Thursday 17 June 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 3)

TEMPAT – TEMPAT TARIKAN PELANCONG SEKITAR DUNDEE

B) Kawasan Rekreasi dan Taman
17) Camperdown Country Park
18) Botanic Garden




Peta interaktif Bandar Dundee seperti di atas, sila klik di sini.

17) Camperdown Country Park
Sebuah taman rekreasi yang besar yang terletak di pinggiran bandar, termasuk Pusat Hidupan Liar Camperdown (zoo mini), lapangan golf dan kompleks taman permainan kanak – kanak yang agak besar. Di tengah – tengah taman rekreasi itu terletak sebuah rumah besar neo-klasik yang mengkagumkan dikenali sebagai Rumah Camperdown.

Gambar di atas mengikut pusingan jam : Penulis sekeluarga bergambar di pintu masuk, jalan masuk ke Camperdown Country Park, Tasik yang terdapat di sini, taman permainan kanak – kanak, penulis bergambar di hadapan Rumah Besar Camperdown.

Catatan penulis : Penulis dan keluarga telah ke tempat ini. Selain mempunyai taman permainan kanak – kanak dan juga zoo mini iaitu Camperdown Wildlife Centre (Pusat Hidupan Liar Camperdown), ia juga sesuai untuk berkelah dan beristirehat sambil orang dewasa boleh mencuba permainan air seperti mendayung dan mengayuh bot di kolam yang disediakan.

18) Botanic Garden
Sebuah Taman Botani Moden yang mana tanah landai sebelah selatan mengarah ke tebing Sungai Tay. Ditubuhkan pada 1971, ia mempunyai koleksi tumbuhan seperti konifer dan pokok – pokok yang mempunyai daun lebar, rumah kaca yang menempatkan pokok – pokok yang renek, tropika dan sederhana, kolam taman dan taman herba. Ia juga mengandungi koleksi tumbuh – tumbuhan semula jadi berasal dari Britain.


Catatan penulis : Setakat entri ini ditulis, penulis masih belum berpeluang untuk ke taman ini. Taman ini kalau di Malaysia ia seperti kawasan hutan simpan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (‘FRIM – Forest Research Institute of Malaysia’) di Kepong.

C) Tempat Membeli belah
19) Overgate Shopping Centre
20) Wellgate Shopping Centre
21) City Quay

Dua pusat membeli belah yang utama di Bandar Dundee ini, yang boleh dikatakan ala – ala Alamanda di Putrajaya.

19) Overgate Shopping Centre


Pusat membeli belah Overgate memang unik. Dibina daripada dinding kaca yang berbentuk lengkungan dan ia merupakan satu - satunya pusat membeli belah yang mempunyai satu bahagian sahaja di Eropah.

Dengan peruncit ternama seperti Debenhams, New Look, Primark, River Island, Next, French Connection, Mango, Office, Lush, WHSmith, Argos dan Sport World dan banyak lagi.

Mempunyai dua kafe balkoni dan juga Kafe Starbucks dan Muffin Break.

20) Wellgate Shopping Centre


Pusat membeli belah tiga tingkat, ruang runcit yang besar dan juga Perpustakaan Utama Dundee. Nama ‘Wellgate’ berasal daripada perkataan lama Bahasa Scotland iaitu “Welgait” yang bermaksud ‘walk to the well’; berjalan mengambil air dari ‘Our Ladys Well’ yang terletak di Utara Wellgate (terdapat sebuah rumah awam di hujung bahagian Utara yang dikenali sebagai ‘Ladywell’).

Terdapat 30 peruncit yang ternama yang menawarkan aktiviti beli – belah yang hebat, tempat makanan ‘food court’ yang hebat dan mempunyai pelbagai hiburan keluarga sepanjang tahun.

Catatan penulis : Kedua – dua pusat membeli belah ini memang menjadi tumpuan ramai. Setiap kali penulis ke bandar pasti singgah di kedua – dua pusat membeli belah ini.

21) City Quay
Terletak di sekeliling bekas Pangkalan Victoria di Dundee’s Waterfront, City Quay adalah kawasan runcit, tempat santai dan hotel. Pembangunannya termasuklah marina, bersama – sama dengan ‘Frigate Unicorn’, yang dibina pada 1824, dan juga Kapal lampu North Carr, yang mana kedua – duanya dilabuhkan secara kekal di Limbungan Victoria.

Gambar di atas mengikut pusingan jam : Papan tanda ‘City Quay’, Pusat komersial ‘City Quay’, Suasana pusat komersial, Sauh - antara identiti ‘City Quay’ sebagai sebuah limbungan kapal, Terdapat permainan rekreasi dalaman kanak- kanak, restoran TAZA dijamin halal.

Catatan penulis : Pada awal – awal penulis tiba di sini, penulis rajin bawa anak – anak penulis ke taman permainan rekreasi dalaman kanak – kanak di sini – ‘Junglee Fun Cafe’, memandangkan cuaca di sini yang agak sejuk dan berangin tidak sesuai untuk bermain di luar di taman permainan kanak – kanak. Selain itu taman permainan kanak – kanak di sini agak terhad dan tidak banyak seperti di Malaysia. Lokasi ‘Frigate Unicorn’ dan ‘North Carr Lightship’ juga di sini.

D) Sukan dan rekreasi
22) Camperdown and Caird Park Golf Courses
23) Olympia Leisure Centre
24) Dundee Ice Arena

22) Camperdown Golf Course and Caird Park Golf Course


Dundee mempunyai lebih daripada 100 lapangan golf yang baik. Di dalam bandar adanya Kelab Golf Doenfield, Lapangan Golf Camperdown dan Lapangan Golf Caird Park, semuanya menanti pengunjung. Bandar Dundee adalah 20 minit memandu dari St. Andrews – tempat dan lapangan golf popular yang pernah penganjurkan kejohanan dunia pada tahun 1999.


Catatan penulis : Rasanya tidak ke sini sebab penulis sendiri tidak pandai main golf. Mungkin cuma ambil gambar sahaja. Tapi penulis pernah ke lapangan golf di St. Andrews kerana lapangannya tidak mempunyai pagar dan ia berdekatan dengan pantai.

23) Olympia Leisure Centre

Sebuah pusat sukan moden dan kolam renang yang terletak di Tay, bersebelahan ‘Discovery Point’.

Catatan penulis : Penulis pernah sekali ke sini untuk bawa anak – anak mandi manda di kolam renang yang disediakan. Di Malaysia yang popular ialah Taman Tema Air A Famosa (‘A famosa Waterpark’) di Melaka, Taman Tema Air Sunway (‘Sunway Lagoon’) di Petaling Jaya, di Kuala Lumpur iaitu di Desa Waterpark dan Tiara Beach Resort di Port Dickson.

24) Dundee Ice Arena
Arena Ais yang terletak di pinggir Bandar Dundee, mempunyai gelanggang luncur bersaiz Olimpik, sebuah kafe, bar, restoran dan kedai barangan luncur ais. Gelanggang mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 2300 orang dan ia merupakan lokasi popular bagi sukan hoki ais dan ‘curling’ (sejenis permainan golek bola atas ais), peluncur profesional dan aktiviti keluarga berluncur.

Catatan penulis : Belum lagi berkesempatan ke sana sebab tidak terfikir pula hendak bermain luncur ais (‘Ice Skating’) setakat ini. Lagipun tidak pandai langsung main luncur ais.

TEMPAT LAWATAN MENARIK DI UNIVERSITI DUNDEE

Di Universiti Dundee juga terdapat beberapa tempat yang boleh dilawati, antaranya :
1) University of Dundee Museum
2) Matthew Gallery
3) Lower Foyer Gallery
4) Lamb Gallery
5) Discparc
6) Cooper Gallery
7) Centrespace


1) University of Dundee Museum
Muzium yang mempunyai pelbagai bahan pameran merangkumi bidang botani, kimia, pergigian, kejuruteraan, seni, matematik dan zoologi.

2) Matthew Gallery
Lokasinya bersebelahan dengan Fakulti Senibina Universiti Dundee dan ia mempunyai bahan pameran daripada penuntut – penuntut universiti mengekspresi idea.

3) Lower Foyer Gallery
Dibina untuk bahan pameran penuntut Jabatan Seni Universiti Dundee dan ia adalah tempat menarik untuk dilawati.

4) Lamb Gallery
Mempamerkan kepelbagaian alam semulajadi dan dioperasikan oleh Perkehidmatan Muzium Universiti Dundee.

5) Discparc
Mempamerkan dan memberi maklumat tentang perkembangan muzik dan bunyi seperti seni skizofonik, elektro-akustik, bunyi dan banyak lagi.

6) Cooper Gallery
Mempamerkan ruang yang unik dan inovatif untuk seni kontemporari denga pelbagai tema.

7) Centrespace
Terletak di Pusat Penyelidikan Visual di Universiti Dundee. Penyelidikan yang diadakan secara terbuka untuk memberi inspirasi kepada pengunjung.

Bersambung di bahagian 4, tempat - tempat menarik dan panorama sekitar Pusat Bandar Dundee.

Pautan berkait :
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 1)

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 6 (bah 2)

No comments:

Post a Comment