Sunday, 28 March 2010

TEKANAN ATAU STRES – bahagian 3 (akhir)

KAEDAH MENGHADAPI TEKANAN BERLANDASKAN AJARAN ISLAM

Ikutilah perintah dan suruhan Allah serta tinggalkan perkara yang dilarang. Hayatilah suruhan Allah nescaya anda tidak akan rugi walau sesaat. Dekatkan diari terhadap-Nya.

# Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat.

Solat sebagai cara utama untuk meminta pertolongan daripada Allah, seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya :
"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.

Secara saintifiknya solat merupakan suatu tempoh masa 'aman dan damai' di mana seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT).

Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan.

Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan gelombang otak.

# Keduanya dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih.

Amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 maksudnya :
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.

# Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa, 'al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda' (riwayat Bukhari).

Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini adalah kerana al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung dalam merungkaikan segala permasalahan manusia.

# Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.

Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif adalah sekadar 'warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama' dan akan mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak.

# Kelimanya, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan bertawakal.

Menyerahkan segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud :
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina."

Artikel stres ini merupakan kompilasi beberapa buah artikel yang telah dibaca oleh penulis.

No comments:

Post a Comment