#Pensyariatan solat
Sesuatu yang dikira penting bila bercakap mengenai Israk Mikraj ini ialah sejarah pensyariatan solat kini difardukan bagi umat Islam lima waktu sehari. Pada mulanya Allah menetapkan sebanyak 50 waktu sehari ketika Nabi Muhammad kali pertama menghadap Allah di Sidratul Muntaha (langit ketujuh). Selepas turun naik berulang kali, atas nasihat Nabi Musa a.s, menghadap Allah dengan perasaan malu, akhirnya Allah menetapkan lima waktu saja sehari semalam (1). Itulah pengorbanan dan ingatan baginda terhadap umatnya.
Terdapat di kalangan umatnya tidak berterima-kasih kepada baginda kerana sanggup meninggalkan solat fardu berkenaan, walaupun kita hanya melakukan lima waktu, tetapi diganjari dengan lima puluh pahala, berbeza dengan umat terdahulu, lima puluh waktu solat hanya diganjari satu pahala setiap solat. Inilah kelebihan kita sebagai pengikut dan umat Nabi Muhammad, tetapi mengapa masih ramai yang mengabaikan tanggungjawab ini, sedangkan solat adalah perkara pertama yang ditanya oleh Allah pada hari Qiamat, tidak yang lain. (3)
Resolusi mengenai kewajipan solat itu melibatkan tiga pihak, dua kejadian. Pihak yang terlibat dalam hal 'mewajibkan' solat itu ialah Allah s.w.t, Nabi Musa a.s yang berunding dengan Rasulullah s.a.w dan hasil ulang-alik Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah s.w.t untuk mengurangkan jumlah bilangan solat fardhu tersebut. Ini kerana Nabi Musa a.s teringatkan pengalaman Bani Israel yang berat menerima perintah solat tersebut. (2)
Selain itu, dua peristiwa yang menyebabkan timbul rasa ghairah supaya diwujudkan suatu mekanisme perhubungan langsung antara manusia dengan penciptaNya, ialah kerana baginda telah menyaksikan gelagat para malaikat yang telah bersujud, rukuk kepada Tuhan dengan lain-lain perbuatan yang mirip kepada solat hari ini. (2)
Peristiwa kedua, ialah ketika Nabi Muhammad s.a.w sendiri diangkat menjadi imam untuk mengerjakan solat di mana para makmum di belakangnya adalah nabi-nabi yang terdahulu sebelum baginda. (2)
Suasana solat berjemaah yang diimamkan oleh baginda nabi Muhammad s.a.w. itu menunjukkan bahawa para nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah. (3)
Mereka bersalaman antara satu sama lain sebagai tanda kesyukuran dan simbolik menyerahkan tugas kerasulan kepada Nabi Muhammad s.a.w., ia juga sebagai satu petanda betapa hubungan antara Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa begitu intim dan akrab, apatah lagi majoriti para nabi di kalangan Bani Israil yang merupakan kiblat pertama umat Islam di muka bumi ini, selain menjadi syiar agama Islam terdahulu. (3)
Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w sebagai Nabi terakhir diperakui oleh Allah, sebagaimana yang ditegaskan menerusi beberapa ayat al-Quran mengenainya. (3)
Keghairahan Rasulullah s.a.w mengenai solat itu tergambar ketika hampir tiba saatnya baginda wafat. Di bibir baginda hampir tidak lekang menyebutkan, "Ummati.. as-Solah.." (Umatku.. sembahyang..). Tidaklah disebut hal zakat, puasa dan lain-lainnya, melainkan solat itulah yang kerap diperingatkan baginda. (2)
Solat merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: (6)
"Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)).
Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.
Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23:
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.”
Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.
Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).
Sabda Baginda SAW lagi:
"Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).
Berhati-hatilah agar malas, harta, pekerjaan, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.
Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung.” (al-Nur: 37 dan 38)
Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya:
"Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)
Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan.” (riwayat al Bukhari dan Muslim) (6)
#Peristiwa Israk dan Mikraj meningkatkan takwa dan iman
Peristiwa Israk Mikraj memberi pengajaran yang cukup bermakna kepada orang mukmin untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah hingga kiamat. Jelas diperlihatkan kebesaran dan keagungan Allah melalui peristiwa Israk Mikraj.
Ertinya, Israk Mikraj adalah 'turning point', titik permulaan Islam mula bertapak di Mekah, solat mula diisytiharkan sebagai suatu amalan dan ketika itu hidup Muslimin penuh dengan riwayat sengsara dan gangguan sehingga memaksa mereka mencari perlindungan di Madinah. Lalu, dengan itu terbentuklah sebuah Negara Islam yang pertama di dunia. (2)
Ini kerana, sejurus kembalinya baginda membawa khabar berita, gambaran peristiwa langit, maka baginda dicela Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri. Bermula saat itu, tekanan ke atas baginda telah bermula. Itu perkara yang pertama. (2)
Yang kedua, Israk Mikraj adalah satu 'turning point' di mana Islam itu terasas dengan begitu kukuh oleh kerana telah termaktub suatu resolusi dari langit mengenai kefardhuan solat yang mana sebelum itu, solat belum lagi diperkukuhkan sebagai suatu amalan yang wajib. (2)
Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?
Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para Anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.
Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para Anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.
Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini. (3)
Sebab itu, kita jangan hairan kenapa nas itu tidak menghebahkan soal mi'raj, sebaliknya cuma menyebut tempat berlepas ketika Isra' (berjalan malam). Tuhan menyebutkan Masjidil Aqsa itu bererti, tempat itu amat penting dan bernilai. (2)
Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat. (3)
Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas. (3)
Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran. (3)
Daripada fenomena peristiwa yang berlaku antara Nabi dan Jibril dalam isu Israk dan Mikraj sepanjang perjalanan yang digambarkan kepada Rasulullah s.a.w., adalah untuk jadi bahan renungan dan iktibar bagi generasi Muslim sepanjang zaman, terutamanya umat hari ini yang semakin hilang keyakinan diri kepada Allah selaku Pencipta.
Ia boleh disimpulkan sebagai himpunan peringatan buat individu yang mahu menjadikannya pula sebagai anjakan paradigma untuk terus melakukan perubahan diri meniti kesempurnaan. Ini kerana peristiwa-peristiwa simbolik berkenaan jika dihalusi dengan teliti, mampu mengubah cara hidup Muslim yang boleh disifatkan sebelumnya sebagai individu yang lalai, jauh daripada pegangan agama.
Betapa suasana dan kesudahan mereka yang digambarkan dalam simbolik itu menggambarkan keadaan manusia nanti di alam akhirat dengan pelbagai gambaran yang amat mengerikan. Apabila ia juga tidak mampu mengubah sikap, pendirian seseorang, bererti individu berkenaan telah dihijab hatinya daripada wahyu petunjuk Ilahi dan terus bebas melakukan penentangan terhadap Allah SWT.
Justeru, kita adalah disaran agar terus banyak berdoa kepada Allah Yang Maha Berkuasa, supaya memasukkan kita dalam himpunan hamba-Nya yang lunak hati untuk menerima kebenaran, kerana jika kita terus masih mengingkari kebenaran, maka kehidupan kita di dunia semakin sempit, malah akan dibutakan oleh Allah di akhirat hingga terjerumus masuk dalam neraka-Nya, Wal 'Iyazu Billah. (4)
Rujukan :
1) Bharian Online 25 Jun 2009 (2 Rejab 1430) Khamis – Artikel bertajuk Israk Mikraj pengajaran paling bermakna bagi umat Muhammad
2) Harakahdaily Online 21 Julai 2009 (28 Rejab 1430) Selasa – Artikel bertajuk Darihal Isra' Mi'raj
3) Harakahdaily 24 Julai 2008 Khamis – Artikel bertajuk Konsep Agama : Ambil Pengajaran Israk dan Mikraj
4) Harakahdaily 11 Ogos 2008 Isnin – Artikel bertajuk Israk Mikraj pencetus kesedaran ummah
5) Harakahdaily 09 Ogos 2007 Khamis – Artikel bertajuk Khutbah Rusila: Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj
6) Utusan Online 13 Julai 2009 (20 Rejab 1430) Isnin – Artikel bertajuk Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj
7) Utusan Online 12 Mei 2010 (28 Jamadil Awal 1431) Rabu – Artikel bertajuk Israk dan Mikraj bukti kebesaran Allah
8) ustazazhar – Urutan Peristiwa Israk & Mikraj
9) Bersama Mufti - Ceramah Umum mengenai Isra dan Mikraj, 20Jul07 : Dr Asri, Mufti Perlis
Artikel berkait :
ISRAK MIKRAJ, PERISTIWA, PENGAJARAN DAN TELADAN
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment