Monday, 1 March 2010

BERDOA, BERDOA DAN TERUS BERDOA....


Kehidupan kita penuh dengan ujian dan dugaan, sama ada positif atau negatif. Kita diuji dengan kesedihan, kegagalan, kegembiraan dan kejayaan. Memang banyak kesedihan atau kesakitan yang dapat dicegah. Tetapi ada juga yang tidak dapat dicegah sehingga membawa kepada kematian walau segala usaha dan ikhtiar telah dilakukan.

Berdoa kepada Allah untuk diberikan kekuatan dalam menempuhi dugaan kehidupan, agar dapat ditempuhi dengan tabah dan sabar. Sebagai umat Islam, hanya kepada Allah kita memohon pertolongan. Kita manusia tidak memiliki daya dan upaya selain mengharap pertolongan-Nya. Begitu juga ketidakupayaan kita untuk menolak sesuatu musibah.

Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah, adalah orang yang bongkak. Doa memberikan kita pahala dan kebaikan dan tiada mudarat jika kita meninggalkannya kerana keengganan melakukan doa maka ia boleh diertikan sebagai satu bentuk penolakan manusia akan hakikat kebergantungan kepada Allah SWT.

Allah SWT berjanji memperkenankan permohonan yang diminta oleh mereka sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan doa permohonan mu......". (surah al-Mu'min 40 : ayat 60)

Dalam kehidupan kita, selain daripada Allah memberi apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita diminta.


Erti Doa...

DOA menurut Islam ialah pengharapan seseorang untuk mendapat kebaikan daripada Allah SWT dengan memohon secara langsung kepadanya.


Tujuan Berdoa...
Tujuan murni, konstruktif, berdoa untuk kebaikan diri, keluarga, sahabat, sesama Islam hatta kepada bukan Islam sekali pun supaya mereka diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT.


Adab dan syarat berdoa...

1. Seseorang yang beriman yang mentaati perintah Allah.

Firman Allah (mafhumnya):
"Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah 2 : ayat 186)

2. Memperolehi sumber rezeki yang halal dan sentiasa beramal salih.

Firman Allah lagi:
“Wahai orang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang kami rezekikan kepadamu.” (Surah al-Baqarah 2 : ayat 172).

Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai rasul, makanlah makanan baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal salih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mukminun 23 : ayat 51)

Hadis Nabi s.a.w. yang lain menyebut, antaranya (mafhum):
"Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimakbulkan."

Nabi SAW menceritakan mengenai seorang lelaki sudah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa: "Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya daripada barang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan dia diasuh dengan makanan haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya." (Hadis riwayat Muslim)

Seperti yang disebut dalam sebuah hadis qudsi, mafhumnya:
"Apabila hambu-Ku mendampingi daku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat)."

3. Doa dalam keadaan penuh keyakinan, harapan, bersungguh-sungguh dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat diminta.

Firman Allah yang bermaksud :
"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut." (Surah al-A'raf 7 : ayat 55)

Allah berfirman:
“Dan demi sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakan mereka) maka kami seksa mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).

Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An'aam 6 : ayat 42-43).


4. Yakinilah dan optimis bahawa doa kita akan dimakbulkan.

Sifat Allah sebagai Al-Mujib (Yang Maha Mengabulkan Doa) berfungsi saat permohonan diajukan kepada Allah atau ketika kita berkehendak kepada pertolongan-Nya. Dia mengabul atau memperkenankan semua permintaan atau permohonan hamba-Nya.

Jangan kata seorang mukmin yang ikhlas berdoa, syaitan pun dimakbulkan Allah SWT doanya ketika ia bermohon untuk dipanjangkan usianya hingga Hari Kebangkitan (al-Quran Surah Al-Araf 7 : ayat 14-15).

Kita jangan sesekali berputus asa dengan pertolongan dan rahmat Allah. Allah berfirman:
“Tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat." (Surah Al-Hijr 15 : ayat 56).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) serupa." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Sesungguhnya kita tidak boleh berputus asa daripada menanti rahmat-Nya. Rasulullah SAW bersabda:
“Berdoalah kepada Allah disertai dengan keyakinan penuh bahawa Dia akan memperkenankannya.”


Golongan yang pasti doa dimakbulkan...
1. Anak – anak yang berbuat baik kepada kedua ibubapanya.
2. Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Majjah menegaskan tiga golongan jika berdoa pasti dimakbulkan iaitu orang dizalimi, orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya.


Berdoa itu jangan hanya pada waktu ditimpa kesusahan...

Kita digalakkan sentiasa berdoa memohon kepada-Nya setiap ketika. Jangan menjadi seperti kaum musyrik yang hanya berdoa ketika dalam kesusahan.
Antara lain firmannya yang bermaksud :
“Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya.” (Surah Yunus 10 : ayat 12)


Kelebihan berdoa...

Al-Tirmizi pula meriwayatkan daripada Salman al-Farisi bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Qada' Allah tidak dapat dihapuskan melainkan dengan doa dan umur seseorang itu tidak akan bertambah melainkan dengan melakukan kebaikan".

Begitu juga al-Bazzar, al-Tabrani dan al-Hakim ada meriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Persediaan dan berhati-hati tidak mampu untuk mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdir dan apa yang dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga hari kiamat".

Sesuatu berlaku mengikut takdir kerana ada beberapa sebab antaranya doa. Tentulah akal tidak akan menerima berlaku sesuatu tanpa sebab. Jika manusia melakukan sesuatu perkara, ia menjadi sebab terjadi perkara ditakdirkan itu. Jika dia tidak melakukannya, apa yang ditakdirkan itu tidak terjadi.

Ia seperti contoh kenyang dengan sebab makan dan memperoleh anak dengan sebab perkahwinan, mati binatang sembelihan dengan sebab disembelih dan memasuki neraka atau syurga kerana amal perbuatan dan rahmat-Nya.

Sejarah menunjukkan bahawa para sahabat, mereka merupakan golongan yang paling bertakwa yang paling banyak berdoa dan tetap melakukan syaratnya dan memenuhi adab dalam berdoa.

Umar al-Khattab menganggap doa adalah tentera yang hebat. Beliau berkata kepada sahabatnya :
"Kalian tidak memperoleh pertolongan dengan banyak tetapi mendapat pertolongan dengan doa yang diterima dari langit."

Beliau berkata: "Sesungguhnya yang aku fokus bukan doa dimakbul saja, tetapi doa itu sendiri disebabkan apabila kalian diilhamkan untuk berdoa, yakinlah Allah SWT akan mustajabkan doa itu.”

Kata-kata Umar al-Khattab adalah kematangan berfikir dan serasi dengan firman Allah SWT.

Surah al-Baqarah (2), ayat 186 yang bermaksud: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku (Allah SWT) maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku."


Kita telah banyak berdoa, tetapi semacam tidak dimakbulkan...

Berdoa sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT. Terserahlah kepada Allah dan memohonlah apa sahaja dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat.

Mungkin Allah telah makbulkan doa itu, mungkin dalam bentuk diberikan yang lebih baik daripada apa yang kita pinta, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak.

Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba-hamba-Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) serupa." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Dengan mengambil ikhtibar peristiwa berikut.

Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah berdoa dan dilafazkan selama ribuan tahun, memohon ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang.

Baginda berharap umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan dipohonkan rezeki mereka melimpah ruah.

Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa baginda selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w., malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim a.s., seolah-olah baru dimakbulkan.

Cuba bayangkan, doa Nabi Ibrahim yang disebut sebagai 'khalilullah' - kekasih Allah - sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah, ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimakbulkan.

Kadangkala doa Nabi Muhammad s.a.w. juga ditolak. Pada zaman awal kebangkitan baginda sebagai Rasul, menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya tidak mahu memeluk Islam.

Malah baginda pernah disakiti sehingga berdoa ke hadrat Allah (mafhumnya):
"Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui."

Doa Nabi ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan orang lain, kalangan anggota keluarga, bapa saudaranya, seperti Abu Lahab meskipun didakwah bertubi-tubi, namun mereka lebih bertegas mempertahankan kekufuran mereka.

Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi s.a.w sendiri, ada yang tidak beriman, atau lambat beriman.

Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur.

Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya):
"Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, "Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi. Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan."


Tatacara berdoa...

1. Menghadap ke arah kiblat, kerana doa adalah salah satu ibadah kepada Allah SWT.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada al Nu'man ibn Basyir bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya doa itu adalah ibadat".

2. Dikehendaki angkat kedua belah tangan jangan memandang ke langit. Jika berbuat demikian seolah Tuhan berada di langit, sedangkan Allah SWT tidak bertempat.
Mengikut Imam Ghazali r.a. ialah dengan mengangkat agak tinggi hingga kelihatan putih celah pangkal lengan.

Selesai berdoa dan kemudian raup kedua tapak tangan ke muka, kerana menurut atsar Saiyidina Umar r.a. katanya : "Nabi s.a.w. apabila hulur tangan ke arah langit kerana berdoa, tidak diturunkan tangannya kecuali setelah diraupkan ke mukanya."

Abdullah ibnu Abbas r. anhuma pula berkata : "Nabi s.a.w. apabila berdoa beliau temukan kedua-dua tangannya, dan baginda jadikan kedua perut tangannya menghadap ke mukanya."

3. Memulai doa dengan memohon keampunan (beristighfar) untuk diri sendiri dan kemudian keampunan untuk saudara mara yang beriman.

4. Meneruskannya dengan memuji Allah dan salawat (ke atas Nabi Muhammad SAW) dan juga mengakhirinya dengan pujian terhadap Allah dan bersalawat.

Selawat ke atas Nabi s.a.w. sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Surah al-Ahzab 33 : ayat 56)

Menunjukkan berselawat ke atas Nabi s.a.w. itu suatu daripada ibadat yang sangat mulia, bukan saja dianjurkan oleh Allah SWT supaya manusia beriman melakukannya.

Mintalah hidayah dan taufik daripada Allah SWT dengan mengerjakan solat sunat seperti istikharah dan hajat disertai dengan doa agar dipermudahkan Allah SWT baginya menjalankan perkara ketaatan.


Waktu – waktu tertentu yang lebih mustajab dianjurkan berdoa...

1. Sepertiga Akhir Malam

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda.
"Ertinya : Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya." (Shahih Al-Bukhari)

2. Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa

Dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash Radhiyallahu 'anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.
"Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak." (Sunan Ibnu Majah)

3. Setiap Selepas Shalat Fardhu

Dari Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam menjawab.

"Ertinya : Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai shalat fardhu." (Sunan At-Tirmidzi)

4. Sesaat ketika Hari Jum'at

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawa Abul Qasim Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.
"Ertinya : Sesungguhnya pada hari Jum'at ada satu saat yang tidaklah bertepatan seorang hamba muslim shalat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut." (Shahih Al-Bukhari dan Muslim)

5. Ketika Waktu Bangun Tidur Pada Malam Hari Bagi Orang Yang Sebelum Tidur Dalam Keadaan Suci dan Berdzikir Kepada Allah

Dari 'Amr bin 'Anbasah Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda.
"Ertinya :Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya." (Sunan Ibnu Majah)

6. Doa Di antara Adzan dan Iqamah

Dari Anas bin Malik Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda.
"Ertinya : Doa tidak akan ditolak di antara adzan dan iqamah." (Sunan Abu Daud, Sunan At-Tirmidzi, Sunan Al-Baihaqi)

7. Doa Ketika Waktu Sujud di Dalam Shalat

Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.
"Ertinya : Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhl ah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan." (Shahih Muslim)

Yang dimaksudkan adalah sangat tepat dan layak untuk dikabulkan doa kamu.

8. Ketika Saat Sedang Hujan

Dari Sahl bin a'ad Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda.
"Ertinya : Dua doa yang tidak pernah ditolak ; doa ketika waktu adzan dan doa ketika waktu hujan." (Mustadrak Hakim)

9. Ketika Saat Ajal Tiba

Dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah 'alaihi wasallam mendatangi rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu beliau 'alaihi wasallam memejamkannya kemudian bersabda.
"Ertinya : Sesungguhnya tatkala ruh dicabut, maka pandangan mata akan mengikutinya' . Semua keluarga histeria. Baginda 'alaihi wasallam bersabda : 'Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengamini apa yang kamu ucapkan." (Shahih Muslim)

10. Ketika Lailatul Qadar

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.
"Ertinya : Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar." (Al-Qadr 97 : ayat 3-5)

11. Doa Ketika Hari Arafah

Dari 'Amr bin Syu'aib Radhiyallahu 'anhu dari bapaknya dari datuknya bahawasanya Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.
"Ertinya : Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah." (Sunan At-Tirmidzi)

12. Ketika Saat Perang Berkecamuk

Dari Sahl bin Sa'ad Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda.
"Ertinya : Ada dua doa yang tidak tertolak atau jarang tertolak ; doa ketika saat adzan dan doa ketika perang berkecamuk." (Sunan Abu Daud, Sunan Baihaqi)

Sumber rujukan : Utusan Online, Bharian Online, Harakah Online, almanhaj

No comments:

Post a Comment