Sunday, 9 May 2010

MAK, UMMI, IBU, MAMA, MUMMY... Bahagian 1

Panggilan tidak kira sama ada MAK, UMMI, IBU, MAMA, BONDA MUMMY dan lain – lain gelaran diberikan kepada satu – satu insan yang ‘membawa’ kita ke dunia ini.

Bagi penulis, panggilan ‘mak’ cukup mengingatkan penulis kepada ibu penulis yang pastinya sangat layak dimartabatkan sebagai insan yang perlu sangat disayangi, dihormati, dan dijaga, dijaga lebih – lebih lagi hatinya. Kadangkala apabila duduk berjauhan sebegini, terasa rindu yang amat sangat yang kadang kala tidak disedari air mata mengalir menatapi dan teringatkan mak yang tersayang.


Kita mesti menghormati, meraikan, menzahirkan kasih sayang dan menjaga kebajikan ibu sampai bila – bila. Kasih sayang ditunjukkan melalui perhatian, ketelusan anak –anak menjaga dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak terhadap ibu bapa.

Dalam entri kali ini dan bersempena dengan Hari Ibu yang mana negara kita menyambutnya pada Ahad minggu kedua dalam bulan Mei, penulis cuba mengkompilasikan beberapa artikel tentang Ibu. Penulis cuba menghasilkan kompilasi artikel yang boleh memberikan kefahaman dan seterusnya penghayatan tentang peranan, taraf dan status seorang Ibu yang memang semua tahu merupakan insan yang sangat – sangat istimewa yang perlu disanjung dan dikasihi.

Semoga entri ini memberi manfaat kepada penulis dan juga para pembaca yang mungkin boleh mengingatkan kita tentang insan istimewa ini serta meningkatkan perasaan kasih sayang kita untuk lebih menghargai Ibu kita.

PENGORBANAN IBU TERHADAP ANAK - ANAK

Peranan ibu adalah sangat besar kerana merekalah yang bersusah payah mengandungkan kita selama sembilan bulan, bertarung nyawa melahirkan kita, menyusukan anak sehingga umur dua tahun dan kemudian mendidik kita dengan pelbagai ilmu.

KETIKA bayi ibu membelai dan menatang anak dengan penuh kasih sayang dan apabila besar sewajarnyalah anak membalas kasih sayang yang diberikan.

Saat anak-anak masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya.

Setiap ibu mahukan anak-anaknya berjaya. Sehinggakan ibu sanggup tidak makan dan bersusah payah untuk memastikan anak-anak tidak kelaparan dan berjaya dalam pelajaran.

Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa.

Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu dan bapa. Anak yang salih dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga.

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya.

Namun, kerana wujudnya hubungan dan 'naluri' yang telah terjalin di antara kita dengan ibu sejak berada dalam rahimnya lagi menuntut kita untuk menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka. (01)

Daripada perspektif Islam dan budaya masyarakat kita, martabat seorang ibu sangat-sangat tinggi. Jangan sesekali seorang ibu itu disakiti hati dan perasaannya.

KEDUDUKAN ISTIMEWA IBU BAPA TERUTAMA STATUS IBU DALAM ISLAM

Kedudukan istimewa ibu bapa terserlah apabila Rasulullah SAW tidak membenarkan seseorang melaksanakan satu misi besar lagi penting dalam urusan dakwah sekiranya ia bakal mengundang kesedihan kepada ibu bapanya atau tidak mendapat keizinan mereka.

Ketika peristiwa Hijrah, ada seorang sahabat datang kepada baginda dengan memberi taat setia (bai'ah) untuk turut berhijrah, namun perbuatannya ini menyebabkan kedua ibu bapanya menangis. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya :
"Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis." (Hadis riwayat Imam al-Nasaa'i.) (02)

Di dalam peristiwa lain, seorang lelaki dari Yaman berhijrah kepada Rasulullah SAW untuk berjihad bersama baginda, namun apabila baginda mendapati dia belum mendapat keizinan kedua ibu bapanya maka baginda bersabda :
"Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin daripada mereka berdua. Jika mereka mengizinkan kau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua." (Hadis riwayat Abu Daud)

Lihatlah bagaimana berbakti kepada ibu bapa itu lebih utama berbanding dua perkara yang begitu penting dalam Islam iaitu peristiwa hijrah dan juga jihad.

Berhati-hatilah bagi anak yang pernah melukakan hati kedua orang tua mereka. Janganlah tindakan mereka itu sehingga menyebabkan ibu mahupun bapa mendoakan keburukan terhadap anak kerana doa golongan yang dizalimi dan doa ibu bapa itu pasti makbul. Rasulullah pernah bersabda :
"Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi, doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya." (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) (02)

Berdasarkan sebuah hadis, umat manusia percaya, syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Amat besar dosa derhaka terhadap ibu. Bahkan dikatakan darjat ibu tiga kali ganda dibandingkan ayah dalam hal penghormatan anak kepada kedua orang tuanya.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah :
"Saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah." Rasulullah bertanya: "Apakah ibumu masih hidup?" Orang itu menjawab, ya. Rasulullah SAW bersabda. "Tetaplah engkau berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada." (Riwayat At-Thabrani) (03)

Begitu juga cerita di mana seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, "Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?' Lalu Rasulullah SAW menjawab "Ibumu'. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali "Siapakah selepas ibu?" dan jawapan Rasulullah SAW tetap "Ibumu". Akhirnya bila ditanya lagi 'Siapakah selepas ibu?' barulah Rasulullah SAW menjawab "Bapamu". (Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini. (05)

Apa yang sangat membanggakan manusia bahawa Allah SWT telah menceritakan kisah ibu dalam kitab suci al-Quran, dengan cara yang amat menyenangkan sekali. Allah SWT berfirman, maksudnya :
"Maka Kami kembalikannya (Musa) ke pangkuan ibunya supaya menyenangkan hatinya dan tidak berduka." (Surah al-Qasasb : 13)

Syariat Sa'i di antara bukit Safa dan Marwah dalam ibadat haji dan umrah adalah memperingati peristiwa yang berlaku kepada Siti Hajar (bonda Nabi Ismail) yang mana Siti Hajar penuh sabar dan tabah mencari air untuk menghilangkan dahaga anaknya.

Pengorbanan itu adalah bukti yang nyata bahawa Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberi penghargaan yang abadi kepada golongan ibu dengan disyariatkan peristiwa itu dalam salah satu Rukun Islam yang kelima. (03)

Ulama mempunyai pendapat tersendiri mengenai persoalan berbuat baik kepada ibu bapa.

Ibnu Batutta menyatakan seseorang ibu berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana susah payah yang dialaminya sendirian ketika hamil, bersalin dan ketika menyusukannya. Manakala bapa berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana kerjasamanya dengan ibu dalam memberi nafkah dan mendidik anak-anak.

Al-Qurtubi, seorang pakar tafsir menunjukkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak menerima kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghormatan daripada anak-anaknya iaitu sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan dengan kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghargaan yang berhak diterima oleh seorang bapa daripada anak-anaknya. Al-Qurtubi juga menyatakan, jika berlaku pertembungan keperluan antara bapa dan ibu dalam mendapat khidmat anak-anaknya, maka ibulah yang lebih berhak diutamakan. (03)

Selanjutnya, beliau berhujah bahawa si ibu adalah lebih utama untuk dicurahkan kebaikan kepadanya kerana kesusahan ketika mengandung, penderitaan ketika melahirkan dan pengorbanan yang dilakukan ketika membesarkan dan mendidik si anak. Justeru, ketaatan kepada ibu adalah lebih utama jika dibandingkan dengan bapa. Sementara bagi perkara haram, seseorang mesti meninggalkannya walaupun disuruh ibu bapa.

Imam Malik berpendapat kedudukan ibu dan bapa adalah sama dari sudut hak untuk mendapatkan ihsan daripada anak. Al-Layth bin Sa'd menyatakan berbuat baik kepada ibu adalah tiga kali ganda lebih utama jika dibandingkan dengan berbuat baik kepada bapa. (04)

TUNTUTAN UNTUK BERBUAT BAIK TERHADAP IBU TERUTAMANYA

BERIMAN dan mentauhidkan Allah adalah syarat yang perlu dipatuhi agar segala ibadat yang dilakukan seseorang tidak menjadi sia-sia. Seterusnya, Allah memerintahkan supaya manusia melakukan kebaikan (ihsan) kepada kedua ibu bapa, lebih – lebih lagi yang sudah lanjut usianya. Ihsan kepada ibu bapa dengan mentaati segala kemahuan mereka selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Begitu juga, apabila bercakap dengan ibu bapa, si anak diharamkan meninggikan suara, mengherdik, mencaci dan berkata dengan perkataan yang tidak baik. Malah, mereka juga tidak boleh menunjukkan 'bahasa badan' yang boleh mengguris perasaan kedua-duanya.

Ia menggambarkan ibu bapa mempunyai kedudukan yang amat istimewa menurut perspektif agama sebagaimana firman Allah SWT, bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua di dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Uhh`, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang ketika memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al-Isra' : 23 – 24) (04)

Jika menyebut ungkapan 'uh' atau 'ah' pun sudah dikira menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak yang mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud :
"Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda." (Hadis riwayat Muslim) (06)

BEBERAPA PERKARA YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH ANAK UNTUK MEMENUHI TANGGUNGJAWAB DAN SETERUSNYA TAAT KEPADA IBU

Terdapat dua jenis tanggungjawab yang boleh dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka kerana jika mereka berbuat ehsan, menjaga kebajikan dan menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa, ia membawa kepada seribu keberkatan untuk si anak yang melakukannya.

Tanggungjawab pertama ialah tanggungjawab yang boleh dilakukan ketika ibu bapa masih hidup, manakala yang kedua ialah perkara yang perlu dilakukan selepas mereka meninggal. (07)

# Fahami ibu kita.
Kita sedar dan fahami bahawa apabila umur meningkat, ibu kita akan lebih sensitif, kuat terasa hati, cerewet dalam pelbagai perkara dan juga daya ingatan mulai lemah. Hidup ini ibarat roda, apaila umur meningkat keadaan kita seolah – olah kembali semula seperti seorang bayi yang memlerlukan lebih perhatian, penjagaan dan bantuan daripada orang – orang sekeliling.

# Sentiasa berbuat baik dan menjalinkan hubungan mesra dengan ibu bapa.
Walaupun terdapat sedikit pergeseran pendapat dan kurang bersefahaman. Abdullah bin Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda :
Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah adalah bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya." (Hadis al-Tirmizi).

# Berlemah-lembut ketika bercakap dengan mereka dan tidak meninggikan suara.
Selain itu senantiasa mengukir senyuman apabila bersua muka dengan ibu. Mengungkapkan kata – kata yang menunjukkan kita kasih dan sayang akan ibu kita. Seseorang diharamkan daripada membantah, berdebat, berdusta dan mendahului percakapan mereka.

# Sentiasa berdoa kepada Allah agar mereka sentiasa diampunkan, dikurniaankan kesejahteraan dan keselamatan.
Berdoa yang dimaksudkan di sini bukan hanya terbatas ketika mereka masih hidup saja, malah dituntut juga berdoa selepas kedua-duanya meninggal dunia. Ini kerana doa anak yang soleh untuk ibu bapanya akan diterima Allah. (04)

Allah memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa meminta dan memohon sesuatu dari-Nya, pemilik segala perbendaharaan di dunia dan akhirat. Allah berfirman bermaksud:
"Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku memperkenankan doa permohonan kamu." (Surah Al-Mu'min, ayat 60)

Sebagai seorang anak, tentulah doa untuk ibu menjadi ulam bicaranya dengan Ilahi setiap waktu menghadapnya. Biarpun ibu tidak mengetahuinya, itu tidak pernah menjadi halangan untuk anak meminta yang terbaik dari Allah supaya ibu sentiasa bahagia, diberi keberkatan dan kerahmatan, juga digolongkan bersama orang solehah di akhirat kelak.

Perlu diingat, tiada siapa paling bermakna doanya kepada ibu melainkan anak. Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
"Apabila anak Adam wafat, putuslah amalnya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Apapun yang berlaku setiap anak harus menyebut nama ibunya dalam doa, paling tidak mohonlah dosa mereka diampunkan.

Terakam dalam surah Ibrahim bermaksud :
"Ya Tuhan kami, ampunkanlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)." (Surah Ibrahim, ayat 4)

Anak yang sedari kecil dikasihi dan dilimpahkan sepenuh kasih sayang, mohonlah :
"Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua mendidik aku waktu kecil." (Surah al-Israa, ayat 24)

Sebaik-baik doa untuk ibu adalah ditadahkan oleh anak dicintai Allah. Berdoalah untuk ibu, supaya mereka gembira menghabiskan usia yang masih bersisa, dilindungi Dia walau di mana berada dan sentiasa akur kepada perintah dan larangan-Nya. (08)

# Membantu mereka dari sudut material, fizikal dan emosional mengikut kadar kemampuan yang dimiliki.
Ia akan membuatkan ibu bapa merasa gembira sekali gus akan membawa keberkatan di dalam hidup seseorang anak. Keikhlasan dan perhatian anak-anak dalam membantu ibu lebih utama daripada ungkapan “saya sayang emak” semata-mata.

# Menunaikan segala wasiat apabila mereka meninggal dunia.
Begitu juga, si anak sepatutnya terus menjalinkan silaturahim dengan saudara-mara dan rakan-taulan ibu bapa mereka. Ia akan dapat melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan hidup dalam keadaan harmoni. (04)

# Menjaga makan minumnya.
Kalau dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak-anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.

# Menelefon, pulang melihat ibu bapa sekerap mungkin kerana mereka rasa dihargai.
Nilai masa yang diluangkan bersama ibu lebih penting daripada semata-mata wang ringgit yang dikirim setiap bulan.

Jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita mereka. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia 'emas'nya itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya.

# Meraikan mereka seperti hari lahir mereka, menyediakan hadiah yang boleh menggembirakan mereka. Sekali sekal membawa ibu bersiar – siar dan bercuti.

# Sebagai anak, kita juga memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan yang disyariatkan Islam dan norma-norma budaya dan masyarakat.

GANJARAN PAHALA YANG BESAR JIKA BERBUAT BAIK PADA IBU BAPA

Tanggungjawab anak kepada ibu bapa di atas dunia, mereka yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala yang amat besar dan bukan kepalang.

# Jika berbuat buat baik kepada ibu bapa, ganjaran yang Allah berikan ialah panjang umur dan murah rezeki selain itu mendapat kasih sayang daripada isteri dan anak - anak. Anak yang sebegini diredhai Allah dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.

Ini bertepatan dengan satu hadis daripada Ibn Umar, Rasulullah bersabda :
"Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, nescaya anakmu akan berbuat baik kepadamu. Dan bersikap jujurlah kepada ibu bapamu, nescaya isteri kamu akan bersikap jujur kepada kamu." (Hadis al-Tabarani)

# Hidup mereka juga sentiasa dalam keberkatan dan peliharaan Allah serta dijauhkan daripada kesempitan hidup. Besar atau tidak ganjaran yang bakal diperoleh, ia mengatasi pahala berjihad fisabilillah.

# Anak yang tidak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mendapat kemuliaan luar biasa dan Allah menjauhkan rasa dukacita serta kesedihan daripada hidupnya. (07)

Mereka juga berselindung di sebalik amal salih yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai.

Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud beliau berkata :
"Saya bertanya kepada Nabi SAW. "Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda bersabda: Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda : Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya : Kemudian apa lagi? Baginda bersabda : Berjihad di jalan Allah." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan. Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang. (01)

MENDERHAKA TERHADAP IBU KHUSUSNYA TERMASUK DALAM DOSA BESAR

Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah SWT.

Ramai tak sedar jarang bertanya khabar kepada orang tua di kampung dikira menderhaka. Ramai anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu." (Surah Al-Isra' ayat 23)

Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud :
Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Nabi SAW pernah bertanya kepada sahabat sebanyak tiga kali :
"Mahukah aku memberitahu kalian mengenai dosa yang paling besar?" Maka mereka pun menjawab: "Sudah tentu wahai Rasulullah." Baginda menjelaskan: "Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Ini mengingatkan kita kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud :
Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati”. (riwayat al-Hakim) (01)

Selain itu, diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud :
"Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)

Sebaliknya, anak-anak perlu sentiasa menghormati ibu kerana reda Allah kepada kita bergantung kepada reda ibu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani) (06)

Akan bersambung.... bahagian 2

No comments:

Post a Comment