Sunday, 25 July 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 8 : JELAJAH 3

JELAJAH 3 : ABERDEEN (2 MEI 2010 - AHAD)

Tujuan utama penulis ke Aberdeen ialah atas urusan mendaftar kelahiran dan urusan pasport anak penulis. Anak penulis yang ketiga – ‘Selamat Datang Puteriku’, dilahirkan pada 5 April 2010 di Hospital Ninewells.

Jabatan Imigresen Malaysia London yang berpejabat di London akan membuka Kaunter Imigresen Bergerak di Universiti Aberdeen (atau lebih tepat di Bangunan Zoologi, Universiti Aberdeen) yang dianjurkan oleh Komuniti Melayu Aberdeen. Sempena dengan itu Komuniti Melayu Aberdeen juga mengadakan Festival Makanan Malaysia.... erm yum! yum!. Alang – alang Imigresen mengadakan kaunter bergerak, baiklah diselesaikan segera urusan pendaftaran kelahiran dan permohonan pasport anak penulis.



Antara perkhidmatan yang disediakan ialah pendaftaran kelahiran luar negara dan urusan membuat dan memperbaharui pasport.
Sebelum ke Aberdeen atas urusan berkenaan, penulis perlu menyediakan beberapa perkara dan salinan dokumen untuk urusan berkenaan, antaranya gambar ukuran pasport bayi Nawal, kad pengenalan penulis dan isteri, sijil perkahwinan dan sijil lahir Scotland. Boleh rujuk pautan di atas tentang pendaftaran kelahiran dan pasport dan segala perkara yang diperlukan.

Segala salinan yang perlu difotostatkan di perpustakaan utama Universiti Dundee oleh isteri penulis, sebab isteri penulis pelajar di situ dan ada kad fotostat. Di sini memang susah hendak jumpa kedai fotostat, yang pernah penulis jumpa hanya satu yang terletak di pusat bandar Dundee.... tidak macam Malaysia yang banyak kedai fotostat dokumen.... mudah, senang dan murah.

Hendak dijadikan cerita ialah gambar ukuran pasport anak penulis. Penulis dan isteri ke kedai gambar yang biasa penulis pergi di pusat bandar, malang sekali ia tidak ada perkhidmatan ambil gambar bagi pasport Malaysia. Ia hanya mempunyai format gambar untuk gambar pasport UK dan Eropah (ukuran berbeza dan berlatarbelakangkan putih). Tapi tidak ada Malaysia punya – ukuran dan latar belakang biru. Jadi penulis ke kedai yang pernah dilawati oleh beberapa orang rakan - rakan Malaysia di sini iaitu terletak di Crichton Street di pusat bandar Dundee, yang pernah mengambil gambar pasport untuk anak untuk tujuan sama.

Bila kami tiba di sana, dimaklumkan bahawa mereka juga tidak ada perkhidmatan mengambil gambar pasport Malaysia. Namun mereka boleh buat jika ada contoh gambar pasport Malaysia. Lalu penulis pun korek beg duit penulis kalau – kalau ada gambar pasport yang boleh dijadikan contoh. Ada, gambar pasport anak penulis nombor dua. Orang kedai gambar tu pun ambil ukuran dan dengan menggunakan kertas warna biru yang dijadikan latarbelakang biru. Bayi penulis dibaringkan di atas lantai dan diambil gambarnya. Yang paling seronoknya, penulis dikenakan bayaran £10.00 untuk 4 keping gambar... pergh mahalnya. Tapi selesai satu perkara.

Hari nak pergi, sebelum tu macam biasa penulis menyewa kereta daripada syarikat sewa kereta perkhidmatan Enterprise, awal – awal lagi penulis dan keluarga keluar awal. Rancangan awal nak keluar seawal 6.00 pagi, tapi biasalah, bila menguruskan anak – anak jadi lambatlah bertolaknya. Tujuan utama penulis hendak pergi awal ke Universiti Aberdeen ialah menyelesaikan urusan dengan secepat mungkin... nak dapat angka giliran nombor satu. Cepat selesai lagi bagus.

Penulis dan keluarga bertolak dalam pukul 7.15 pagi, sarapan dalam kereta jer, makan burger. Sampai ke tempat dituju dalam pukul 8.45 pagi. Bila tiba di sana, tempat memang telah bersedia, dan pihak penganjur sedang bersiap sedia untuk Festival Makanan Malaysia. Pihak Imigresen tiba agak lewat lebih kurang pukul 10.00 pagi walaupun dijangka bermula pukul 9.00 pagi. Namun borang angka giliran telah diisikan.

Daripada perbualan dengan pihak penganjur dan pihak imigresen, peraturan untuk pendaftaran kelahiran dan permohonan pasport terutamanya untuk bayi baru lahir adalah tidak terlalu tegas. Contoh, gambar bayi tidak kisah sangat mengikut syarat asalkan memenuhi syarat minimum. Alhamdulillah semua urusan selesai dengan baik. Bayi penulis akan menerima Borang W (Sijil Pendaftaran Kelahiran Luar Negara) dan pasport dalam masa dua minggu. Dan Alhamdulillah dalam masa dua minggu semuanya diperolehi. SYABAS IMIGRESEN MALAYSIA!. Terima kasih juga kerana sudi naik ke Aberdeen dari London untuk membuka kaunter bergerak, dekat sikit dengan Dundee, tidak perlu penulis turun ke London.

Urusan selesai dalam pukul 11.30 pagi. Perut pun dah lapar, penulis dan keluarga menjamu nasi lemak (harga £2.50) di dalam kereta. Setelah itu pergilah ronda – ronda di Aberdeen.

Kalau sesiapa yang berminat hendak ke Aberdeen dan ingin tahu tempat – tempat menarik di sekitar Aberdeen boleh layari laman sesawang ini, kilik di sini.

Sebelum ke Aberdeen, penulis tidak mengkaji dan merancang terlebih dahulu ke mana tempat hendak dituju selepas selesai urusan Imigresen. Oleh itu kami terus mencari ‘Tourist Information Centre’, untuk mendapatkan peta Aberdeen. Tapi alangkah malang penulis sekeluarga, pusat pelancongan itu tutup kerana hari ini hari Ahad. Dah lah nak mencari pusat pelancongan itu berpusing – pusing beberapa kali di bandar Aberdeen. Akhir sekali, masa tengah pusing – pusing tu, isteri penulis nampaklah Muzium Maritim Aberdeen. Lepas itu cari tempat lerak kereta dan terus ke situ. Alamat muzium itu ialah Aberdeen Maritime, Museum Shiprow, Aberdeen, AB11 5BY. Masuknya percuma.


Sedikit maklumat tentang muzium ini :
“Muzium ini menceritakan hubungan yang lama terjalin antara bandar dengan Laut. Muzium yang pernah memenangi anugerah ini terletak di Shiprow yang bersejarah (‘historic shiprow’) dan bergabung Rumah Besar Datuk Bandar Ross (‘Provost Ross’), yang dibina pada tahun 1593. Muzium Maritim adalah rumah yang mempunyai koleksi – koleksi yang unik meliputi sejarah pembinaan kapal, kapal layar, kapal ikan dan pelabuhan. Ia juga merupakan satu – satunya tempat di United Kingdom di mana kita boleh lihat pameran mengenai minyak Laut Utara (‘North Sea’) dan industri gas. Muzium Maritim Aberdeen menawarkan pengunjung permandangan indah pelabuhan yang sibuk di Aberdeen.”

Kemudian dalam pukul 2.00 petang, kami terus menuju ke Duthie Park, Aberdeen. Alamatnya ialah Polmuir Road, Aberdeen, AB11 7TH. Ini pun pada mulanya kami tidak jumpa dengan taman rekreasi ini. Akhir sekali penulis telefon rakan Dundee (yang sama – sama tadi pergi juga ke Kaunter Bergerak Imigresen) minta poskod. Akhirnya tiba juga di situ.






Terdapat kemudahan tempat letak kereta yang agak luas, tasik (boleh menaiki bot kayuh) dan taman permainan kanak – kanak.

Sedikit maklumat tentang taman rekreasi ini :
Taman Rekreasi Duthie (‘Duthie Park’) adalah taman rekreasi dengan keluasan 44 ekar yang didermakan oleh Miss Duthie kepada pihak bandar pada tahun 1880 dan dibuka kepada orang ramai dalam tahun 1883.



Taman rekreasi ini mempunyai beberapa artifak seperti pentas pancaragam, pancutan buatan, kolam dan ukiran patung. Di dalam taman rekreasi adanya Taman Musim Sejuk (‘Winter Gardens’), yang mana dibina semula dalam tahun 1970. Rumah ini mengandungi pelbagai tumbuhan eksotik termasuk koleksi terbesar kaktus di Britain. Taman rekreasi ini direka untuk semua ahli keluarga, dengan pelbagai aktiviti daripada menaiki bot di kolam dan bermain kriket di padang kriket.

Terdapat dua kawasan permainan kanak – kanak, sebuah kafe dengan tandas dan tandas di dalam Taman Musim Sejuk.








Di Taman Musim Sejuk, terdapatnya tumbuhan – tumbuhan yang mewakili kawasan yang mempunyai iklim – iklim yang berbeza – beza.

Pukul 4.30 petang, memandang hari hendak hujan, penulis dan keluarga pulang menuju ke Dundee dan sampai di rumah dalam pukul 6.30 petang. Alhamdulillah semua urusan selesai.

Kemudi ke :
JELAJAHKU DI UNITED KINGDOM - intro

No comments:

Post a Comment