Wednesday, 19 May 2010

Kepentingan Ilmu dalam Islam


ISLAM menjadikan ilmu pengetahuan penggerak utama mencapai maksud merubah kehidupan ke arah lebih baik. Ilmu diangkat ke tahap paling tinggi kerana tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan akan menemui kegagalan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar, iaitu mencari keredaan Allah.

Menurut Islam, ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain. Ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud :
Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Selain itu, ilmu pengetahuan juga alat bagi mencapai tahap keimanan sempurna dan pengukur ketakwaan seseorang kepada penciptanya. Ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi.

Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit.

Allah meletakkan orang beriman dan berilmu ke tahap paling tinggi, seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud :
Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah bermaksud :
Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Ilmu agama atau ilmu yang ada dalam al-Quran dan sunnah akan menjadi benteng mencegah seseorang daripada melakukan perkara dilarang syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau mengejar kebendaan duniawi.

Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti kejuruteraan, kedoktoran, pertanian dan sebagainya dapat membantu kesejahteraan hidup manusia di dunia. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan Islam memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (Hadis riwayat Ibn 'Adiyy, Al-Bayhaqi dan Al-Tabarani)


Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.

Firman Allah bermaksud :
Allah mengangkat beberapa darjat orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, memberi kekuatan ketika dalam kesusahan dan berhadapan dengan musuh. Dengan ilmu, manusia dapat menjalankan ibadah secara sempurna serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

Rasulullah SAW mengajarkan sahabat untuk selalu berlindung daripada sifat malas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, ilmu yang ada pada kita amat sedikit. Alangkah sayangnya jika ilmu yang sedikit dikurniakan Allah gagal untuk dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Allah berfirman bermaksud :
Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.” (Surah Al-Kahfi, ayat 109)

Justeru, kajian yang dibuat adalah bertujuan untuk mencari ilmu, bukan untuk bersaing dengan ilmuwan yang ada, bukan berbahas demi memperoleh kemenangan dan bukan untuk menjadi masyhur. Ia ditulis hanyalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Satu peringatan keras daripada Rasulullah SAW, dilaporkan daripada Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud :
Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari reda Allah, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah lagi di akhirat.

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata :
Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya.

Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.
Diriwayatkan, Rasulullah SAW ada memberitahu kepada Abu Dzar :
Wahai Abu Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik bagimu dari solat seratus rakaat. Dan, pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan, dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari solat seribu rakaat.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sumber : Bharian Online 12/06/2009 (18 JamadilAkhir 1430) – Artikel bertajuk Ilmu angkat martabat manusia sebagai khalifah

KECEMERLANGAN DALAM KERJA


KECEMERLANGAN adalah matlamat diimpikan bukan saja oleh individu tertentu, malah juga oleh sesuatu organisasi berwawasan. Kecemerlangan adalah natijah daripada beberapa siri kejayaan dalam semua aspek diharapkan.

Tiada kecemerlangan bersama dengan kelemahan, kegagalan atau mundur ke belakang. Kecemerlangan membawa implikasi maju ke hadapan, bersifat dinamik, gemilang, menerima sanjungan, dan menjadi idola individu atau masyarakat.

Manusia mempunyai potensi berfikir, merangka strategi, melaksana dan mencapai tahap kejayaan cemerlang dalam sesuatu gerak kerja dilaksanakan. Bagaimanapun, kecemerlangan bukan suatu perkara mudah dicapai.

Kecemerlangan memerlukan pengorbanan, dedikasi, kesungguhan, kesabaran, iltizam, kepemimpinan dan pelbagai lagi sikap dan sahsiah positif. Islam mengatur dan memberi kerangka asas seseorang itu mencapai kecemerlangan mengikut landasannya tersendiri.

Budaya kerja yang bagaimanakah dianggap cemerlang mengikut perspektif Islam?

Sesuatu yang cemerlang pada anggapan seseorang, boleh jadi tidak dianggap cemerlang mengikut perspektif Islam. Apabila disebut saja perkataan ‘budaya kerja cemerlang’, akan tergambar kepada kita bermacam pendekatan, strategi, dan teknik digunakan untuk mencapainya.

Dalam sesuatu organisasi kita akan mendengar ‘MBO’ (management by objective atau pengurusan bermatlamat) yang membabitkan visi, misi, objektif, pelan bertindak, tema, piagam dan sebagainya. Budaya kerja akan dirancang berdasarkan visi, misi dan objektifnya.

Sebagai contoh, sebuah organisasi menetapkan misinya untuk mendidik pelajar supaya menjadi guru budiman, cekap, kreatif pengajarannya serta dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan pendidikan di sekolah menetapkan budaya kerjanya yang tersendiri.

Cara kerja atau budaya kerja yang hendak dibina adalah berdasarkan dorongan ke arah pencapaian hasil yang bermutu dan perkhidmatan cemerlang, sentiasa menghasilkan idea baru, berdisiplin, ilmiah dan profesional, kerja berpasukan dan wujudnya rangkaian kerja.

Seorang yang bekerja dengan cemerlang tidak akan bekerja sambil lewa. Kerja dan tugas sehariannya tidak akan dianggap sebagai bebanan atau sebagai satu rutin yang membosankan. Kerja yang perlu dilaksanakan akan dilakukannya dengan bersungguh-sungguh, tidak sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.

Prestasi kerjanya akan sentiasa tinggi. Jika menemui kesulitan ketika melaksanakan tugas, perkara perlu dilakukan adalah berusaha mencari jalan mengatasi atau menyelesaikan masalah itu dan tidak mudah berpatah hati dan mengaku kalah sebelum menyelesaikannya.

Untuk mencapai tahap kecemerlangan, seorang pekerja itu mesti ada disiplin. Mereka yang mempunyai disiplin diri boleh bekerja dengan baik dalam semua keadaan. Antara disiplin perlu ada pada seseorang untuk mencapai budaya kerja yang cemerlang adalah seperti berikut :

l Bersikap inisiatif. Pekerja yang mempunyai sikap inisiatif adalah mereka yang melakukan usaha atau sesuatu sebelum dipaksa oleh keadaan atau diarah melakukannya. Sesuatu kerja itu perlu dilakukan dengan tekun dan teliti untuk mengelakkan berlakunya kesilapan.

Kesilapan dalam melakukan pekerjaan memanglah boleh dimaafkan, tetapi jika dilakukan berulang kali akan menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan orang lain. Setiap pekerja mempunyai kebolehan tersendiri dalam bidang yang mereka ceburi. Oleh itu, mereka yang beretika dalam kerjanya akan sentiasa giat berusaha mengembangkan institusi di mana mereka bekerja.

l Niat. Orang yang tidak mempunyai niat yang betul ketika bekerja tidak akan bekerja dengan baik. Orang itu tidak akan mempunyai komitmen terhadap kerja dilakukan. Ramai orang bekerja, tetapi tidak faham atau mengerti kenapa mereka bekerja selain daripada ingin menyara hidup.

l Bertanggungjawab terhadap masyarakat, iaitu etika kerja turut menekankan tanggungjawab terhadap masyarakat. Tidak wajar mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan akibat perbuatan itu kepada masyarakat dan alam sekitar.

l Amanah dalam kerja, iaitu sifat amanah adalah teras keharmonian dan kejayaan sesebuah institusi masyarakat atau pekerjaan. Bayangkan jika seseorang pekerja atau pegawai tidak mempunyai sifat amanah, segala urusan tidak akan berjalan sempurna dan membawa kepada kehancuran sesuatu institusi itu.

l Komited terhadap kerjaya. Kunci kejayaan seseorang individu ialah komited terhadap kerjaya diceburinya. Komited dimaksudkan di sini ialah menumpukan perhatian dan bersungguh-sungguh terhadap apa dilakukan. Sifat komited ini dapat menyumbang ke arah terhasilnya mutu kerja atau khidmat cemerlang.

l Akhlak, adalah teras pembentukan etika kerja profesional. Akhlak mulia yang dimiliki seseorang pekerja mahu pun ketua menjadi lambang ketinggian peribadi dan kualiti individu terbabit.

l Jujur dalam pekerjaan. Sifat jujur atau benar dapat membentuk hubungan sihat di antara sesama pekerja, pekerja dan majikan dan sesama pelanggan. Sifat jujur dan benar dapat membendung segala perasaan syak wasangka dan tipu daya atau dusta.

l Bersyukur, atas kejayaan dan keuntungan diperoleh hasil sesuatu pekerjaan. Harus diingat bahawa keuntungan diperoleh adalah nikmat kurniaan Allah.

l Pengurusan masa. Dalam menjalani pekerjaan, amat perlu dititikberatkan soal pengurusan masa kerana antara faktor kejayaan dalam pekerjaan adalah pengurusan masa berkesan. Pengurusan masa yang cekap dapat membantu meringankan beban tugas di samping memudahkan segala urusan kerja.

l Menilai diri (Muhasabah), iaitu menilai diri, menghitung kebaikan dan keburukan dilakukan sepanjang kehidupan dilalui. Muhasabah ini tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada bangsa dan negara melainkan seorang itu menyedari bahawa dia ada peranan dan kewajipan sebagai anggota masyarakat.

Inilah beberapa perkara perlu ada pada seseorang pekerja untuk membentuk kecemerlangan kerjaya seseorang dalam acuan perspektif Islam.

Sumber rujukan : Bharian Online 8/06/2009 (14 Jamadilakhir 1430) – Artikel bertajuk Budaya kerja cemerlang menurut perspektif Islam

Saturday, 15 May 2010

Biar Ku Menjadi Lilin - Pelangi

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan


Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh

Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian
Demi satu ikatan

Keikhlasan dihati
Walaupun kau ragui
Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian saat kau kegelapan
Kurela menerangkan


Aku senang begini dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri

Video berikut untuk tujuan audio sahaja....

Thursday, 13 May 2010

Lirik Lagu Permata Buat Isteri - Kopratasa

Telah kusiapkan
Satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi
Sebagai isteri


Untuk kau penuhi dengan kemuliaan
Seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami


Kerana engkau isteri...
Ku ingin kau mengerti
Bahawa hidup ini tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

Monday, 10 May 2010

MAK, UMMI, IBU, MAMA, MUMMY... Bahagian 2

TANGGUNGJAWAB ANAK SELEPAS IBU BAPA MENINGGAL DUNIA

Sebenarnya kewajipan menghormati ibu bapa tidak terhenti walaupun kedua-dua mereka sudah meninggal dunia. Walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia anak dikehendaki berdoa supaya mereka sentiasa bahagia di sisi Allah. Selain itu, anak digalakkan menziarahi kubur ibu bapa mereka.

Jelaslah menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama serta berterusan sepanjang masa. (06)

# Menerima berita kematian ibu atau bapa dengan reda dan sabar di atas qada dan qadar serta ketentuan Allah dengan mengucap ‘Inna lillaahi wa inna ilaihiraajiuun’ dan tidak meratap kematian berkenaan.

# Menguruskan jenazah dengan memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengebumikan dengan sempurna. Lebih afdal kalau anak berupaya membaca sendiri talkin untuk orang tua mereka.

# Menyelesaikan hutang piutang ibu bapa dan membahagikan harta peninggalan mengikut hukum faraid yang ditetapkan supaya tidak timbul sebarang perbalahan di kalangan mereka yang berhak menerimanya.

# Mengqada puasa atau membayar kaffarah untuk ibu bapa mereka sekiranya ibadat tertangguh ketika hayatnya.

# Kalau berkemampuan, anak boleh menunaikan haji atau upah orang mengerjakan haji atau umrah bagi kedua-dua ibu bapa yang sudah meninggal itu.

# Gandakan kebajikan, sedekah mudah-mudahan mendapat ganjaran Allah seterusnya merahmati roh ibu dan bapa kita.

# Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia, sebagai anak, kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh. (07)

TANGGUNGJAWAB ANAK MENANTU TERHADAP IBU BAPA MENTUA

Ibu bapa mentua juga wajar dihormati seperti taraf menghormati ibu bapa sendiri. Kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama tidak kira sama ada mentua beragama apa sekali pun (lihat bahagian seterusnya).

Menantu lelaki terutama mempunyai tanggungjawab berat terhadap mentua berbeza dengan menantu perempuan. Menantu lelaki mesti menghormati ibu mentua diikuti bapa mentua selepas Allah dan Rasul.

Mengabaikan seorang daripada mentua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri. Kesejahteraan rumah tangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mentua. Jika tanggungjawab itu diabaikan sudah tentu si isteri akan menjadi kurang selesa disebabkan ibu bapanya sendiri diabaikan oleh si suami. (07)

MENGHORMATI IBU BAPA YANG BUKAN BERAGAMA ISLAM

Ibu dan bapa adalah insan mulia yang wajib dihormati dan diraikan sepanjang hayat sama ada mereka Muslim atau bukan Islam sekali pun.

Perintah Islam supaya menghormati dan mentaati ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau tidak.

Cuma, bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan mentaati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah.

Diriwayatkan daripada Sa'id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, "Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad SAW)." (Hadis riwayat Muslim)

Berikutan peristiwa itu, Allah menurunkan ayat yang bermaksud :
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 8)

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud :
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan." (Surah Luqman, ayat 14-15) (06)

Sungguh agung hak ibu bapa kita sehingga ia disamakan dengan hak Allah SWT ke atas manusia yakni “bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu.” Apa yang menariknya lagi daripada ayat ini adalah peringatan mengenai kiamat selepas mengingatkan kita kepada hak orang tua iaitu kepada Allah SWT juga tempat kembali untuk menerima balasan.

Ini ditegaskan oleh baginda SAW dalam sebuah hadis bermaksud :
Rasulullah SAW ditanya mengenai peranan kedua-dua orang tua. Baginda lalu menjawab, “Mereka adalah (yang menyebabkan) syurgamu atau nerakamu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) Dengan pengertian kalau anak berbuat baik kepada mereka, dia masuk syurga dan kalau bersikap derhaka kepada mereka, dia masuk neraka.

Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan Islam. Hormat dan taatilah ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam dosa besar. (09)

MUHASABAH DIRI - SAYANGI, HARGAILAH IBU ANDA SEBELUM TERLAMBAT

Cakap ibu tidak lagi dijadikan azimat tetapi sering dijadikan topik untuk bertikam lidah. Sampai ke tahap kita buat semua perkara tanpa pengetahuan ibu. Perkara yang kita suka tetapi tidak boleh diterima oleh ibu kita dahulukan.

Ada yang berfikiran waras, nasihat dan teguran diambil kira, sayang sekali bagi mereka yang hanya menurut kata hati, teguran ibu bagaikan belati menyusuk hati, hingga hilang jati diri.

Allah menzahirkan perasaan sayangnya-Nya kepada manusia melalui ibu yang mengandung, melahir dan mendidik kita . Sudah cukup derita yang mereka tanggung sebelum kita lahir ke dunia. Sifat kasih dan penyayang ibu ini bukan ciptaan dan lakonan tetapi realiti fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada si ibu.

Itulah sebabnya menderhaka kepada ibu bapa adalah salah satu dosa besar yang tidak boleh diampun kecuali oleh mereka sahaja dan balasannya akan diterima bukan sahaja di akhirat, malah di dunia.

Jika anda masih belum sedar dan leka dengan alam fantasi, jangan salahkan keadaan jika terjadi sesuatu yang bakal menjadikan kita sebagai anak yang akan menyesal seumur hidup.

Ketika itu, menangis dengan air mata darah sekalipun tidak akan berguna lagi. Ingatlah, doa seorang ibu paling mustajab, begitu juga sebaliknya. Jika pun mereka ada tersilap, jangan simpan di hati.

SERBA SEDIKIT MAKLUMAT TENTANG HARI IBU

Hari Ibu disambut kebanyakannya pada Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun. Meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan-amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna.

Hari Ibu merupakan sambutan kebesaran yang dikatakan bermula pada zaman Mesir purba untuk memberi penghormatan kepada Dewi Isis, atau Dewi Cybele di Rom, atau Dewi Rhea di Greek. Di Eropah pula sambutan 'Mother Church' diraikan bagi menghargai gereja kerana pembaptisan.

Sehinggalah sambutan Hari Ibu akhirnya diiktiraf seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun sempena memperingati wanita bernama Anna Reeves Jarvis, kematiannya menyebabkan anak perempuannya, Anna M Jarvis memulakan kempennya mewujudkan sambutan Hari Ibu secara rasmi.

Dalam petisyennya kepada gereja di mana ibunya berkhidmat sebagai tenaga pengajar setiap hari Ahad, permintaannya untuk memilih tarikh 10 Mei 1908 sebagai Hari Ibu dimakbulkan dan sambutan dibuat secara rasmi di West Virginia walaupun Hari Ibu sudah diraikan masyarakat beragama Kristian seawal 1840.

Tarikh yang sama jugalah pada setiap tahun kita meraikannya untuk menghargai ibu. Bukan mentakwilkan keperluan meraikan ibu, tetapi menggembirakan mereka tarikh sama Anna M Jarvis memperingati ibunya yang menghambakan diri kepada gereja sehingga akhir hayatnya bagaikan satu sindiran kepada umat Islam yang sepatutnya mengingati, menghargai dan mendoakan ibu setiap hari atau sekurang-kurangnya bukan pada tarikh itu.

Andainya kita boleh memilih tarikh untuk mengingati ibu yang sudah pergi, alangkah indah jika hari terakhir Saidatina Khadijah di dunia ini diingati untuk disedekahkan Al-Fatihah dan doa, supaya seluruh ibu turut diingati. (08)

Pendapat Ulama dan Ilmuwan Islam tentang sambutan Hari Ibu

Ilmuwan Islam sebenarnya berbeza pendapat mengenai sambutan Hari Ibu kerana ada berpendapat menyambutnya adalah haram atas dasar ia menyerupai amalan orang bukan Islam dan orang Islam meniru membuta tuli tanpa menyelidik apakah yang ada di sebalik sambutan itu. Apatah lagi tindakan mengambil satu hari dan dinamakan Hari Ibu tidak diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW atau sahabat.

Pendapat kedua mengatakan, harus dan dibolehkan dengan syarat anak menunjukkan penghormatan dan menjaga kebajikan ibu bukan dihadkan pada hari itu saja, tetapi meraikan ibunya sepanjang masa. Cuma pada hari itu dilebihkan penzahiran kasih sayang dan penghormatan berbanding hari lain.

Pendapat Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research), Sheikh Faysal Mawlawi, yang disiarkan dalam islamonline sangat menarik untuk diperhatikan.

Beliau menyebut, semua Muslim wajib menghormati ibu dan bapa masing-masing terutama ibu. Apa yang Islam tidak benarkan adalah kita meniru orang bukan Islam dengan meletakkan satu hari sebagai hari meraikan ibu, seolah-olah hari lain ibu tidak diraikan.

Apa yang berlaku dalam segelintir kehidupan orang Barat ialah anak yang meninggalkan dan tidak menjaga kebajikan ibu mereka, tetapi kembali ke rumah ibu bapa bertanya khabar hanya pada Hari Ibu dan menunjukkan penghargaan kepada ibu mereka pada hari itu saja. Selepas hari ibu, keadaan akan kembali kepada biasa. Hidup terpisah seperti sebelumnya. (10)

Sumber rujukan :
(01) Bharian Online 28 Julai 2009 (5 Syaaban 1430) – Artikel bertajuk Tajdid Iman: Pahala mentaati ibu bapa melebihi jihad fisabilillah

(02) Bharian Online 19 Januari 2010 (4 Safar 1431) – Artikel bertajuk Tidak sia-sia menjaga ibu bapa sudah berumur

(03) Utusan Online 07 Mei 2010 (23 Jamadil Awal 1431) – Artikel bertajuk Syurga di bawah telapak kaki ibu

(04) Bharian Online 21 November 2009 (3 Dzulhijjah 1430) – Artikel bertajuk Berbuat baik kepada ibu bapa amalan dituntut

(05) Harakahdaily Online 12 Mei 2007 Khamis – Artikel bertajuk Selamat Hari Ibu: Kasih ibu membawa ke syurga

(06) Bharian Online 9 Mei 2009 (14 Jamadilawal 1430)- Artikel bertajuk Derhaka terhadap ibu bapa hampiri dosa syirik

(07) Bharian Online 26 Mei 2009 (1 Jamadilakhir 1430) – Artikel bertajuk Tanggungjawab terhadap ibu bapa

(08) Bharian Online, 21 Mei 2009 (26 Jamadilawal 1430) – Artikel Memilih tarikh Saidatina Khadijah wafat lebih mulia bagi umat Islam

(09) Bharian Online 09 Mei 2010 (25 Jamadil Awal 1431) – Artikel bertajuk Ulul Albab: Jadi anak salih tanda syukuri pengorbanan ibu bapa

(10) Bharian Online, 30 Mei 2009 (5 Jamadilakhir 1430) – Artikel bertajuk Menghargai bonda sepanjang masa bukan hanya pada Hari Ibu

MAK, UMMI, IBU, MAMA, MUMMY... selingan

Sebelum penulis memasukkan entri bahagian 2 mengenai Ibu, penulis ingin berkongsi tiga video yang mana penulis berpendapat cukup bagi kita menilai pengorbanan ibu kita. Yang mana sudah cukup bukti bahawa Ibu adalah insan yang mesti kita jaga hatinya. Terus berbuat jasa dan terus mendahului keperluannya terlebih dahulu, demi untuk membuatkan ibu rasa gembira.

Ibu ‘membawa’ kita selama sembilan bulan dalam kandungan. Selama ibu mengandungkan kita pelbagai dugaan seperti alahan dan kepayahan yang perlu dilalui. Apapun ibu tidak pernah merungut demi anak yang dikandungnya. Ibu cuba untuk membuat yang terbaik agar nanti Insyaallah anak yang bakal dilahirkan sihat dan berharap agar anak tersebut menjadi anak yang soleh atau solehah.

Video 1 - Proses Ibu Mengandung Sampai Melahirkan



Video 2 - Hakikat Penciptaan Manusia berdasarkan Al Quran



Setelah tiba masa untuk melahirkan, ibu bersabung nyawa. Menempuhi segala kesakitan dan keperitan. Namun dikuatkan semangat dan kudrat demi anak yang bakal lahir. Menanti penuh debar tangisan pertama bayi yang pasti menghilangkan segala kesakitan yang ditanggung. Setelah bayi dilahirkan, ibu terus menjalankan tugas mendidik iaitu mennyusukan bayi yang dilahirkan agar tidak terus kelaparan dan senantiasa mendapat apa yang terbaik.

Video 3 - melahirkan anak



Ibu akan menjalani tempoh pemulihan selepas kelahiran selama 40 hari. Pelbagai cara, berpantang demi mengembalikan kesihatan kerana selepas itu tugas sebagai pendidik, mencorak anak berterusan sehinggalah anak cukup matang, berilmu untuk menjaga diri sendiri. Tugas memberi nasihat dan berpesan tetap diberikan sehingga akhir hayat walaupun anak sudah mendirikan rumah tangga. Apapun kalau anak itu tersasar daripada jalan yang betul, ibu malahan bapa merupakan insan yang pasti kita tuju untuk mencari semula sinar keinsafan dan kebahagiaan.

Tiga video ini betul – betul memberi keinsafan kepada penulis dan membuktikan Ibu merupakan insan yang perlu ditaati selepas Allah dan Rasul. Berbuat baiklah pada Ibu selagi Ibu masih ada.

Sunday, 9 May 2010

MAK, UMMI, IBU, MAMA, MUMMY... Bahagian 1

Panggilan tidak kira sama ada MAK, UMMI, IBU, MAMA, BONDA MUMMY dan lain – lain gelaran diberikan kepada satu – satu insan yang ‘membawa’ kita ke dunia ini.

Bagi penulis, panggilan ‘mak’ cukup mengingatkan penulis kepada ibu penulis yang pastinya sangat layak dimartabatkan sebagai insan yang perlu sangat disayangi, dihormati, dan dijaga, dijaga lebih – lebih lagi hatinya. Kadangkala apabila duduk berjauhan sebegini, terasa rindu yang amat sangat yang kadang kala tidak disedari air mata mengalir menatapi dan teringatkan mak yang tersayang.


Kita mesti menghormati, meraikan, menzahirkan kasih sayang dan menjaga kebajikan ibu sampai bila – bila. Kasih sayang ditunjukkan melalui perhatian, ketelusan anak –anak menjaga dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak terhadap ibu bapa.

Dalam entri kali ini dan bersempena dengan Hari Ibu yang mana negara kita menyambutnya pada Ahad minggu kedua dalam bulan Mei, penulis cuba mengkompilasikan beberapa artikel tentang Ibu. Penulis cuba menghasilkan kompilasi artikel yang boleh memberikan kefahaman dan seterusnya penghayatan tentang peranan, taraf dan status seorang Ibu yang memang semua tahu merupakan insan yang sangat – sangat istimewa yang perlu disanjung dan dikasihi.

Semoga entri ini memberi manfaat kepada penulis dan juga para pembaca yang mungkin boleh mengingatkan kita tentang insan istimewa ini serta meningkatkan perasaan kasih sayang kita untuk lebih menghargai Ibu kita.

PENGORBANAN IBU TERHADAP ANAK - ANAK

Peranan ibu adalah sangat besar kerana merekalah yang bersusah payah mengandungkan kita selama sembilan bulan, bertarung nyawa melahirkan kita, menyusukan anak sehingga umur dua tahun dan kemudian mendidik kita dengan pelbagai ilmu.

KETIKA bayi ibu membelai dan menatang anak dengan penuh kasih sayang dan apabila besar sewajarnyalah anak membalas kasih sayang yang diberikan.

Saat anak-anak masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya.

Setiap ibu mahukan anak-anaknya berjaya. Sehinggakan ibu sanggup tidak makan dan bersusah payah untuk memastikan anak-anak tidak kelaparan dan berjaya dalam pelajaran.

Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa.

Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu dan bapa. Anak yang salih dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga.

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya.

Namun, kerana wujudnya hubungan dan 'naluri' yang telah terjalin di antara kita dengan ibu sejak berada dalam rahimnya lagi menuntut kita untuk menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka. (01)

Daripada perspektif Islam dan budaya masyarakat kita, martabat seorang ibu sangat-sangat tinggi. Jangan sesekali seorang ibu itu disakiti hati dan perasaannya.

KEDUDUKAN ISTIMEWA IBU BAPA TERUTAMA STATUS IBU DALAM ISLAM

Kedudukan istimewa ibu bapa terserlah apabila Rasulullah SAW tidak membenarkan seseorang melaksanakan satu misi besar lagi penting dalam urusan dakwah sekiranya ia bakal mengundang kesedihan kepada ibu bapanya atau tidak mendapat keizinan mereka.

Ketika peristiwa Hijrah, ada seorang sahabat datang kepada baginda dengan memberi taat setia (bai'ah) untuk turut berhijrah, namun perbuatannya ini menyebabkan kedua ibu bapanya menangis. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya :
"Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis." (Hadis riwayat Imam al-Nasaa'i.) (02)

Di dalam peristiwa lain, seorang lelaki dari Yaman berhijrah kepada Rasulullah SAW untuk berjihad bersama baginda, namun apabila baginda mendapati dia belum mendapat keizinan kedua ibu bapanya maka baginda bersabda :
"Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin daripada mereka berdua. Jika mereka mengizinkan kau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua." (Hadis riwayat Abu Daud)

Lihatlah bagaimana berbakti kepada ibu bapa itu lebih utama berbanding dua perkara yang begitu penting dalam Islam iaitu peristiwa hijrah dan juga jihad.

Berhati-hatilah bagi anak yang pernah melukakan hati kedua orang tua mereka. Janganlah tindakan mereka itu sehingga menyebabkan ibu mahupun bapa mendoakan keburukan terhadap anak kerana doa golongan yang dizalimi dan doa ibu bapa itu pasti makbul. Rasulullah pernah bersabda :
"Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi, doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya." (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) (02)

Berdasarkan sebuah hadis, umat manusia percaya, syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Amat besar dosa derhaka terhadap ibu. Bahkan dikatakan darjat ibu tiga kali ganda dibandingkan ayah dalam hal penghormatan anak kepada kedua orang tuanya.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah :
"Saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah." Rasulullah bertanya: "Apakah ibumu masih hidup?" Orang itu menjawab, ya. Rasulullah SAW bersabda. "Tetaplah engkau berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada." (Riwayat At-Thabrani) (03)

Begitu juga cerita di mana seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, "Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?' Lalu Rasulullah SAW menjawab "Ibumu'. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali "Siapakah selepas ibu?" dan jawapan Rasulullah SAW tetap "Ibumu". Akhirnya bila ditanya lagi 'Siapakah selepas ibu?' barulah Rasulullah SAW menjawab "Bapamu". (Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini. (05)

Apa yang sangat membanggakan manusia bahawa Allah SWT telah menceritakan kisah ibu dalam kitab suci al-Quran, dengan cara yang amat menyenangkan sekali. Allah SWT berfirman, maksudnya :
"Maka Kami kembalikannya (Musa) ke pangkuan ibunya supaya menyenangkan hatinya dan tidak berduka." (Surah al-Qasasb : 13)

Syariat Sa'i di antara bukit Safa dan Marwah dalam ibadat haji dan umrah adalah memperingati peristiwa yang berlaku kepada Siti Hajar (bonda Nabi Ismail) yang mana Siti Hajar penuh sabar dan tabah mencari air untuk menghilangkan dahaga anaknya.

Pengorbanan itu adalah bukti yang nyata bahawa Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberi penghargaan yang abadi kepada golongan ibu dengan disyariatkan peristiwa itu dalam salah satu Rukun Islam yang kelima. (03)

Ulama mempunyai pendapat tersendiri mengenai persoalan berbuat baik kepada ibu bapa.

Ibnu Batutta menyatakan seseorang ibu berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana susah payah yang dialaminya sendirian ketika hamil, bersalin dan ketika menyusukannya. Manakala bapa berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana kerjasamanya dengan ibu dalam memberi nafkah dan mendidik anak-anak.

Al-Qurtubi, seorang pakar tafsir menunjukkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak menerima kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghormatan daripada anak-anaknya iaitu sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan dengan kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghargaan yang berhak diterima oleh seorang bapa daripada anak-anaknya. Al-Qurtubi juga menyatakan, jika berlaku pertembungan keperluan antara bapa dan ibu dalam mendapat khidmat anak-anaknya, maka ibulah yang lebih berhak diutamakan. (03)

Selanjutnya, beliau berhujah bahawa si ibu adalah lebih utama untuk dicurahkan kebaikan kepadanya kerana kesusahan ketika mengandung, penderitaan ketika melahirkan dan pengorbanan yang dilakukan ketika membesarkan dan mendidik si anak. Justeru, ketaatan kepada ibu adalah lebih utama jika dibandingkan dengan bapa. Sementara bagi perkara haram, seseorang mesti meninggalkannya walaupun disuruh ibu bapa.

Imam Malik berpendapat kedudukan ibu dan bapa adalah sama dari sudut hak untuk mendapatkan ihsan daripada anak. Al-Layth bin Sa'd menyatakan berbuat baik kepada ibu adalah tiga kali ganda lebih utama jika dibandingkan dengan berbuat baik kepada bapa. (04)

TUNTUTAN UNTUK BERBUAT BAIK TERHADAP IBU TERUTAMANYA

BERIMAN dan mentauhidkan Allah adalah syarat yang perlu dipatuhi agar segala ibadat yang dilakukan seseorang tidak menjadi sia-sia. Seterusnya, Allah memerintahkan supaya manusia melakukan kebaikan (ihsan) kepada kedua ibu bapa, lebih – lebih lagi yang sudah lanjut usianya. Ihsan kepada ibu bapa dengan mentaati segala kemahuan mereka selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Begitu juga, apabila bercakap dengan ibu bapa, si anak diharamkan meninggikan suara, mengherdik, mencaci dan berkata dengan perkataan yang tidak baik. Malah, mereka juga tidak boleh menunjukkan 'bahasa badan' yang boleh mengguris perasaan kedua-duanya.

Ia menggambarkan ibu bapa mempunyai kedudukan yang amat istimewa menurut perspektif agama sebagaimana firman Allah SWT, bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua di dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Uhh`, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang ketika memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al-Isra' : 23 – 24) (04)

Jika menyebut ungkapan 'uh' atau 'ah' pun sudah dikira menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak yang mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud :
"Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda." (Hadis riwayat Muslim) (06)

BEBERAPA PERKARA YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH ANAK UNTUK MEMENUHI TANGGUNGJAWAB DAN SETERUSNYA TAAT KEPADA IBU

Terdapat dua jenis tanggungjawab yang boleh dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka kerana jika mereka berbuat ehsan, menjaga kebajikan dan menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa, ia membawa kepada seribu keberkatan untuk si anak yang melakukannya.

Tanggungjawab pertama ialah tanggungjawab yang boleh dilakukan ketika ibu bapa masih hidup, manakala yang kedua ialah perkara yang perlu dilakukan selepas mereka meninggal. (07)

# Fahami ibu kita.
Kita sedar dan fahami bahawa apabila umur meningkat, ibu kita akan lebih sensitif, kuat terasa hati, cerewet dalam pelbagai perkara dan juga daya ingatan mulai lemah. Hidup ini ibarat roda, apaila umur meningkat keadaan kita seolah – olah kembali semula seperti seorang bayi yang memlerlukan lebih perhatian, penjagaan dan bantuan daripada orang – orang sekeliling.

# Sentiasa berbuat baik dan menjalinkan hubungan mesra dengan ibu bapa.
Walaupun terdapat sedikit pergeseran pendapat dan kurang bersefahaman. Abdullah bin Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda :
Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah adalah bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya." (Hadis al-Tirmizi).

# Berlemah-lembut ketika bercakap dengan mereka dan tidak meninggikan suara.
Selain itu senantiasa mengukir senyuman apabila bersua muka dengan ibu. Mengungkapkan kata – kata yang menunjukkan kita kasih dan sayang akan ibu kita. Seseorang diharamkan daripada membantah, berdebat, berdusta dan mendahului percakapan mereka.

# Sentiasa berdoa kepada Allah agar mereka sentiasa diampunkan, dikurniaankan kesejahteraan dan keselamatan.
Berdoa yang dimaksudkan di sini bukan hanya terbatas ketika mereka masih hidup saja, malah dituntut juga berdoa selepas kedua-duanya meninggal dunia. Ini kerana doa anak yang soleh untuk ibu bapanya akan diterima Allah. (04)

Allah memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa meminta dan memohon sesuatu dari-Nya, pemilik segala perbendaharaan di dunia dan akhirat. Allah berfirman bermaksud:
"Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku memperkenankan doa permohonan kamu." (Surah Al-Mu'min, ayat 60)

Sebagai seorang anak, tentulah doa untuk ibu menjadi ulam bicaranya dengan Ilahi setiap waktu menghadapnya. Biarpun ibu tidak mengetahuinya, itu tidak pernah menjadi halangan untuk anak meminta yang terbaik dari Allah supaya ibu sentiasa bahagia, diberi keberkatan dan kerahmatan, juga digolongkan bersama orang solehah di akhirat kelak.

Perlu diingat, tiada siapa paling bermakna doanya kepada ibu melainkan anak. Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
"Apabila anak Adam wafat, putuslah amalnya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Apapun yang berlaku setiap anak harus menyebut nama ibunya dalam doa, paling tidak mohonlah dosa mereka diampunkan.

Terakam dalam surah Ibrahim bermaksud :
"Ya Tuhan kami, ampunkanlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)." (Surah Ibrahim, ayat 4)

Anak yang sedari kecil dikasihi dan dilimpahkan sepenuh kasih sayang, mohonlah :
"Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua mendidik aku waktu kecil." (Surah al-Israa, ayat 24)

Sebaik-baik doa untuk ibu adalah ditadahkan oleh anak dicintai Allah. Berdoalah untuk ibu, supaya mereka gembira menghabiskan usia yang masih bersisa, dilindungi Dia walau di mana berada dan sentiasa akur kepada perintah dan larangan-Nya. (08)

# Membantu mereka dari sudut material, fizikal dan emosional mengikut kadar kemampuan yang dimiliki.
Ia akan membuatkan ibu bapa merasa gembira sekali gus akan membawa keberkatan di dalam hidup seseorang anak. Keikhlasan dan perhatian anak-anak dalam membantu ibu lebih utama daripada ungkapan “saya sayang emak” semata-mata.

# Menunaikan segala wasiat apabila mereka meninggal dunia.
Begitu juga, si anak sepatutnya terus menjalinkan silaturahim dengan saudara-mara dan rakan-taulan ibu bapa mereka. Ia akan dapat melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan hidup dalam keadaan harmoni. (04)

# Menjaga makan minumnya.
Kalau dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak-anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.

# Menelefon, pulang melihat ibu bapa sekerap mungkin kerana mereka rasa dihargai.
Nilai masa yang diluangkan bersama ibu lebih penting daripada semata-mata wang ringgit yang dikirim setiap bulan.

Jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita mereka. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia 'emas'nya itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya.

# Meraikan mereka seperti hari lahir mereka, menyediakan hadiah yang boleh menggembirakan mereka. Sekali sekal membawa ibu bersiar – siar dan bercuti.

# Sebagai anak, kita juga memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan yang disyariatkan Islam dan norma-norma budaya dan masyarakat.

GANJARAN PAHALA YANG BESAR JIKA BERBUAT BAIK PADA IBU BAPA

Tanggungjawab anak kepada ibu bapa di atas dunia, mereka yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala yang amat besar dan bukan kepalang.

# Jika berbuat buat baik kepada ibu bapa, ganjaran yang Allah berikan ialah panjang umur dan murah rezeki selain itu mendapat kasih sayang daripada isteri dan anak - anak. Anak yang sebegini diredhai Allah dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.

Ini bertepatan dengan satu hadis daripada Ibn Umar, Rasulullah bersabda :
"Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, nescaya anakmu akan berbuat baik kepadamu. Dan bersikap jujurlah kepada ibu bapamu, nescaya isteri kamu akan bersikap jujur kepada kamu." (Hadis al-Tabarani)

# Hidup mereka juga sentiasa dalam keberkatan dan peliharaan Allah serta dijauhkan daripada kesempitan hidup. Besar atau tidak ganjaran yang bakal diperoleh, ia mengatasi pahala berjihad fisabilillah.

# Anak yang tidak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mendapat kemuliaan luar biasa dan Allah menjauhkan rasa dukacita serta kesedihan daripada hidupnya. (07)

Mereka juga berselindung di sebalik amal salih yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai.

Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud beliau berkata :
"Saya bertanya kepada Nabi SAW. "Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda bersabda: Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda : Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya : Kemudian apa lagi? Baginda bersabda : Berjihad di jalan Allah." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan. Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang. (01)

MENDERHAKA TERHADAP IBU KHUSUSNYA TERMASUK DALAM DOSA BESAR

Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah SWT.

Ramai tak sedar jarang bertanya khabar kepada orang tua di kampung dikira menderhaka. Ramai anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu." (Surah Al-Isra' ayat 23)

Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud :
Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Nabi SAW pernah bertanya kepada sahabat sebanyak tiga kali :
"Mahukah aku memberitahu kalian mengenai dosa yang paling besar?" Maka mereka pun menjawab: "Sudah tentu wahai Rasulullah." Baginda menjelaskan: "Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Ini mengingatkan kita kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud :
Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati”. (riwayat al-Hakim) (01)

Selain itu, diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud :
"Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)

Sebaliknya, anak-anak perlu sentiasa menghormati ibu kerana reda Allah kepada kita bergantung kepada reda ibu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani) (06)

Akan bersambung.... bahagian 2