JELAJAH 1 : LONDON – BIRMINGHAM - MANCHESTER (3 hingga 7 Julai 2010)
Jelajah ini disertai seramai 5 buah keluarga dari Dundee. Dengan jumlah semua 21 orang (10 orang dewasa dan 11 orang kanak – kanak).
Persediaan untuk bertolak pada esok hari telah bermula sejak dua tiga hari yang lalu. Memastikan semua keperluan dibawa. Antara perkara – perkara yang penting selain pakaian ialah passport, lesen, pengemudi satelit, keperluan alat bantuan kecemasan terutama paracetamol, ubat batuk, vaporub, minyak cap kapak, plaster dan lain – lain, kamera digital dan bateri. Makanan dan minuman disediakan secukupnya. Makanan baik disediakan dalam bentuk kering, tahan lama dan ringkas. Makanan perlu dibawa sendiri dan disediakan sendiri kerana ia lebih menjimatkan.
Kereta sewa penulis, Ford Zetec Fiesta yang disewa daripada perkhidmatan sewa kereta Enterprise selama lima hari pada harga yang amat berpatutan.
3 JULAI 2010 (SABTU) – Hari pertama
10.00 pagi
Berkumpul di Masjid Utama Dundee. Setelah mendengar taklimat kami semua bertolak. Semoga lawatan kami ini dilindungi dan diberkati, selamat perjalanan pergi dan balik. Lokasi pertama ialah Durham yang mana perjalanan mengambil masa lebih kurang 4 jam dengan jarak 185 batu.
2.30 petang
Tiba di Durham. Lokasi di Durham iaitu di Riverside Park, Chester-Le-Street, Durham, DH3 3SJ yang menjadi tempat rehat dan makan kami ahli rombongan. Lokasi ini ramai pengunjung kerana terdapat taman permainan kanak – kanak di sini.
3.15 petang
Perjalanan diteruskan ke Bedfordshire atau lebih tepat ke Travelodge Toddington, LU5 6HR tempat kami bermalam selama satu malam. Lokasi hotel berdekatan dengan London kerana keesokan harinya London menjadi tempat lawatan pertama kami. Perjalanan mengambil masa 4 jam dengan jarak sejauh 243 batu.
9.00 malam
Tiba di Travelodge Toddington agak lewat. Lokasi sebelah ‘Motorway’ (lebuh raya). Pengemudi Satelit (‘Satelit Navigator’) tidak menunjukkan lokasi dengan tepat. Perlu tanya orang di stesyen minyak, hotel terletak agak tersorok dari lebuh raya. Hari walaupun masa sudah menunjukkan malam namun masih cerah memandangkan ketika ini ialah musim panas.
Lapor masuk dan kemudian penulis dan keluarga terus berehat kerana kepenatan.
4 JULAI 2010 (AHAD) – Hari kedua
9.00 pagi
Lapor keluar dari Travelodge Toddington menuju ke Stesen Tube (ala – ala LRT di Malaysia) iaitu di Stesen Tube Hillingdon, Long Lane, Hillingdon, Uxbridge, Middlesex, UB10 9NR. Perjalanan dari Travelodge mengambil masa lebih kurang 47 minit dengan jarak 41.6 batu.
10.00 pagi
Tiba agak lewat daripada jadual kerana kami semua tidak biasa dengan kawasan di sini tambahan pengemudi satelit tidak menunjukkan lokasi dengan tepat. Perlu bertanya dengan orang di situ di mana lokasi sebenar stesen tube ini.
Tambahan ada ahli rombongan yang sesat, kami perlu berhenti dan tunggu seketika. Tempat kami tunggu tu berdekatan dengan Universiti Brunel dan kebetulan ada ‘carboot sale’ di kawasan padang kriket berdekatan, tapi kami tak masuk memandangkan masa sudah lewat. Kemudian perjalanan diteruskan.
Lawatan kami ke London dibantu oleh saudara Anis yang merupakan sahabat salah seorang ahli rombongan kami. Bagi mereka yang tidak biasa ke London, perlu mencari sahabat yang sudah agak biasa dengan pengangkutan awam di sini terutama Tube kerana ia mempunyai banyak perkhidmatan yang menuju lokasi yang berbeza – beza. Walaupun dengan bantuan peta Tube, kadang kala perjalanan dan pertukaran antara Tube untuk ke suatu destinasi lawatan mengambil masa yang agak lama.
Alhamdulillah, bayaran tempat letak kereta hanya £1.00 seharian kerana hujung minggu. Cuma untuk menaiki Tube dan pengangkutan awam yang lain, perlu mendapatkan ‘Travel Card’ yang kosnya £7.50 seorang. Sebelum ini pernah ada ‘Oyster Card’ sementara yang boleh dibeli dengan harga yang lebih murah dan boleh dipulangkan semula. Tapi menurut pekerja di stesen tube tersebut, bahawa tiada lagi kad sedemikian dan hanya ‘Travel Card’ yang boleh digunakan untuk pengunjung sehari di London. ‘Travel Card’ ini ialah kad perjalanan sehari suntuk yang boleh digunakan untuk menaiki Tube dan bas di London. Untuk maklumat lanjut klik di sini. Jangan lupa dapatkan peta Tube sebagai rujukan perjalanan dan kalau boleh peta London untuk pejalan kaki – carian google taip ‘bbc walking in london map’, untuk muat turun peta berkenaan.
Menaiki Tube Picadilly menuju Cockfosters dan turun di Green Park. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Keadaan dalam Tube agak panas dan agak sesak. Tapi hendak merasai kehidupan di London, apa salahnya. Tapi untuk tinggal di London, mungkin tidak, baik pergi ke kawasan tidak ramai penduduk seperti Dundee.
11.00 pagi
Tiba di Hentian Green Park. Terus berjalan kaki menuju ke tempat lawatan pertama iaitu Istana Buckingham iaitu tempat kediaman Ratu Elizabeth.
Di Stesen Tube Green Park.
Dalam perjalanan ke Istana Buckingham. Nampak tak ada banyak kerusi lipat malas di tengah – tengah padang, disebabkan musim ini musim panas, penduduk – penduduk di London mengambil peluang berjemur di tengah panas. Kalau kat Malaysia, kalau boleh nak duduk dalam rumah ajer.
Penulis di hadapan Istana Buckingham. Orang ramai bersesak kerana pada waktu itu berlaku pertukaran ‘Guard’ istana. Acara ini antara yang ditunggu – tunggu oleh orang ramai jika berkunjung di sini. Pertukaran ‘guard’ ini berlaku pada pukul 11.00 pagi.
Penulis tertanya – tanya juga.... tidak panaskah jaga – jaga ini dengan pakaian uniform mereka? Tapi demi negara, tidak mengapa.
Penulis sebenarnya berada dalam kawasan perkarangan istana. Dalam perjalanan ke Trafalgar Square, penulis diberitahu bahawa setiap bangunan yang ada memang merupakan kediaman bagi setiap ahli keluarga di Raja Britain, satu bangunan untuk seorang. Alahai! Bertuahnya jadi keluarga di Raja ni kan.
Penulis di hadapan pintu masuk kawasan perkarangan istana.
Berjalan kaki dari Istana Buckingham ke Trafalgar Square mengambil masa 7 – 10 minit sahaja.
Permandangan di sekitar Trafalgar Square. Di sini terletaknya Galeri Kebangsaan (‘The National Gallery’).
Sempat bergambar di hadapan pejabat Tourism Malaysia berdekatan Trafalgar Square. Sebelum menaiki Tube ke Stesen Bayswater.
2.30 petang
Tiba di Stesen Bayswater dan terus menuju ke Malaysian Hall. Bila sebut Malaysia Hall di sini terletaknya Pejabat Suruhanjaya Tinggi, Jabatan Penuntut Malaysia UK dan EIRE (‘Office of the High Commission, Malaysian Students Department for the UK and EIRE’), yang beralamat di 30-34, Queensborough Terrace, London W2 3ST. Laman web rasminya ialah www.masduke.net. Kadangkala Malaysian Hall disebut sebagai MSD. Selain itu adanya surau dan juga kantin yang menyediakan masakan Malaysia, yum! yum!. Alhamdulillah.
Penulis dan ahli rombongan bergambar di hadapan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia. Di kantin MSD penulis sempat pekena teh tarik dengan roti canai.
Setelah makan dan solat, kami semua menuju ke Bayswater, berdekatan dengan Malaysian Hall yang mana di situ banyak kedai – kedai yang menjual cenderahati seperti rantai kunci dan magnet peti sejuk London.
Ada sesiapa yang minat rantai kunci dan magnet peti sejuk bolehlah lihat di sini. Kalau minat boleh beli daripada penulis.
Permandangan sekitar jalan Bayswater.
Dari Bayswater kami menuju ke Kensington Garden untuk ke Hyde Park dan Royal Albert Hall (seperti Istana Budaya di Malaysia – tempat di mana Siti Nurhaliza pernah membuat persembahan).
Sekitar Kensington Garden
Dalam perjalanan ke Hyde Park – terdapat laluan sempena mengingati Puteri Diana.
Sekitar Hyde Park
Dari Hyde Park kami masuk semula ke Kensington Park untuk ke Tugu Peringatan Albert dan ke Royal Albert Hall.
Kiri : Royal Albert Hall, Kanan : Tugu Peringatan Albert yang terletak di Jalan Kensington Gore.
Tiba di Royal Albert Hall, semua ahli rombongan sudah kepenatan terutama anak – anak kecil dan juga memandangkan waktu sudah pukul 5.30 petang dan kami mengambil keputusan untuk tidak ke Waterloo (naik Tube turun di Stesen Westminster naik Tube Jubilee). Tapi rasa rugi pulak sebab Waterloo antara tempat lawatan utama tarikan pelancong.
Di Waterloo ada Westminster Abbey, iaitu gereja lama yang juga dikenali sebagai The Collegiate Church of St Peter at Westminster, The Big Ben, jam dengan loceng seberat lebih 12,000 kilogram pada menara, House of Parliament di Whitechapel Bell Foundry, London, tempat persidangan dan perbahasan undang-undang dan London Eye, roda feris terbesar di Eropah. Tapi penulis sudah ke sana bulan lapan tahun 2009.
Kami semua terus menaiki Tube kembali semula ke Stesen Hillingdon dan seterusnya ke Birmingham. Lokasi yang dituju ialah Travelodge Fort Dunlop, Fort Parkway, Erdington, Birmingham, West midlands, B24 9FD yang mana jauhnya ialah 106 batu yang mengambil masa 2 jam.
11.30 malam
Tiba agak lewat kerana singgah untuk beli makanan untuk makan malam. Penulis beli ayam kari (‘Balti Chicken’) di restoran halal orang Pakistan. Travelodge ini kami akan duduk selama 3 malam kerana esok kami semua akan ke Drayton Manor Theme Park, untuk ‘bergembira’ bersama – sama, anak – anak dan orang dewasa.
5 JULAI 2010 (ISNIN) – Hari ketiga
9.30 pagi
Bertolak ke Drayton Manor Park yang terletak berdekatan Tamworth, Staffordshire, B78 3TW. Perjalanan mengambil masa 20 minit dengan jarak 11 batu.
Ini kali kedua penulis dan keluarga datang ke sini kerana taman tema ini mempunyai taman tema khas karektor ‘Thomas and Friends’. Jadi anak – anak akan suka dan teruja. Selain terdapat tarikan yang sesuai dicuba oleh anak – anak dan dewasa dan untuk dewasa sahaja. Kalau nak cakap, taman tema ini memang sesuai untuk satu keluarga menghabiskan masa bergembira bersama.
Untuk tiket masuk boleh ditempah secara atas talian dan boleh dapat harga yang lebih murah berbanding kita beli tiket di kaunter waktu kita tiba. Apa yang nak penulis beritahu ialah harga tiket naik 2 kali ganda berbanding harga tahun lepas. Tapi apa boleh buat, itulah hakikatnya. Ada lagi satu taman tema yang dikenali sebagai Alton Tower yang mana ada taman teman air dan juga taman tema darat. Tapi kalau nak dibanding harga dengan Daryon Manor Park jauh lebih mahal.
Malaysia juga popular dengan taman tema antaranya Taman Tema Genting dan juga Taman Tema A Famosa. Klik di sini untuk mengetahui semua taman tema di Malaysia.
Pintu Gerbang Utama Drayton Manor Park, Pintu Gerbang Masuk ke Drayton Manor Park dan Pintu Gerbang Masuk ke Thomas Land
Tarikan utama iaitu kepala kereta api Thomas. Anak – anak penulis mengambil kesempatan bergambar dengan Thomas. Selain Thomas ada juga karektor yang lain seperti Percy dan James.
Adanya taman permainan Spencer, Dino Trail dan Zoo di Drayton Manor Park.
Antara Tarikan yang ada di Thomas Land.
Lagi Tarikan di Drayton Manor Park. Sebenarnya ada banyak lagi tarikan dan permainan yang tidak sempat penulis ambil gambar sebab gembira sehingga terlupa untuk mengambil gambar.
Kali ini penulis melengkapkan segala tarikan yang belum penulis cuba ketika penulis ke taman tema ini tahun lepas. Sambil – sambil bawa sahabat ahli rombongan yang pertama kali ke UK. Ini mungkin kali terakhir penulis ke sini, sebab selepas ini penulis akan kembali ke tanah air dan mungkin ya mungkin tidak untuk datang lagi sekali ke sini.
5.30 petang
Pulang ke Travelodge Fort Dunlop untuk bermalam untuk hari yang kedua. Penat tapi seronok. Tiba di Travelodge, penulis dan anak – anak lena tidur sehingga termimpi keseronokan ketika di Drayton Manor Park tadi.
Kemudi ke :
JELAJAH 1 : LONDON – BIRMINGHAM - MANCHESTER (3 hingga 7 Julai 2010) - sambungan
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment