Thursday 22 April 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 4

Masjid, Makanan dan Kedai Halal, Orang Melayu dan Produk Malaysia

Masjid di Dundee

Kita kalau berada di perantauan, duduk luar negara ni, antara perkara utama yang mula – mula dibuat ialah mencari masjid. Bila jumpa masjid, Insyaallah ada insan yang akan membantu kita. Sebab kita akan berjumpa dengan ‘saudara – saudara’ seagama Islam. Itu yang terjadi kepada penulis sekeluarga. Semasa penulis tiba di sini dulu, waktu itu ialah pertengahan bulan Ramadhan. Penulis sekeluarga disambut oleh pelajar senior dan kemudian dia memaklumkan bahawa Masjid memang depan tu ajer, amat berdekatan dengan tempat tinggal penulis. Memang dekat.

Setelah selesai menghantar isteri dan anak – anak di rumah, terus penulis ke masjid. Alhamdulillah, kebetulan memang masjid buat iftar dan ada seorang insan menawarkan diri untuk membantu. Namanya Amar, berasal dari Iraq. Menumpangkan penulis pergi Tesco berdekatan untuk membeli sedikit barangan keperluan harian, meminjamkan penulis periuk untuk memasak dan membungkuskan penulis sedikit makan iftar untuk isteri dan anak – anak berbuka puasa. Alhamdulillah, Allah telah memudahkan urusan penulis dalam keadaan penulis yang masih tidak tahu apa – apa, ‘blur’ bila tiba di sini.

Di Dundee, terdapat tiga buah masjid. Pertama, ialah Masjid Utama Dundee yang memang terletak berdekatan dengan rumah penulis. Masjid ini diuruskan oleh Persatuan Masjid Utama Islam Dundee. Daripada pemerhatian penulis, ahli jemaah pengurusan masjid ini majoriti terdiri daripada orang – orang Pakistan yang telah lama bermaustatin di sini.



Masjid Utama Dundee yang terletak di Miln Street, Dundee

Masjid ini berpindah dari lokasi asal di Hilltown pada tahun 2000. Sila klik di sini untuk ke laman web Masjid Utama Dundee. Selain itu terdapat dua lagi masjid yang agak kecil iaitu di Victoria Road dan Dura Street (rujukan : klik di sini).

Sedikit latar belakang mengenai orang Islam di Dundee. Secara amnya, di United Kingdom bilangan orang Islam adalah seramai 1.6 bilion orang (2.8%) daripada jumlah keseluruhan 58.8 bilion penduduk (rujukan : klik di sini dan di sini) dan menjangkau 61 juta orang pada pertengahan 2008.

Penduduk Scotland dianggarkan seramai 5,168,500 juta orang pada tahun 2008 (rujukan klik di sini atau di sini), dan penduduk Islam adalah seramai 42,557 orang iaitu 0.8% (rujukan klik di sini), yang mana terdiri daripada Orang Arab, Orang Pakistan, Orang Turki, Orang Afrika, Orang Asia dan Orang India Muslim. Secara tradisinya, ramai Orang Islam Scotland mempunyai kaitan dengan Orang Pakistan, India dan Bangladesh (rujukan klik di sini). Ketiga – tiga etnik ini membentuk seramai lebih kurang 57,000 orang yang mana Orang Pakistan pada pertengahan 2008 dianggarkan 40,000 orang, Orang India 15,000 orang dan Bangladesh seramai 2,000 orang; 0.63%, 0.30% 0.04% = 0.97% (rujukan sila klik di sini). Bahagian Glasgow dan Strathclyde mempunyai paling ramai Muslim yang dianggarkan seramai 30,000 orang (rujukan klik di sini).

Penduduk di Dundee, yang dikenali sebagai ‘City of Discovery’ mempunyai penduduk seramai 150,000 orang (rujukan klik di sini). Dundee mempunyai seramai lebih kurang 3000 orang yang menganut agama Islam yang merupakan 2% daripada keseluruhan penduduk Dundee (rujukan klik di sini dan di sini).


Makanan dan Kedai Halal


Masa mula – mula sampai di sini dulu, bulan September 2008, kedai halal dan restoran makanan halal menjadi antara agenda utama penulis.

Restoran halal perlu dikenalpasti memandangkan kami orang baru, pertama kali ke luar negara dan perlu mengambil masa untuk ‘settle down’. Sekurang – kurangnya boleh dibeli ala- ala seperti restoran mamak di Malaysia. Dapur pun belum ada barang sebelum penulis kenal pasti kedai – kedai runcit yang berdekatan yang boleh diperoleh bahan – bahan mentah. Tapi sangkaan penulis meleset. Tidak ada restoran yang mudah dijumpai ala – ala mamak. Yang penulis jumpa ialah kedai – kedai kecil halal yang menjual kebab, burger dan pizza dimiliki oleh orang Pakistan atau Arab.

Pengalaman pertama yang penulis ingat ialah apabila penulis membeli kebab di salah sebuah kedai kecil tersebut, lokasinya di Hilltown, bila diperhatikan harga memang terkejut sebab makanan dibeli pada harga £5.00 ke atas. Boleh tahan mahalnya. Bila dibuat tinjauan, memang harganya sekitar itu atau lebih. Kesimpulan dibuat, harga makanan di sini memang mahal jika dibanding di Malaysia. Lepas ni kena memastikan dapur berasap sentiasa kerana bahan – bahan mentah memang dijual murah.

Kedai halal yang penulis maksudkan ialah kedai yang menjual ayam halal dan daging halal. Pada awal ketika penulis sampai di sini, kedai halal yang menjual daging halal ialah Al-Noor terletak di Blackness Road dan Bismillah yang terletak di Hilltown. Satu sebelah Timur dan satu sebelah Barat kalau dari tempat tinggal penulis. Kalau berjalan kaki makan masa 15 minit juga. Jadi kalau nak pergi beli ayam tu kena beli sekali banyak sekali pergi dan kena ada rutin mingguan.

Tapi Alhamdulillah, sejak awal tahun 2009, ada dua buah kedai halal yang memang berdekatan dengan rumah penulis. Satu Juruselam dan satu lagi Global. Juruselam menjual daging mentah segar dan Global jual daging yang dibekukan. Kedai Global jual menjual barangan runcit. Jadi tak perlu penulis pergi jauh – jauh lagi. Harga ayam di sini, £2.25 sekilogram. Sini kalau beli ayam, beli bahagian kakinya sahaja adalah lebih murah berbanding kalau beli ayam seekor. Harga £5.00 tiga pasang kaki sama harga dengan seekor ayam. Daging pula terutamanya daging lembu boleh diperoleh dengan harga £8.25 sekilogram. Kalau tukar duit Malaysia memang mahal.



Kedai Juruselam yang menjual daging halal dimiliki oleh Orang Arab, bersebelahan dengan Masjid Utama Dundee


Orang Melayu di Dundee

Alhamdulillah, hari kedua penulis berada di bumi Dundee, penulis dipertemukan dengan orang Melayu Malaysia. Kebetulan pada keesokan harinya mereka bakal mengadakan usrah mingguan.

Setahu penulis, memang ramai orang Melayu – Malaysia di luar negara terutamanya di United Kingdom ini. Sebelum datang ke sini pun penulis sudah tahu tentang kewujudan Komuniti Melayu di sini melalui laman web mereka.

Komuniti Melayu di sini tidaklah ramai jika dibandingkan dengan komuniti Melayu – Malaysia di London, England dan Edinburgh. Scotland. Bagus juga tidak ramai, boleh kenal semua orang. Sekurang – kurangnya bila ada kesempatan berkumpul dalam satu – satu majlis, bolehlah kita berborak tentang isu – isu tertentu dalam bahasa kita sendiri.


Komuniti di sini agak aktif, banyak juga diadakan majlis – majlis semata – mata mengambil peluang yang sedia ada, masa dan kelapangan merapatkan ukhuwah antara masyarakat Melayu terutamanya di Dundee ini. Semua keraian dan majlis diadakan secara gotong royong dan penyediaan makanan secara ‘Pot luck’ (makanan sumbangan setiap keluarga). Terserlah semangat tolong – menolong dan bantu membantu antara satu sama lain. Antara majlis yang diadakan ialah seperti :

# Usrah berkumpulan
# Sambutan Ihya’ Ramadan
# Tadarus Al-quran sempena bulan Ramadan
# Takbir raya dari rumah ke rumah
# Majlis Sambutan Aidilfitri
# Majlis Sambutan Aidiladha
# Majlis Sambutan Maulidur Rasul
# Majlis sambutan pengantin baru
# Majlis Akikah
# Keraian seperti Barbeque dan Sambutan warga baru KMD
# Aktiviti riadah seperti futsal, berenang, badminton dan lain - lain
# Menganjurkan lawatan sekitar Scotland, United Kingdom dan Eropah.

Komuniti Melayu Dundee atau singkatannya KMD boleh dihubungi melalui laman web mereka iaitu di melayudundee. Dalam laman web itu juga mempunyai panduan, persediaan kepada mereka yang bakal ke luar negara terutamanya di United Kingdom ini.


Selain itu, komuniti Islam – Malaysia disatukan di bawah satu ukhuwah, apa yang dipanggil sebagai Lingkungan Orang – orang Islam Malaysia di Scotland atau ‘Malaysian Muslim Circle of Scotland’. Sila layari laman web mmsc-scotland untuk maklumat lanjut.


Produk Malaysia

Jangan terkejut kalau ada sos cili Malaysia di sini. Di sini terdapat beberapa buah kedai yang menjual barang – barang mentah Asia. Antaranya yang paling popular dan sering dikunjungi oleh penulis dan juga orang – orang Malaysia di sini ialah Matthew’s Foods. Ini juga merupakan antara kedai yang terawal diperkenalkan oleh orang Melayu Malaysia kat sini kepada penulis.

Kedai ini menjual barang – barang mentah seperti kedai runcit di Malaysia seperti ikan dan makanan laut yang lain (tapi telah dibekukan terlebih dahulu), sayuran, air minuman, rempah – ratus, makanan segera, buah – buahan, barangan peralatan dapur dan sebagainya.




Di sini antara barangan tempatan Malaysia yang diimport dari Malaysia yang boleh didapati ialah seperti air kotak kacang soya, milo Malaysia, sos maggi Malaysia, kicap kipas udang Malaysia dan lain – lain lagi. Terbaru kedai ini ada menjual belacan Malaysia yang dibuat di Pulau Pinang dan juga durian.


Jadi dengan adanya beberapa produk Malaysia yang boleh didapati di sini, terubat sikit rindu penulis terhadap negara tercinta Malaysia.

bersambung untuk siri yang seterusnya...

3 comments:

  1. assalamualaikum....
    saya nozira dari Bangi, malaysia. Saya bercadang nak ke Scotland, nak buat collection data Katwijk pada bulan 7 nanti. Saya masih blur dengan situasi ini

    ReplyDelete
  2. salam cikgu..ada ralat penduduk Islam pada
    petikan ini;

    "Sedikit latar belakang mengenai orang Islam di Dundee. Secara amnya, di United Kingdom bilangan orang Islam adalah seramai 1.6 bilion orang (2.8%) daripada jumlah keseluruhan 58.8 bilion penduduk (rujukan : klik di sini dan di sini) dan menjangkau 61 juta orang pada pertengahan 2008"

    bukan billion tapi million (juta).. penduduk Islam hanya 1.6 juta daripada keseluruhan 58.8 juta penduduk...

    ReplyDelete
  3. rujukan mana awak dapat ni,,dri mana datnagnya 58.8 bilion tu

    ReplyDelete