Thursday, 15 July 2010

ISRAK MIKRAJ, PERISTIWA, PENGAJARAN DAN TELADAN

#Dua peristiwa sedih yang menimpa Nabi Muhammad

Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar Islam mencatat dua peristiwa sedih memilukan hati dalam sejarah perjalanan hidup rasul kesayangan kita, iaitu Nabi Muhammad.

Dua peristiwa sedih dimaksudkan itu ialah kematian Siti Khadijah, isteri yang sangat disayangi Baginda. Siti Khadijah dengan penuh ikhlas dan rela hati menyumbang semua harta miliknya untuk kepentingan dan kemajuan dakwah Rasulullah dalam usaha menegakkan risalah Islamiah.

Kematian bapa saudara Nabi, Abu Talib yang begitu rapat dengan hidup Nabi. Justeru, Abu Talib bersungguh-sungguh dan bermati-matian membela dan melindungi Rasulullah daripada ancaman orang kafir Quraisy.

Abu Talib adalah orang yang sangat dihormati dan disegani di kalangan bangsa Arab ketika itu menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Rasulullah. Pemergian dua sangat rapat dan disayangi Baginda ini, Siti Khadijah dan Abu Talib, amat dirasakan oleh Baginda selepas itu. (1)

Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut sebagai 'Tahun Kesedihan' ('amul huzni’). (2)

Bayangkan, bagaimana baginda dapat menempuh kehidupan ini bersendirian dengan Fatimah yang masih kecil. Apalah sangat yang mampu dilaksanakan gadis sekecil itu melainkan dengan menyapu najis unta yang dilumurkan ke atas kepala baginda ketika sedang bersujud di depan Kaabah. (2)

Justeru, selepas kematian dua orang disayangi oleh Rasulullah ini, pergerakan dakwah baginda di kota Makkah semakin sempit dan sering mendapat gangguan daripada orang kafir Quraisy. Baginda mendapat ejekan serta mengancam keselamatan Baginda. Rasulullah akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif. (1)

#Berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj

Malangnya di Taif juga Rasulullah menerima cacian, ejekan serta penghinaan penduduk Taif. Rasulullah kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah cukup berat ketika itu.

Melihat keadaan Rasulullah SAW itu maka Allah memerintahkan Jibril membawa Rasulullah melalui peristiwa Israk Mikraj, pendekatan Allah untuk menghiburkan baginda. Israk yang membawa maksud ‘berjalan malam’ dan Mikraj pula bermaksud ‘tangga’ (2). Peristiwa menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 menjadi rasul, (1) kira – kira 18 bulan sebelum Hijrah (7), walaupun ulama berselisih pendapat dalam menentukan ketetapan tarikh berlakunya peristiwa penting itu (3) (9), setahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, beramai-ramai ke Madinah. (2)

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud:
"Sesungguhnya zaman berputar seperti keadaannya tatkala Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun ada 12 bulan. Antaranya ada empat bulan haram. Tiga bulan berurutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari). (1)

Dalam al-Quran Allah SWT berfirman bermaksud:
"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu." (Surah At-Taubah ayat 36). (1)

Allah Yang Maha Bijaksana telah merancang satu program berbentuk keagamaan, iaitu program masjid ke masjid, iaitu daripada Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, inilah contoh terbaik satu bentuk hiburan bagi menghilangkan perasaan gundah gulana yang dialami baginda selepas kematian dua tokoh terpenting. (3)

Ia berlaku dalam semalaman sahaja yang menandakan bahawa Allah mampu bertindak demikian, walaupun ramai di kalangan manusia tidak mempercayainya malah menafikannya, sehingga pada waktu itu datang Abu Bakar as-Siddiq tanpa mengambil masa panjang terus mengiyakan peristiwa berkenaan. (3)

Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud:
"Dan Kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi -"(Surah Maryam ayat 57).

#Peristiwa Israk dan Mikraj

Allah berfirman bermaksud:
"Maha Suci Allah, yang menjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin) yang Kami berkali sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra' ayat 1) (1)

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya):
Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” (A-li Imran: 19). (5)

Dan Allah menyatakan juga (maksudnya):
"Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85) (5)

Firman Allah bermaksud:
Wahai orang – orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar – benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang – orang Islam.” (A-li Imran : 102). (5)

Apa yang penting dalam peristiwa Israk dan Mikraj ini ialah pengajaran mengenai perjalanan baginda dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin (7) dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha).

Para ulama pula, mereka sepakat menyatakan bahawa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas baginda Rasulullah s.a.w. dengan roh dan jasad sekali. Ini kerana mereka berpendapat, bahawa ungkapan perkataan 'hamba-Nya' dalam ayat pertama mengenai Israk merangkumi roh dan jasad pada diri seorang insan khususnya Nabi Muhammad s.a.w. (3)

Waktu berlakunya peristiwa Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad pada masa tiga suku malam bermula selepas solat Maghrib sehingga waktu Subuh.

Adapun berpuasa sunat pada bulan Rejab secara umumnya adalah sesuatu digalakkan berdasarkan satu hadis do'if yang disebut oleh Imam as-Suyuti daripada Ibnu Abbas, baginda bersabda maksudnya:
"Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, dia bagaikan berpuasa satu bulan, sesiapa yang berpuasa tujuh hari, maka dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka (kerana ia telah ditutup buatnya), sesiapa yang berpuasa sepuluh hari, maka segala kejahatannya diganti dengan segala kebaikan." (3)

#Rentetan Peristiwa Israk dan Mikraj

A) Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S.A.W.. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu. (8)

Buraq, iaitu berasal dari perkataan barq bererti kilat. Sama ada mempunyai sumber yang sahih mahupun tidak, tetapi buraq berasal daripada cahaya bagi membolehkan ia bergerak melebihi kepantasan cahaya. Iaitu 'sekelip mata' pantasnya. (7)

B) Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa a. s. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan); (8)

#Peristiwa dan pengajaran yang dilihat oleh Nabi Muhammad

Menurut beberapa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj seperti yang disebut oleh Ibnu Hajar al-Haithami dalam kitabnya az-Zawajir juzuk 2 halaman 41, dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah s.a.w. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api obor dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. (4)

Antaranya :

* Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru, keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w. diberitahu oleh Jibril: Itulah kaum yang berjihad Fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

* Tempat yang berbau harum. Rasulullah s.a.w. diberitahu oleh Jibril: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Firaun sebagai tuhan).

* Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula tanpa henti. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

* Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibril: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

* Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

* Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: Itulah orang yang makan riba.

* Lelaki yang menghimpun sekumpulan kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

* Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

* Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

* Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (takbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

* Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibril: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

* Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah s.a.w. tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

* Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan semua para Nabi dan Rasul menjadi makmum.

Rasulullah s.a.w. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Nabi memilih gelas berisi susu, minuman fitrah manusia. (8) Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

C) Semasa Mikraj

Selesai upacara Israk, sampai ketika Nabi Muhammad diMikrajkan. Sejenis tangga yang canggih seakan eskalator membawa Nabi ke angkasa. Maka bermulalah episod mikraj dari langit pertama hingga ke tujuh dan kemudiannya ke Sidaratul Muntaha (4) dan naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah) (8)

Setiap kali melalui lapisan langit, Jibril memberi salam dan sebaik malaikat penjaga langit membuka pintu, Nabi Muhammad s.a.w. diperkenalkan dengan nabi yang sedia menunggu di situ. Kesemua nabi mendoakan kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

Di langit pertama, baginda berjumpa Nabi Adam a.s., bapa segala manusia.

Di langit kedua berjumpa dengan Nabi Isa dan Yahya a.s.

Di langit ketiga berjumpa dengan Nabi Yusof a.s.

Di langit keempat berjumpa dengan Nabi Idris a.s.

Di langit kelima berjumpa dengan Nabi Harun a.s. Di langit keenam berjumpa dengan Nabi Musa a.s.

Di langit ketujuh berjumpa dengan Nabi Ibrahim a.s.

Di tangga Kesepuluh, Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya: (8)

Allah S.W.T: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah S.W.T: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

D) Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama.

Artikel berkait :
ISRAK MIKRAJ, PERISTIWA, PENGAJARAN DAN TELADAN – bahagian 2 (akhir)

No comments:

Post a Comment