terdapat di Dundee, selain itu adalah Pawagam Steps (‘Steps Theatre’) dan Pawagam Kecil (‘Little Theatre’).
Catatan penulis : Belum sempat ke sana. Tapi mungkin sekadar bergambar di luar sahaja.
15) Tay Bridges
Merentangi Sungai Tay dari kawasan tengah Dundee, dan sejajar dengan puncak ‘Dundee Law’, Jambatan Jalan Raya Sungai Tay dibuka oleh HM Ratu Elizabeth iaitu ‘Queen Mother’ dalam tahun 1966.
Lebih kurang 1.5 batu ke arah barat, jambatan laluan landasan keretapi 1886 (dibina oleh W H Barlow dan Sir William Arrol) yang menggantikan Jambatan Satu Landasan yang dibina oleh Sir Thomas Bouch yang mana telah runtuh ketika ribut kencang pada 28 Disember 1879, bersama – sama dengan penumpang keretapi, kesemuanya mati dalam kejadian tersebut.
Catatan penulis : Penulis telah beberapa kali melalui jambatan Sungai Tay untuk ke St. Andrews, Fife dan Edinburgh. Jambatan Landasan Keretapi pernah juga penulis melaluinya apabila penulis dan keluarga menaiki keretapi ke Edinburgh dan London.
16) Glamis Castle
Tempat lahir ‘Queen Mother’ Istana Scone, dengan barangan antik, porselin dan lukisan yang cantik – cantik. Menara tinggi, menara kecil, menara dan ukiran di Istana Glamis akan menarik perhatian anda, tetapi sebenarnya banyak lagi tarikan yang perlu dijelajah di Istana lagenda ini. Dengan sejarahnya, kisah istananya dan ceritanya, Istana Glamis merupakan salah satu tempat lawatan yang perlu dilawati oleh pelancong.
Catatan penulis : Penulis hanya berkesempatan mengambil gambar di luar pagar sahaja. Nanti kalau berkesempatan penulis ingin melawati Istana ini.
Bersambung di bahagian 3, tempat - tempat menarik dalam kategori seterusnya :
B) Kawasan Rekreasi dan Taman
C) Tempat Membeli belah
D) Sukan dan Rekreasi
Pautan berkait :
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 1)
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 3)
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment