TANGGUNGJAWAB ANAK SELEPAS IBU BAPA MENINGGAL DUNIA
Sebenarnya kewajipan menghormati ibu bapa tidak terhenti walaupun kedua-dua mereka sudah meninggal dunia. Walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia anak dikehendaki berdoa supaya mereka sentiasa bahagia di sisi Allah. Selain itu, anak digalakkan menziarahi kubur ibu bapa mereka.
Jelaslah menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama serta berterusan sepanjang masa. (06)
# Menerima berita kematian ibu atau bapa dengan reda dan sabar di atas qada dan qadar serta ketentuan Allah dengan mengucap ‘Inna lillaahi wa inna ilaihiraajiuun’ dan tidak meratap kematian berkenaan.
# Menguruskan jenazah dengan memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengebumikan dengan sempurna. Lebih afdal kalau anak berupaya membaca sendiri talkin untuk orang tua mereka.
# Menyelesaikan hutang piutang ibu bapa dan membahagikan harta peninggalan mengikut hukum faraid yang ditetapkan supaya tidak timbul sebarang perbalahan di kalangan mereka yang berhak menerimanya.
# Mengqada puasa atau membayar kaffarah untuk ibu bapa mereka sekiranya ibadat tertangguh ketika hayatnya.
# Kalau berkemampuan, anak boleh menunaikan haji atau upah orang mengerjakan haji atau umrah bagi kedua-dua ibu bapa yang sudah meninggal itu.
# Gandakan kebajikan, sedekah mudah-mudahan mendapat ganjaran Allah seterusnya merahmati roh ibu dan bapa kita.
# Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia, sebagai anak, kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh. (07)
TANGGUNGJAWAB ANAK MENANTU TERHADAP IBU BAPA MENTUA
Ibu bapa mentua juga wajar dihormati seperti taraf menghormati ibu bapa sendiri. Kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama tidak kira sama ada mentua beragama apa sekali pun (lihat bahagian seterusnya).
Menantu lelaki terutama mempunyai tanggungjawab berat terhadap mentua berbeza dengan menantu perempuan. Menantu lelaki mesti menghormati ibu mentua diikuti bapa mentua selepas Allah dan Rasul.
Mengabaikan seorang daripada mentua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri. Kesejahteraan rumah tangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mentua. Jika tanggungjawab itu diabaikan sudah tentu si isteri akan menjadi kurang selesa disebabkan ibu bapanya sendiri diabaikan oleh si suami. (07)
MENGHORMATI IBU BAPA YANG BUKAN BERAGAMA ISLAM
Ibu dan bapa adalah insan mulia yang wajib dihormati dan diraikan sepanjang hayat sama ada mereka Muslim atau bukan Islam sekali pun.
Perintah Islam supaya menghormati dan mentaati ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau tidak.
Cuma, bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan mentaati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah.
Diriwayatkan daripada Sa'id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, "Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad SAW)." (Hadis riwayat Muslim)
Berikutan peristiwa itu, Allah menurunkan ayat yang bermaksud :
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 8)
Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud :
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan." (Surah Luqman, ayat 14-15) (06)
Sungguh agung hak ibu bapa kita sehingga ia disamakan dengan hak Allah SWT ke atas manusia yakni “bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu.” Apa yang menariknya lagi daripada ayat ini adalah peringatan mengenai kiamat selepas mengingatkan kita kepada hak orang tua iaitu kepada Allah SWT juga tempat kembali untuk menerima balasan.
Ini ditegaskan oleh baginda SAW dalam sebuah hadis bermaksud :
“Rasulullah SAW ditanya mengenai peranan kedua-dua orang tua. Baginda lalu menjawab, “Mereka adalah (yang menyebabkan) syurgamu atau nerakamu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) Dengan pengertian kalau anak berbuat baik kepada mereka, dia masuk syurga dan kalau bersikap derhaka kepada mereka, dia masuk neraka.
Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan Islam. Hormat dan taatilah ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam dosa besar. (09)
MUHASABAH DIRI - SAYANGI, HARGAILAH IBU ANDA SEBELUM TERLAMBAT
Cakap ibu tidak lagi dijadikan azimat tetapi sering dijadikan topik untuk bertikam lidah. Sampai ke tahap kita buat semua perkara tanpa pengetahuan ibu. Perkara yang kita suka tetapi tidak boleh diterima oleh ibu kita dahulukan.
Ada yang berfikiran waras, nasihat dan teguran diambil kira, sayang sekali bagi mereka yang hanya menurut kata hati, teguran ibu bagaikan belati menyusuk hati, hingga hilang jati diri.
Allah menzahirkan perasaan sayangnya-Nya kepada manusia melalui ibu yang mengandung, melahir dan mendidik kita . Sudah cukup derita yang mereka tanggung sebelum kita lahir ke dunia. Sifat kasih dan penyayang ibu ini bukan ciptaan dan lakonan tetapi realiti fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada si ibu.
Itulah sebabnya menderhaka kepada ibu bapa adalah salah satu dosa besar yang tidak boleh diampun kecuali oleh mereka sahaja dan balasannya akan diterima bukan sahaja di akhirat, malah di dunia.
Jika anda masih belum sedar dan leka dengan alam fantasi, jangan salahkan keadaan jika terjadi sesuatu yang bakal menjadikan kita sebagai anak yang akan menyesal seumur hidup.
Ketika itu, menangis dengan air mata darah sekalipun tidak akan berguna lagi. Ingatlah, doa seorang ibu paling mustajab, begitu juga sebaliknya. Jika pun mereka ada tersilap, jangan simpan di hati.
SERBA SEDIKIT MAKLUMAT TENTANG HARI IBU
Hari Ibu disambut kebanyakannya pada Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun. Meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan-amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna.
Hari Ibu merupakan sambutan kebesaran yang dikatakan bermula pada zaman Mesir purba untuk memberi penghormatan kepada Dewi Isis, atau Dewi Cybele di Rom, atau Dewi Rhea di Greek. Di Eropah pula sambutan 'Mother Church' diraikan bagi menghargai gereja kerana pembaptisan.
Sehinggalah sambutan Hari Ibu akhirnya diiktiraf seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun sempena memperingati wanita bernama Anna Reeves Jarvis, kematiannya menyebabkan anak perempuannya, Anna M Jarvis memulakan kempennya mewujudkan sambutan Hari Ibu secara rasmi.
Dalam petisyennya kepada gereja di mana ibunya berkhidmat sebagai tenaga pengajar setiap hari Ahad, permintaannya untuk memilih tarikh 10 Mei 1908 sebagai Hari Ibu dimakbulkan dan sambutan dibuat secara rasmi di West Virginia walaupun Hari Ibu sudah diraikan masyarakat beragama Kristian seawal 1840.
Tarikh yang sama jugalah pada setiap tahun kita meraikannya untuk menghargai ibu. Bukan mentakwilkan keperluan meraikan ibu, tetapi menggembirakan mereka tarikh sama Anna M Jarvis memperingati ibunya yang menghambakan diri kepada gereja sehingga akhir hayatnya bagaikan satu sindiran kepada umat Islam yang sepatutnya mengingati, menghargai dan mendoakan ibu setiap hari atau sekurang-kurangnya bukan pada tarikh itu.
Andainya kita boleh memilih tarikh untuk mengingati ibu yang sudah pergi, alangkah indah jika hari terakhir Saidatina Khadijah di dunia ini diingati untuk disedekahkan Al-Fatihah dan doa, supaya seluruh ibu turut diingati. (08)
Pendapat Ulama dan Ilmuwan Islam tentang sambutan Hari Ibu
Ilmuwan Islam sebenarnya berbeza pendapat mengenai sambutan Hari Ibu kerana ada berpendapat menyambutnya adalah haram atas dasar ia menyerupai amalan orang bukan Islam dan orang Islam meniru membuta tuli tanpa menyelidik apakah yang ada di sebalik sambutan itu. Apatah lagi tindakan mengambil satu hari dan dinamakan Hari Ibu tidak diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW atau sahabat.
Pendapat kedua mengatakan, harus dan dibolehkan dengan syarat anak menunjukkan penghormatan dan menjaga kebajikan ibu bukan dihadkan pada hari itu saja, tetapi meraikan ibunya sepanjang masa. Cuma pada hari itu dilebihkan penzahiran kasih sayang dan penghormatan berbanding hari lain.
Pendapat Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research), Sheikh Faysal Mawlawi, yang disiarkan dalam islamonline sangat menarik untuk diperhatikan.
Beliau menyebut, semua Muslim wajib menghormati ibu dan bapa masing-masing terutama ibu. Apa yang Islam tidak benarkan adalah kita meniru orang bukan Islam dengan meletakkan satu hari sebagai hari meraikan ibu, seolah-olah hari lain ibu tidak diraikan.
Apa yang berlaku dalam segelintir kehidupan orang Barat ialah anak yang meninggalkan dan tidak menjaga kebajikan ibu mereka, tetapi kembali ke rumah ibu bapa bertanya khabar hanya pada Hari Ibu dan menunjukkan penghargaan kepada ibu mereka pada hari itu saja. Selepas hari ibu, keadaan akan kembali kepada biasa. Hidup terpisah seperti sebelumnya. (10)
Sumber rujukan :
(01) Bharian Online 28 Julai 2009 (5 Syaaban 1430) – Artikel bertajuk Tajdid Iman: Pahala mentaati ibu bapa melebihi jihad fisabilillah
(02) Bharian Online 19 Januari 2010 (4 Safar 1431) – Artikel bertajuk Tidak sia-sia menjaga ibu bapa sudah berumur
(03) Utusan Online 07 Mei 2010 (23 Jamadil Awal 1431) – Artikel bertajuk Syurga di bawah telapak kaki ibu
(04) Bharian Online 21 November 2009 (3 Dzulhijjah 1430) – Artikel bertajuk Berbuat baik kepada ibu bapa amalan dituntut
(05) Harakahdaily Online 12 Mei 2007 Khamis – Artikel bertajuk Selamat Hari Ibu: Kasih ibu membawa ke syurga
(06) Bharian Online 9 Mei 2009 (14 Jamadilawal 1430)- Artikel bertajuk Derhaka terhadap ibu bapa hampiri dosa syirik
(07) Bharian Online 26 Mei 2009 (1 Jamadilakhir 1430) – Artikel bertajuk Tanggungjawab terhadap ibu bapa
(08) Bharian Online, 21 Mei 2009 (26 Jamadilawal 1430) – Artikel Memilih tarikh Saidatina Khadijah wafat lebih mulia bagi umat Islam
(09) Bharian Online 09 Mei 2010 (25 Jamadil Awal 1431) – Artikel bertajuk Ulul Albab: Jadi anak salih tanda syukuri pengorbanan ibu bapa
(10) Bharian Online, 30 Mei 2009 (5 Jamadilakhir 1430) – Artikel bertajuk Menghargai bonda sepanjang masa bukan hanya pada Hari Ibu
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment