Saturday, 20 March 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 3

Musim, Cuaca, Keadaan dan Aktiviti

Kalau mengikut aturannya, musim di negara empat musim seperti UK ini, kalau bermula daripada awal tahun, musimnya ialah musim bunga (‘spring’), musim panas (‘summer’), musim luruh (‘autumn or falls’) dan musim sejuk (‘winter’). Segala aktiviti dan cara pemakaian orang di sini memang dipengaruhi oleh perubahan musim. Musim menentukan cara hidup, aktiviti, gaya, fesyen, pemakaian dan men’disiplin’kan mereka. Cara pemakaian, perubahan musim yang menentukannya.

Musim Bunga (‘Spring’).

Musim bunga bermula bermaksud musim sejuk telah berakhir. Di sini, mulanya musim bunga adalah pada akhir Februari atau awal Mac. Tanda – tanda bermulanya musim bunga di UK, atau lebih khususnya di Dundee ini ialah, tumbuhnya sejenis bunga liar yang berwarna ungu atau kuning dikenali sebagai bunga Crocus. (‘Crocus spp’). Bunga ini adalah bunga yang penulis sendiri lihat dengan mata kepala penulis sendiri dan ia memang tumbuh meliar berdekatan dengan rumah penulis.

Tapi ada pernah penulis bertanya kepada salah seorang kenalan Mat Salleh di sini, dia memberitahu bahawa salah satu tanda musim bunga bermula ialah apabila Matahari telah keluar. Penulis agak terkejut dengan jawapan itu, sedang Matahari memang sentiasa ada. Tapi lama kelamaan penulis faham apa yang dimaksudnya. Perubahan musim tiba – tiba berlaku. Di mana keadaan Matahari yang memancar lebih terik dan bahangnya lebih dirasai berbanding semasa musim sejuk.





Crocus spp

Pada permulaan musim bunga, suhu sekitar akan mula meningkat. Ada dalam sekitar 5 hingga 20 darjah celcius. Dan seterusnya suhu boleh mencecah sehingga 25 darjah celsius.

Tumbuh – tumbuhan mula mengeluarkan daun dan berputik. Selama lebih kurang tiga bulan tidak aktif. Keadaan persekitaran mula kelihatan segar dan cantik berbanding keadaan musim sejuk yang agak suram.

Pelbagai bunga dengan pelbagai warna kelihatan.

Daffodils (Narcissus spp) atau dipanggil sebagai ‘spring-flowering’ kerana ia tumbuh ketika musim bunga sahaja.

Tempoh masa siang juga semakin lama dengan Matahari terbenam semakin lambat dan Matahari terbit semakin cepat.

Perhatikan gambar – gambar di bawah serta masanya.

Gambar diambil pada akhir bulan March 2009 dan akhir bulan April 2009.




Gambar diambil pada awal bulan Mei 2009 – Matahari sudah malu untuk terbenam.




Orang ramai sudah mula tidak memakai sarung tangan, skaf, baju atau jaket sejuk dan juga penutup kelapa. Namun bagi penulis, sarung tangan dan penutup kepala masih perlu walaupun musim bunga sudah bermula, kesejukan masih terasa, angin sejuk masih bertiup.

Namun lama – kelamaan apabila masa siang tempoh masanya semakin lama, suhu sekitar lebih meningkat, peralihan musim daripada musim bunga masuk ke musim panas, orang di sini akan mula berpakaian ala – ala seperti Malaysia.

Cuaca dan iklim ketika musim bunga di sini, cerah tetapi berangin, berawan dan kadangkalanya hujan. Perkataan seperti ‘gales’ (angin ribut bertiup kencang), ‘mild wind’ (angin yang bertiup lembut) akan kedengaran ketika mendengar ramalan cuaca di televisyen. Cuaca akan menjadi lebih baik dengan pancaran cahaya Matahari yang orang di sini gambarkan sebagai ‘a very nice, bright and sunny day’ (hari yang baik, terang dan ada pancaran cahaya Matahari).

Dalam musim ini juga, Matahari akan dilihat terbit lebih cepat antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi dan Matahari terbenam antara pukul 7.30 petang hingga 8.30 malam.

Dalam musim bunga ini juga, waktu akan dianjakan cepat satu jam berbanding waktu UTC (‘Coordinated Universal Time’). Waktu berubah pada hari Ahad terakhir bulan March. Ini dikenali sebagai Waktu Musim Panas Britain (‘British Summer Time’). Kalau dibandingkan dengan Malaysia, perbezaannya tempoh masa menjadi 7 jam dan bukan 8 jam bagi waktu yang bukan waktu musim panas Britain. Untuk lebih lanjut, sila rujuk artikel Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 2 sebelum ini.

Perhatikan jadual solat Bulan Mac 2010 – musim bunga di bawah yang dikeluarkan oleh Masjid Utama di Dundee. Lihat pada perubahan waktu solat terutama waktu masuk solat Subuh, Matahari terbit menunjukkan siang yang semakin cepat. Lihat juga pada waktu masuk solat Maghrib yang menunjukan Matahari lambat terbenam yang menunjukkan malam semakin pendek.

Lihat juga pada tarikh 27 Mac dan 28 Mac (hari Ahad terakhir bulan Mac) yang mana berlaku perubahan waktu. Anjakan waktu ke hadapan sebanyak 1 jam menandakan bermulanya Waktu Musim Panas Britain (‘British Summer Time’).

Jadual solat bulan Mac, hanya ditunjuk 15 hari terakhir – bulan Mac 2010 yang dikeluarkan oleh Masjid Utama di Dundee.

Musim bunga adalah musim di mana aktiviti berkebun bermula. Kebanyakan orang putih di sini memang minat untuk berkebun. Orang ramai akan mula menyedia dan membeli peralatan dan bahan – bahan untuk berkebun. Bagi mereka aktiviti ini perlu dilakukan kerana tidak akan ada masa lain untuk melihat bunga – bunga berkembang dengan cantik dan indah, hanya pada masa musim ini sahaja.

Musim bunga akan berlarutan selama lebih kurang tiga bulan sehingga akhir Mei.

Musim Panas (‘Summer’).

Musim ini bermula apabila memasuki bulan Jun sehingga bulan Ogos. Matahari akan memancar dengan lebih terik. Suhu meningkat mendadak sehingga mencapai 35 darjah celcius. Kalau nak dikatakan, ada ala – ala cuaca di Malaysia cuma bezanya ialah keadaan siang yang lebih panjang iaitu selama 17 jam. Matahari terbenam semakin lambat dan Matahari terbit semakin cepat. Adakalanya boleh nampak dua keadaan langit dalam satu masa, keadaan malam siang sekaligus. Kalau ditoleh pada ufuk Timur, kelihatan hari mula cerah dan ditoleh ke ufuk Barat, hari masih agak gelap. Cuaca akan menjadi lebih panas dan kurang hujan.

Disebabkan oleh cuaca yang lebih bahang dan panas, cara pemakaian mereka juga turut berubah. Orang – orang di sini akan mula memakai pakaian yang lebih nipis, ringkas dan lebih santai. Kalau nak kata, lebih sedikit kain di badan adalah lebih selesa!.

Perhatikan gambar – gambar di bawah serta masanya.
Gambar yang diambil pada awal bulan Jun, akhir bulan Jun dan Julai.





Suatu keadaan yang mana tidak berlaku di Malaysia, keadaan malam seperti senja.

Ya, musim panas ini kedai – kedai yang menawarkan produk seperti kipas dan penghawa dingin akan dikunjungi oleh pembeli. Orang di sini perlukan semua ini memandangkan pada waktu malam juga terasa bahang Mentari pada siang hari yang ketidakhabisan.

Tambahan dengan tempoh malam adalah amat pendek. Tingkap – tingkap di rumah akan sentiasa dibuka mengharapkan angin bertiup masuk ke dalam rumah untuk memberi keselesaan. Kalau hendak berpeluh musim panas ini adalah masa sesuai untuk berpeluh kerana kita masih berpeluh walaupun tidak berbuat aktiviti fizikal dan kadang kala berpeluh walaupun berada di dalam rumah.

Selain itu, di rumah, penulis perlu mengantung tirai gelap pada tingkap untuk menghalang cahaya Matahari memasuki rumah. Memandangkan keadaan yang kurang gelap sukar bagi keluarga penulis terutama anak – anak untuk melelapkan mata dan menyebabkan cepat bangun pada waktu pagi kerana keadaan telah terang seawal pukul 4.00 pagi.

Kedai – kedai makan akan meletakkan kerusi dan meja mereka di luar kedai. Sama seperti kedai mamak – mamak di Malaysia meletakkan meja kerusi mereka di atas jalan raya, cuma di sini lebih terkawal.

Pelbagai aktiviti luaran mula dilakukan pada musim panas ini, seperti berbasikal, bermain di taman permainan, bersiar – siar dan segala aktiviti yang sewaktu dengannya.

Pada musim panas ini, kebanyakan orang di sini memilih untuk menghabiskan masa dengan pergi bercuti, tambahan dengan mulanya cuti persekolahan pada awal bulan Julai. Antara aktiviti yang dilakukan ialah melancong, yang mana lebih melibatkan pelancongan dan beraktiviti melibatkan air, lepak atau ‘sunbathing’ di tepi pantai, berkhemah di dalam ‘caravan’ (kontena yang ditarik oleh kereta).

Bagi pelajar – pelajar di sini, masa terluang cuti sekolah banyak dihabiskan dengan menyertai perkhemahan musim panas (‘summer camp’). Selain itu mereka dibawa melawat tempat – tempat menarik seperti taman - taman tema, hidupan liar dan sebagainya.

Ketika musim panas ini juga antara aktiviti riadah popular ialah ‘Farm Picking’ (Memetik buah di ladang buah). Aktiviti ini melibatkan aktiviti rekreasi memetik buah Beri seperti strawberi, rasberi, blueberi, dan lain – lain jenis beri lagi. Seronok dilakukan kerana kita boleh memetik buah beri tersebut daripada pokoknya yang sememangnya enak dimakan sejurus selepas dipetik.



Buah strawberi yang berjaya dipetik penulis.

Kemudian, aktiviti ‘Barbeque’ juga amat popular. Tidak kira di mana diadakan, ini adalah masa yang tidak boleh dilepaskan untuk meluangkan masa dengan keluarga atau kawan – kawan. Belakang rumah juga menjadi pilihan, ‘barbeque’ set wajib dimiliki dan makanan yang enak pasti menjadi santapan.

Untuk makluman pembaca, kebanyakan tempat – tempat pelancongan menarik akan dibuka dengan tawaran pakej – pakej menarik yang pasti mengujakan. Semua hotel – hotel akan penuh ditempah oleh pelancong – pelancong.

Nanti kalau ada masa penulis ingin berkongsi dengan pembaca mengenai beberapa tempat yang penulis pernah pergi sepanjang penulis berada di luar negara ini.

Cuaca dan iklim ketika musim panas di sini, cerah dan terik tetapi berangin. Di sini, tidak kira musim, angin tetap bertiup memandang lokasi Dundee yang berdekatan dengan muara sungai iaitu Sungai Tay. Dan jarang sekali hujan. Perkataan seperti ‘sunny and bright day’ (hari yang baik, terang dan ada pancaran cahaya Matahari), ‘perfect day’ (hari yang bagus), dan sebagainya yang menggambarkan baik menjadi sebutan ketika laporan ramalan cuaca di televisyen. Orang di sini sangat suka cuaca yang cerah, terang dan panas.

Penulis juga suka musim panas ini. Satu kerana tidak perlu mengena pakaian yang tebal – tebal untuk keluar rumah. Berbanding musim sejuk terutamanya, untuk mengenakan ‘pakaian lengkap’ untuk keluar perlu mengambil masa sehingga 15 minit. Musim panas boleh mengenakan pakaian santai ala Malaysia. Namun musim panas, agak sukar untuk melelapkan mata pada malam hari kerana siang cepat dan lama serta panas cuaca sekitarannya.

Dalam musim ini juga, Matahari akan dilihat terbit lebih cepat berbanding musim bunga iaitu antara pukul 3.45 pagi hingga 4.45 pagi dan Matahari terbenam, tidak terbenam sepenuhnya antara pukul 10.00 malam hingga 10.30 malam.

Musim panas akan berlarutan selama lebih kurang tiga bulan sehingga akhir Ogos.

Bersambung .... musim luruh dan musim sejuk.

No comments:

Post a Comment