Tuesday 26 January 2010

Sindrom anak mengamuk

PERNAHKAH anda menjadi perhatian di pusat beli belah gara-gara kerenah si kecil yang tiba-tiba mengamuk? Dia menangis tanpa henti, menghentak-hentak kaki sehinggakan orang yang lalu lalang tersenyum sinis pada anda.

Kemarahan secara tiba-tiba ini disebut ‘temper tantrum’ dan ia bukanlah kemestian pada setiap kanak-kanak. Namun, di kalangan sesetengah ibu bapa, sikap anak yang baran atau mudah marah memang memeningkan kepala. Lebih sukar lagi jika anak kecil ini tidak makan pujukan, malah menangis lebih kuat lagi apabila kehendak mereka tidak diendahkan.

Pakar sebuah pusat perubatan Amerika Syarikat, Dr Jay Hoecker menyifatkan tantrum adalah satu proses tumbesaran yang normal. Ia juga bukan penyakit dan mulai hilang apabila usia kanak-kanak semakin meningkat.

“Apatah lagi jika anda dan dia sudah boleh berbual dan berkongsi pendapat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh. Sebenarnya, tantrum dilihat oleh kebanyakan pakar psikologi kanak-kanak sebagai luahan rasa kekecewaan seseorang kanak-kanak tidak kiralah sama ada ia dari sudut fizikal, mental atau emosi.

“Kekecewaan itu ada kalanya kerana kesukaran anda sebagai ibu bapa memahami kehendaknya disebabkan penguasaan perbendaharaan kata yang sedikit,” katanya yang menulis di Mayoclinic.com.

Tantrum dianggap normal kerana sebahagiannya berpunca daripada kegagalan anak kecil itu menguasai kemahiran asas. Misalnya, gagal membuka atau menutup butang baju. Ini disebabkan ada segelintir kanak-kanak memiliki kecenderungan untuk mudah marah berbanding kanak-kanak lain dan lazimnya faktor seperti letih, lapar atau tertekan menyebabkan mereka mengamuk.

Apabila usianya semakin bertambah, dia akan belajar menangani emosi yang mencetus kemarahan. Dia juga selalunya sudah mampu menguasai pertuturan dengan baik serta semakin berdikari.

Namun, dalam lingkungan usia dua hingga tiga tahun, anak kecil ini cenderung untuk mudah marah kerana kehendaknya tidak difahami. Membaling barang, menghentak-hentak kaki atau menjerit sekuat-kuat hati adalah cara meluahkan kekecewaan itu. Ada kala luahan kemarahan itu berlaku selama 20 saat atau mungkin hingga berjam-jam lamanya.

Dr Hoecker berkata, kanak-kanak mula memperlihatkan kemarahan (tantrum) pada usia dua atau tiga tahun. Namun, ada juga kanak-kanak yang mula mempamerkan sikap tantrum pada usia yang lebih muda daripada itu. Apabila dia berusia empat atau lima tahun, dia masih mudah mudah tetapi apabila usia semakin meningkat, penguasaan bahasanya juga meningkat dan anda boleh mengajaknya berbual dan mudah bertolak ansur.

Tantrum ialah tingkah laku untuk menarik perhatian. Justeru, satu cara untuk meminimumkan tantrum si kecil anda adalah dengan tidak mempedulikannya. Selalunya, dia akan menjerit lebih kuat dan menarik perhatian. Jadi, ambil peluang itu untuk berbincang tentang sikapnya.

Apabila si kecil meradang, penting untuk anda bertenang dan mengawal kemarahan. Menjerit padanya atau memukul hanya akan memburukkan lagi keadaan. Selalunya, apa yang terbaik untuk anda dan si kecil yang mengamuk ialah suasana senyap tanpa anda mengalah dan tunduk padanya. Dia akan diam dengan sendiri apabila dia gagal menarik perhatian anda.

Jadi perlukah anda menghukumnya sebagai balasan ‘mengamuk’? Logiknya tentulah tidak. Walau sebesar mana pun kemarahan anda kepadanya, cara terbaik ialah mengingatkannya sikap itu tidak betul.

Justeru, mengelak kemarahan anak kecil itu adalah lebih baik. Mulakan dengan diri sendiri dengan memberi perhatian dan pujian padanya bagi membina keyakinan dirinya. Secara tidak langsung dia tahu anda menyayangi dan mengambil berat.

Perhatikan juga tanda-tanda yang boleh menyebabkannya marah dan cuba alihkan perhatiannya.

Beri sedikit kebebasan pada si kecil anda. Misalnya, jika memesan minuman tanya dia apakah air yang diinginkan, jus atau teh. Jika memintanya memberus gigi tanya padanya, hendak berus gigi sebelum atau selepas mandi?

Beri perhatian kepada permintaannya dan jika tidak boleh ditunaikan beritahu sebabnya. Sebagai ibu bapa anda lebih memahaminya, jadi jangan bawa dia membeli belah pada waktu tidur semata-mata hendak mengejar jualan murah.

Bagaimana jika dia tiba-tiba mengamuk walaupun anda sudah cuba sedaya upaya mengelak berlaku tantrum?

*Jangan marah, sebaliknya cuba bertenang dan senyum.
*Cuba fahami mengapa si kecil anda marah.
*Alih perhatiannya.
*Dakapnya, belai rambutnya dan tenangkan dia - mungkin kadang kala anak-anak akan terus menjerit, jadi tinggalkan dia sekejap. Jangan pedulikan dia dan lihat bagaimana reaksinya.

Tip tangani anak mengamuk

*Menggalakkan sikap positif kepada anak.

*Konsisten - Adakan rutin harian yang tetap bagi memudahkan jangkaan anak seperti waktu tidur mengikut waktu ditetapkan.

*Buat perancangan awal - Jika perlu membeli-belah barangan keperluan, lakukan seawal mungkin iaitu pada waktu pagi ketika anak tidak lapar atau keletihan. Bawa sekali bekalan snek atau permainan jika perlu.

*Kreatif - Galakkan anak anda bercakap dan berkomunikasi. Jika dia masih belum boleh bertutur, gunakan kreativiti anda dengan mengajarnya bahasa isyarat ringkas dan mudah difahami bagi merujuk perkataan seperti 'Saya Mahu', 'Cukup', 'Sakit' dan 'Penat'.

*Buat pilihan - Benarkan anak kecil membuat pilihan bagi membolehkannya berasakan dia juga boleh memilih. Ini seperti menyuruhnya memilih antara baju warna putih atau biru, jenis buah-buahan yang diingininya atau mainan pilihan.

*Beri pujian - Pujilah anak anda jika dia berkelakuan baik seperti berkongsi mainan, patuh dan mendengar arahan.

Sumber : Utusan Online, 10 Ogos 2009 (19 Syaaban 1430)

Monday 25 January 2010

Manusia Terpantas Dunia - Usain Bolt dari Jamaica



Rekod elektronik dicatat 9.58 saat. Kepantasan ajaib yang dilakukan oleh atlet Jamaica, Usain Bolt ketika memenangi acara akhir 100 meter di Kejohanan Olahraga Dunia di Berlin pada 17 Ogos 2009.

Ia merupakan peningkatan paling besar dalam sejarah rekod 100m sejak sistem elektronik pengukur masa diperkenalkan pada 1968.

Fakta menarik perkembangan 100m.

Bolt muncul sebagai pelari utama di dunia apabila dia mencatat 9.72s pada Mei 2008 - hanya dua bulan sebelum Sukan Olimpik di mana dia merendahkan catatan tersebut kepada 9.69s di Beijing.

'Manusia terpantas di dunia', itu gelaran yang diberikan kepada pemegang rekod dunia 100m dan pelari pertama yang merekodkan catatan terpantas ialah Donald Lippincott, pelari Amerika Syarikat apabila mencatat 10.6s, pada tahun 1912.

Charles Paddock, Percy Williams, Owens, Willie Williams Armin Hary kesemuanya mencatat rekod, sebelum Jim Hines akhirnya berlari di bawah 10s pada 20 Jun 1968, dengan masa 9.9s.

Beberapa bulan kemudian, dia merekodkan masa menerusi catatan elektronik pertama dengan masa 9.95s.

Ia mengambil masa 23 tahun selepas rekod Hines 9.95s. Carl Lewis mencatat larian di bawah di bawah 9.9s, apabila mencatat 9.86s pada 1991.

Rekod Lewis bertahan selama lapan tahun dan diperbaharui oleh Maurice Greene apabila mencatat 9.79s.

Sumber : Utusan Online, 22 Ogos 2009 (1 Ramadhan 1430)

Air Terjun Tertinggi – Angel Falls



Air terjun ini terletak di Negara Venezuela dan merupakan destinasi pelancongan terkenal negara itu, merupakan air terjun tertinggi di dunia pada ketinggian 979 meter dengan curahan air setinggi 807 meter.

Ia mengalir daripada satu permukaan rata pergunungan, Auyan-Tepui di persekitaran pemandangan yang bercabang-cabang dan berhutan di Taman Negara Canaima di selatan Venezuela.

Ia dinamakan sempena nama seorang juruterbang Amerika Syarikat (AS), Jimmie Angel yang menemuinya pada 1933.

Usaha Angel yang menemui gunung dengan permukaan rata dan dilitupi awan di mana dia pernah menjumpai emas, membuatkan pengembara itu muncul sebagai orang luar pertama yang mengesan air terjun itu pada tahun 1933. Juruterbang yang dilahirkan di Missouri itu, meninggal dunia dalam satu nahas pesawat di Panama pada tahun 1956 semasa berusia 57 tahun.

Sumber : Utusan Online, 22 Disember 2009 (5 Muharram 1431)

Sunday 24 January 2010

Anak kita demam... apa nak buat?

Anak-anak yang sihat boleh dilihat melalui tingkah lakunya dan wajahnya. Tingkah lakunya akan sentiasa aktif, gembira dan wajahnya akan terpancar keceriaan. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang aktif dan banyak bercakap, itu menunjukkan bahawa anak-anak itu sihat, segar dan bugar.

Namun apabila anak-anak kita mula menunjukkan reaksi tidak seperti biasa, itu menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada anak tersebut. Ambil berat dan tanya kepada anak kita, apa yang tidak kena?. Sakit yang selalu dihadapi oleh anak-anak kita ialah demam. Anak-anak kecil memang perlu sentiasa diperiksa tahap kesihatan mereka, kalau tidak diambil perhatian dan tindakan segera akan menyebabkan sesuatu yang lebih mudarat.

Keadaan kesihatan anak yang tidak berapa baik, ada kalanya kita sebagai ibu bapa boleh mengurusnya sendiri, namun jika keadaan tidak beransur baik, cepat-cepat berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Kanak-kanak dan lebih-lebih lagi bayi mudah mendapat demam dan batuk, ini adalah kerana sistem imunnya belum berkembang dan maju sperti orang dewasa.

Sentiasa awasi suhu badan anak ketika demam. Kalau boleh disarankan kepada ibu bapa agar mendapatkan termometer suhu badan di farmasi. Ini sebagai tindakan awal kita untuk mengenalpasti sama ada anak kita mengalami peningkatan suhu badan melebihi suhu badan manusia normal iaitu 37 darjah Celsius.

Walaubagaimanapun, ramai kanak-kanak yang mempunyai suhu badan yang sedikit tinggi atau rendah daripada suhu normal. Sebagai contoh, suhu badan yang diambil di bawah ketiak kanak-kanak akan mencatat suhu 0.5 darjah Celsius lebih rendah, oleh itu suhu normalnya ialah 36.5 darjah Celcius.

Suhu tinggi secara amnya ialah di atas 37.8 darjah Celsius apabila diambil pada bahagian telinga atau mulut, atau atas 37.3 darjah Celsius apabila bacaan diambil pada bahagian ketiaknya.


Termometer Digital – Bacaan diambil pada bahagian ketiak anak atau mulut.


Termometer Dahi – Bacaan diambil pada bahagian dahi anak.

Selain menggunakan termometer untuk menyukat suhu anak anda, anda boleh memeriksa bahagian belakang tengkuk dengan menyentuhnya dengan tapak tangan anda atau bibir anda. Kajian menunjukkan bibir ibu adalah sangat sensitif dan boleh mengesan peningkatan suhu. Selain itu tanda demam ialah anak anda cepat berpeluh apabila disentuh.

Demam adalah keadaan di mana suhu berada di atas tahap normal iaitu 38 darjah Celsius. Suhu badan 38.6 darjah Celsius masih boleh dirawat di rumah sahaja. Namun jika suhu melebihi 38.6 darjah Celsius, ibu bapa disaran segera membawa anak berjumpa doktor.

Tip dan tindakan penting semasa merawat anak demam :

*Perhatikan perilaku anak. Jika perilaku anak hampir sama seperti biasa, maka anda tidak perlu risau kerana demam biasa adalah tidak berbahaya.

*Rawatan kecemasan awal yang boleh diambil ialah mengelap badan anak dengan air. Ini membantu menurunkan suhu badan anak kita.

*Cegah dehidrasi kekeringan cecair dalam badan anak-anak. Dehidrasi ialah kehilangan air dalam badan. Berikan anak lebih banyak cecair seperti air, kuah sup, jus buah segar yang dicampur air dan sebagainya.

*Jika anak muntah atau cirit-birit, berikan minuman garam oral bagi menggantikan cecair yang telah keluar daripada badan.

*Pastikan bilik anak selesa dan tidak panas. Pasang kipas atau pendingin hawa dan pakaikan anak baju nipis.

*Berikan ubat seperti paracetamol mengikut kadar (dos) yang ditetapkan dan mengikut jadual yang dicadangkan. Pastikan ubat tersebut habis dimakan walaupun demam anak kita sudah beransur pulih atau kebah. Tolong baca arahan ubat dengan berhati-hati.

*Pada waktu malam, anak-anak yang mengalami demam sering terjaga dan ibu bapa perlu memastikan suhu badan anak berada pada tahap yang tidak berbahaya. Gunakan air, dilapkan pada badan anak kita supaya tidak berlaku peningkatan suhu.

Ambil tindakan segera agar anak kita tidak mengalami kekejangan, kaku atau sakit kepala yang teruk.

Sebagai seorang Islam, panjatkan doa kepada Allah agar anak kita beransur pulih, sihat seperti sedia kala dan sesungguhnya DIALAH Maha Penyembuh segala penyakit dan ubat itu merupakan ikhtiar kita semata-mata.

Coretan : naimoiman

Friday 22 January 2010

Melepak, buang masa dibolehkan untuk 5 perkara

GEJALA lepak di kalangan remaja dan dewasa adalah fenomena biasa dalam masyarakat hari ini. Jika remaja semakin ramai mengerumuni kawasan kompleks beli-belah, golongan dewasa pula melepak di kedai kopi atau kedai makan.

Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan kecacatan berlaku dalam masyarakat sekarang kerana remaja sepatutnya sedang sibuk menuntut ilmu, manakala golongan dewasa memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga.

Rasulullah SAW pernah pada satu hari melewati jalan, akhirnya Baginda SAW terserempak dengan sahabat sedang asyik duduk berborak dan melepak di tepi jalan.

Melihat kelakuan mereka itu, lalu Rasulullah berkata : "Jangan kamu sekalian berborak dan melepak di tepi jalan.”

Tetapi sahabat menjawab : "Wahai Rasulullah! Bagaimana mungkin kami dapat meninggalkan amalan ini kerana hanya di situlah saja kami dapat bercakap-cakap dan berborak sesama sendiri.”

Kemudian, Baginda SAW memberi pilihan atau jalan keluar daripada amalan itu dengan berkata: "Jika kalian semua tidak dapat meninggalkan kebiasaan itu, maka hendaklah kamu tunaikan hak jalan ini."

Mereka pun bertanya: "Apakah hak jalan itu wahai Rasulullah?”

Baginda SAW menjawab: "Tundukkan pandanganmu, elakkan diri daripada mengganggu orang lain, menjawab salam dan menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran."
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelaslah amalan berborak dan melepak sudah menjadi satu kebiasaan di kalangan sahabat sehingga mereka mengakui sukar untuk membuang tabiat kebiasaan itu. Agenda utama perutusan Rasulullah SAW ialah untuk meluruskan akhlak yang buruk dan keji.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:
"Aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak (yang terpuji), maka sudah tentu Rasulullah SAW bertindak untuk mengubah kebiasaan negatif itu supaya ia tidak membarah dalam masyarakat Islam pada ketika itu."

Perkara pertama dianjurkan Rasulullah SAW ialah :
(1) Menundukkan pandangan daripada perkara yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, sekali gus mendatangkan dosa. Dengan kata lain, pandangan mata adalah dilarang sama sekali untuk melihat perkara dilarang seperti aurat atau memandang wanita ajnabi lama-lama.

Rasulullah SAW pernah memberi peringatan sesiapa yang terpandang seseorang wanita secara kebetulan pada kali pertama, maka itu adalah nikmat dari Allah. Sebaliknya, jika dia memandang buat kali kedua disertai gejolak nafsu menyeru ke arah kejahatan, maka perbuatan itu mengundang dosa dan keseksaan api neraka.

(2) Adab pergaulan kedua yang akan menjamin keharmonian sesebuah masyarakat ialah seseorang yang berborak di tepi jalan itu tidak boleh mengganggu orang lain daripada segi perasaannya serta fizikalnya.

Rasulullah SAW pernah menegaskan antara ciri Muslim sejati dalam sabda yang bermaksud:
"Seorang Muslim yang sejati ialah orang Islam di sekelilingnya yang berasa selamat daripada lidahnya dan tangannya; seorang Mukmin sejati ialah orang Mukmin di sekelilingnya berasa aman terhadap diri mereka dan harta benda mereka sendiri; dan seorang yang berhijrah dengan sebenarnya ialah seorang yang meninggalkan perkara keji, lalu menjauhinya." (Hadis riwayat Ahmad)

Pendek kata, segala jenis gangguan sama ada secara zahir mahupun batin yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam adalah ditegah sama sekali dalam Islam.

(3) Adab seterusnya yang diiktiraf Islam sebagai pengikat kasih sayang sesama manusia ialah menjawab salam. Menurut Islam, hukum mengucapkan salam adalah sunat, sementara menjawab salam pula hukumnya adalah wajib.

Justeru, apabila seseorang yang sedang berbicara di tepi jalan, tiba-tiba ada mendengar ucapan salam, maka wajib menjawab salam itu. Perintah ini selaras firman Allah yang bermaksud:
"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Nisa, ayat 86)

Dengan itu, barulah terjalin hubungan yang akrab sesama Muslim apabila saling bertanya khabar dan bertukar pendapat.

(4) Adab pergaulan keempat yang menjadi tonggak utama Islam ialah menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Justeru, jika berlaku sebarang amalan negatif yang bercanggah dengan Islam dan etika masyarakat seperti amalan berjudi, menghisap dadah, minum arak dan sebagainya di tepi jalan, maka umat Islam dituntut mencegah kemungkaran itu.

Begitu juga, amalan kebaikan hendaklah disampaikan juga kepada golongan yang berborak dan melepak seperti menasihat ke arah kebaikan, bersama menunaikan solat fardu berjemaah di masjid, membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka dia sudah mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan pahala sedikitpun juga. Sebaliknya, sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan, maka dia menanggung dosa seperti orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan dosanya sedikitpun." (Hadis riwayat Muslim)

Konsep amar makruf nahi mungkar sewajarnya dihidupkan dalam penghayatan komuniti Islam kini supaya gejala sosial yang memudaratkan dihapuskan di samping masyarakat Islam dapat menikmati keharmonian dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat.

Sumber : Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, Bharian Online, 22 Mei 2009 (28 Jamadilawal 1430)

Budaya saling berpesan pererat kesatuan ummah

BUDAYA saling nasihat-menasihati sudah semakin pupus dan tidak dititikberatkan lagi. Manusia sepanjang hidupnya memang memerlukan kepada nasihat, teguran dan saling ingat-mengingati, berpesan-pesan antara satu sama lain supaya diri tidak terus terpesong daripada landasan syariat Islam.

Apabila budaya nasihat-menasihati tidak dijadikan amalan sudah tentu masyarakat hidup dalam suasana penuh celaru, keliru, lalai dan mengikut hawa nafsu semata-mata.

Allah memberi gambaran jelas bagaimana seharusnya seorang yang beriman tatkala berada dalam masyarakatnya. Firman-Nya yang bermaksud:
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran." Surah al-Ashr, ayat 1-3)

Semua orang Islam itu bersaudara dan perlu saling sayang-menyayangi tanpa mengira kedudukan. Apabila menyedari hakikat ini, maka seorang Muslim sejati pasti tidak akan tergamak membiarkan saudaranya berada dalam kealpaan dan kesesatan yang sangat dimurkai Allah.

Pasti akan ditegur atau dinasihati jika ada saudara kita melakukan kesilapan supaya dengan demikian kehidupan mereka mengarah kepada ajaran Islam sebenar. Keadaan ini selari gesaan Islam supaya umatnya hidup dalam suasana damai dan bagi mencapai maksud itu masyarakat wajar bertindak memperbaiki apabila melihat kesalahan berlaku.

Allah berfirman yang bermaksud:
"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." Surah al-Hujurat, ayat 10)

Rasulullah SAW selalu menekankan pentingnya nasihat kerana ia adalah suruhan agama. Daripada Tamim ad-Daari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Ad-din itu nasihat (tiga kali) maka kami bertanya: Untuk siapa wahai Rasulullah? Sabdanya: Untuk Allah, kitabnya, rasulnya, pemimpin dan yang dipimpin (orang biasa)." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Seorang Muslim memang ada hak dan tanggungjawabnya terhadap Muslim yang lain seperti dijelaskan Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam.

Jika anda (1) bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika (2) anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika (3) dia meminta nasihat maka nasihatlah dia dan jika (4) dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika (5) dia sakit maka ziarahilah dan jika (6) dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur."
(Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya amalan nasihat-menasihati adalah salah satu cara yang boleh menutup kekurangan dan keaiban yang ada di antara kita, memberi keuntungan dan keselamatan bagi yang mahu menerima nasihat serta mengamalkannya dalam kehidupan.

Di samping itu, dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama Islam serta mengukuhkan kesatuan umat Islam seluruhnya. Apabila amalan ini dapat dihidupkan, sudah pasti ia akan membuahkan suasana kemesraan sekali gus mengelak tercetusnya api permusuhan dan perpecahan.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya." (Surah ali-Imran, ayat 104)

Selain disuruh memberi nasihat, kita juga dituntut supaya ikhlas dan berlapang dada dalam menerima nasihat. Kadangkala ada di kalangan kita yang marah dan tidak senang hati apabila ditegur atau diberi nasihat.

Padahal, nasihat yang diberi itu semata-mata supaya kita menjadi orang yang baik, kembali ke jalan benar selepas tersilap langkah dan inilah sebenarnya yang dikehendaki agama.

Tidak dinafikan jika dalam masyarakat tidak ada budaya nasihat-menasihati dan amar makruf nahi mungkar, ia adalah petanda masyarakat yang tidak bertanggungjawab, tiada kesepakatan, penuh dengan sifat mazmumah serta mementingkan diri sendiri.

Masyarakat sebegini sebenarnya lupa pesan agama bahawa sebahagian Muslim menjadi penolong dan pelindung kepada Muslim lain. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan orang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Bagi mencipta masyarakat yang baik, maka perlulah wujud suasana saling nasihat-menasihati, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar di mana saja sepanjang masa. Inilah yang dikatakan sebaik-baik umat.

Sumber : Mohd Adid Ab Rahman, Bharian Online, 4 Januari 2009 (8 Rabiulakhir 1430)

Thursday 21 January 2010

Sambut hari lahir: Ganti lagu dengan doa

Kita sering diingatkan supaya tidak menyerupai sesuatu kaum, seperti mana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia dikira dari kaum tersebut". (riwayat Abu Daud, no: 4031, Ibn Hibban, no: 437, Al-Haithamiy, Majma' al-Zawaid, jld: 10, hlm: 274).

Maksudnya kita ditegah supaya tidak menyerupai mana-mana kaum yang jelas ingkar kepada Allah SWT.

Mungkin cara berfikir sesetengah dari kita yang tidak analis sesuatu cerita dari sudut latar belakangnya, lalu mudah menerima perkhabaran yang belum tentu kesahannya. Apa-apa pun setiap amalan kita bergantung kepada niat.

Budaya potong kek diterima dan diislamisasi dengan tujahan nilai-nilai Islam. Justeru, bagi mereka yang ingin menyambut hari jadi setelah dia memotong kek adalah lebih baik kalau disertai dengan bacaan doa selamat.

Adapun nyanyian iringan happy birthday to you ditukar kepada "Allah selamatkan kamu". Seperkara yang perlu diingat ialah tiada acara melalaikan.

Oleh yang demikian, iringan doa adalah lebih utama kerana majlis itu disambut dengan kegembiraan dengan peningkatan usia yang dikekalkan kesihatan dan keafiatan.

Walaupun demikian, tokoh dan sarjana Islam, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi, menganggap bahawa menyambut hari lahir adalah suatu yang kurang tepat kerana kenapa harus disambut usia yang kian meningkat tua.

Sambutan yang dibenarkan oleh Islam adalah, dengan mengadakan majlis kesyukuran, dengan mengajak orang makan dan lain-lain amalan kebajikan yang lain, dan tiada aktiviti-aktiviti maksiat dalamnya.

Sumber : Utusan Online, 22 Januari 2010 (7 Safar 2010), Jumaat

Jumlah penduduk Malaysia kini menghampiri 30 juta orang

Jumlah penduduk Malaysia dijangka mencecah 28.9 juta orang pada tahun ini berdasarkan kadar pertumbuhan kira-kira 2.1 peratus pada setiap tahun.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan, Datuk Wan Ramlah Wan Abd. Raof berkata, jumlah penduduk tahun lalu meningkat 1.54 peratus iaitu daripada 27.7 juta pada tahun 2008 kepada 28.2 juta orang.

''Orang Melayu kekal dengan kaum paling banyak iaitu 66.7 peratus diikuti Cina 24.6 peratus dan India 7.4 peratus,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Operasi Jabatan Perangkaan Negeri Selangor di Wisma Wan Asia di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, kaum lain iaitu bumiputera Sabah dan Sarawak adalah sebanyak 1.3 peratus.

''Selangor kekal dengan jumlah penduduk paling ramai di negara ini iaitu 5.2 juta orang diikuti Johor seramai 3.4 juta orang dan Sabah sebanyak 3.2 juta orang pada tahun lalu," katanya.

Menurut Wan Ramlah, kadar pertumbuhan 2.1 peratus pada setiap tahun adalah sihat dan bukan satu keadaan yang mendadak.

Sumber : Utusan Online, 22 Januari 2010 (7 Safar 2010), Jumaat

Wednesday 20 January 2010

Senarai 5 bangunan tertinggi dunia



Burj Khalifa – Bangunan tertinggi dunia buat masa ini dengan ketinggian 828 meter dan mempunyai 162 tingkat.

Burj Khalifa, yang sebelum ini dikenali sebagai Burj Dubai, binaan tertinggi pernah didirikan di atas muka bumi dibuka secara rasmi pada 4 Januari 2010. Pembinaannya mengambil masa hampir lima tahun bermula September 2004.

Bangunan dan menara tertinggi dunia yang baru - Burj Khalifa - dibuka dengan rasminya dan mempunyai ketinggian 828 meter di tengah padang pasir Dubai. Burj Khalifa dibuka secara rasmi oleh Timbalan Presiden dan Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dan pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum.

Burj Khalifa, gelaran diberikan sebagai menghargai sumbangan Sheikh Khalifa Zayed al-Nahayan yang merupakan presiden dan pemerintah negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Fakta menarik Burj Khalifa

Kos pembinaan Burj Khalifa dilaporkan mencecah AS$1.5 bilion (RM5.08 bilion).

Burj Khalifa, yang dibina bersebelahan Teluk Parsi, jauh mengatasi ketinggian Taipei 101 di Taiwan setinggi 509 meter yang memegang gelaran bangunan tertinggi sejak 2004.

Burj Khalifa yang tingginya 828 meter (bayangkan ketinggian bangunan hampir satu kilometer) mempunyai 162 tingkat (rekod paling banyak tingkat) memecah rekod Taipei 101 yang dirasmikan tahun 2004, yang mempunyai 101 tingkat. Dengan ketinggian yang "luar biasa" itu, dijangka rekod yang dipegang oleh Burj Khalifa tidak mungkin dapat diatasi sekurang-kurang 20 tahun akan datang.

Sebagai struktur binaan paling tinggi, ia merampas dan mencipta 15 rekod tertinggi di dunia termasuk pencapaian terbaru dalam sejarah pembinaan bangunan moden.

Burj Khalifa menempatkan unit penginapan paling tinggi, pemasangan antena, cermin dan aluminium paling tinggi serta dek tinjauan luar, kolam renang dan masjid tertinggi di tingkat 158. Selain itu, teknologi pembinaannya melibatkan pemasangan konkrit paling dalam, pemasangan lif terpanjang dan paling pantas di dunia dengan berkelajuan 18 meter sesaat bersamaan 64 km/jam.

Menara itu turut mempunyai 1,000 kediaman, 160 bilik hotel mewah (sembilan hotel termasuk penginapan mewah Hotel Armani) dan 37 tingkat bilik pejabat korporat, selain itu menempatkan 1,200 premis perniagaan, sekaligus menjadi pusat membeli belah terbesar di dunia.

Burj Khalifa yang boleh dilihat sejauh 100 kilometer. Ia direka oleh Adrian Smith, seorang arkitek dari syarikat Skidmore, Owings and Merill, Chicago, Amerika Syarikat (AS). Turut terlibat pada fasa pertama pembinaan adalah Samsung C&T Korea Selatan yang membina Menara Berkembar Petronas dan juga Taipei 101. Burj Khalifa dibina dengan bahan asasnya konkrit sebanyak 333,000 meter padu konkrit dan 39,000 tan besi.

Samsung Engineering & Construction berkerjasama dengan syarikat kontraktor Besix dari Belgium dan Arabtec dari UAE. Burj Khalifa yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk mendepani gegaran gempa.

Seperti kebanyakan menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa juga menawarkan pemandangan dari udara yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan hampir keseluruhan bandar Dubai.

Ruang legar yang diberi nama At The Top pada tingkat 124 itu dibina dengan lantai cermin yang memberikan pemandangan telus pada sudut keliling 360 darjah. Pelantar tinjau yang dibuka pada 5 Januari 2010 kini boleh dikunjungi dengan bayaran 100 dirham (RM92). Selain itu, konsep interaksinya juga memberi peluang kepada pelawat menyusuri sejarah pembinaan bangunan tertinggi itu. At The Top dijangka menjadi salah satu daripada tarikan utama di Dubai selepas ini.

Menara Berkembar Petronas..... tempat ke-berapa?



Menara Berkembar Petronas (KLCC), ketinggian 451 meter, dengan 88 tingkat – Pernah menjadi bangunan tertinggi dunia pada tahun 1998 - 2004. Namun kedudukan semasa menjadi KLCC di tempat keempat atau kelima.

Kita masih boleh berbangga dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC), menurut Judith Dupre dalam bukunya, Skyscrapers yang diterbitkan sepuluh tahun lalu menyatakan, Malaysia mempunyai dua bangunan tertinggi di dunia yang terletak di Kuala Lumpur.

Kini selepas sepuluh tahun, Menara Berkembar Petronas dengan ketinggian 451 meter, berada pada tangga, keempat atau kelima. Walaupun begitu, bangunan yang dikagumi dengan seni bina menakjubkan dan jambatan udara bertingkat (di tingkat 41 dan 42) itu sehingga kini masih lagi kekal sebagai bangunan berkembar tertinggi di dunia.



Taipei 101 – Kedudukan semasa, dengan ketinggian 509 meter dan mempunyai 101 tingkat, menjadi bangunan kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa dibuka secara rasmi pada 4 Januari 2010.

Pada 1998, dunia memandang ke arah Malaysia apabila bangunan tertinggi di dunia dibina secara berkembar dengan ketinggian 451 meter.

Dengan pencapaian itu Menara Berkembar Petronas memegang rekod bangunan tertinggi di dunia selama enam tahun sehinggalah diatasi oleh Taipei 101.

Pada 2004, Taipei 101 atau dikenali sebagai Pusat Kewangan Taipei di Taiwan merampas gelaran tertinggi daripada Menara Berkembar Petronas dengan ketinggian 509 meter yang dimilikinya.

Pembinaan Taipei 101 memakan masa lima tahun dan dibina dengan keupayaan menahan gempa bumi dan taufan. Seperti namanya, bangunan yang diilhamkan daripada bentuk pokok buluh itu mempunyai 101 tingkat.

Taipei 101 kini berada di tangga kedua selepas takhta yang dipegang selama tiga tahun dirampas oleh Burj Khalifa.



Shanghai World Financial Centre di Shanghai, China – Kedudukan semasa, merupakan bangunan ketiga tertinggi dunia, ketinggian 492 meter dan 101 tingkat.



International Commerce Centre (Hong Kong, China), dikatakan mempunyai ketinggian 483 meter dan 118 tingkat mengatasi Menara Berkembar Petronas. Namun bangunan ini dalam pembinaan.

Mengikut laman web wikipedia (1) senarai bangunan tertinggi di dunia mengikut turutan ialah Burj Khalifa (Dubai, UAE), Taipei 101 (Taipei, Taiwan), Shanghai World Financial Centre (Shanghai, China), International Commerce Centre (Hong Kong, China) dan Menara Berkembar Petronas (Kuala Lumpur, Malaysia).

Mengikut laman web emporis (2) senarai bangunan tertinggi di dunia mengikut turutan ialah Burj Khalifa (Dubai, UAE), Taipei 101 (Taipei, Taiwan), Shanghai World Financial Centre (Shanghai, China), dan Menara Berkembar Petronas (Kuala Lumpur, Malaysia), menduduki tempat keempat dan kelima.

Sumber rujukan :

(1) http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_tallest_buildings_in_the_world
(2) http://www.emporis.com/en/bu/sk/st/tp/wo/
http://www.utusan.com.my , 4 Januari 2009, 9 Januari 2009
http://www.bharian.com.my 5 Januari 2009

Tuesday 19 January 2010

Bosannya... apa nak buat ni.

Luahan atau kata-kata itu mudah terkeluar daripada mulut seseorang atau bagi mereka-mereka yang ‘wajib’ bercuti panjang (sebab memang kena cuti) terutama yang terlibat dengan sekolah dan institut pengajian tinggi.

Golongan yang terlibat terutamanya murid-murid sekolah dan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi. Tidak terkecuali juga bagi golongan yang sudah biasa dengan rutin harian bekerja kuat dan tiba-tiba kena pula cuti panjang daripada bekerja atas urusan-urusan tertentu.

Kalau tidak difikirkan serta tidak membuat perancangan yang rapi untuk memenuhi masa cuti tersebut, takut nanti ‘tekanan’ akan menguasai diri. Kalau dilayankan perasaan bosan itu nanti ‘tekanan’ itu nanti akan mengarah kepada sesuatu yang tidak baik. Baik kita mencegahnya.

Jadi, apa nak buat. Pertama sekali kita mesti bertenang, tarik nafas panjang-panjang dan lepaskan secara perlahan-lahan, agar cukup oksigen dibekalkan kepada otak kita dan kemudian kita boleh berfikir dengan baik, tenang dan waras.

Lain orang lain caranya dan aktivitinya untuk memenuhi masa yang terluang itu. Aktiviti mesti bergantung kepada minat, hobi, kemampuan, galakan luar, dan lebih-lebih lagi aktiviti itu mesti memberi faedah kepada diri kita.

Sebahagian antara aktiviti-aktviti yang boleh dilakukan (mana-mana yang difikirkan sesuai) :

- Pergilah ke mana-mana.
Pasti melibatkan destinasi dan kos. Tidak kiralah ke mana kita pergi dan bergantung kepada kos, bergantung kepada sumber kewangan kita, asalkan kita keluar rumah. Tengok dunia luar dan bak kata pepatah, “Jauh perjalanan, luas permandangan, tambah pengetahuan”. Ibu bapa boleh bawa anak-anak ke tempat yang menarik seperti sungai, pantai, taman permainan, tempat-tempat yang ada haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang berwarna warni. Pihak sekolah mungkin boleh adakan lawatan ke tempat-tempat tertentu.

- Membaca.
Aktiviti ini adalah antara yang ramai orang suka lakukan dan mungkin yang paling popular. Bahan bergantung kepada seseorang, ada yang suka baca novel, buku cerita, surat khabar dan sebagainya.

- Membeli-belah dan makan bersama.
Aktiviti ini tidak semestinya memerlukan duit yang banyak, kita mungkin boleh hanya melakukan ‘window shopping’ atau mungkin menemani teman untuk membeli belah. Sekurang-kurangnya kita boleh memberi pendapat tentang sesuatu barangan yang hendak dibeli oleh teman kita. Makan di luar terutama bersama keluarga ialah aktiviti yang boleh mengeratkan silaturrahim antara ahli keluarga dan juga teman-teman. Tapi ini tidak boleh selalu sebab takut nanti duit habis. Kalau tidak pun kita pergi membeli belah barang-barang keperluan rumah... jom pi Tesco.

- Mencuba sesuatu yang baru.
Untuk ini kita perlu sumber maklumat. Sama ada daripada buku, internet, atau daripada teman-teman. Contohnya kalau kita tidak tahu masak tapi kita ingin mencuba aktiviti memasak dan terasa ingin lakukan. Seronok kalau mencuba sesuatu yang baru ini sebab kita tidak menjangka perkara apa yang bakal kita hadapi dan pasti ia menambah catatan pengalaman dalam kehidupan kita dan hidup kita menjadi lebih bernilai. Dan kekadang kita terkejut dengan hasilnya. Mungkin bakat terpendam akan menjelma tanpa disangka-sangka.

- Bersukan atau bersenam.
Ini bergantung kepada kebolehan kita dan minta kita. Ada yang suka pergi ke gim untuk bersenam, berbasikal, main boling, berjoging dan sebagainya. Terpulang kepada anda.

- Melibatkan diri dengan aktiviti persatuan dan komuniti.
Terlibat dengan komuniti boleh menambahkan teman-teman sekeliling dan sekurang-kurangnya komuniti sedar akan kewujudan kita. Janganlah asyik terperap saja di rumah. Secara tidak langsung boleh bertukar-tukar fikiran dan menambah ilmu di dada.

- Menonton.
Aktiviti ini boleh dilakukan di rumah atau di luar. Tapi ramai yang suka menonton di panggung wayang. Tapi kalau lebih seronok kalau menonton cerita yang kita suka di rumah bersama keluarga, boleh mengeratkan silaturrahim dan boleh gelak ketawa bersama. Boleh tonton wayang tapi jaga diri baik-baik dan jaga tatasusila kita.

- Berinternet.
Sekarang amat popular dengan laman web sosial seperti facebook yang mana boleh membuatkan kita dudduk depan komputer berjam-jam. Ingat! Jangan sampai lalai tunaikan kewajipan solat!. Macam-macam permainan atas talian dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh kita buat dengan adanya internet. Mencari pelbagai maklumat untuk menambah pengetahuan. Tapi jangan sampai melayari perkara-perkara yang tidak berfaedah.

- Menggandakan aktiviti keagamaan.
Bagi kita orang Islam, kita boleh memenuhi masa dengan membuat dan menggandakan aktiviti yang boleh menambahkan pahala kita seperti membaca Al-Quran, berzikir, membuat solat sunat, berpuasa, menghadiri ceramah dan kuliah agama. Ini semua untuk bekalan kita di akhirat kelak, Insyaallah.

Apapun semua ini terletak pada diri kita. Kalau fikir kita masih malas untuk membuatnya, tepuk dada tanya selera. Tak kan kita hendak biarkan masa yang berlalu tanpa kita berbuat apa-apa yang berfaedah dan menambahkan ilmu yang sedia ada. Jangan merewang tidak tentu pasal dan jangan pula melakukan aktiviti yang memudaratkan diri kita.