Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
WAKTU BERBUKA ATAS KAPAL TERBANG
Sebagaimana fatwa Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, waktu berbuka bagi mereka yang berada di atas kapalterbang adalah dengan melihat ke luar tingkap kapalterbang bagi memastikan matahari sudah terbenam atau tidak. Waktu berbuka tidak akan mengikut waktu destinasi atau tempat bertolak.
Bagi waktu sahur kami akan menuruti waktu Dubai kerana kami berada di Dubai sekitar waktu sahur itu, manakala waktu Subuh memerlukan sedikit kiraan, kerana jika matahari naik dijadikan panduan masuk Subuh sebagaimaan untuk berbuka tadi, itu sudah terlewat kerana pastinya sejurus kelihatan matahari bermakna waktu subuh sudah tamat.
PENENTUAN WAKTU SUBUH ATAS KAPAL TERBANG
Justeru, kaedah saya menentukan masuk waktu Subuh adalah mengikut kiraan Dubai, sebagaimana yang pembaca boleh lihat, kami akan berlepas dari Dubai pada jam 03.15 pagi iaitu satu setengah jam sebelum Subuh di Dubai. Waktu Subuh di Dubai adalah 4.48 pagi.
Jika melihat kepada peta dunia, jika sebuah flight berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, dalam tempoh satu jam setengah, saya yakin kapal terbang itu akan berada di atas Indian Ocean. Maka waktu solat Subuh di tengah lautan itu boleh mengikut tanah yang terdekat dengannya, yang saya yakin iaitu Oman atau mungkin juga Karachi.
Setelah disemak, waktu Subuh bagi Oman adalah pada jam 4.46 pagi ( waktu Oman adalah sama dengan Dubai) manakala Karachi pada jam 5.55 pagi.
Namun setakat ini saya lebih yakin kapalterbang akan lebih dekat dengan ruang waktu Oman, justeru subuh dalam waktunya sama ada waktu Oman atau Karachi.
Ulasan penulis :
Oleh itu, adalah penting untuk menyemak waktu ketibaan samaada lokasi transit atau destinasi dituju. Ini penting kerana apabila kapal terbang telah mendarat, maka waktu solat, sahur dan buka puasa adalah mengikut waktu lokasi semasa. Jika masih berada di atas kapal terbang, ia bergantung kepada waktu tanah yang terdekat dengan lokasi semasa kita di atas kapal terbang.
WUDHU ATAU TAYAMMUM ATAS KAPAL TERBANG?
Wudhu tiada masalah untuk disempurnakan menggunakan air di atas kapalterbang, tayammum juga tidak perlu kerana wujudnya air dan tandas kecil yang boleh digunakan bagi penyempurnaan Wudhu. Apa yang perlu dilakukan adalah gunakan cawan kecil plastik minum sebagai bekas air wudhu, dan berwudhulah sesempurna yang boleh di dalam tandas itu.
Tiada alasan untuk bertayammum di dinding kapalterbang atau kerusi atau hanya sekadar solat hormat waktu kerana tiada wudhu.
Malah menurut pandangan yang paling kuat, tidak boleh disempurnakan dengan menepuk dinding, kerusi atau debu-debu yang melekat pada baju. Ini kerana habuk di dinding buatan dan kerusi kapalterbang bukan tidak termasuk dalam erti tanah. tetapi jika dinding, kerusi, baju dan sebagainya itu benar-benar jelas kelihatan berdebu dengan debu tanah, tatkala itu barulah boleh menepuk di atasnya untuk tujuan tayamum.
Allah swt menyebut dengan jelas tayamum hendaklah menggunakan tanah yang suci. Justeru, debu yang diambil mestilah berasal dari benda yang benar-benar datang tanah. Dinding kapalterbang bukan dari tanah, amat sukar pula dibayangkan kewujduan debu tanah di dinding kapalterbang, demikian juga debu atas kerusi.
Allah swt menyebut yang ertinya :
"Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun." (An-Nisa : 43)
Menurut pandangan ulama Maliki, di waktu sukar, boleh digunakan batu asli untuk mendapatkan debu tayamum, kerana batu yang bercampur dengan tanah sejak dari asalnya, dianggap sebahagian dari tanah. Mazhab Syafie pula membenarkan menggunakan pasir yang bercampur sedikit dengan tanah.
Ulasan penulis :
Tiada alas an untuk tidak mengambil wudhu’ kerana sumber air boleh diperolehi dari dalam kapal terbang seperti di dalam tandas.
ARAH KIBLAH UNTUK SOLAT
InshaAllah kami juga tiada masalah arah kiblah kerana kami boleh menunaikan solat zohor dan asar di lapangan terbang Birmingham, berbekalkan kompas kiblah, urusan penentuan arah menjadi lebih mudah dan meyakinkan.
Bagi solat maghrib pada 12 Sept, kami punyai pilihan sama ada untuk jama' takhir iaitu solat di lapangan terbang Dubai atau solat di dalam kapal terbang secara duduk.
Arah kiblah mungkin boleh dilihat melalui panduan Emirates Airline (jika dalam Flight MAS ada disediakan, Emirates saya kurang pasti kerana pertama kali menaikinya esok) atau melalui cara melihat arah halaan Kapalterbang.
Biasanya mudah, kerana arah flight dari UK ke Dubai, biasanya akan selari atau tidak jauh lari daripada arah Ka'abah. Justeru, sejurus kami dapati kapalterbang sedang berhadapan dengan Mekah, kami boleh terus menunaikan solat secara duduk menghadap hadapan.
MASALAH MEMBELAKANGKAN KIBLAH
Cuma sedikit masalah akan timbul ketika kami ingin solat Subuh di atas kapalterbang. Kerana berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, beerti kapalterbang membelakangkan Mekah.
Namun tidak ditolak, adakalanya kapalterbang akan sedikit membelok ke kanan dan kiri. Justeru, cara kami adalah apabila tiba waktu solat Subuh, kami akan memerhati peta kedudukan kapalterbang yang disediakan. Melalui cara itu, kami boleh mengagak arah mana yang perlu kami solat.
Jika kedudukan Mekah terlalu menghadap ke belakang secara 100%, dan solat secara duduk untuk menghadapnya sangat tidak mengizinkan. Kami akan berusaha meminta izin pramugara/i untuk menggunakan mana-mana ruang yang sesuai.
Namun, jika arah Mekah hanya memerlukan menoleh 90 darjah kanan atau kiri, saya yakin masih boleh ditunaikan solat di atas tempat duduk, iaitu dengan cara mengangkat sebelah kaki di letakkan di atas kerusi dan badan dihalakan ke tepi kanan atau kiri setakat yang diperlukan. Apa yang penting adalah ketika takbir permulaan dada kita berada tepat menghadap arah yang dikehendaki, pergerakan kapalterbang selepas itu tidak lagi perlu dihiraukan.
Ulasan penulis :
Perlu membuat sedikit kajian, tentang arah pergerakan kapal terbang menuju ke destinasi dan juga lokasi Kaabah. Perlu menghadap kiblah dalam solat dan penting bagi menghadap kiblah pada saat ketika mengangkat takbir permulaan, dada kita berada tepat menghadap arah Kaabah, pergerakan kapal terbang selepas itu tidak lagi perlu dihiraukan. Boleh melakukan solat duduk tetapi kalau boleh dilakukan solat secara berdiri.
Rujukan : zaharuddin.net
pasca simposium
5 years ago
No comments:
Post a Comment