JELAJAH 1 : LONDON – BIRMINGHAM - MANCHESTER (3 hingga 7 Julai 2010)
Sebelum apa -apa, penulis nak cerita pengalaman yang tidak akan dilupakan ketika kami bermalam di sini, Travelodge Fort Dunlop. Malam kedua kami di sini... loceng kecemasan kebakaran berbunyi pada pukul 4.00 pagi. Yang sedapnya ada salah seorang ahli rombongan kami yang turun dengan berpakaian pelekat sahaja... memang stail Malaysia betul. Kalau adalah kamera pada ketika itu, akan penulis rakamkan detik itu agar ia menjadi ingatan yang tidak boleh dilupakan. Tidak ada apa - apa kejadian buruk yang berlaku. Alhamdulillah.
6 JULAI 2010 (SELASA) – Hari keempat
8.30 pagi
Hari ini hari ‘window shopping’ pinggan mangkuk. Lokasi pertama ialah ke Stoke-on-Trent yang dikenali sebagai Bandar Seramik, atau lebih tepat ke Wedgwood and Royal Doulton Outlet Store. Perjalanan mengambil masa 1 jam sejauh 48 batu dari Travelodge. Wedgwood and Royal Doulton Outlet Store ialah kedai yang menjual pinggan mangkuk berjenama seperti Royal Dalton, Royal Albert dan sebagainya (penulis pun tak berapa reti pasal pinggan mangkuk ini). Penulis ke sini pun cuma ikut orang cakap, orang cakap pinggan mangkuk yang dijual dibandingkan dengan harga di Malaysia jauh lebih murah. Iya ke tak kita pergi tengok. Lagipun tempat ini memang popular di kalangan orang Malaysia, tempat wajib kena pergi.
Alamatnya ialah Wedgwood and Royal Doulton Outlet Store, Forge Lane, Etruria, Stoke-on-trent, Staffordshire, England, ST1 5NP. Lepas masukkan poskod ke dalam pengemudi satelit, kami terus ke sana. Akhirnya alat pengemudi ni tunjuk ke kawasan yang tidak tepat. Apa lagi kena guna juga cara tradisional... tanya orang. Alhamdulillah kami tiba juga ke tempat yang dituju.
Stoke-on-trent ini memang kawasan yang popular dengan pinggan mangkuk (‘Tableware or pottery’). Selain jenama Royal Dalton dan Royal Albert, jenama lain yang boleh diperoleh di sini ialah Potmeirian, Noritake, Spode dan lain – lain. Dan juga banyak kedai – kedai yang menjual pinggan mangkuk ini dengan harga yang sangat berpatutan.
Namun apakan daya, walaupun harga yang dipaparkan memang sangat murah jika dibandingkan dengan harga semasa, penulis hanya boleh mengambil gambar sahaja. Bawa balik gambar pun jadilah.
Jenama Potmeirian dikatakan jenama yang agak popular di Malaysia dan lebih murah dari Royal Dalton dan Royal Albert, jadi lokasi seterusnya ialah ke kedai – kedai yang menjual jenama Potmeirian. Untuk makluman, memang banyak kedai – kedai yang menjual pinggan mangkuk pelbagai jenama di sini. Jadi dapatkan dulu ‘booklet’ mengenai Stoke-on-trent supaya kita tidak sesat. Atau kat sini penulis ada laman webnya, sila klik di sini.
Antara tempat yang mempunyai kedai yang menjual pinggan mangkuk Potmeirian ialah di sini, Trentham Shopping Village, Trentham Estate, Stoke-on-trent, ST4 8AX.
Penulis dan keluarga tiba di Trentham Shopping Village. Di sini juga ada kedai yang menjual pinggan mangkuk jenama Potmeirion tapi hanya kedai kecil. Tempat ini merupakan tempat membeli belah ‘opened-air’ yang mana banyak kedai – kedai yang menjual pelbagai produk.
Kan dah sesat... walaupun guna alat pengemudi satelit, ia tidak menunjukkan lokasi dengan tepat. Sebelum kami tiba di sini – Trentham Shopping Village, alat pengemudi satelit membawa kami ke kawasan perumahan yang agak terpencil, jadi terpaksa menggunakan kaedah tradisional iaitu bertanya orang.
Kami terus mencuba kedai lain sepertimana dalam ‘Booklet’.
Akhirnya kami tiba di lokasi yang sebetulnya, Kedai Kilang Port Meirion. Alamatnya ialah 473 King Street, Longton, Stoke-on-trent, ST3 1EU.
2.30 petang
Tiba di Hanley Park untuk berehat dan makan. Lokasi secara tiba – tiba, boleh dikenalpasti menerusi alat pengemudi satelit.
Selepas kami berehat dan makan di Hanley Park ini, agenda dalam jadual ialah ke Kilang Queen Anne yang menjual peralatan pinggan mangkuk yang diperbuat daripada perak. Namun ramai ahli rombongan bersetuju untuk tidak ke Queen Anne kerana atas sebab – sebab faktor tertentu antaranya kewangan yang sangat telah berkurangan setelah berbelanja sakan di Kedai Kilang Potmeirion.
Kami mengambil keputusan ke Cadbury World yang terletak lebih kurang 1 jam dari sini. Apabila kami tiba di sana, Cadbury World telah tutup dan kami bercadang untuk ke pergi ke sini keesokan harinya.
6.15 petang
Tiba di Aston Park. Merehatkan minda dan badan.
Kami berehat menghirup udara segar sambil kanak – kanak seronok bermain di Taman Permainan Aston Park, berdekatan dengan Travelodge tempat kami tinggal. Bersebelahan dengan taman permainan itu terletaknya Stadium Kelab Bolasepak Aston Villa yang merupakan salah satu kelab yang bersaing dalam Liga Perdana Inggeris. Jadi koleksi gambar penulis di hadapan stadium bola sepak kelab Inggeris bertambah kepada tiga yang mana sebelum ini penulis sudah ke Stadium Old Trafford, Kelad Bola Sepak Manchester United dan juga Stadium Emirates iaitu Kelab Bola Sepak Arsenal.
7.30 malam
Tiba di Travelodge Fort Dunlop
Penulis sempat bergambar di hadapan Travelodge Fort Dunlop yang merupakan tempat kami bermalam selama tiga malam. Kami memang dapat harga promosi... nampak tak harga tu.
7 JULAI 2010 (RABU) – Hari kelima (terakhir)
9.30 pagi
Lapor keluar dari Travelodge Fort Dunlop. Mengemas barang – barang untuk dimuatkan ke dalam kereta, bertambah pulak barang yang dibawa. Perjalanan diteruskan ke Cadbury World. Alamatnya seperti berikut, Cadbury World, Linden Rd, Bournville, Birmingham, B30 2LU.
Aktiviti membeli coklat dengan harga yang murah jika dibandingkan dengan harga semasa. Cadbury World ini juga terdapat tempat – tempat lawatan menarik seperti kilang membuat coklat, tarikan aktiviti kanak – kanak dan sebagainya. Selain itu kita akan dapat banyak coklat percuma kalau kita berada di sini membuat lawatan di sini. Tiket boleh tahan, sebab sini (UK) tiada yang murah dan kebanyakan tempat – tempat menarik adalah berbayar.
Destinasi seterusnya, kilang Queen Anne. Tetiba pulak semua bersetuju nak pergi. Bukan apa, cuma nak tahu harga betul ker memang murah.
12.15 tgh
Tiba di Kilang Queen Anne
Akhirnya kami tiba juga di Kilang Queen Anne. Ini sebenarnya kilang yang menghasilkan produk Queen Anne. Ruang yang menjual produk Queen Anne pun agak kecil tapi banyak pilihan. Namun kami tiba agak lewat sebab banyak yang telah habis, jadi kalau nak memborong di sini kena pergi pagi – pagi. Yang sedapnya bila ditanya orang di sini, “Today is Malaysian day”, dia jawab apa, “Everyday is Malaysian day”. Oh! Rupa – rupanya Queen Anne ni memang amat popular di kalangan orang Malaysia.
Alamat kilang ini adalah seperti berikut : Classic Works, Holyhead Road, Wednesbury, West Midlands, United Kingdom, WS10 7PD.
Peringatan : Jual beli di sini hanya menerima duit tunai sahaja!!!
Ini juga merupakan lokasi tiba – tiba untuk kami kunjungi, Boundary Mill Stores. Ada pelbagai barangan yang dijual di sini. Ada juga pinggan mangkuk tapi ia sudah menjadi harga jual semasa. Jika dibandingkan harga pinggan Potmeirion di kedai tadi dengan di sini jauh lebih mahal. Tapi sini ada menjual pinggan mangkuk jenama Noritake. Ada kawan yang beli set pinggan mangkuk Noritake dengan harga jual semasa, dia kata ia masih murah jika dibandingkan dengan harga di Malaysia.
Kami semua menuju ke destinasi seterusnya iaitu Manchester.
4.15 petang
Tiba di KFC halal, Barlow Moor Road, Manchester, M21 8AU untuk makan tengahari beramai – ramai. Dah lewat dan anak – anak pun sudah kelaparan. Kesian kat mereka semua.
KFC halal, selalunya logo hala ada ditampal di pintu masuk restoran.
Bersolat di masjid yang terletak di Jalan Burton, Manchester tidak jauh dari KFC tadi. Masjid ini dulu merupakan gereja yang diubahsuai menjadi masjid. Ini pun lokasi yang dicari menerusi alat pengemudi satelit.
5.45 petang
Tiba di Stadium Manchester United di Old Trafford, Sir Matt Busby Way, Old Trafford, Manchester. Setkan pada pengemudi satelit ke, Manchester United Stadium, Old Trafford, Sir Matt Busby Way. Sudah dua kali penulis dan keluarga ke sini, tahun lepas 2009 bulan April.
Mengambil gambar di kawasan luar stadium. Di stadium ada tarikan seperti muzium dan juga jelajah dalam stadium (tahun lepas 2009 penulis sempat masuk dan menyertai jelajah ke dalam stadium). Tapi kena bayar kalau nak masuk. Bayaran tiket mahal juga. Boleh semak di sini, laman web rasmi Kelab Bola Sepak Manchester United.
Setelah berada di Stadium Manchester United (destinasi lawatan terakhir) beberapa ketika, tiba masanya untuk pulang.
Tempat rehat kami seketika di Annadale Welcome Break (sama seperti Kawasan Rehat dan Rawat Plus) setelah tiga jam memandu sebelum meneruskan perjalanan terus pulang ke Dundee.
Papan tanda yang menunjukkan bahawa kami telah memasuki sempadan Scotland dan England. Selamat tinggal England semoga berjumpa lagi dan selamat kembali ke ‘Tanah Airku’ Scotland.
12.30 malam
Tiba di Dundee. Alhamdulillah semuanya selamat pulang ke rumah masing – masing.
Refleksi : Lawatan kali ini agak santai dan tidak penat sangat. Penulis amat berpuas hati dengan lawatan kali ini kerana ia dirancang dengan baik dan semua tempat yang dilawati merupakan kata putus bersama mereka yang menyertai rombongan ini.
Walaupun ada tempat lawatan yang dirancang namun tidak dapat ke sana atas faktor masa dan tenaga terutamanya kanak – kanak, tidak mengapa yang penting semua gembira dan senang.
Antara tempat yang tidak dapat dilawati ialah di Waterloo, London dan Cheshire Oaks Designer Outlet. Antara aktiviti yang tidak dapat dilaksanakan ialah aktiviti bergambar di Birmingham (Cannon Hill Park).
Bagi penulis dan keluarga, peluang yang ada mesti digunakan sebaik mungkin. Alang – alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Tidak salah mengambil peluang belajar isteri penulis di sini untuk melawat tempat – tempat menarik di sini. Kalau tidak bila lagi, entah bila entah tidak akan ke sini lagi atau tidak.
Kemudi ke :
JELAJAH 1 : LONDON – BIRMINGHAM - MANCHESTER (3 hingga 7 Julai 2010)
JELAJAHKU DI UNITED KINGDOM - intro
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment