Semasa saya menulis entri ini, saya baru sahaja selesai menunaikan solat sunat Tarawikh untuk malam yang kedua. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam dan perut pun masih kenyang. Kemudian kena bersahur terus kerana imsak adalah pada jam 1.59 pagi. Hari ini berbuka di rumah sahaja, berbuka bersama keluarga pada hari pertama berpuasa Ramadhan – telah menjadi amalan saya sekian lama sebelum ini. Sebelum ini ketika Ramadhan, banyak kali saya dan keluarga beriftar @ berbuka puasa di masjid dengan menunya ialah nasi pilau bercampur daging kambing (nasi orang Pakistan – ala ala nasi goreng Malaysia).
Alhamdulillah, berpuasa pada hari yang pertama hari ini – 11 Ogos 2010 selama hampir 20 jam berjaya dilaksanakan. Bermula imsak pada jam 1.45 pagi dan berbuka pada jam 9.05 malam. Ramadhan tahun 1431 Hijrah @ Ogos 2010 kali ini tiba pada penghujung musim panas. Jam baru sahaja memulakan putarannya semula dan waktu Isyak dan Subuh pun baru boleh dikesan.
Untuk pengetahuan para pembaca, Dundee tempat saya tinggal ini lokasinya terletak di bahagian Utara kepulauan United Kingdom. Jadi pengaruh cahaya Matahari sangat memberi kesan besar kepada waktu solat dan juga musim. Boleh baca di sini untuk maklumat lanjut tentang lokasi UK di peta dunia dan dan di sini tentang lokasi Scotland seterusnya Dundee di dalam United Kingdom. Dan lihat di sini untuk melihat mengapa berlakunya perubahan musim di negara – negara 4 musim.
Hari pertama solat sunat Tarawikh berjemaah semalam, bermula lewat pada jam 10.30 malam kerana waktu Isyak hanya masuk pada jam 10.18 malam. Solat sunat tarawikh di sini tiada ‘laungan’ pujian – pujian kebesaran Allah dan Rasullullah yang diselang seli dengan solat sunat Tarawikh dua rakaat. Solat lebih fokus dalam suasana yang kondusif, suasana sunyi, hanya kedengaran alunan ayat – ayat Al Quran oleh Imam – kita boleh merasai ‘suasana’ kita berada di dalam rumah Allah menghadap-NYA. Ramadhan juga merupakan bulan turunnya Al quran, maka bacaan surah selepas Al-Fatihah setiap rakaat dalam solat Tarawikh bermula dengan surah Al-Baqarah sehingga khatam satu Al quran dalam satu bulan Ramadhan.
Di sini saya berpeluang bersolat dengan pelbagai jemaah yang berasal dari pelbagai negara terutamanya Pakistan dan Arab. Dan juga terbuka minda mengenai kaedah solat yang berpegang pada mazhab – mazhab tertentu, namun solat itu hanya satu, sujud pada Allah yang Satu, Yang Maha Esa. Contohnya ketika berdiri tegak, posisi tangan ada yang letak di bahagian perut, dada dan ada juga yang lepas tangan. Satu lagi, saya amat kagum dengan semangat Ramadhan yang ditunjukkan. Jemaah terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Semua berpusu – pusu ke masjid. Amalan – amalan seperti zikir, bacaan Al Quran diperhebatkan. Namun saya amat tersentuh dengan semangat yang ditunjukkan lebih – lebih lagi orang yang sudah berumur @ tua datang ke masjid dengan bertongkat, mengejar pahala Ramadhan berlipat kali ganda menunaikan solat sunat Tarawikh 20 rakaat walaupun solat dengan cara duduk.
Pada akhir Ramadhan iaitu pada 9 Sepetember 2010, waktu imsak akan menjadi 4.10 pagi dan berbuka pada jam 7.49 malam. Tempoh masa berpuasa semakin pendek lebih kurang 15 jam, memandang musim menuju ke musim luruh.
Di bahagian bawah jadual solat di atas ada ditunjukkan bayaran zakat fitrah iaitu £3.00 seorang untuk tahun ini.
Begitulah pengalaman yang dihadapi oleh saya semasa berpuasa di negara orang atau kita kata di perantauan berjauhan dengan keluarga, adat dan cara kita di Malaysia. Ini kali ketiga saya berpuasa di sini bermula pada tahun 2008 (pertengahan musim luruh) dan tahun 2009 (permulaan musim luruh).
Walaupun berpuasa pada musim panas agak mencabar, namun ia merupakan pengalaman berguna yang mendidik jiwa lebih bersabar dan menguatkan iman, pegangan, taat kepada ajaran Islam. Puasa pada musim sejuk mungkin lebih ‘seronok’ kerana boleh berbuka awal pada jam lebih kurang 3.30 petang. Namun dimaklumkan oleh teman di sini bahawa kitarannya ialah 25 tahun sekali. Katakan sekarang berpuasa pada penghujung musim panas, waktu berpuasa yang sama akan berlaku 25 tahun dari sekarang.
Saya mengambil kesempatan mengucapkan SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA DAN SEMOGA IBADAH PUASA KITA DITERIMA INSYAALLAH.
Tambahan : Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan dan dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan kali ini. Moga ibadah puasaku dan ibadah – ibadahku selama ini diterima.
Cikgu Azmi
Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment